Selasa, Januari 27, 2026

Briskwalk di Universiti Utara Malaysia

Assalamualaikum dan selamat pagi. Lama tak menulis catatan diblog ini rasanya, bila blogwalking dan komen-komen di blog sahabat-sahabat tetapi blog kita sendiri tak dikemaskini rasa tak best pula. Lagi pun ada sahaja benda yang boleh dikemaskinikan. 

Semalam aku dan puan isteri ke Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah. Nun jauh di utara semenanjung Malaysia. Kisahnya aku bertugas pada hari Sabtu baru ni kerana ada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya. PMX yang merasmikannya. Jenuh jugalah dalam seminggu dua ni membuat persiapan untuk majlis ini. Aku ditugaskan untuk memantau gimik pelancaran, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Disebabkan itu kami diberi cuti ganti, dan cuti ini boleh diambil bila-bila dalam tempoh 6 bulan. Aku ambil seawal hari Isnin semalam. Kebetulan puan isteri kena ke UUM dan aku offerlah untuk temankan dia merangkap pemandulahkan. 

Mesyuarat dijadualkan pada 8.30 pagi, kami selepas Subuh terus bergegas ke sana. Perjalanan dalam 2 jam juga untuk sampai. Sebelum tu aku memang dah plan nak briskwalk sementara menunggu puan isteri bermesyuarat. Selesai sahaja drop dia di Canselori aku pun mula cari port mana yang menarik. Aku parking kereta di Jabatan Pembangunan dan mula berjalan sambil ambil-ambil gambar sekitar UUM. Rupanya UUM ni cukup luas, ada banyak tasik-tasik di dalamnya dan yang menariknya orang tak ramai. Aku pun hairan sebab bila di bandingkan dengan USM atau UM, akan selalu nampak student dan staf ke sana ke sini di waktu siang. Sunyi betul UUM ni rupanya.   

Aku sempat briskwalk pusing beberapa tasik, ada juga sungai kecil, kandang rusa dan juga burung unta. Langsung aku tak jangka sebenarnya untuk ke kandang rusa dan burung unta tu. Menarik juga sebab dah lama juga tak tengok haiwan-haiwan ni. Burung unta tu lebih tinggi dari aku. Risau juga kalau dia melompat keluar dan kejar. Bukan ada orang sangat sekitar tu. 

Hampir tengah hari aku pun ke kereta semula untuk ke Masjid Sultan Badlishah. Cantik masjidnya cuma aku tak jumpa suis kipas, dah lah agak berpeluh masa tu. Mungkin ada kut panel control dia di mana-mana cuma aku yang tak jumpa. Setelah dapat habuan jasmani, kita sulam pula dengan habuan rohani, baru hidup bahagia dan jiwa tenang. Tak lama di situ puan isteri pun maklum yang mesyuarat dia dah selesai.

Balik tu kami singgah Pekan Rabu di Alor Setar untuk beli kudap-kudapan.  

 

Tasik pertama berdekatan dengan Jabatan Pembangunan UUM.

Tasik kedua. Ada cafe di tepi tasik tetapi masa itu belum buka lagi.

Mencari ketenangan.

Kalau ada itik atau angsa ni menti lagi cantik.

Ada sungai kecil juga mengalir.

Tak sengaja sampai ke kawasan penternakan rusa.

Banyak juga rusanya dan ada yang masih kecil.

Jumpa juga 3 ekor burung unta. 

Jalan nak balik menuju kereta. Dapat juga 8km sepanjang berjalan-jalan dalam UUM.

Masjid Sultan Badlishah UUM.

Sekian, dahulu catatan untuk kali ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan