Memaparkan catatan dengan label Umrah 2024. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umrah 2024. Papar semua catatan

Rabu, Mac 20, 2024

Membeli Cincin Di Madinah

Assalamualaikum dan selamat berpuasa bagi yang berpuasa. Jikalau pun tidak berpuasa kerana uzur, sakit, atau bermusafir ia tidaklah menghalang kita untuk terus bersemangat beribadah dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Antara perkara yang boleh kita tingkatkan dalam bulan Ramadan ialah meninggalkan perkataan2 yang buruk. Baru2 ni ada sembang dengan anak. Seronok melayan anak perempuan ni. Bila balik sekolah banyak betul ceritanya cuma kena pandai cungkil. Antara rules yang dia buat dengan kawan baik dia di sekolah ialah meninggalkan perkataan buruk. Jika kawan dia sebut perkataan yang buruk maka dia akan pukul kawan dia dan jika dia yang bercakap perkara buruk maka kawan dia akan pukul dia atau dia akan minta dipukul. Kadang2 bijak juga budak2 ni. Dia tahu dan ramai orang pun tahu cuma hanya kita yang tidak berhati2 dalam percakapan kita. Teringat hadis dua lubang, iaitu dua lubang yang paling banyak menyebabkan orang2 dimasukkan dalam neraka ialah lubang mulut dan kemaluan. Semoga Allah menjaga kita semua supaya dapat terus melakukan kebaikan di bulan mulia ini.

Berbalik kepada tajuk catatan kali ini, ia adalah berkenaan satu kegemaran orang laki2 iaitu cincin. Seperti sudah menjadi tradisi pula membeli cincin di Mekah atau Madinah, sudah beberapa kali sampai dan setiap kalinya mesti ada beli cincin perak. Dalam sehari dua sebelum pembelian cincin ini dibuat sebenarnya dah mula tengok2 cincin di kedai2 tetapi masyaAllah harganya dah semakin mahal berbanding sebelum ini. Mulalah macam tak berani nak beli sebab duit yang ada pun tak cukup nak beli dan ada baki 2 hari lagi sebelum balik ke Malaysia. Risau juga takut perlu duit untuk apa2 selain makan setiap hari.

Entah macam mana puan isteri tiba2 mengofferkan diri untuk belanja cincin lalu bersemangatlah semula dan entah macam mana boleh lalu ke satu kedai jual cincin. Kadang2 orang yang jual cincin ni dia macam ada satu ilmu yang hebat bila first cincin yang dia tunjukkan ngam saiznya. Dan aku suka cincin itu setelah dibelek2. Aku kira bilangan pengikat batunya ada 17 jadi ngam dengan bilangan rakaat solat fardhu yang kita kena laksanakan seharian. Deal punya deal akhirnya jadi. Sebenarnya masa aku tengah nak decide tu ada seorang Arab yang nak beli cincin juga. Kadang orang ni tak ada rasa hormat orang lain yang tengah deal maka orang kedai ni terpaksa melayan dia, dahlah cara Arab ni deal punyalah kasar. Aku masih terngingang2 lagi cara orang itu. Last2 tak jadi pun orang tu nak beli dan pekedai itu kembali melayan aku semula. Mungkin kerana kecewa dengan deal sebelum itu dan aku pula jenis bukan nego gila2 sampai nak tinggi2 suara. Mungkin sebab tu dia bagi harga yang pada aku oklah. Sembang2 sikit pasal Yaman dia sukalah sebab dia asal Yaman. Teruslah sarung cincin itu dan bayaran pun dibuat. Terima kasih puan isteri sebab belanja cincin. Dari hari itu sampai ke hari ni masih pakai lagi cincin ni dan mungkin lepas rayalah kut rotate cincin lain pula. Habis cerita cincin.

Satu perkara lagi yang aku nak selit dalam catatan ini ialah pihak syarikat MKM yang membawa jemaah umrah ini berbesar hati untuk belanja nasi arab dengan ikan goreng. Dulu2 tak pernah dengar pula orang makan ikan nasi arab dengan ikan goreng, kita pun setuju sahajalah untuk ikut serta. Di antara sebabnya ialah kerana hotel asal yang dinyatakan dalam brosur tidak dapat dan ditukar kepada hotel lain. Ada jemaah yang merungut dan rasanya mutawif pun faham tentang kekurangan hotel gantian itu. Apa pun di tanah haram ini kita banyakkan bersabar. Dapatlah malam itu kami makan nasi arab dengan ikan goreng, sedap rasa ikan goreng itu. Rempah yang digunakan berbeza dengan cari kita biasa goreng ikan. Ikan jenahak kalau tak silap dan saiznya besar sekali. Selain dari ikan tu ada juga kambing dan ayam. Mewah jugalah makan malam itu. Satu talam di kongsi dalam 4-5 orang. Aku yang suka nasi arab ni memang berselera sungguh makan.   

Jumaat, Mac 01, 2024

Menimba Ilmu Di Bumi Madinah

Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat yang dimuliakan Allah. Pagi ini nak sambung kisah perjalanan Umrah 2024 yang telah berlaku pada 11-21 Januari yang lalu. Cerita ini berkisar pada hari Khamis tanggal 18 Januari iaitu sehari selepas kami tiba di Madinah Al-Munawwarah. 

Paginya setelah bersarapan di hotel ada aktiviti yang telah diaturkan oleh pihak syarikat. Semua jemaah diminta untuk berkumpul di lobi hotel untuk ziarah sekitar Masjid Nabawi. Setelah berkumpul, kami berjalan beramai2 ke bahagian kanan belakang Masjid Nabawi berdekatan Saqifah Bani Sa'idah. Ustaz Farhan menceritakan sejarah Saqifah Bani Sa'idah ini dan aku mendengarnya dengan khusyuknya begitu juga jemaah lain. Aku tak pasti sama ada pernah ke sini sebelum ini kerana suasana telah berubah sekali. Jika di cari maklumatnya gambarnya berbeza2 mungkin kerana cepatnya pembesaran yang berlaku di Masjid Nabawi ini. Saqifah Bani Sa'idah merupakan tempat penting dalam sejaran umat Islam. Kawasan ini berkait dengan sejarah pembai'ahan Kalifatul Muslimin Siyyidina Abu Bakar As-Siddiq (ra) setelah kewafatan Nabi Muhammad (saw). Kawasannya ditutup buat masa ini untuk kerja2, walau bagaimanapun kita masih boleh melihat sebuah pokok yang dikatakan tempat berlakunya bai'ah itu.

Setelah itu kami di bawa ke Dataran Yamamah iaitu satu lagi tempat bersejarah. Di sini di dirikan bangunan sebagai tanda tempat solat di luar masjid ketika zaman pemerintahan 3 khalifah yang pertama. Solat di luar masjid dilakukan bagi solat tertentu seperti solat hari raya aidil Fitri dan Aidil Adha. Sebab itu ada tempat2 masih melaksanakan solat di kawasan lapang bagi solat hari raya. Di kawasan ini banyak sekali burung merpati mungkin kerana itu ia dinamakan  yamamah iaitu burung merpati.

Selepas itu kami semua bergambar di hadapan Dataran Yamamah. Kami juga memasuki sebuah muzium iaitu muzium pembangunan Masjid Nabawi. Untuk memasuki muzium in perlu ada bayaran tetapi ada seorang jemaah yang sponsor semua untuk masuk. Dalamnya ditunjukkan bagaimana pembangunan yang berlaku di Masjid Nabawi sejak dari awal pembinaannya oleh Rasulullah sendiri bersama para sahabat dari kaum muhajirin dan ansar. Banyak sekali ilmu yang diperolehi dari lawatan ke muzium ini. Jika ada kesempatan ke sana, jangan lupa untuk melawat muzium2 yang ada di sekitar Masjid Nabawi. Sebelum umrah kali ini aku pernah melawat muzium Al-Quran dan Muzium Haramain juga.

Pada waktu Asar, sewaktu menunggu2 azan, tiba2 aku terperasan orang di sebelah aku ni seperti dikenali. Terus aku menegurnya, rupanya2 jemaah surau di kawasan rumah aku. Dia juga pernah bekerja di USM dah dia kenal juga dengan puan isteri. Satu keajaiban tu bila boleh jumpa orang yang dikenali secara tidak sengaja.   

Di sebelah petangnya ada pula program tazkirah oleh Ustaz Fauzan di hotel selepas Asar hingga hampir waktu Maghrib. Sebenarnya aku puasa pada hari itu dan aku risau juga sebab nak cari tempat untuk berbuka di dalam masjid. Kalau lambat takut penuh. Tapi itulah satu keistimewaan berada di tanah haram ini jika kita memikirkan betul2 banyak sekali perkara yang Allah mudahkan untuk kita. Walaupun agak lambat sampai ke masjid masih ada ruang untuk berbuka. Suasananya hanpir sama seperti di Masjidil Haram. Ada kurma, yogurt, roti dah air teh. Kenyang sampaikan tak perlu cari makan untuk malam dah. Kalau di negara kita mana mungkin kenyang, itulah barokah bumi Madinah!     

Selesai Maghrib aku ke sekitar pintu 19 untuk mencari Kuliah Dr Ariful Bahri. Dr Ariful Bahri ini merupakan salah seorang yang telah diberi keizinan untuk menyampaikan kuliah di Masjid Nabawi dalam Bahasa Indonesia. Beliau merupakan pelajar cemerlang Universiti Madinah tamat PhD atau dalam Indonesia disebut juga S3. Sebelum beliau ada juga Dr Abdullah Roy juga dari Indonesia (aku sedang mengikuti kuliah Halaqah Silsilah Ilmiahnya secara online) dan Dr Mahmood Timbalan Reaktor Universiti Islam Madinah yang berasal dari Kedah, Malaysia . Sedap betul mendengar kuliah beliau, hingga 2 malam aku mengikuti kuliahnya. Bila balik ke Malaysia aku juga mencari2 kuliahnya yang selalu ada livenya. 

Setakat ini sahaja dahulu catatan kali ini kerana sudah agak panjang. Apa yang penting di tanah haram sana, rebutlah peluang menambah2 ilmu syari'e. 

Isnin, Februari 26, 2024

Akhirnya Bertemu Pakcik Yang Terjumpa Di Mekah

Assalamualaikum semua. Pagi ni nak buat catatan berkenaan aktiviti hujung minggu baru ni. Apa pun catatan ini berkaitan juga dengan peristiwa aku terjumpa pakcik yang aku rasa aku kenal di Mekah tetapi aku tersilap. Hujung minggu ni wife tak balik ke Penang kerana Aku dan Eryna yang akan ke Putrajaya dan KL. Pada yang tidak tahu aku dan wife dalam PJJ sekarang ni. Dia bekerja di Putrajaya dan aku pula di Penang. Mungkin siapa yang biasa baca blog ni tahu sebab ada beberapa kali juga aku menerangkan perkara ini. Apa pun doakan kemudahan kehidupan kami sekeluarga. Hari Khamis malam aku dan Eryna bertolaklah dengan menaiki bas. Lama juga tidak menaiki bas. Dalam bas sedap sahaja tidur, sedar2 dah sampai ke Putrajaya Sentral awal paginya. Hari Jumaat tu kami check in Hotel Everly sahaja yang senang di Putrajaya. Nak makan pun boleh jalan kaki ke Alamanda.

Keesokan harinya selepas bersarapan di Putrajaya kami ke Gombak dengan menaiki kereta. Dah pesan kat wife untuk ingatkan untuk ke surau waktu Zohor nanti sebab nak try cari pakcik yang aku jumpa kat Mekah. Sampai di Gombak borak2lah dengan mak sambil pekena pengat pisang dan pisang goreng. Sampai waktu Zohor aku pun ke surau. Direzekikan ada pakcik tu tapi aku ada risau2 juga takut salah orang. Selepas selesai solat aku pun terus meluru kepadanya dan bertanya sama ada dia ada ke Mekah ke baru ni, dan dia cakap ada. Dia pun rasanya masih ingat pertemuan di Mekah tu. Selepas sembang2 sikit aku pun minta nak bergambar dengan dia sebab nak tunjuk kat mak. Rezeki betul dapat menyantuni kawan2 abah rahimahullah sewaktu hayatnya. Bila ditunjukkan gambar pakcik ni mak pun kenal cuma nama mak tak berapa pasti, ada juga pernah datang ke rumah dulu2. 

Petang tu pula kami check in di Hotel Tamu di Kampung Baru. Antara hotel favorite ni sebab senang ke masjid dan banyak tempat makan dekat2 selain itu boleh mengimbau kenangan juga Kampung Baru ni. Antara peristiwa yang tak boleh lupa ialah bila tayar motor pancit dan ada orang membantu tanpa meminta balasan. Kedai tutup masa tu sebab hari Ahad. Boleh jadi 1 pos tu kalau nak dibuat catatan. Selepas check in kami ambil Grab ke Sogo. Saja shopping2 sikit, dia oranglah yang membeli kita dapat suasana sahajalah. Balik dah penat dan dah malam. Last2 duduk di Kg Baru tapi tak sempat pun nak makan2 kat situ. Cuma Subuh esoknya dapat juga merasa ke Masjid Kg Baru. Suka sangat vibe masjid, jemaahnya ramai dan sound system dia bagus mirip seperti di Madinah. Cuma yang aku agak kurang setuju ialah ada amalan2 yang nabi ﷺ tidak contohkan tetapi ditambah2. 

Esonya selepas sarapan di hotel, terus ke Hentian Duta untuk balik ke Penang. Tiket jam 11 tetapi basnya 11.40 baru muncul. Inilah satu masalahnya sistem bas, susah nak tepat. Dalam pukul 4PM dah sampai Penang Sentral. Alhamdulillah semuanya smooth sahaja.

Rabu, Februari 14, 2024

Perjalanan Ke Madinah Menaiki Keretapi Dan Mengunjungi Raudah

Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Hari ini agak kurang sedikit panasnya berbanding hari2 sebelum ini. Sekarang nak sambung kisah Umrah 2024. Ada dah minta sambung lagi kisah pengalaman ini, semoga memberi manafaat dan sebagai pemangkin semangat untuk ke sana jua. Ada yang berkira2 untuk ke sana namun kita sungguh tidak tahu sebesar mana pengorbanan yang Allah mahukan supaya dosa2 kita diampun semuanya, doa2 kita dimakbulkan dan sebesar mana pula ganjaran keseluruhannya apabila sekali kita bermusafir ke kampung asal usul pegangan kita di sana. Salah satu cara kita meningkatkan semangat beribadah ialah dengan mengambil ibrah atau pengajaran dari pengorbanan2 para rasul, para sahabat di sana. Sungguh tidak kita mampu untuk berkorban sebagai mana kita berkorban. Dengan sedikit pengorbanan kita untuk ke sana mudah2an sampai ketikanya nanti kita dapat bertemu para nabi dan penolong2nya di syurga yang kekal. Sungguh dunia ini adalah sekejap dan sementara.

Kali ini perjalanan kami ke Madinah adalah dengan menaiki keretapi laju. Ini satu pengalaman baru bagi aku kerana sebelum ini semuanya adalah dengan menaiki bas. Perjalanannya mengambil masa 2-3 jam. Di antara Mekah dan Madinah keretapi ini akan berhenti sekali sahaja di Jeddah. Stesen keretapi sangat luas dan kualitinya seperti di airport yang besar2. Sesampai sahaja di stesen keretapi masing2 agak kelaparan jadi yang paling sesuai pada ketika itu ialah Subway, terpaksalah makan juga walaupun sedang dalam mode boikot kerana darurat. Kalau tak makan jenuh nanti lapar menunggu makan malam.

Keretapinya sangat selesa, lebih kurang seperti ETS suasana di dalamnya. Ramai yang teruja di awal perjalanannya kemudian terlentok tidur kerana kepenatan. Sebelum meninggalkan Mekah wajib bagi orang yang bermusafir melaksanakan tawaf wida. Lokasi tawaf bagi orang yang tidak memakai ihram adalah di bahagian atas dan lingkung pusingannya jauh berbanding tawaf di dataran kaabah. Ini adalah peraturan baru yang ditetapkan. Sebelum2 ini boleh saja tawaf di dataran walaupun tanpa ihram. Ramai yang kepenatan dan ruang masa perjalanan yang selesa menjadi ruang untuk melepaskan lelah.   

Sesampai ke hotel di Madinah ada antara jemaah yang kurang berpuas hati dengan hotel. Di dalam iklan telah dijanjikan hotel tertentu atau setaraf, tetapi dapat hotel lain kerana katanya ada kekangan oleh pihak hotel. Jenuh juga pihak pengurusan cuba untuk berbincang menyelesaikan masalah ini. Kami pun mulanya kurang berpuas hati tetapi bila pihak pengurusan menyatakan hotel kami adalah setaraf dengan hotel yang diiklankan jadi mahu tidak mahu redha sahaja. Jika berlebih2an takut2 lari lari tujuan asal kita untuk beribadah. Walaupun disediakan 3 kali makan di hotel ini kami kurang makan makanan yang disediakan kerana kekangan tempat. 

Satu perubahan ketetapan lagi ialah berkenaan cara untuk masuk ke Raudah, bagi yang datang dengan visa umrah telah diperuntukkan untuk masuk sekali ke Raudah secara muassasah iaitu berkumpulan. Orang lelaki diberitakan dapat turn jam 1 pagi, maknanya kami ada beberasa jam untuk rehat. Aku dah kunci jam awal2 takut terlepas. Bukan senang nak dapat jadi kena azam betul2. Ada juga jemaah yang terlepas kerana tertidur. Once dah masuk ke dalam secara group mana yang tertinggal tidak boleh masuk lagi kecuali menggunakan apps Nusuk. 

Masuk ke Raudah satu yang diperhatikan ialah kedudukan kita. Seboleh2nya beradalah di bahagian hadapan sedikit untuk solat, kalau tak dapat mulanya bila orang dah di arahkan keluar ganti tempat yang di depan. Berdoalah di dalam sujud yang terakhir kerana ada hadith menunjukkan saatnya kita paling dengan Allah adalah ketika sujud. Satu lagi kalau tidak solat, walaupun berdoa selepasnya berkemungkinan besar kita akan diarahkan keluar kerana dianggap telah selesai. Berdoalah memohon segala2nya di dalam sujud akhir itu. 

Selesai di Raudah aku dah terpisah dengan jemaah2 lain. Aku ambil keputusan untuk masuk ke kawasan makam Rasulullah untuk memberi salam kepada Rasulullah. Ada lafaznya yang shahih seperti yang di ajarkan oleh Ustaz Dr Ariful Bahri. Siapa ustaz ini? Nanti insyaAllah aku buat catatan berkenaan Dr Ariful Bahri pula. Setakat ini dulu catatan ini.    

Khamis, Februari 08, 2024

Pertama Kali Mencuba Nasi Unta

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini telah ditetapkan oleh kebanyakan negara Islam sebagai hari ulang tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj. Walau bagaimana pun tarikh ini sebenarnya tidak disepakati oleh para ulama ada yang mengtakan tarikh yang sebenarnya adalah tarikh yang lain, begitu juga tentang tarikh kelahiran Nabi ﷺ. Di antara sebab perselisihan ini adalah kerana pemahsyuran kalendar Islam (Hijri) hanya di tetapkan pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Nabi ﷺ dan para sahabat tidak merayakan kedua2 peristiwa ini dan tiada amalan khusus bagi kedua peristiwa ini. Cuma kita sebagai umat Islam perlu mengimani berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj ini sebagai mana Saidina Abu Bakar As-Siddiq membenarkannya tanpa ada sedikitpun keraguan. Di antara pengajaran yang boleh kita ambil ialah betapa tingginya nilai solat berbanding amalan2 lain, hanya solat sahaja yang disyariatkan ketika Nabi ﷺ bertemu Allah Azza wa Jalla di Sidratul Muntaha iaitu selepas lapisan langit ketujuh. Seterusnya kita mengharapkan setinggi itu jugalah kedudukan orang yang solat berbanding orang yang tidak solat. Semoga kita sentiasa memberatkan ibadah solat sepanjang hidup kita sebagaimana Nabi ﷺ memberatkannya.

Sambung catatan dari siri catatan Umrah 2024 berkenaan pengalaman di sana. Di antara perkara yang menarik perhatian aku di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ialah adanya ruang untuk berbuka bagi orang berpuasa berbuka pada hari Isnin dan Khamis. Kejadian yang aku kongsikan ini berlaku pada hari Isnin di Masjidil Haram sehari sebelum kami meninggalkan Mekah untuk ke Madinah. Biasanya jika tiada kekangan yang besar baguslah untuk kita mengambil peluang berpuasa Isnin dan Khamis ketika berada di Tanah Haram, semoga Allah menerima ibadah kita dengan pahala yang besar. Umrah kali ini kami diketuai oleh mutawif yang agak muda jadi banyaklah perancangan2 aktiviti yang tiada dalam aturan perjalanan. Salah satu darinya ialah ke kedai makan untuk makan nasi unta. Asalnya mereka bercadang untuk makan pada hari Adah tetapi ditunda pada hari Isnin. Pada aku rezekilah sebab boleh buat dikirakan sebagai berbuka yang beratlah. 

Berbuka yang awal hanya ringkas sahaja di masjid. Penganjur akan membentangkan plastik panjang sebagai saprah dah orang yang berbuka dibekalkan dengan kurma, air zamzam, air teh, roti dan yogurt masam. Aku sebenarnya dah standby air mineral takut2 tak jumpa tempat berbuka beramai2 ni. Tempat aku berbuka di rooftop Masjidil Haram, kena naik eskelator 3 tingkat. Walaupun tujuannya adalah untuk orang berbuka namun mereka tidak pula melarang orang yang tidak berbuka mengambil tempat. Siapapun boleh join selagi masih ada ruang. Secara tidak langsung ini menggalakkan orang untuk berpuasa sunat juga. 

Selesai solat Maghrib sementara menunggu Isya' aku join kuliah pengajian. Walaupun tak faham sepenuhnya namun mudah2an kita akan dapat fadilat menyertai majlis ilmu. Dalam mendengar kuliah itu aku suka memperhatikan orang2 di sana. Ada yang mencium2 (bau) sejenis tumbuhan. Tak pasti tumbukan apakah itu, nampaknya seperti ada bunganya. Kemudian ada juga yang menghidangkan kopi berempah. Ada juga yang mengedarkan timun dan carrot yang telah dipotong2. Ada yang membagi2 kurma. Macam2 cara orang buat untuk bersedekah. 

Selesai solat Isyak mana yang nak join makan nasi unta telah berkumpul di tempat menunggu bas. Perjalanannya tidaklah jauh. Sampai di kedai kami duduk berasingan antara lelaki dan perempuan, kemudian dihidangkanlah dengan nasi arab dengan lauk daging unta. Sebelum itu telah disediakan sup unta secawan seorang. Sedap juga supnya. Disebabkan perut yang lapar makan secara automatik makanan yang dihidangkan menjadi sedap, mungkin juga berkat makan di tanah haram. Satu dulang nasi dan daging unta boleh dimakan dalam 4/5 orang. Ada juga yang makan nasi dengan kepala kambing, yang ini pun aku dapat rasa kerana ada yang mempelawanya. Semuanya adalah satu pengalaman baru bagi aku. 

Selesai makan ada sesi kuliah oleh Ustaz Fauzan dan Ustaz Farhan, berbaloi2 umrah kali ini kerana banyak juga sesi2 perkongsian ilmu di sepanjang kami di sana. Ini adalah antara apa yang aku suka. Sehingga balik ke Malaysia kami yang masih lagi berada dalam grup WA, sekali sekala Ustaz Farhan Abu Furaihan akan share link kuliah live beliau di Instagram dan ada juga yang aku join. Kalau ada yang nak join follow di instagram.com/farhanabufuraihan. 

Jumaat, Februari 02, 2024

Mewakafkan Al-Quran Di Masjidil Haram Atau Di Masjid Nabawi

Assalamualaikum, selamat bertemu lagi dalam catatan yang masih dalam siri catatan Umrah 2024. Catatan kali ini cuma nak kongsikan berkenaan amalan mewakafkan Al-Qur'an untuk pembaca Al-Qur'an di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sebelum kita nak mewakafkan Al-Quran kita kena tahu beberapa perkara kerana kita mungkin 'tertipu' atau 'sedikit tertipu' jika kita tidak faham mengenainya.

Pertamanya Al-Quran yang berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah standard. Al-Quran yang digunakan adalah dari satu kilang Al-Quran di Madinah. Jadi untuk mewakafkan Al-Quran kena pastikan kita beli Al-Quran yang mereka terima. Al-Qur'an lain akan dikeluarkan dari masjid dan aku tidak tahu ke mana ia akan diletakkan. 

Al-Quran di kedua2 masjid akan dicop sebagai wakaf, jika tidak dicop berkemungkinan juga akan dikeluarkan dari masjid. Jadi di mana nak dapatkan Al-Quran yang diterima ini? Kena dapatkan di kedai buku agama. Biasa nampak orang menjual Al-Quran yang mirip sama tetapi dijual di perkarangan masjid sebenarnya cetakan ini tidak diterima kerana bukan standard. Kalau untuk peribadi tiada masalah cuma untuk wakaf kena dapatkan naskah mushaf Madinah yang diterima. 

Kita boleh semak pada helaian pertama selepas kulit luar, ada seperti kalimah2 tertentu bila dilihat pada cahaya. Ada 3 jenis Al-Quran paling biasa dalam masjid iaitu kulit hijau resam ustmani saiz kecil, kulit biru tulisan lama (biasa orang Pakistan/ India guna) saiz kecil dan kulit biru resam ustmani saiz besar. Paling biasa orang guna ialah yang warna hijau saiz kecil tu, jadi kalau nak wakaf bagus ambil saiz ini. Harga senaskah adalah dalam SAR40-SAR45.

Kepada yang nak beli untuk dibawa balik atau untuk hadiah aku sarankan belilah yang original Mushaf Madinah ini kerana kualiti cetakannya sangat baik dan kertas yang digunakan pun nipis dan bagus. 

Selasa, Januari 30, 2024

Secebis kisah di Mekah

Assalamualaikum dan selamat pagi, semoga sentiasa dalam rahmat Allah azza wa jalla. Sejak balik dari umrah aku telah ditugaskan untuk memantau proses instalasi dan setting komputer untuk mesin2 fotostat baharu di tempat kerja. Jadi memang dari awal pagi sampai ke petang tak ada masa nak menulis dan ia memakan masa berhari2. Ingat nak buat beberapa catatan berkenaan sepanjang permusafiran ke tanah haram. Takpa slow2 aku cuba update. Malam pula agak kurang upaya kerana kesihatan tak berapa nak tiptop pula. Badan rasa lemah2 dan batuk serta sakit tekak melanda. Lantaran itu nak bw pun kurang kesempatan.

Curi ruang masa sedikit pagi ini untuk update secebis kenangan singkat di Mekah. Masa itu aku dan isteri baru nak keluar dari Safwah Tower. Safwah Tower ini terletak di sebelah kanan Clock Tower atau Zamzam Tower. Di sini ada banyak kedai2 untuk shopping dan rasanya harga lebih murah berbanding di tempat lain di Mekah. Kat sini sempatlah aku membeli satu kurta dan beli jubah untuk anak di rumah. 

Sewaktu nak keluar dari Safwah Tower aku terserempak dengan seseorang yang aku rasa agak biasa jumpa tetapi tak berapa ingat. Memory aku ni macam dah semakin merosot aku rasa akhir2 ni. Rupa macam kenal tapi tak ingat kat mana. Aku tegurlah dia. Bila sebut nama surau & lorong rumah dia macam blur sebab aku ingatkan geng surau kat rumah aku. Tapi pelik bila dia kata dia kenal abah رحمه الله. Bila dah balik dari umrah aku duk cari2 pakcik tu kat surau tapi tak jumpa. Last2 baru terfikir pakcik tu jemaah surau yang mana abah  رحمه الله selalu pergi sewaktu hayatnya. Aku pun sekali sekala balik kampung akan ke surau itu juga dan mungkin di situlah aku cam pakcik tu. 

Nanti bila balik kampung nak try cari pakcik tu kat surau. Itulah sedikit kisah di tanah haram yang biasa2 sahaja. Tapi bila fikir2kan boleh menitik air mata. Aku tak sempat pula nak ambil gambar dengan pakcik tu.

Khamis, Januari 25, 2024

Mengerjakan Umrah

Assalamualaikum kepada semua. Tengah hari ni nak sambung catatan berkenaan pelaksanaan umrah di Masjidil Haram. Boleh tengok catatan sebelum ini untuk perjalanan ke tempat yang paling mulia iaitu Mekah.  Hari ni Penang bercuti khas kerana Thaipusam (satu perayaan orang Hindu). Adalah masa rehat sehari. Sebenarnya 2 hari masuk kerja masih lagi terpinga2, satu mungkin sebab jetlag dan satu lagi rasa banyak sangat hilang memory waktu berada di sana. Di sana memang tak fikir banyak pasal hal di Malaysia. Kerjanya tengok masa supaya boleh spend banyak masa di masjid. 

Setelah bersarapan pagi tu, kami pun berkumpul di lobi hotel untuk bersama2 melaksanakan umrah. Bagi first timer dinasihatkan betul2 ikut time supaya dapat ikut mutawif setiap masa. Bagi yang dah berpengalaman tiada masalah sangat cuma kena study dan faham tentang aturan pelaksanaan umrah lebih awal. Kalau nak cari panduan disarankan dapatkan panduan dari ustaz yang betul2 ikut kaedah nabi saw kerana memang sepatutnya kita ikut cara nabi tanpa ada penambahan suatu apa pun. 

Semuanya bermula dengan doa melihat kaabah seterusnya memulakan tawaf. Pada mulanya memang aku dan isteri ikut ustaz yang memimpin tetapi kami berpisah untuk buat secara sendiri. Berada dalam satu group menyebabkan fokus kita lebih untuk memastikan kita bersama dalam group sedangkan masing2 ada misi yang lebih utama. Dalam tawaf tiada bacaan khusus yang perlu dibaca kecuali Allahuakbar atau Bismillahi Allahuakbar ketika di sudut Hajar Aswad. Selain itu bacaan antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad ialah Rabbana atina fiddunya hasanah hingga habis. Setelah selesai 7 pusingan kita disunatkan solat di belakang Makan Ibrahim. Jangan silap ini bukanlah tempat kuburnya Nabi Ibrahim tetapi tanda tempat berpijaknya Nabi Ibrahim as ketika membina kaabah. 

Selesai solat kami berehat seketika dan disunatkan juga untuk minum air zamzam sebelum bersai di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Agak lelah juga untuk berlari2 anak dalam kawasan yang telah ditentukan, selebihnya kami berjalan dengan laju. Penting untuk orang nak berumrah atau haji untuk sentiasa selalu praktis berjalan laju dengan jarak yang panjang supaya bila di sama kita lebih fit. Selain dari ibadah umrah memang kita akan banyak berjalan untuk masuk dan keluar dari masjid, laluannya sentiasa berubah dan selalu kita akan terpaksa ikut jalan yang jauh. 

Disebabkan kami melaksanakan umrah pada hari Jumaat maka kami cuba menyelesaikannya secepat mengkin kerana orang akan bersedia untuk solat Jumaat seawal jam 9 pagi. Selesai bersai, aku terus mencari kedai gunting. Wife bertahalul dahulu untuk menyelesaikan umrah. Alhamdulillah jumpa kedai gunting di bawah zamzam tower. Dalam umrah sebelum ni aku bertahalul jauh dari masjid. Selesai membotakkan kepala berulah rasa lega kerana ibadah umrah telah selesai. Semoga Allah menerima umrah kami. Setelah itu aku terus menapau nasi beriyani ayam kerana pakej umrah ini tidak termasuk makan tengah hari dan malam. 1 portion cukup untuk makan berdua. Harga untuk satu pack adalah SAR18.

Bergegas balik ke hotel untuk makan, mandi dan tukar memakai pakaian biasa. Solat Jumaat hanya dapat di luar masjid kerana di dalam telah penuh pada hari itu. Nanti dalam catatan seterusnya aku akan pos berkenaan Solat Jumaat di Masjid Nabawi pula. 

Selasa, Januari 23, 2024

Perjalanan ke Mekah

Assalamualaikum dan selamat pagi. Bertemu semula selepas 2 minggu menghilang dari radar blog. Pada catatan sebelum ini ada aku maklumkan yang aku akan berangkat untuk mengerjakan umrah di Mekah seterusnya ke Madinah. Agak kabur juga bagaimana untuk membuat catatan perjalanan menjadi tetamu Allah kali ini apa pun akan aku cuba ceritakan bermula dari perjalanan pergi hingga ke perjalanan balik. Banyak sekali perkara yang boleh dibuat catatan namun aku rasa aku cuma akan buat catatan ringkas bagi perkara2 penting sahaja. Jadi pembaca semua bersedialah untuk membaca catatan perjalanan ini. Semoga perkongsian ini ada manafaatnya di samping memotivasikan diri untuk berusaha mengerjakan umrah juga.

Dari segi persediaan aku rasa perjalanan kali ini yang paling kalut sekali sebab biasanya aku dan isteri akan plan bersama tapi disebabkan puan isteri bekerja di Putrajaya makanya banyak perkara perlu disediakan sendiri2. Alhamdulillah semuanya ok, aku bawa sedikit sahaja pakaian kerana perancangannya apa yang boleh dibasuh akan dibasuh sendiri, jadi boleh ulang2 pakaian di sana. Kalau tak cukup boleh dibeli di sana. Penerbangan dari KL ke Jeddah adalah pada 11 Januari. Puan isteri sampai ke Penang pada awal pagi 10 Januari. Pagi 10 Januari itu kami berangkat ke Putrajaya dan bermalam dahulu di Hotel Everly. Jadi wife punya preparation beg memang last minit sangat ditambah pula dengan isu ketiadaan air di seluruh Penang pada hari itu.

Tengah hari 11 Januari itu kami telah tiba di KLIA dengan Grab dari Putrajaya. Malas nak susahkan sapa2 lagi waktu orang bekerja masa tu. Seperti biasa perkara yang paling mendebarkan kami ialah semasa nak lepas dari imigresen kerana aku perlukan pelepasan khas untuk ke luar negara. Entah sampai bila masalah ini akan berlaku pun aku tak tahu. Proses yang sepatutnya beberapa minit sahaja akan jadi hampir satu jam. Sebab tu kami plan untuk melepas imigresen awal selepas check-in beg. Bila dah lepas tu lega sangat dan terpaksa bergegas pula untuk solat dan menukar ihram. Plan untuk makan dahulu jadi tak sempat. Puan isteri yang ada diabetik akan jadi masalah bila makan tak ikut time ni. Terpaksalah makan apa yang ada sahaja iaitu biskut. 

Perjalanan ke Jeddah adalah lancar. Perjalanan terasa pendek sahaja kerana banyak tidur sepanjang perjalanan kerana dah berletih2an sebelumnya. Makanan yang dihidangkan memang licin selalu. Sesampai ke Jeddah kami terus menaiki bas menuju ke Hotel Movenpick dan tiba jam 1.30 pagi. Disebabkan ramai jemaah yang tua dan berkerusi roda, mutawif mencadangkan umrah dilakukan pada sebelah pagi setelah Subuh dan sarapan. Antara sebabnya ibadah lebih selesa dan lebih bertenaga untuk melakukannya. Nanti sambung catatan berkenaan pelaksanaan umrah, InsyaAllah.