Ayat 87
وَلَقَد ءَاتَينَا موسَى ٱلكِتَـٰبَ وَقَفَّينا مِن بَعدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَءَاتَينَا عيسَى ابنَ مَريَمَ ٱلبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدنَـٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ استَكبَرتُم فَفَريقًا كَذَّبتُم وَفَريقًا تَقتُلونَ
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
Kitab utama Bani Israil adalah Taurat, banyak rasul dan nabi diutuskan kepada Bani Israil setelah Nabi Musa as. Mereka sangka mereka istimewa kerana diutuskan banyak rasul dan nabi sebenarnya mereka banyak kali diberi peringatan untuk kembali kepada kebenaran kerana mereka banyak masalah dalam beragama. Sehinggalah diutuskan Nabi Isa iaitu nabi terakhir dari Bani Israil.
Walaupun Nabi Isa as diberikan kitab Injil tetapi syariat yang dibawa adalah syariat Nabi Musa as. begitu juga Nabi Daud as yang diberikan Zabur tetap membawa syariat Nabi Musa. Zabur dan Injil ini melengkapkan apa yang ada di dalam Taurat, juga sebagai peringatan kepada Bani Israil. Nabi Isa as ialah satu-satunya manusia yang dibinkan kepada ibunya Maryam kerana tiada ayah (kecuali Nabi Adam as). Tidak sepatutnya orang lain yang mempunyai bapa dibinkan atau dibintikan kepada ibunya.
Ayat ini ditujukan kepada Bani Israil di zaman Rasulullah saw, juga sebagai pengajaran buat kita. Sedangkan Nabi Isa as yang dari keturunan mereka pun mereka tolak apatah lagi nabi dari keturunan lain. Di zaman Nabi Isa, Bani Israil menolak kenabian Nabi Isa kecuali sedikit yang disebut sebagai Hawariyyun (Ali-Imran 52), dikatakan yang mengikut Nabi Isa hanya 12 orang sahaja. Kebanyakkan mereka bukan sahaja menolak malah ingin membunuh Nabi Isa as.
Nabi Isa as ditakdirkan tidak mempunyai ayah jadi Allah jadikan Jibril sebagai pembantu rapat Nabi Isa, antara pertolongan Jibril kepada ialah; 1. Nabi Isa dilahirkan dengan tiupan dari Jibril, 2. Jibril memelihara Nabi Isa daripada diganggu syaitan ketika kelahiran, 3. Jibril sentiasa mendampingi untuk mempertahankan Nabi Isa dari kejahatan golongan Yahudi dan 4. Jibril yang mengangkat Nabi Isa ke langit.
Allah menggelarkan orang yang menolak kebenaran sebagai sombong. Ada perbezaan tentang pemahaman perkataan sombong dalam Al-Quran berbanding ertinya dalam bahasa Melayu, songbong dalam bahasa Melayu biasanya dikaitkan dengan orang yang ada kedudukan dan kaya, sedangkan sombong dalam Al-Quran bermaksud menolak kebenaran. Orang miskin dan tiada kedudukan pun sebenarnya sombong apabila menolak ajaran Islam.
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“ (Sahih Muslim no. 91).
Ayat 88
وَقَالُواْ قُلُوبُنَا غُلفُۢۚ بَل لَّعَنَہُمُ ٱللَّهُ بِكُفرِهِم فَقَلِيلاً مَّا يُؤمِنُونَ
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.
Orang Yahudi memberi alasan yang mereka tidak menerima Islam yang dibawa Nabi Muhammad saw adalah kerana hati mereka telah tertutup. Mereka sangka mereka telah cukup ilmu agama jadi tidak perlu lagi belajar isi Al-Quran. Mereka sangka mereka telah pandai ilmu agama dan ilmu Al-Quran hanya untuk orang jahil. Mereka sangka hati mereka telah cukup berada di jalan yang benar dan merasakan ilmu yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw susah difahami.
Allah menyangkal sangkaan-sangkaan mereka dengan mengatakan bahawa sebenarnya mereka tidak menerima Islam yang benar kerana mereka telah dilaknat Allah. Telah terlalu banyak kekufuran yang mereka amalkan dalam beragama. Laknat Allah ini menjauhkan lagi mereka dari kebenaran bahkan mengunci terus hati mereka. Mulanya mereka ragui dakwah, kemudian menolaknya, kemudian menolaknya secara terang-terang dan akhir sekali mereka dilaknat Allah.
Hanya sedikit dari orang Yahudi yang dapat menerima Islam. Dalam Islam sendiri ada yang menolak untuk belajar Al-Quran dengan pelbagai alasan seperti "telah tepu" otaknya untuk belajar, ada juga yang beralasan "belum sampai seru" untuk belajar Al-Quran (mungkin menunggu seruan akhir malaikat maut). Ada juga yang merasakan ilmu yang mereka pegang telah cukup dan telah benar kerana masyarakat ramai yang melakukannya, ada juga beralasan telah tua.
Ayat 89
وَلَمّا جاءَهُم كِتَـٰبٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم وَكانوا مِن قَبلُ يَستَفتِحونَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا فَلَمّا جاءَهُم مّا عَرَفوا كَفَروا بِهِ ۚ فَلَعنَةُ اللَّهِ عَلَى ٱلكَـٰفِرِينَ
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Qur’an), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Qur’an), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.
Kitab di sini merujuk kepada Al-Quran, Bani Israil di Madinah diingatkan sebagaimana mereka beriman Taurat adalah kitab yang diturunkan Allah maka Al-Quran juga kitab yang diturunkan oleh Allah. Dilantiknya Nabi Muhammad saw dan turunnya Al-Quran sebenarnya membenarkan apa yang ada di dalam kitab Taurat dan juga Injil. Mereka sangat mengetahuinya.
Sebelum kedatangan Nabi Muhammad ke Madinah, Yahudi berperang dengan Musyrikin Madinah. Dalam berperang mereka sentiasa berdoa supaya disegerakan kemunculan nabi akhir. Yahudi di Madinah tahu Mushrikin Madinah bersalah dari segi pegangan agama kerana menyembah berhala dengan menjadikan berhala sebagai perantara untuk berdoa. Hakikatnya mereka pun telah banyak menyimpang dari ajaran yang benar.
Yahudi Madinah sangat kenal Nabi Muhammad saw. Dalam surah Al-Baqarah 146 disebut, "Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)."
Mereka ada ilmu tetapi mereka degil untuk menerima kebenaran, mereka tidak sangka nabi akhir datang dari Bani Ismail dan bukan Bani Israil. Mereka pun mengkufurinya walaupun dari segi syariatnya ada perbezaan tetapi dari segi tauhid sama sahaja apa yang di dalam Al-Quran dan dalam kitab terdahulu. Oleh kerana kekufuran mereka maka Allah melaknat mereka.
Laknat Allah kepada seseorang itu ialah dengan; 1. Seseorang itu dibiarkan dalam kekufuran dan kesesatan, 2. Allah tidak memberi ampun kepadanya dengan tidak menggerakkan hati seseorang itu untuk insaf, meminta ampun seterusnya bertaubat atas dosa-dosanya. Perbuatan buruk yang dilakukan dirasakan biasa sahaja. Walaupun ayat ini menceritakan tentang Yahudi Madinah tetapi tentang laknat di luaskan skopnya kepada semua individu yang kufur ingkar.
Ayat 90
بِئسَمَا اشتَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم أَن يَكفُروا بِما أَنزَلَ اللَّهُ بَغيًا أَن يُنَزِّلَ اللَّهُ مِن فَضلِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۖ فَباءوا بِغَضَبٍ عَلىٰ غَضَبٍ ۚ وَلِلكَـٰفِرِينَ عَذابٌ مُّهينٌ
Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
Allah menggunakan perumpamaan "jual-beli" dalam ayat ini kerana apa yang Bani Israil lakukan adalah atas kerelaan; 1. Mereka tukar keampunan Allah dengan neraka, 2. Mereka membeli dunia dengan menjual rahmat Allah, mereka sangka jika mereka masuk neraka pun hanya sekejap. Jual-beli orang mukmin ada 3 seperti disebut dalam Surah Al-Taubah 111 iaitu; 1. Mereka guna harta ke jalan Allah, 2. Mereka berjihad ke jalan Allah dan 3. Mereka membunuh dan terbunuh di jalan Allah.
Bani Israil mengkufuri apa yang diturunkan Allah melalui Al-Quran, mereka tidak mahu mempelajari Al-Quran. Mereka hanya mahu percaya kepada ajaran dari Taurat yang telah terpesong, mereka juga beriman dengan kitab karangan manusia yang bukan dari ajaran yang benar. Mempelajari Al-Quran hukumnya adalah wajib, Al-Quran bukan hanya perlu dipelajari oleh golongan agama atau oleh orang yang telah tahu bahasa Arab sahaja.
Kedegilan Bani Israil menerima kebenaran hanya menyebabkan mereka akan bertemu dengan Allah nanti dengan kemurkaan di atas kemurkaan. Kemurkaan mereka bertalu-talu. Mereka diberi banyak peluang untuk kembali ke jalan yang benar, kemurkaan pertama mereka ialah mereka tidak ikuti kitab mereka dengan sepenuhnya dan kemurkaan kedua mereka menolak terus Al-Quran. Mereka memilih untuk beragama di atas sangkaan dan hawa nafsu.
Kekufuran mereka menyebabkan mereka akan diazab dengan azab yang hina. Orang yang melakukan dosa akan diazab, dan orang yang melakukan dosa kerana "kesombongan" pula akan diazab dengan kehinaan. Hakikatnya apa sahaja azab adalah hina. Azab hina ini tidak khusus buat Bani Israil sahaja tetapi kepada semua yang melakukan dosa kerana kesombongan.
Ayat 91
وَإِذا قيلَ لَهُم ءَامِنُواْ بِما أَنزَلَ اللَّهُ قالوا نُؤمِنُ بِما أُنزِلَ عَلَينا وَيَكفُرونَ بِما وَراءَهُ وَهُوَ الحَقُّ مُصَدِّقًا لِّما مَعَهُم ۗ قُل فَلِمَ تَقتُلونَ أَنبِياءَ اللَّهِ مِن قَبلُ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Qur’an itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.
Pelbagai alasan bani Israil dalam menolak Al-Quran, alasan paling utama mereka ialah mereka telah pun ada Taurat jadi mereka hanya perlu beriman kepada Taurat. Nampak seperti logik tetapi nanti Allah akan bongkarkan pendustaan mereka. Alasan lain mereka ialah nabi Muhammad saw adalah nabi bagi orang Arab sahaja. Mereka telah ada tanggung jawab sendiri melalui kitab Taurat,
Semua ini hanyalah alasan-alasan sahaja kerana kitab Injil juga diturunkan kepada keturunan mereka tetapi tetap juga mereka tolak, nabi Isa as juga merupakan keturunan mereka tetapi tetap juga mereka tolak bahkan cuba dibunuh. Sebelum itu lagi telah banyak nabi dalam kalangan mereka yang telah mereka bunuh seperti nabi Zakaria as dan nabi Yahya as.
Selain itu mereka bukan beriman sangat dengan kitab Taurat itu banyak dalil yang mereka tolak. Dalil bakal munculnya nabi akhir zaman dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil awalnya mereka percaya namun akhirnya mereka menolaknya kerana tidak kena dengan hawa nafsu mereka. Akal bijaksana yang Allah berikan kepada mereka digunakan untuk mencipta alasan dalam menolak kebenaran.
Ayat 92
وَلَقَد جاءَكُم مّوسىٰ بِٱلبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظَـٰلِمُونَ
Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
Allah mengutuskan nabi Musa as sebagai nabi utama bagi bani Israil, mereka beriman kepada nabi Musa dan kitab Taurat tetapi tidak sepenuhnya. Bagi membuktikan kerasulan nabi Musa as banyak pula telah ditunjukkan mukjizat dan peristiwa-peristiwa ajaib ditunjukkan kepada mereka. Apabila telah ada petunjuk yang jelas dan nyata maka yang mengingkarinya ialah orang yang betul-betul degil.
Kitab-kitab yang diturunkan adalah sebagai panduan dan petunjuk supaya memudahkan kehidupan manusia. Ia adalah mudah dipelajari untuk dijadikan peringatan dan pelajaran seperti firman Allah dalam Al-Qamar 17; Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Yahudi di zaman nabi Muhammad saw di Madinah bukanlah Yahudi yang menyembah anak patung lembu, yang menyembah lembu ialah nenek moyang mereka. Mereka mengetahui perkata ini salah tetapi mereka tetap mempertahan amalan salah nenek moyang mereka. Bagi mereka keturunan adalah lebih penting dari kebenaran. Perbuatan mereka ini merupakan perbuatan yang zalim kerana mempertahankan syirik.
Ayat 93
وَإِذ أَخَذنا مِيثَـٰقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما ءَاتَينَـٰڪُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا ۖ قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم ۚ قُل بِئسَما يَأمُرُكُم بِهِ إِيمَـٰنُكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.
Bani Israil diajak untuk mengingat kembali perjanjian mereka taat beriman kepada Allah setelah Allah hampir sahaja menghempap mereka dengan hempapan Bukit Tursina. Setelah sebilangan mereka diberi peluang menyaksikan bagaimana nabi Musa as menerima wahyu di Bukit Tursina seterusnya mereka meminta untuk melihat Allah pula. Ini sungguh melampau. Mereka tidak mahu menerima apa yang Allah sifatkan diriNya dari ayat-ayatNya.
Setiap apa yang telah Allah turunkan perlulah dipegang dengan bersungguh-sungguh walaupun tidak kena dengan selera atau nafsu kita. Apa yang didengari perlu ditaati. Bani Israil bukan sahaja tidak taat malah menjawab "Kami dengar tetapi kami ingkar." Ingkar di sini bukan sahaja ingkar perbuatan malah ingkar di hati-hati mereka. Ada yang beribadah tetapi hati mereka tetap ingkar.
Di hati mereka, mereka masing mengagungkan patung anak lembu. Mereka tidak dapat buang rasa inginkan perantara dalam beribadah kepada Allah. Hati mereka sentiasa condong kepada kesyirikan, bermula dari melihat ada kaum menyembah patung maka mereka pun ingin ada patung mereka sendiri. Mereka tidak minta banyak dari nabi Musa as, mereka hanya minta satu. Jadilah mereka bangsa yang jahil dan bodoh seperti dinyatakan dalam Al-A'raf 138.
Akhirnya Allah minta nabi Muhammad saw sampaikan kepada mereka, mereka sangka mereka beriman sedangkan jika beriman pun teruk sangat iman mereka itu. Jika betul-betul seseorang itu beriman dia tak akan buat begitu. Iman sepatutnya membawa hati kepada perkara yang baik dan sentiasa kembali kepada ajaran yang benar. 'Iman' mereka ikut hawa nafsu, mereka gemar mereka cipta.
Ayat 94
قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwa itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.
Dalam ayat ini Yahudi percaya mereka akan masuk syurga kerena meraka adalah keturunan terpilih. Di kalangan mereka diutuskan nabi-nabi yang banyak. Mereka juga percaya jika mereka dimasukkan ke dalam neraka pun hanya beberapa hari seperti disebut dalam Al-Baqarah 80; Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”.
Jika itu keyakinan mereka, Allah mencabar mereka supaya mintalah kematian sekarang supaya dapat masuk ke syurga itu. Berbeza dengan orang Islam yang beriman, kita yakin dan percaya orang Islam beriman akan masuk syurga tetapi bukan secara individu, setiap individu akan diperiksa amalannya sama ada betul atau tidak. Dalam mengharap untuk masuk syurga kita juga perlu rasa takut dihumbankan ke neraka.
Keturunan tidak dapat menyelamatkan individu, anak nabi Lut as sendiri masuk ke neraka. Ramai di kalangan kita tertipu dengan keturunan, ada yang mengikuti kelompok habib hanya kerana kelompok ini mendakwa (tanpa pasti) mereka adalah keturunan nabi sedangkan dari segi keilmuan dan amalan jauh dari apa yang Islam ajarkan. Mereka hanya mencari populariti atas kebodohan manusia.
Ayat 95
وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.
Kepercayaan Yahudi bahawa mereka akan masuk ke syurga tidaklah hanya angan-angan mereka sahaja, apabila berkaitan dengan mati mereka sangat takut. Jika boleh mereka tidak mahu mati walaupun kononnya mereka bakal penghuni syurga. Allah mengetahui apa di dalam hati-hati mereka, bukan hanya Yahudi zaman dahulu sahaja yang takut mati bahkan sampai ke zaman ini pun mereka takut mati.
Sebenarnya Yahudi takutkan mati kerana mereka tahu dosa mereka terlalu besar dan banyak. Selain mereka banyak dosa mereka juga sedikit amalan dari apa yang disuruh di dalam wahyu. Mereka beramal dengan amalan-amalan palsu. Allah memberi perumpamaan tangan bukan kerana anggota lain tidak melakukan dosa tetapi kerana tanganlah yang paling banyak buat kejahatan. Allah juga gunakan tangan untuk mencela Abu Lahab seperti dalam A-Masad 1.
Allah maha mengetahui kezaliman orang-orang Yahudi, terlalu banyak kezaliman yang telah mereka lakukan dan sedang mereka lakukan. Kezaliman mereka melibatkan 3 perkara utama iaitu; 1. Zalim di dalam hal agama, 2. Zalim dalam akidah, 3. Zalim dalam hubungan sesama manusia. Celaan ini hanyalah supaya orang Yahudi meninggalkan kezaliman mereka dan kembali kepada Islam yang benar. Perasaan yang murni itu boleh dibentuk jika ada kemahuan untuk berubah.
Ayat 96
وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
Allah memberitahu sifat orang Yahudi iaitu sifat tamak mereka kepada kehidupan dunia. Ketamakan mereka melebihi orang Musyrikin Mekah. Jika Musyrikin Mekah tidak percaya adanya kehidupan setelah kematian, Yahudi pula, walaupun percaya adanya syurga dan neraka tetap memilih untuk merebut habuan dunia. Mereka suka berdoa supaya panjang umur agar dapat menikmati kehidupan dunia. Kononnya mereka yakin masuk syurga namun sangat takutkan kematian.
Orang yang beriman dan taat beribadah sepatutnya tidak takutkan kematian, mereka mahu segera bertemu dengan Allah kerana mereka telah menyiapkan bekal untuk akhirat. Orang beriman sentiasa mempertimbangkan nasibnya di akhirat dalam menjalani kehidupan dunia. Dunia tidak sampai menyebabkan mereka hanyut dalam kehidupan seharian mereka, hak-hak Allah tetap ditunaikan dengan taat. Daripada berdoa panjang umur, orang beriman berdoa supaya dimatikan dalam iman.
Orang Yahudi digambarkan sebagai suka untuk hidup 1000 tahun, jika boleh memang mereka mahu. Mereka sangka umur yang panjang dapat menyelamatkan mereka dari siksa neraka. Tiada guna umur yang panjang jika umur itu disia-siakan dengan kemaksiatan kepada Allah. Orang Yahudi sebenarnya mencontohi Iblis dalam memohon dipanjangkan usia seperti dalam surah Al-A'raf ayat 14. Orang beriman diajar supaya berdoa supaya dimatikan dalam pengakhiran yang baik.
terima kasih
BalasPadam