Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 32/40 (Ayat 243-248)
Ruku' 32 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah in berkisar tentang saranan untu berjuanglah di jalan Allah tanpa rasa takut akan kematian kerana tiada jalan untuk melarikan diri daripada kematian, kisah orang Israel meminta seorang raja untuk berperang di jalan Allah dan Allah melantik Talüt menjadi raja mereka.
Ayat 243
۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Ayat ini berhubung dengan peringatan kepada kita semua tentang perangai buruk orang terdahulu yang terlalu takut akan kematian dan meninggalkan perintah jihad. Tidak disebutkan golongan ini dari kelompok mana, tetapi para mufassirin menafsirkan dua kemungkinan, iaitu kelompok yang lari dari medan jihad dan kemungkinan kedua adalah berkaitan dengan kelompok yang lari dari wabak taun yang melanda kawasan mereka. Bertahan dalam kawasan wabak adalah jihad.
BIlangan mereka terlalu ramai; ada yang berpendapat ia mencakupi seramai berpuluh-puluh ribu sedangkan musuh pada ketika itu tidak seramai itu. Tetapi kerana terlalu takutkan mati mereka lari beramai-ramai membiarkan tanah air mereka dirampas. Allah mengingatkan bahawa walaupun mereka menganggap mereka lari dari kematian, sebenarnya kematian tetap sahaja akan berlaku. Malah, kematian kerana jihad adalah mulia. Orang yang syahid dijanjikan syurga.
Berkaitan taun, Nabi ﷺ bersabda; “Ia adalah suatu azab yang Allah utus kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah telah menjadikannya rahmat bagi orang-orang mukmin. Tiadalah seseorang yang ditimpa taun kemudian dia tetap berada di negerinya dengan sabar, mengharapkan ganjaran Allah, serta menyakini bahawa tidak akan menimpanya melainkan apa yang telah ditentukan Allah baginya, melainkan baginya ganjaran syahid.” Kita juga dilarang ke tempat berlaku wabak.
Dalam Surah Ali Imran 156, ada disebutkan tentang perangai buruk orang kafir yang mengatakan kepada saudara mereka yang berjihad dan mati. “Kalaulah mereka bersama-sama kami, tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh.” (Kata-kata yang demikian) menyebabkan Allah menjadikan yang demikian itu sebagai penyesalan dalam hati mereka. Dan Allahlah yang menghidupkan dan mematikan, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” Tiada kerugian buat orang berjihad.
Golongan yang lari dari perintah jihad itu kemudiannya telah dimatikan oleh Allah. Setelah beberapa hari, mereka kemudian dihidupkan semula. Ini adalah peringatan buat kita supaya tidak terlalu takut akan mati, apatah lagi sekiranya pada ketika jihad telah menjadi fardhu ain kepada kita. Urusan kematian adalah urusan Allah; tanpa apa-apa risiko pun, seseorang itu boleh dimatikan. Berusahalah untuk mati dalam kemuliaan dan bukan dalam kehinaan.
Ayat 244
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah; dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Setelah diperingatkan tentang orang yang terlalu takut akan kematian, sanggup melarikan diri dari seruan jihad dalam ayat sebelum ini, kini tibalah masanya untuk berjihad. Jihad yang dimaksudkan di sini adalah jihad berperang di jalan Allah. Disebutkan dengan jihad di jalan Allah adalah kerana ia adalah seruan Allah dan keduanya ia membawa kepada keredhaan Allah. Jihad ini risikonya adalah kematian; jika ia berlaku, kematian itu digelar mati syahid.
Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah itu menjadi tinggi – maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”. (Sahih Bukhari No. 7458). Tujuan jihad adalah untuk meninggikan agama Islam supaya dakwah dapat berjalan, supaya kezaliman dapat dihentikan, supaya syariat Allah dapat ditegakkan dan kaum muslimin merasa aman. Perang kerana hal lain tidak digelar jihad di jalan Allah.
Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia. Adakah seseorang itu berperang untuk meninggikan agama Islam atau kerana tujuan lain? Satu peperangan boleh terjadi kerana ada kelompok tamakkan hasil bumi, ingin meluaskan jajahan takluk atau kerana ingin menunjukkan kekuasaan. Sejarah menunjukkan orang kafirlah yang banyak memulakan perang, merekalah yang paling banyak melakukan kerosakan dan banyak jiwa dibunuh terutamanya dalam kalangan kaum Muslimin.
Dalam surah Ali Imran ayat 173; “(Iaitu) orang-orang (mukmin) yang ketika dikatakan kepada mereka: “Sesungguhnya manusia (musuh) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.“ Ketika berperang hati kita akan sentiasa bergantung kepada Allah. KepadaNya diserahkan segala urusan.
Ayat 245
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.
Allah menyebutkan tentang saranan infaq setelah dua ayat jihad kerana ingin menunjukkan dalam jihad kita perlu berinfaq. Tanpa infaq dan pengorbanan jihad tidak akan berjaya. Bahkan, mungkin tanpa berinfaq, sebenarnya apa yang kita sangkakan jihad itu bukanlah jihad sebenarnya. Allah menisbahkan infaq dengan pinjaman kepada Allah sendiri. Disebutkan sebagai pinjaman kerana ia pasti dipulangkan semula sama ada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
Daripada Abu Hurairah R.A Nabi ﷺ bersabda: "Setiap kali hamba-hamba Allah memasuki waktu pagi, dua malaikat akan turun. Salah satu malaikat itu berkata: "Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah." Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan: "Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang menahan hartanya." (Muttafaq ‘Alaih; Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, No. 1442, Sahih Muslim, Kitab al-Zakat, Bab No. 1010).
Infaq yang diberikan perlu lakukan dengan yang baik iaitu ikhlas kerana Allah dan ikhlas kerana Islam. Setelah itu, Allah akan membalas dengan balasan yang berlipat ganda. Malu juga apabila Allah meminta pinjaman dari kita kerana apa yang kita miliki semuanya adalah dari Allah, tiada satu pun akan jadi milik kita tanpa keizinan dan sifat rahmat Allah. Allah sebenarnya mahu kita faham bahawa semua harta adalah pinjaman dan bersifat sementara.
Mungkin ada yang berfikiran bahawa dengan berinfaq, harta akan berkurangan. Allah menyebutkan sifatnya iaitu dialah yang maha meluaskan dan maha menyempitkan. Berinfaq tidak mengurangkan harta "Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berinfak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya)." (Sahih Muslim No. 4689).
Ayat 246
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرٰءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقَـٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ ۖ قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا ۖ قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا ۖ فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua daripada Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Allah mengabarkan kisah yang berlaku kepada Bani Israil setelah kewafatan Nabi Musa. Diketahui banyak nabi diutuskan kepada Bani Israil kerana perangai mereka yang suka mempersendakan nabi yang diutuskan, kecuali sedikit sahaja yang betul-betul beriman dengan apa yang diturunkan (wahyu). Mereka meminta supaya dilantik seorang raja untuk menjadi ketua di dalam peperangan. Pada zaman itu, ada kaum yang sememangnya rajanya adalah ketua dalam peperangan.
Tidak disebutkan nama nabi pada ketika itu kerana itu bukan fokusnya. Apa yang penting ialah supaya kita ambil pengajaran daripada kisah ini. Permintaan mereka itu telah boleh diteka maksudnya oleh nabi pada ketika itu. Permintaan mereka untuk dilantik raja dibalas dengan persoalan tentang "betukah mereka akan berjihad sekiranya ada raja." Mereka telah ada kisah meninggalkan jihad dengan lari ke tempat lain. Mereka sebenarnya bangsa yang penakut.
Mereka memberi alasan yang kononnya meyakinkan iaitu, disebabkan mereka telah diusir dari kampung halaman dan ramai anak-anak mereka yang telah ditawan, jadi mereka ingin berjihad dengan syarat dilantik seorang raja di kalangan mereka untuk mengetuai jihad itu. Namun setelah peperangan berlaku ramai kalangan mereka tidak keluar berjihad. Sebenarnya mereka hanya beralas-alasan. Mereka mahu menang tetapi mereka tidak mahu berkorban kepada agama mereka.
Daripada Abdullah bin Abi Aufa RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda pada suatu hari daripada hari-hari baginda berhadapan dengan musuh: “Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu bercita-cita (berharap) bertemu musuh, dan mintalah kepada Allah keselamatan (kesejahteraan). Namun, apabila kamu bertemu mereka, maka bersabarlah, dan ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayangan pedang.” (Sahih Bukhari No. 2966 dan Sahih Muslim No. 1742).
Ayat 247
وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا ۚ قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ ۚ قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.
Permohonan Bani Israil untuk dilantik seorang raja buat mereka supaya dapat menjadi ketua dalam peperangan diperkenankan. Nabi mereka menyebutkan bahawa yang dilantik ialah Talut dan yang melantik adalah Allah sendiri. Disebutkan Allah yang melantik supaya mereka tidak banyak soal kerana telah diketahui perangan mereka yang suka mempersoal. Itu pun tetap sahaja mereka persoalkan kerana Talut tidak kaya mana untuk jadi raja mengikut perkiraan mereka.
Sebenarnya mereka bukan setakat mempertikaikan nabi mereka, mereka mempertikaikan pilihan Allah. Dalam masyarakat kita juga ada yang berperangai begini. Yang melantik seorang ketua adalah Allah sendiri dan yang akan menurunkannya juga adalah Allah. Kita perlu taat dalam perkara yang maaruf selagi mana mereka tidak bersekongkol dengan musuh-musuh islam untuk menzalimi umat Islam atau menyekat dakwah Islam. Sebenarnya, Talut juga ada kelebihan tersendiri.
Kelebihan Talut yang mereka sengaja buat tidak nampak ialah ketinggian ilmu dan mempunyai kekuatan tubuh badan. Dua ciri ini bersesuaian dengan tujuan pelantikannya sebagai ketua pasukan perang. Ilmu yang perlu ada bagi seorang pemimpin ialah ilmu mengenai hukum Allah dan juga ilmu untuk bersikap adil kepada semua pihak. Ini merangkumi ilmu akhirat dan juga ilmu dunia. Ilmu Allah adalah sangat luas, hanya manusia yang kurang mengambil iktibar.
Ayat 248
وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.
Setelah dilantik seorang raja atas permintaan Bani Israil yang kemudiannya mereka persoalkan kini ditunjukkan pula satu tanda kepada mereka iaitu peti Tabut. Peti Tabut ini adalah sebagai tanda benarnya pelantikan raja Talut itu. Perlu diketahui, Bani Israil banyak diberikan tanda kekuasaan yang berbentuk "apa yang mereka boleh lihat sendiri." Mengikut sejarahnya, Bani Israil pernah kehilangan peti Tabut ini kerana peperangan dan mereka menginginkannya.
Peti Tabut ini berisi tinggalan dari keluarga Nabi Musa dan Nabi Harun. Mereka adalah nabi-nabi mereka yang paling awal dan mereka sangat berbangga dengannya. Mengikut sejarahnya peti Tabut terkandung lembaran-lembaran taurat yang ditulis pada kayu, tongkat Nabi Musa, serban Nabi Harun dan manna wa salwa. Peti Tabut itu sampai kepada raja Talut dengan dibawa oleh malaikat-malaikat. Apabila telah ada tanda sebegini sepatutnya mereka menerima raja Talut itu.
Tidak diketahui di mana peti Tabut ini sekarang tetapi yang popular di kalangan masyarakat ialah orang Yahudi percaya peti ini ada di bawah Masjidil Aqsa, kerana itulah ada usaha untuk menggali bahagian bawah Masjidil Aqsa dan selalu mereka mengganggu operasi di Masjidil Aqsa. Peninggalan para nabi ini ada, namun yang menjadi persoalannya ialah tentang kesahihannya sekarang ini. Dalam masyarakat adalah yang berlebihan percaya dengan kononnya tinggalan nabi.
Berbeza dengan Bani Israil yang perlukan tanda tertentu supaya boleh meyakinkan mereka, Islam mengajarkan untuk beriman dengan Al-Quran dan Sunnah. Melaluinya kehidupan akan sentiasa dipandu. Nabi Muhammad tidak mengajarkan supaya mencari-mencari yang benda-benda yang baginda tinggalkan seperti jubah, serban, pedang, darah, rambut atau janggut untuk diambil keberkatan darinya tetapi mencontohkan perbuatan baginda dalam ibadah untuk kita ikuti dengan betul.
Tamat Ruku' 32 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan