Selasa, November 20, 2007

Kerajaan tarik balik spektrum 2.5, 3.5 GHz



PETALING JAYA 19 Nov. – Kerajaan akan menarik balik spektrum 2.5 dan 3.5 gigahertz (GHz), yang pada mulanya diberikan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi secara percubaan, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik hari ini.

Beliau berkata, ini adalah berikutan keputusan kerajaan dua bulan lepas untuk memberikan tumpuan kepada akses keupayaan saling mengendali bagi gelombang mikro seluruh dunia (WiMax), generasi ketiga (3G) dan jalur lebar gentian ke rumah berkelajuan tinggi sebagai platform untuk mempertingkatkan perkembangan jalur lebar di negara ini.

"Saya sudahpun mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk memberikan notis kepada syarikat-syarikat telekomunikasi membubarkan perniagaan itu.

"Perkhidmatan tanpa pelanggan akan ditarik balik serta merta manakala yang mempunyai pelanggan akan diberikan tempoh lima tahun untuk membubarkan perniagaan di bawah peraturan MCMC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa mengenai Teknologi Maklumat dan Komunikasi 2007 anjuran Universiti Multimedia di sini hari ini.

Dr. Lim berkata, MCMC telah mengeluarkan spektrum 2.5 GHz bagi jalur lebar tanpa wayar manakala spektrum 3.5 GHz adalah bagi frekuensi pautan ke bawah satelit.

Beliau berkata, spektrum 2.5 telah ditarik balik kerana kebanyakan syarikat yang diberikan frekuensi itu belum melancarkan perkhidmatan masing-masing manakala spektrum 3.5 GHz terpaksa ditarik balik kerana ia mengganggu satelit.

Spektrum 2.3 GHz telah diberikan kepada YTL E-Solutions Bhd, Packet One Networks (M) Sdn Bhd, Asiaspace Dotcom Sdn Bhd (bagi Semenanjung Malaysia) dan REDtone-CNX Broadband Sdn Bhd (Sabah dan Sarawak) selepas proses bidaan.

Tujuh syarikat yang diberikan akses kepada spektrum 3.5GHz adalah sama ada di bawah lesen atau secara percubaan. Syarikat-syarikat itu ialah Airzed Broadband Sdn. Bhd., AtlasONE Sdn. Bhd., TT dotCom Sdn. Bhd., Maxis Broadband Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd. (TM), NasionCom Sdn. Bhd. dan eB Technologies (M) Sdn. Bhd.

Syarikat-syarikat yang diberikan akses kepada spektrum 2.5 GHZ ialah Airzed Broadband, AtlasONE, Jaring Communications Sdn. Bhd. Maxis Broadband, TM, TT dotCom dan eB Technologies.

Dr. Lim berkata, dengan penarikan balik spektrum 2.5 dan 3.5 GHz itu, bilangan pengendali WiMax dikurangkan, sejajar dengan dasar kerajaan untuk mengagihkan setiap spektrum itu kepada pengendali yang berlainan.

"Jika ada terlalu banyak pengendali, mereka akan 'bunuh' satu sama lain dan (akhirnya) tiada siapapun akan melancarkan jalur lebar," tegasnya.

– Bernama




Related post: , , , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan