Isnin, November 13, 2006

DVD sulit dari penjara

DVD sulit dari penjara:
KUALA LUMPUR: Rakaman video memaparkan enam banduan disebat yang diambil secara sulit, terlepas keluar dari simpanan Jabatan Penjara dan kini menjadi tatapan umum selepas dipercayai diulang cetak dan disalin dalam bentuk cakera video digital (DVD) sebelum dijual di pasaran gelap.

DVD terbabit menayangkan secara terperinci cara banduan di sebuah penjara menjalani hukuman sebat antara satu hingga 20 kali sehingga menimbulkan rasa ngeri apabila ada pesalah yang dirotan itu meraung kesakitan dan mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan rakaman proses hukuman yang dilakukan secara sulit itu boleh terlepas ke luar tembok penjara dan seterusnya jatuh ke tangan penjual DVD sebelum ia dipasarkan kepada orang ramai.

Harian Metro yang mendapat salinan DVD berjudul ‘Rotan 18SG’ berharga RM10 setiap satu itu mendapati, sampul DVD itu tertera gambar banduan disebat.

Berdasarkan sampul itu, pengedar mendakwa rakaman video terbabit diambil jurugambar amatur yang juga pegawai penjara menggunakan kamera video.

Rakaman terbabit pada peringkat awalnya menyiarkan beberapa banduan lelaki berbaris sambil menunggu pemeriksaan doktor sebelum menjalani hukuman rotan.

Turut ditunjukkan adalah visual seorang doktor bertugas di penjara terbabit memeriksa kesihatan banduan sebelum hukuman dijatuhkan.

Rakaman video itu kemudian menunjukkan seorang ‘tukang sebat’ berbaju putih dan seluar panjang gelap melakukan sesi ‘memanas badan’ dengan memukul rotan ke arah objek seperti bantal pada kayu palang yang akan digunakan untuk merotan pesalah.

Rakaman seterusnya menunjukkan seorang pegawai penjara berjalan menuju tempat hukuman dijalankan sebelum lensa kamera video memfokuskan ke arah beberapa fail peribadi banduan yang bakal dikenakan hukuman rotan.

Tidak lama kemudian, seorang banduan lelaki berjalan ke arah pegawai terbabit sebelum memberitahu nama dan nombor pengenalan banduannya.

Pesalah disandarkan pada palang kayu sebelum seolah-olah diikat beberapa kakitangan penjara dalam keadaan bahagian punggung banduan itu terdedah.

Sebaik seorang pegawai penjara mengeluarkan arahan dua kali hukuman rotan, ‘tukang sebat’ kemudian melepaskan dua sebatan ke arah punggung pesalah.

Kamera video turut memfokuskan bahagian punggung pesalah yang calar dan berdarah sebaik dirotan.

Rakaman seterusnya memaparkan tiga lagi banduan yang turut dirotan sebanyak satu hingga dua kali.

Turut dipertontonkan, seorang pesalah lelaki dibacakan semula kesalahan dan hukumannya iaitu dipenjara 11 tahun dan 13 sebatan.

Pesalah dijatuhkan hukuman rotan serentak sebelum berjalan masuk ke bilik rawatan sambil diiringi beberapa wadar penjara.

Rakaman selanjutnya menunjukkan pegawai penjara melawat banduan yang selesai menjalani hukuman rotan dalam bilik rawatan.

Kebanyakan banduan dilihat berbaring sambil punggung mereka disapu ubat.

Pada sesi seterusnya, rakaman video terbabit tambah ‘panas’ apabila memaparkan seorang banduan menerima hukuman 20 sebatan.

Banduan yang tidak dapat menahan kesakitan beberapa kali menjerit ‘Allahhu Akhbar’ sebaik rotan singgah di punggungnya.

Susulan paparan DVD itu, Harian Metro cuba menjejaki penjualnya sebelum mendapati ia diedarkan seorang peniaga di ‘Pasar Karat’, Jalan Petaling di sini.

Wartawan Harian Metro menyamar pelanggan sebelum memasuki pasar terbabit jam 6 pagi semalam.

Hasilnya, seorang lelaki berusia sekitar lewat 40-an berniaga DVD terbabit di hujung pasar itu dengan hanya membuka meja.

Lelaki itu turut menayangkan sedutan rakaman terbabit untuk menarik pengunjung pasar itu dengan menggunakan pemain DVD mudah alih bersaiz kecil.

Sewaktu dihampiri, lelaki itu memberitahu DVD terbabit dirakamkan secara sulit dan tidak mungkin dapat dibeli di mana-mana premis atau kedai.

Ketika diminta mengurangkan harga DVD dijual, lelaki terbabit memberitahu dia perlu membayar komisyen kepada ‘individu’ yang mengedarkannya.

Tinjauan Harian Metro selama satu jam mendapati puluhan pelanggan mengerumuni meja jualan itu.

Seorang pelanggan yang ditemui berkata, pendedahan hukuman sebat itu secara terbuka tidak jauh bezanya dengan gambar boegl seorang suri rumah melakukan ketuk ketampi dalam lokap disebarkan melalui klip video, Jun tahun lalu.

Ia sepatutnya menjadi rahsia jabatan kerajaan dan tidak sewenang-wenang didedahkan kepada umum apatah lagi untuk mendapatkan keuntungan.
p/s: siapa perlu disalahkan? perlukah prosidur seperti ini dirakam?

Related post: , , , ,

7 ulasan:

  1. Mungkin kerana wang...ape saja boleh jadi

    BalasPadam
  2. Alah Harian Metro tu saja nak buat Hot Story... Last-last kena warning dengan KDN sebab buat cerita karut. Biarlah orang tu nak jual, sedikit sebanyak ia boleh menyedarkan masyarakat tentang rotan daripada asyik nonton video lucah. Lagipun, video rotan tu dah ada kat internet berbulan lamanya... wartawan tu aja yang bengab...

    BalasPadam
  3. bagus juga ada vcd2 mcm tu. bagi peringatan pd penjenayah2 kt luar sana. berfikir dulu sebelum bertindak malakukan jenayah.

    BalasPadam
  4. tak patut dia orang edarkan vcd tersebut krn dia orang manusia mempunyai perasaan mcm mana kalau gambar korang bogel diedarkan apa perasaan korang lagipun dia orangsudah menjalani hukuman yg sepatutnya,dlm kes iniorang yg edarkan vcd tersebut yg salah

    BalasPadam
  5. Edar DVD sebat di katakan salah... edar DVD lucah senyap je... memang manusia sekarang bodoh nak mampus. Benda elok buat apa nak sorok2? Lagipun video tu tutup muka pesalah... kalau pemikiran kita masih macam ni, tu pasal la jenayah makin banyak dan esok dia orang rogol saudara mara korang... baru la nak suruh rotan atau jatuhkan hukuman setimpal... luncai betul.

    BalasPadam
  6. Elok gak ada vcd mcm tu drpd vcd lucah jer....vcd lucah merangsangkan lepas tu mulalah nak mrosakan org lain tp vcd tu menyedarkan kita......

    BalasPadam
  7. Aminoramin - kalu anda seorg islam.anda sepatutnya lebih memahami bahawa hukuman rotan mgikut kaedah islam dijlnkan secara terbuka kpd umum..jd soal malu tidak perlu jd persoalan

    BalasPadam