Selasa, Julai 05, 2005

Misteri RM1 juta lesap

Oleh ZAID MOHD. NOOR dan AZMAN MD. NOOR

BALING 4 Julai - Belum dipasti sama ada kemalangan ini disengajakan atau tidak. Dua pengawal keselamatan mati, dua lagi cedera dan wang tunai RM1 juta lesap.

Kejadian berlaku apabila van perisai sebuah syarikat kawalan keselamatan yang membawa wang tunai itu dirempuh sebuah lori di Lebuh Raya Kulim-Baling berhampiran Kampung Bagan Sena, Sungai Karangan dekat sini, hari ini.

Sehingga berita ini ditulis, pemandu lori itu hilang. Polis melancarkan gerakan mengesan pemandu itu melalui syarikat lori terbabit.

Wang tunai tersebut yang dipercayai diisi dalam karung diambil dari Bank Negara Malaysia (BNM) cawangan Pulau Pinang untuk dihantar ke Bank Islam cawangan Baling.

Anggota polis yang tiba di tempat kejadian setelah menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.54 tengah hari mendapati wang tersebut telah hilang.

Bagaimanapun, selaras senapang patah milik pengawal itu ditemui di dalam van itu.

Pengurus bank berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Baling kira-kira pukul 6.20 petang ini setelah wang pesanan berjumlah RM1 juta itu yang sepatutnya tiba sebelum operasi bank tersebut ditutup pada petang ini tidak sampai.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila van tersebut bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. Akibat kemalangan ini, van itu hancur teruk.

Utusan Malaysia difahamkan, syarikat kawalan keselamatan itu berpejabat di Kangar.

Dua pengawal keselamatan yang terbunuh ialah pemandu van, Yusfarizal Mohd. Azmi, 30, dari Kampung Alor Merah, Arau, Perlis dan Haliki Amin Jusoh, 33, dari Jalan Kaki Bukit, Perlis.

Kedua-dua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian setelah cedera parah ekoran tersepit dalam van yang remuk itu.

Sementara itu, dua lagi pengawal keselamatan termasuk seorang pegawai yang berada dalam van itu yang cedera parah dirawat Hospital Kulim.

Mereka ialah Azali Md. Ariff, 51, dari Kampung Telok Jambu, Bintong Kangar dan Aznan Mat, 21, dari Kampung Simpang Empat, Sanglang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Supritendan Khamis Hamzah ketika dihubungi petang ini mengesahkan kemalangan tersebut dan kehilangan wang sebanyak RM1 juta itu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sama ada kemalangan tersebut dirancang bagi tujuan melarikan wang tunai dari van syarikat keselamatan itu atau sebaliknya.

``Polis masih menjalankan siasatan dari semua aspek termasuk kehilangan wang itu,'' katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut menghubungi Balai Polis Baling di talian 04-4701 222 atau balai polis berdekatan. ~link

Tiada ulasan:

Catat Ulasan