Assalamualaikum dan selamat petang. Di kesempatan waktu selepas Asar sambil menunggu-nunggu waktu Maghrib ambil kesempatan sedikit untuk membuat catatan pada blog ini. Catatan kali ini adalah berkenaan projek diy untuk memperelokkan kasut yang sudah agak lama. Lamanya kasut ini sampaikan warnanya sudah pudar seolah-olah warnanya telah luntur.
Dalam dua minggu yang lalu entah macam mana telah tiba-tiba teringin nak pakai kasut yang satu ini. Kasut ini sejarahnya ia dibeli sewaktu melancong ke Spain suatu masa dahulu. Kasutnya adalah kasut kulit suede jenis brogue berwarna hitam. Suede ini adalah kulit terbalik, teksturnya seperti menggurutu sedikit dah tidak licin seperti kulit biasa. Bila dah dipakai tiba-tiba terfikir untuk mencari jika ada dye yang boleh digunakan untuk menghitamkan semula kasut yang telah pudar. Bila dicari-cari rupanya ada! Apa sahaja yang tidak ada sebenarnya, bila ada platform shopping online ni macam-macam benda boleh dibuat sendiri. Aku pun beli dua botol kerana ingatkan tak cukup rupanya satu botol telah cukup untuk sepasang kasut. Tidak mengapa kerana sebotol lagi boleh disimpan untuk keperluan akan datang.
Cara menggunakannya mudah sahaja, bersihkan dahulu kasut kemudian sapukan dye yang berasaskan alkohol ini merata di setiap tempat. Berus kecil telah dibekalkan sekali jadi tidak perlu risau untuk cari atau beli berus pula. Setelah selesai jemur sekejap kasut dan hasilnya lumayan berbaloi. Boleh lihat gambar-gambarnya di bawah.
Sementara itu sambil-sambil membuat catatan ini sedang mengikuti kajian berkenaan hukum qada solat malam. Nabi saw jika tertinggal solat malam nabi saw akan mengqadakannya dalam waktu dhuha. Disebabkan solat malam nabi saw adalah 11 rakaat jika mengaqakannya, jumlah rakaat ditambah 1 rakaat menjadi 12 rakaat kerana solat sunat diluar waktu malam adalah genap jumlahnya. Wallahu 'alam.













