Ahad, Oktober 30, 2005

Ahmadinejad tak minta maaf

Ahmadinejad tak minta maaf:
TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, menolak kecaman terhadap gesaannya supaya Israel ‘dibuang dari peta dunia’ sebaliknya terus mengkritik ‘Zionisme antarabangsa dan dasar memperluas tanah jajahan oleh negara kuasa besar yang angkuh,’ merujuk kepada Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau mempertahankan pendiriannya ketika beribu-ribu penduduk Iran beramai-ramai menyambut ‘Hari Baitulmaqdis’ yang diadakan setiap tahun bagi mengutuk negara Yahudi itu, menyusuli ucapan Ahmadinejad dalam persidangan ‘Dunia Tanpa Zionisme.’

“Mereka bebas bersuara tetapi kata-kata mereka tiada kebenaran. Adalah biasa reaksi akan diberi jika perkara benar dan adil disebut.

“Mereka manusia yang sinis dan menganggap dunia patut menurut perintah mereka. Mereka musnahkan keluarga Palestin dan menganggap tiada siapa membantah,” kata Ahmadinejad yang dipetik agensi berita IRNA.

Beliau menekankan, kata-katanya mengenai Israel adalah pendirian rakyat Iran.

Sekalipun ada kemungkinan negara Barat terus menekan Teheran berhubung isu nuklear, Ahmadinejad enggan meminta maaf dan bantahan yang disertai beribu-ribu penduduk negara Teluk itu bukti sokongan kepadanya.

Malah, slogan ‘Israel mesti dibuang dari peta’ turut digantung di Universiti Teheran.

‘Tenaga nuklear secara aman adalah hak sah kami’ dan ‘cara tunggal memerangi musuh Zionis adalah menentang dan Jihad.’

Ahmadinejad juga berkata, ‘sesiapa yang menandatangani perjanjian mengiktiraf Israel bermakna dia menandatangani penyerahan diri Dunia Islam’ serta memberi amaran kepada pemimpin Islam yang berbuat demikian bahawa rakyat akan bangun menentang mereka.’

Ahmadinejad juga menggesa pula supaya ‘rusuhan menentang Zionis’ dilancarkan dalam demonstrasi di seluruh negara, semalam.

Beliau juga menyifatkan demonstrasi semalam adalah bayaran jelas kepada ‘jenayah yang dilakukan Israel terhadap Palestin’ selama lima dekad lalu di Baitulmaqdis.

“Semarak Intifada di Palestin semakin bersinar dari dulu dan sudah menyebabkan kekalahan memalukan Zionis seperti pengunduran terpaksa dari Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

Sejak revolusi 1979, pemimpin Iran ketika itu, Ayatollah Khomeini, mengarahkan diadakan demonstrasi Hari Baitulmaqdis di Teheran dan semua ibu negeri wilayah Iran pada Jumaat terakhir Ramadan.

Berikutan itu, Israel pula bertindak mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan.

“Negara yang menggesa kemusnahan orang lain tidak boleh menjadi anggota PBB,” pejabat Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, memetik dia sebagai berkata dalam satu kenyataan.

Timbalannya, Shimon Peres, berkata dia mungkin mendapatkan mandat pegawai Israel supaya meminta Iran disingkirkan daripada PBB tetapi mengaku perkara itu agak sukar.

“Saya tidak tahu jika ada sebarang peluang untuk berjaya tetapi ia sesuatu yang perlu kami luahkan. Saya tidak fikir ia mengenai apa yang difikirkan orang lain itu berbaloi atau tidak. Ia tidak boleh diterima,” katanya kepada Radio Israel.

Walaupun dikecam hebat masyarakat antarabangsa berikutan kenyataan itu, Iran tetap dengan pendirian.

Jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Syed Massoud Jazihiri, menyokong Ahmadinejad dengan menggambarkan Israel sebagai ‘tumor pembawa barah.’ – Agensi
Technorati tags: , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan