Uthmaniyah letak asas perkembangan Islam di Cyprus

TENTERA Uthmaniyah digeruni kerana semangat jihad menjulang panji Islam. Mereka mempunyai kemampuan tempur yang tinggi, perancangan bijak dan kelengkapan terbaik yang membawa kemenangan kepada Turki dalam usaha meluaskan empayarnya.

Muhammad Al-Fatih adalah sultan Uthamaniyah pertama merintis kemenangan dalam pertempuran di laut apabila baginda mengerahkan armada dengan kekuatan 180 kapal perang dari Gallipoli menuju Laut Aegean pada 1456.

Sejarah Cyprus dan Turki bermula sejak 1570 dan pendaratan tentera Turki di pantai pulau itu pada 20 Julai 1974 adalah satu rahmat bagi lebih 200,000 rakyat Cyprus Utara berketurunan Turki.

Etnik Greek, Greek Cypriot melancarkan kempen Enosis yang menyaksikan gerakan penghapusan etnik bagi mewujudkan sebuah negara Cyprus yang bersatu dengan Greece.

Kedatangan tentera Turki ibarat doa yang dimakbulkan Tuhan kerana kesengsaraan selama sedekad dirasakan etnik Turki, akhirnya selesai dengan campur tangan kerajaan itu. Sekali gus memisahkan Cyprus kepada dua entiti,
utara dan selatan.

Girne Kapisi atau Kyrenia Gate menyaksikan seribu satu detik peristiwa sehingga terbentuk negara republik yang muda, kerajaan merdeka Republik Turki Cyprus Utara tanggal 15 November 1983.

Kisah lama berpalit darah dan air mata empat dekad lalu masih segar dalam ingatan warganya yang menyaksikan ribuan etnik Greek menyeberangi sempadan ke Cyprus Selatan selepas pulau itu dibahagi dua.

Tindakan sama dibuat etnik Turki yang berhijrah ke utara untuk memulakan kehidupan baru lebih aman.

Hari ini negara kecil yang terpinggir itu berusaha mendapat pengiktirafan dunia dan pada masa sama berhasrat untuk turut menyertai blok ekonomi Eropah.

Sejak kurun keenam dan ketujuh hijrah, tasawuf mengambil tempat dalam kehidupan umat Islam hingga menjadi falsafah hidup yang diamalkan secara individu pada mulanya dan perlahan-lahan berkembang sebagai organisasi di serata dunia Islam.

Jika di Libya dan Afrika Utara kelompok tarikat muncul sebagai kumpulan pejuang menentang penjajahan Eropah, di Cyprus pula tarikat Maulawiyah menyumbang kepada pembangunan sosial dan kebajikan masyarakatnya.

Generasi tua Cyprus masih mengingati detik bersejarah sekitar tahun 50-an ketika penduduk pulau itu mengangkat senjata cuba mengusir penjajah British.

Oleh itu, keamanan hari ini mahal nilainya bagi generasi baru Cyprus Utara kerana walaupun konflik 11 tahun antara etnik Turki dan Greek berakhir, hubungan antara dua wilayah yang berkongsi pulau Cyprus masih terasa tegangnya.

Sebagai negara republik demokratik yang sekular, majoriti penduduk Cyprus Utara adalah Muslim, hasil sejarah, budaya dan bahasa yang dikongsi bersama masyarakat tanah besar Turki.

Sejarah kehadiran tentera Uthmaniyah memasuki Lefkosa pada 1570 menamatkan zaman penindasan rakyat oleh Venetian akan terus dikenang. Begitu juga pemberontakan orang Greek terhadap kerajaan walaupun ia tidak seburuk konflik etnik 1963 lalu.

Peninggalan kesan sejarah di pulau Cyprus Utara ternyata membawa peringatan dan pengajaran agar kejadian lalu dikenang bagi mengelak kesilapan daripada berulang.