Memaparkan catatan dengan label Travelog Haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Travelog Haji. Papar semua catatan

Isnin, September 07, 2026

Travelog Haji 5: Haji Adalah Arafah, Inilah Ketikanya

Assalamualaikum dan selamat pagi. Sambung siri Travelog Haji pagi ini. Lama betul tertangguh catatan ini sampaikan ada rakan jemaah haji yang bertanya akan sambungan penulisannya. Kepada yang ternanti-nanti kami mohon maaf. Susah juga nak cari mood dan banyak juga hal-hal lain yang menghalang. Apapun ayuh ikuti catatan pada hari yang ditunggu-tunggu iaitu hari Arafah. 

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi ﷺ bersabda: Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)] 

Wukuf di Arafah adalah rukun haji, sesiapa yang berhaji tetapi tidak wukuf di Arafah maka tiadalah haji baginya. Begitulah pentingnya rukun yang satu ini. Wukuf di Arafah bermaksud berada dalam kawasan Arafah bermula waktu Zohor hingga tamat waktu Asar pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Ketika di khemah Mina aku selalu duduk di hujung khemah yang tiada lagi penghuninya. Bukan semua pengelola jemaah haji memulakan haji dari Mina, ada yang terus ke Arafah. Bahagian hujung khemah ini juga dijadikan tempat imam kerana kedudukannya paling hadapan apabila menghadap kiblat. Bila dah malam aku kembali ke tempat aku yang ada tilam untuk tidur. Malam tu aku memang tak boleh sangat nak tidur. Suasananya panas dan sempit dan masing-masing memakai ihram. Jika kita bergerak sedikit membetulkan baring sama ada ke kiri atau kanan pasti akan menyentuh orang sebelah, dan jika kita terlebih melunjurkan kaki, pasti akan menyentuh kaki orang yang di hadapan kita. Hampir Subuh, aku bangun untuk mandi dan bersiap untuk solat Subuh. Selepas Subuh kami di arahkan untuk bersedia untuk bergerak ke Arafah dengan bas. 

Tiba di Arafah kami dibawa ke khemah yang telah ditetapkan. Setibanya di Arafah, aku tertanya-tanya tentang di mana Jabal Rahmah? Rupanya kedudukan kami jauh dari Jabal Rahmah, semua jemaah haji dari pelbagai negara telah ditetapkan tempat-tempatnya dan kami semua tidak boleh keluar dari kawasan yang telah ditetapkan. Bayangkan jika tiada ketetapan ini, pasti semua orang akan bergerak ke Jabal Rahmah untuk berdoa di situ sedangkan seluruh kawasan Arafah adalah tempat yang dimustajabkan doa. Setibanya di Arafah kami bersarapan dahulu sebelum masuk ke khemah masing-masing dan diasingkan lelaki dan perempuan sama seperti di khemah Mina. Kami diminta untuk tidur dahulu sampai waktu Zohor supaya dapat mengumpul tenaga untuk kekal berdoa dari Zohor sampai Maghrib. Tempoh kira-kira 5 jam ini amatlah penting bagi semua jemaah haji. Aku sendiri sudah set dalam minda untuk tidak buang masa dalam tempoh yang sangat penting ini. Sebolehnya ketika waktu makan setelah Zohor itu makanlah ala kadar sahaja, sekadar mengalas perut kerana bukan keutamaannya untuk makan. Begitu juga rancang keperluan untuk ke tandas, jika tidak perlu jangan ke tandas kerana akan rugi banyak masa.  

Apabila hampir tiba waktu Zohor, kami mengemaskan tempat baring dan buat persediaan untuk solat berjemaah di dalam khemah. Kami jemaah MKM berada dalam khemah yang sama dengan jemaah Azzuha. Jemaah mendengar dengan khusyuk khutbah Arafah yang disampaikan mengikut khemah masing-masing. Ketika di Arafah, Nabi ﷺ ada kaedah khusus untuk bersolat iaitu solat Zohor dan Asar dilaksanakan secara jamak qasar dalam waktu Zohor, kemudian untuk solat Maghrib dan Isyak dilaksanakan secara jamak qasar dalam waktu Isya di Muzdalifah. Alhamdulillah khemah kami bersetuju mengikuti cara Nabi ﷺ bersolat. Setelah solat, kami keluar dari khemah dalam keadaan yang sangat tertib. Masing-masing menjaga adab kerana sedang berada dalam tempoh kritikal ibadah haji. Aku mula janji jumpa dengan isteri dan ambil makanan sedikit dan air yang mencukupi untuk melalui tempoh 5 jam ini. Kami mula mencari lokasi yang sesuai di luar sekitar khemah untuk mula berdoa. Aku dan isteri ambil tempat satu tempat seperti tempat makan yang ada meja dan kerusi. Ketika ini orang mula mengeluarkan koleksi doa masing-masing dan mula berdoa. Aku sendiri memulakan doa dengan membaca susunan doa dari kitab Doa-doa Dan Dzikir-zikir Dari Al-Quran dan As Sunnah As Shahihah Karya Syeikh Abdul Muhsin bin Hamd Al 'Abbaad Al Badr (Pengajar Di Masjid Nabawi-Ahli Hadits Madinah) yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dr. Abdullah Roy, M.A semoga Allah merahmati keduanya. Dikongsikan juga link untuk download kitab himpunan doa ini. Setelah habis berdoa dengan kitab ini baru aku berdoa pula mana-mana kehendak diri dan juga doa kiriman orang lain. 

Dalam berdoa ketika Wukuf di Arafah ada satu teguran Allah dalam surah Al Baqarah ayat 200 dan 201 di mana. Ada sebahagian manusia berdoa hanya untuk dunia sahaja tetapi tidak berdoa untuk akhirat. Ini adalah sesuatu yang tidak patut dan ia juga adalah cara berdoa Musyrikin Mekah kerana mereka tidak percayakan hari akhirat. Berdoalah untuk kebaikan di dunia sedikit dan untuk kebaikan akhirat lebih banyak kerana itulah sebenarnya yang lebih kekal dan yang lebih lagi kita mahukan berbanding dunia. Jika mampu berdiri, berdirilah. Sebenarnya ketika ini kena paksa diri kita merendahkan ego kita serendah-rendahnya. Angkat tangan tinggi-tinggi dan berdiri doa kepada Allah. Sedangkan Nabi ﷺ yang mulia pun berdoa sebegitu. Setelah agak lama di luar dan cuaca semakin panas, aku mengajak isteri masuk ke khemah masing-masing dan sambung berdoa di dalam khemah. Dalam waktu Asar kami keluar semula dan sambung semula berdoa sampailah matahari terbenam. Sungguh menyayat hati situasinya ketika itu, cantik sekali kedudukan kami sebenarnya iaitu arah kiblat sama dengan arah matahari terbenam. Sambil berdoa, Allah tunjukkan keindahan matahari terbenam sedikit demi sedikit sampai tidak lagi nampak matahari itu. Ini menunjukkan masanya akan berakhir dan waktu Maghrib akan tiba, dan secara adatnya kesempatan ini tidak akan berulang lagi. Semoga Allah memakbulkan doa-doa semua yang berdoa pada hari Arafah. Semoga ada yang mendoakan kita semasa mereka berwukuf di Arafah pada tahun-tahun akan datang. Aamiin ya Rabbal 'alamin.   

Setakat ini dahulu, bersambung lagi untuk perjalanan ke Muzdalifah dan bagaimana situasinya bermalam berbumbungkan langit di Muzdalifah.    

Sabtu, Julai 25, 2026

Travelog Haji 4: Ziarah Masyair Kali Kedua dan Memulakan Ibadah Haji dari Mina

Assalamualaikum dan selamat pagi Sabtu. Selamat berhujung minggu bersama keluarga. Kita sambung sedikit catatan Travelog Haji. Dalam catatan sebelum ini ada aku catatkan yang ada dua orang bapa saudara turut dijemput Allah untuk menunaikan haji pada tahun ini. Dalam group besar mereka, mereka berdua agak lambat sampai kerana mereka ubah suai pakej yang ditawarkan. Mereka terlepas slot ziarah masyair kumpulan mereka. Aku pun offer untuk bawa mereka kerana aku telah ikuti ziarah masyair sebelum ini, jadi insyaAllah bolehlah terangkan sedikit sebanyak aturan haji tamattuk khususnya pelaksanaan ibadah melontar. Dalam Islam yang dikatakan ibadah ialah apa yang dicintai dan diredhai Allah sama ada ianya perbuatan atau percakapan, sama ada ianya zahir dan batin. Haji termasuk dalam ibadah yang boleh dikatakan berbentuk perbuatan. Selain berniat, selebihnya ibadah haji kebanyakannya adalah perbuatan fizikal. Semua perbuatan ini hanya boleh diserahkan kepada Allah semata. Penyerahan ibadah kepada selain Allah adalah kesyirikan dan syirik adalah larangan pertama dan larangan paling utama di dalam Islam. 

Pagi hari Sabtu tu aku dan isteri bergerak menuju ke hotel penginapan dua bapa saudara iaitu yang aku panggil Acu dan Pak Uda untuk mula bergerak menuju ke Dataran Mina. Hari Sabtu itu bersamaan 6 Zulhijjah, dah agak suntuk dan esoknya iaitu 7 Zulhijjah kami dah diminta bersedia untuk bergerak ke Mina dan memulakan haji dari Mina. Di antara sunnah Nabi ﷺ dalam manasik haji Nabi ﷺ ialah dengan memulakan haji dari Mina sebelum ke Arafah. Untuk masuk ke Dataran Mina kami terpaksa melintas halangan, nasib baik Acu dan Pak Uda tiada masalah untuk lompat halangan. Umur Acu dan 65 dan Pau Uda 59 kalau tak silap. Kemudian sambil berjalan tu sempat lagi ulangkaji flow perjalanan haji yang bakal ditempuhi. Dah beberapa kali ikuti kursus, belajar sendiri dan dengar kuliah-kuliah dapatlah faham, apa pun praktikal adalah penting dan lawatan sangat membantu untuk kita matchkan apa yang dipelajari dengan situasi sebenar. Selain itu penting juga untuk kita fahami tentang perbuatan melontar itu sendiri, ada yang faham melontar itu adalah melontar syaitan ini adalah kefahaman yang tidak betul. Kemudian ada yang mengatakan kita melontar ini adalah kerana melontar sifat-sifat buruk diri, ini juga pandangan yang kurang tepat kerana tiada dalil yang mengatakannya sebegitu. Sebetulnya kita melontar kerana mengikuti petunjuk Nabi ﷺ. Apa yang nabi tunjukkan itu adalah wahyu dari Allah. Sebagaimana Jibril mengajarkan Nabi Ibrahim A.S. tentang tatacara haji, Nabi Ibrahim terima sahaja tanpa bertanya kenapa begitu dan begini. Kita turuti apa yang dicontohkan. 

Sampai di Jamrah Aqabah kami pun terangkan tatacaranya untuk melontar tanggal 10, 11, 12 dan 13. Kemudian kami lanjutkan perjalanan sampai ke Jamrah Ula. Selesai ziarah masyair kami pun balik ke hotel dan semasa dalam perjalanan bapa saudara nak beli tongkat yang boleh jadi kerusi. Isteri sebelum tu ada beli di farmasi cuma kena berjalan jauh sedikitlah. Bila dipelawa mereka pun setuju untuk ke farmasi untuk membeli tongkat. Selesai membeli tongkat kerusi kami lanjutkan perjalanan ke Al Baik untuk membeli sandwich. Kemudian kami balik ke hotel masing-masing. 

Keesokan harinya iaitu 7 Zulhijjah adalah hari yang ditunggu, kami diminta bersedia untuk bergerak ke Mina. Hati semakin berdebar. Untuk ke Mina kami diminta travel light, seringkas yang mungkin supaya senang bergerak. Apa yang dibawa ke Mina ini adalah apa yang akan bawa juga ke Arafah dan Muzdalifah. Bagi aku sendiri walaupun dan bawa ringkas tetapi ada juga barang yang dibawa tetapi tak guna, rasa rugi bawa tapi kalau tiba-tiba perlu dan tak ada rasa menyesal pula. Itulah dilema semasa nak packing ke Mina. Kalau perempuan lagilah macam-macam pertimbangannya. 

Untuk ke Mina kami dah diminta untuk berihram dan niat Ihram terus. Kadang tu dalam pemikiran kita akan jadi serba salah untuk ikut aturan pengurusan atau ikut ilmu kita. Yang aku belajar Nabi berniat ketika di Mina, mungkin untuk memudahkan pengurusan jemaah yang ramai jadi kita ikut sahaja. Sampai di Mina kita berniat sekali lagi. Sampai di Mina kami terus masuk ke khemah dan dapatkan tempat masing-masing. Untuk haji kali ini ada penambahbaikan di khemah Mina, sebelum itu dah disebarkan tilam yang boleh jadi tempat duduk kemudian ada charging port dan mesin massage belakang. Betullah apa yang viral tu. Kerana itu jemaah jadi teruja dan lupa situasi berhimpit-himpit dalam khemah. 

Kami tiba 1 hari awal dari hari tarwiah dan ketika itu jemaah haji tidak kesemuanya ke Mina dahulu jadi situasi di Mina masih lengang. Di Mina kami dan mula solat seperti mana Nabi solat ketika dalam haji iaitu dengan solat setiap waktu pada waktunya, bagi solat 4 rakaat ia diqasarkan menjadi 2 rakaat.          

Selasa, Julai 14, 2026

Travelog Haji 3: Pertemuan Yang Tak Disangka dan Pertemuan Yang Dinanti

Assalamualaikum dan selamat malam. Bertemu kembali dalam episod Travelog Haji 3. Setelah selesai umrah bagi haji tamattu' dan ziarah ke Masyair, sekarang adalah tempoh kritikal untuk mempersiapkan mental sebagai persediaan ibadah haji yang agung. Selain dari itu, dalam kira-kira 6 ke 7 lagi kami akan memulakan ibadah haji dengan berihram kemudian berniat haji. Setiap hari kami akan solat berjemaah di surau hotel. Solat di mana-mana selagi dalam tanah haram Mekah tetap diberi ganjaran 100,000 kali ganda berbanding solat di luar tanah haram Mekah. Ada hadith yang menunjukkan Nabi ﷺ masuk ke kawasan tanah haram Mekah untuk solat sedangkan ketika itu Nabi berada di luar tanah haram Mekah. Jika tak silap ketika di Hudaibiah. Begitu juga ada sahabat yang tinggal di Arafah (luar tanah haram) pergi ke dalam tanah haram untuk solat mengenangkan besarnya ganjaran solat di tanah haram.

Dalam tempoh 6-7 hari ini telah disusun banyak slot-slot pengisian ilmu, motivasi dan bekalan jiwa untuk menghadapi ibadah haji. Allah berfirman supaya kita mempersiapkan bekalan sebelum berhaji dan selain dari bekalan berbentuk meterial, adalah lebih penting bekalan ilmu yang soheh, kata-kata nasihat dan penguat semangat. Sebolehnya aku akan cuba dapatkan saf depan supaya dapat dengar dengan jelas sesi ceramah oleh pakar-pakar rujuk dan ustaz-ustaz mutawif. 

Satu hari, sedang aku duduk-duduk di surau tiba-tiba aku disapa seseorang yang membuatkan aku terkejut dan juga terharu. Back story pada tahun 2025 aku dan isteri ada jumpa pasangan dari taman yang sama, geng surau yang sama turut serta kursus haji MKM. Apabila aku dan isteri terpilih untuk berhaji pada tahun 2026, mereka tak dapat. Aku pun dah lah rasa serba salah sahaja bila berjumpa di surau. Mereka nak sangat pergi haji. Apa yang boleh buat, doa sahajalah. Apa pun aku ada juga tanya Hj Ahmad kut boleh bantu kawan ni di mana-mana. Ketika tu kawan ni (Fazrul) sedang berihram. Berpeluk juga kami di surau tu kerana terharu sebab dia boleh sampai juga. Rupanya qadarullah Tabung Haji ada bagi kuota tambahan sebanyak 19 dan mereka adalah antara yang tawarkan. Begitulah rezeki ini datang tanpa disangka-sangka. 

Kisah kedua untuk episod ni ialah tentang dua orang bapa saudara. Mereka juga dapat tawaran haji tetapi mengikut syarikat lain. Sudahlah beberapa bulan group saudara mara di aplikasi Whatsapp banyak cerita tentang haji. Mereka tiba lewat dua hari dan hotel mereka tak jauh dari hotel kami ketika di Aziziah. Bila tahu mereka dan sampai, aku terus ajak wife pi tengok mereka tu. Ketika tu mereka baru nak selesaikan umrah. Mereka join pakej tetapi yang telah dicustom. Tempoh mereka dalam 30 hari sahaja. Entah macam mana mereka dah terlepas ziarah masyair group mereka, nanti aku sambung cerita aku bawa mereka berdua ziarah masyair di samping mengingatkan mereka tentang persediaan dan aturan ibadah haji yang bakal ditempuhi.

Khamis, Julai 09, 2026

Travelog Haji 2: Menyelesaikan Umrah dan Ziarah Masyair

Assalamualaikum dan selamat malam. Travelog Haji masuk ke episod kedua. Setelah aku terbitkan Travelog Haji 1 dua hari lepas, aku adalah sebarkan link ke catatan itu ke facebook aku. Dalam pada kami di sana ada juga kami add-add facebook team pengurusan, pakar-pakar rujuk, mutawif-mutawif dan kenalan-kenalan baru. Ini juga antaranya kerana mengikut saranan Dr. Rozaimi ketika menyampaikan tausiah pasca haji kepada semua jemaah haji MKM. Antara nasihatnya ialah supaya kami mengekalkan ukhuwah sesama jemaah haji walaupun setelah semua kembali ke kampung halaman masing-masing. Perhubungan yang didasari keimanan insyaAllah ada manfaatnya untuk dunia dan akhirat. Bila aku kongsikan link ke Travelog Haji 1 ke facebook aku, ada di kalangan sahabat-sahabat baru bekas jemaah haji yang memberikan galakan untuk terus menulis. Bersemangatlah sikit aku dibuatnya untuk meneruskan siri travelog ini.

Baik, sekarang kita sambung dengan aktiviti umrah. Bagi haji tamattu' kami perlu selesaikan umrah dahulu kemudian baru laksanakan haji dengan dua kali ihram. Pagi itu kami bertolak dengan bas untuk menyelesaikan umrah. Walaupun dah beberapa kali mengerjakan umrah tetapi kali ini situasinya berbeza, kawalan polis adalah ketat sekali. Pergerakan kami dipantau oleh agen Kementerian Haji yang dikenali sebagai Muhsin. Muhsin ini akan memastikan bilangan kami sama semasa datang dan semasa keluar balik ke Aziziah. 

Sebelum tu iklan dulu. Haji Ahmad iaitu pengurus haji MKM ada menghantar link siang tadi. Boleh tengok di sini. Bersemangat sungguh bini gue memberi refleksinya setelah tiba ke tanah air.  

Kami telah diberi taklimat tentang di mana tempat bertemu semula setelah selesai umrah. Ada satu arahan mutawif yang aku tak terpatuhi iaitu supaya tahalul sendiri-sendiri setelah saie kerana takut lambat jika pergi bercukur di kedai. Aku dah memang dah target nak bercukur terus kerana mengikuti sabdaan Nabi ﷺ tentang fadhilat rahmat Allah atas orang yang bercukur lebih utama berbanding yang bergunting. Maaf ya Ustaz Fadhli... 

Bila melaksanakan umrah, kita tak boleh harapkan orang lain sangat untuk ibadah kita, sama jugalah dengan haji. Kita kena fahamkan betul-betul cara pelaksanaannya supaya sekiranya terpisah kita boleh buat sendiri dengan keyakinan ilmu sendiri. Penting bagi kita memahami bagaimana Nabi ﷺ melaksanakan haji atau umrahnya. Biasanya Sifat Haji dan Sifat Umrah Nabi ﷺ ini tidak diajarkan secara spesifik, jadi kena cari sendiri dahulu. Belajar dari ilmuan yang utamakan sunnah nabi ﷺ. Belajar juga apa yang afdal dan perkara yang orang banyak buat tetapi tiada petunjuk khusus dari nabi ﷺ supaya kita tidak terikut-ikut. Satu lagi, banyakkan tadabbur ayat-ayat yang berkaitan umrah dan haji, pembangunan Kaabah dan peralihan kiblat.

Satu perkara yang buat semua orang teruja ialah apabila terlihatnya Kaabah yang mulia di depan mata. Tempat di mana seluruh orang Islam mengarahkan kedudukannya ketika solat. Syukur atas nikmat yang Allah izinkan untuk sampai menjejakkan kaki ke rumahnya Baitullah. Kemudian apabila sampai sahaja di Masjidil Haram kita mula rasa kecilnya diri kita ini kerana lautan manusia datang dari pelbagai tempat, dengan bangsa dan bahasa yang pelbagai, datang untuk tujuan yang satu menghambakan diri kepada Allah.

Untuk umrah ini, kami dibimbing oleh Dr Zaharuddin dan Ustaz Fadhli Suria. Dari mula tawaf aku dan isteri memang follow rapat Dr Zaharuddin dan isterinya. Sampai pusingan keenam rasanya kami terpisah juga. Apapun aku tak kisah sangat sebab tawaf memang perbuatan sendiri-sendiri. Kita tak perlukan tekong dalam rukun tawaf ini. Walaupun terpisah kami berjaya selesaikan tawaf dalam suasana berhimpit-himpit. Dalam pusingan akhir baru matahari mula terik dan semakin cuaca semakin panas. Syukur kami tak lama terdedah kepada matahari kami pun keluar dari mataf setelah selesai 7 pusingan. Kami cari tempat yang sesuai untuk solat sunat tawaf dan kemudian baru kami pi minum air zamzam. Setelah itu kami berkumpul sebentar sebelum memulakan saie pula. 

Seperti mana tawaf, untuk saie juga kami bergerak sendiri-sendiri. Bergerak sendiri-sendiri lebih cepat dan mudah kerana orang terlalu ramai untuk bergerak dalam kumpulan. Selesai 7 kali berulang antara Safa dan Marwah kami pun keluar dari masjid. 

۞ اِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَاۤىِٕرِ اللّٰهِۚ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ اَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ اَنْ يَّطَّوَّفَ بِهِمَاۗ وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًاۙ فَاِنَّ اللّٰهَ شَاكِرٌ عَلِيْمٌ ۝١٥٨ 

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui. 

Allah menyebutkan tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dalam ayat di atas kerana pada ketika para sahabat datang untuk melaksanakan haji pada tahun ke-9 Hijrah yang diketuai Sayyidina Abu Bakar Al Siddiq, ketika itu sekitar Kaabah masih ada patung-patung yang digunakan musyrikin Mekah sebagai perantara untuk meminta kepada Allah, begitu juga di puncak Safa dan di puncak Marwah ada juga patung mereka. Allah turunkan ayat ini untuk menenangkan hati para sahabat dan meyakinkan mereka tentang tatacara bersaie.

Keluar dari masjid aku pun menyelesaikan tahalul isteri dan bergegas mencari tempat untuk bercukur. Puan isteri sebenarnya sebelum bertolak haji ada masalah mata, bila sampai di sana masalah mata makin teruk. Kena selalu dipimpin kerana susah mengagak, jadi tak boleh juga nak laju-laju sangat. Lagi pun penat tawaf dan saie pun masih terasa. Apapun kami bukanlah yang akhir berkumpul di tempat yang tetapkan walaupun aku ambil masa sedikit untuk bercukur kepala di kedai. Selesai umrah kami pulang semula ke Aziziah. 

Keesokan paginya (1 Zulhijjah) kami dijadualkan untuk ziarah masyair. Masyair ialah jamak kepada syiar iaitu ziarah ke beberapa tempat yang menjadi syiar Islam terutamanya ketika musim haji. Ketika ini kami dah mula kira hari guna kalendar Hijriah  dan dah tak pakai lagi kalendar Masihi sehingga selesai ibadah haji. Kami dibawa ziarah ke tempat melontar dan sempadan khemah Mina. Bagus ada lawatan ini sebenarnya kerana kita lebih faham tatacara pelaksanaannya. Pembimbing sangat membantu dalam memberi kefahaman kepada semua jemaah, dari mana kita akan datang, dari arah mana kita melontar jamrah sugra/ ula, wusta dan kubra/ aqabah. Untuk jamrah sugra/ ula kita melontar pada dinding sebelah kanan iaitu posisi bahu kanan menghala ke kiblat, untuk jamrah wusta dan kubra/ aqabah kita melontar pada dinding sebelah kiri iaitu dengan bahu kiri menghala ke arah kiblat. Nabi hanya berdoa setelah selesai melontar jamrah sugra/ ula dan wusta.  

Habis setengah hari juga ziarah ke Masyair. Balik tu kami agak bergegas kerana dah tak tahan panas dan penat. Sempat singgah kedai membeli yogurt, roti dan air untuk iftar petang Isnin itu.  

Rabu, Julai 08, 2026

Travelog Haji 1: Klang, Movenpick KLIA, Jeddah dan Aziziyah

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pertamanya nak mohon maaf kerana ketidak aktifan blog ini sepanjang tempoh di tanah suci, bahkan mungkin lebih dari itu lagi. 

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ
(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang telah dimaklumi. 

Walaupun hari-hari pelaksanaan haji itu hanyalah 5 atau 6 hari sahaja tetapi Allah telah sebutkan tentang bulan-bulan haji. Bulan-bulan haji itu ada 3 iaitu Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Sepanjang 3 bulan ini secara lazimnya semua yang akan berhaji tidak lagi dapat fokus dengan kehidupan biasa. Tempoh ini ada tempoh kritikal untuk mempersiapkan diri untuk berangkat ke tanah suci. Jantung ini pada ketika itu kerap berdebar-debar memikirkan persiapan. Tidak dinafikan kebergantungan kepada Allah sangatlah tinggi pada ketika itu. Solat lebih khusyuk, sehari-harian sedaya upaya akan cuba menjaga diri dari melakukan perbuatan yang tidak elok. Terdapat larangan khusus kepada bakal jemaah haji supaya tidak melakukan perkara fasik dan tidak berjidal (berbantah) dalam sebarang komunikasi dengan manusia lain.

Sebenarnya berkira-kira untuk tulis siri Travelog Haji ni kerana risau tak habis. Apa pun dari sudut yang lain rasa rugi jika tak catat untuk kepuasan diri dan dikongsi dengan pembaca sekiranya ada. Semoga Allah beri kekuatan. 

Persediaan haji ini memanglah panjang tapi untuk catatan khusus Travelog Haji ni dimulakan dengan meninggalkan anak kepada kakak ipar di Klang. Eryna dipindahkan ke sekolah di Klang dan tinggal dengan keluarga kakak ipar. Terima kasih kerana membantu menyelesaikan masalah yang agak penting ini. Permusafiran haji melalui laluan Tabung Haji ini bermula di Movenpick KLIA. Ramai juga yang datang menghantar kami sampai 2 meja besar kami penuhi. Kami dibekalkan dengan gelang besi, kad Nusuk dari Kementerian Haji Arab Saudi, kad Tabung Haji dan kad MKM iaitu Pengelola Jemaah Haji yang kami ikuti. Bila diamati ketika di tanah suci, hanya Malaysia dan Indonesia menggunakan gelang jenis besi, negara lain gunakan gelang plastik. Tujuan gelang ini adalah sekiranya kami jadi mayat sehingga tak dikenali, gelang inilah jadi tandanya. Setiap orang ada nombornya tersendiri. Sedikit sebanyak menggerunkan kami tentang apa yang akan kami hadapi di sana.

Dalam trip kami ada bersama pakar rujuk yang dilantik MKM iaitu Dr Zaharuddin. Seronok sekali mendengar perkongsian beliau terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan harta. Kami seramai 45 orang dari MKM menaiki kapal terbang KT93 terus ke Jeddah. Ketika di Airport King Abdul Aziz Jeddah, semasa dalam perjalanan menuju ke parkir bas aku tiba aku disapa oleh seseorang. Terkejut betul, rupanya ada petugas kesihatan yang kenal, dia dari hospital tempat aku bekerja. Kalut punya pasal, memang tak sempat nak bergambar pun. Dia dah dua kali jadi petugas kesihatan ketika musim haji. 

Dari Jeddah kami dibawa dengan bas ke Aziziyah. Perjalanan mengambil masa 3 jam kerana aliran trafik dan jalan yang telah diubah khusus ketika haji supaya perjalanan lancar. Sebelum menaiki kapal terbang kami telah mula memakai kain ihram supaya tidak kelam kabut di dalam kapal terbang. Apa pun member di sebelah buat relaks sahaja pakai tshirt sampai aku pula yang risau sebab dah nak sampai sempadan miqat lalu aku pun mengingatkan dia. Masa tu belum kenal lagi, kemudian baru tahu yang duduk sebelah aku tu kapten Ali, pilot Malaysia Airlines. Apapun dia memang sempoi, sangat humble orangnya bila dah mula kenal. Sebelum sampai miqat kami berniat ihram umrah. 

Dalam group kami semuanya melakukan Haji Tamattuk iaitu melakukan umrah kemudian baru melakukan haji dalam satu perjalanan haji. Sebagai tanda bersyukur dengan kemudahan haji tamattuk bagi orang dari luar Mekah, kami perlu membayar dam tanda syukur. Jadi setelah selesai umrah, kami bebas pakai pakaian biasa sampai hari tarwiyah (8 Zulhijjah).

Sampai di Hotel Nasmat di Aziziyah barulah lega, kami diminta tidur dahulu kerana esoknya kami akan melaksanakan umrah. Biliknya luas, kami basuh baju sendiri pakai tangan dan jemur pakaian dalam bilik. Pakaian nak kering pun cepat. Berdebar-debar untuk selesaikan umrah di musim haji.