Sabtu, Mei 21, 2005

Dadah sintetik terapi pulih penagih

Oleh Fazli Abdullah

ISU memberi dadah percuma kepada penagih menarik perhatian banyak pihak selepas Ahli Parlimen Sekijang, Baharum Mohamad, membangkitkannya di Parlimen, baru-baru ini. Cadangan itu dianggap ‘bodoh’ oleh sesetengah pihak, tetapi sebenarnya kerajaan sedang mempertimbangkan pendekatan seumpamanya.

Cadangan yang dibangkitkan itu ada kaitan dengan pendekatan baru yang sedang dipertimbangkan kerajaan dalam program rawatan dan pemulihan di negara ini, iaitu menerusi penggunaan dadah sintetik jenis metadon.

Cuma, jika Baharum mencadangkan dadah (mungkin sama jenis) diberi supaya penagih mati cepat, kerajaan pula mahu menggunakan dadah sintetik bagi mengurangkan ketagihan dan seterusnya memulihkan pesakit terbabit.

Isunya di sini ialah adakah pemberian dadah kepada penagih secara sah dari segi undang-undang itu dapat membantu kerajaan memerangi musuh nombor satu negara atau sebaliknya memburukkan lagi keadaan?

Melihat kepada model perubatan atau dikenali rawatan terapi gantian menerusi penggunaan dadah sintetik, ia sememangnya terbukti berjaya di kebanyakan negara, malah pusat pemulihan persendirian di Malaysia turut menggunakannya.

Sebenarnya, model perubatan menerusi penggunaan dadah sintetik bagi rawatan dan pemulihan dadah bukan sesuatu yang baru, malah terbukti kejayaannya di luar negara serta pusat pemulihan persendirian di negara ini.

Dalam konteks ini, kesediaan Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan (MTMD) yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak, mengkaji kesesuaian pendekatan itu, membuka satu dimensi baru dalam rawatan dan pemulihan dadah di Malaysia.

Tiga jenis dadah sintetik – metadon, buprenorphine dan naltroxone - yang digunakan di negara lain akan dikaji kesesuaiannya. Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan dipengerusikan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, sudah diberi taklimat mengenai perkara itu, baru-baru ini.

Secara perbandingan, metadon dilihat akan menjadi pilihan terbaik jika kerajaan sedia menerima pakai pendekatan perubatan kerana beberapa kelebihan dadah sintetik yang mula diperkenalkan di Jerman.

Secara teorinya, metadon digunakan oleh penagih dadah jenis heroin dan morfin. Menerusi konsep pemuliharaan metadon, penagih dapat melepaskan diri daripada terus mengambil heroin dan morfin. Pada masa sama, mereka akan mengurangkan kadar pengambilan secara berperingkat dan akhirnya tidak lagi menggunakan metadon.

Dengan pengambilan metadon, penagih boleh tinggal dalam masyarakat dan meneruskan kehidupan seharian bersama keluarga, sekali gus tidak tersisih. Lebih penting lagi, mereka juga tidak akan terbabit dalam kegiatan jenayah kerana berada dalam keadaan waras.

Bagaimanapun, metadon perlu diambil mengikut protokol yang ditetapkan dan disusuli sesi kaunseling. Sebarang pelanggaran protokol akan menggagalkan program itu, malah pengambilan tanpa mematuhi dos boleh mengancam nyawa.

“Penggunaan ubat ini perlu mematuhi peraturan yang ketat dan kalau penagih mengambilnya melebihi dos ditetapkan, ia boleh membawa kepada kematian,” kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Hamzah Abdullah.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed pula berkata, penagih yang mengambil metadon akan dipengaruhi ubat berkenaan untuk tempoh tertentu dan sepanjang tempoh itu, penagih tidak ada simpton tarikan dadah.

Bagaimanapun, apabila pengaruh metadon habis, penagih perlu mengambilnya semula. Apa yang penting, mereka perlu menyedari bahawa dia bukannya bergantung kepada metadon kerana ini membolehkannya mengurangkan penggunaan ubat itu dan seterusnya membebaskan diri daripada metadon.

“Lama-kelamaan dia tidak akan ketagih metadon, sebaliknya menggunakan metadon untuk melepaskan diri daripada ketagihan dadah,” katanya sambil menegaskan metadon selalunya bagi rawatan di luar institusi.

Secara perbandingan, pengambilan metadon bagus kerana mampu membebaskan penagih daripada terus bergantung kepada dadah, selain mengelak mereka tersisih daripada masyarakat.

Lebih penting mereka tidak akan terjebak dalam jenayah, sekali gus mengurangkan indeks jenayah. Ini penting kerana sebahagian besar daripada jenayah yang berlaku di Malaysia ada kaitan dengan dadah.

Persoalannya, sejauh manakah penggunaan metadon boleh menjamin mereka tidak lagi terjebak dalam jenayah? Apakah jaminan penggunaan dadah sintetik itu tidak akan mewujudkan satu bentuk penagihan baru?

Selain itu, adakah penagih ini mampu membeli metadon atau kerajaan sanggup membiayainya yang mungkin membabitkan ratusan juta ringgit setiap tahun dan apakah jaminan golongan ini menggunakan metadon mengikut protokol ditetapkan kerana aspek kawalan dan pemantauan satu perkara sukar.

Inilah antara beberapa isu yang perlu diperhalusi Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek percubaan penggunaan metadon yang dijangka dilakukan akhir tahun ini.

Perlu juga disebut bahawa metadon hanya boleh digunakan ke atas penagih dadah jenis heroin dan morfin. Bagaimana pula dengan penagih yang mengambil dadah lain termasuk syabu yang semakin meningkat penyalahgunaannya.

Sebenarnya, metadon akan membuat seseorang itu akan terus bergantung kepada dadah yang dibenarkan itu. Ia bukan satu program yang menjamin dapat membebaskan seseorang sepenuhnya daripada dadah, sebaliknya digunakan untuk menarik mereka mengikuti motivasi supaya memulihkan diri dan akhirnya berharap dapat membebaskan diri.

Dr Mahmood pula menegaskan dalam kebanyakan kes penagih yang mengambil metadon akan terus bergantung kepada dadah sintetik itu hingga akhir hayat.

“Tapi, yang penting mereka tidak akan menjadi beban atau sampah masyarakat. Kalau penagih, dia akan menjadi beban kepada masyarakat seperti mencuri dan tidak boleh bekerja,” katanya.

Beliau turut mengakui kebanyakan penagih yang mengambil metadon akan terus bergantung kepada dadah sintetik itu sepanjang hayat, sesuai dengan konsep pemuliharaan metadon.

“Ada sebilangan kecil yang berjaya mengurangkan pergantungan tetapi mereka yang betul-betul pulih tidak ramai,” kata Dr Mahmood.

Kerajaan juga perlu mengambil iktibar daripada kesilapan lalu dalam usaha menggunakan model perubatan dalam rawatan dan pemulihan dadah. Pada 1997, kerajaan memutuskan untuk menggunakan dadah sintetik jenis naltroxone. Seramai 4,000 pelatih pusat serenti dicadangkan menggunakan ubat berkenaan yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM3 juta.

Malangnya, projek berkenaan gagal kerana berlaku pelanggaran protokol berikutan kegagalan agensi yang terbabit dalam program berkenaan memantau pelaksanaannya.

Mungkin sesetengah pihak menganggap kerajaan terlalu konservatif dari segi pendekatan rawatan dan pemulihan, tetapi apa juga model yang mahu dilaksanakan perlu diperhalusi dan dipertimbangkan baik buruknya serta mengambil kira faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi keberkesanannya.

Faktor ‘kualiti’ penagih juga perlu diberi perhatian dan sejauh mana kesediaan mereka untuk dipulihkan. Kalau penagih ini tidak bersedia untuk dipulihkan, apa juga program dan pendekatan yang dilaksanakan akan menemui kegagalan.

Seperti kata Hamzah: “Apa-apa pun terpulang kepada penagih itu sendiri. Tak payah metadon pun boleh pulih. Saya pernah tanya penagih macam mana nak ubati dia, dia kata Datuk buatlah apa nak buat, kalau saya nak berubah, saya akan berubah.”

4 ulasan:

  1. memang setuju, masalah penagih memang menghantui ramai orang. saya rasa ibu kitalah orang yang patut fikir sebelum kita mengambil dadah. sedarlah sekarang sebelum terlambat......

    BalasPadam
  2. yep....pemantauan dan perlaksanaan dua entiti berbeza...tapi tak salah mencuba modul terapi metadon...adalah salah jika kita trus menutup peluang atau option untuk mereka pulih...go metadone!!

    BalasPadam
  3. methadone adalah terapi yang terbaik
    kepada sesiapa yang tidak terlibat atau tidak ada pengalaman tentang dadah atau pernah bercampur dgn golongan ini, pastinya tidak tahu betapa besarnya impak positif pada penggunaan methadone kepada mereka.
    telajak perahu boleh diundur
    terlajak perbuatan sesal seumur hidup
    penagih yg menggunakan terapi ini pastinya mempunyai niat untuk berubah
    adalah lebih baik jika mereka menggunakan methadone daripada mereka mengambil dadah
    spt mana yg kita tahu,methadone adalah dadah sintetik yang tidak merbahaya...
    langkah kerajaan sememangnya wajar dalam isu pemberian dan penggunaan methadone ini.
    sekian

    BalasPadam
  4. Salam,
    Kami di Baitul Taubah ada menyediakan rawatan pemulihan kepada mereka yang menagih/rosak akhlak khususnya kepada lelaki.Untuk maklumat lanjut bolehlah melayari blog kami di http://pondokbaitultaubah.blogspot.com atau sebarang pertanyaan bolehlah dihantar ke email kami di baitul_taubah@yahoo.com

    BalasPadam