Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Catatan kali ini adalah berkenaan program yang telah berlangsung pada dua minggu yang lepas di mana aku dan isteri telah hadir Kursus Intensif Haji Anjuran MKM. MKM ini merupakan salah satu syarikat pengendali ibadah haji selain yang biasa iaitu Tabung Haji (TH). Sebenarnya berbelah bahagi sama ada nak buat catatan berkenaan perkara ini atau tidak. Banyak juga pendapat berkenaannya, dikhuatirkan sekiranya ia mendatangkan riak pula kerana berpeluang mengerjakan haji ini bukan mudah dan sebolehnya kita tidak mahu apa yang dihajati ini rosak kerana perkara-perkara tertentu. Apa pun aku cuba mengikhlaskan diri bahawa catatan ini hanya sekadar berkongsi sebagaimana aku berkongsi perjalanan hidup aku yang lain di blog ini. InsyaAllah kami akan mengerjakan haji pada tahun ini jika diizinkan Allah.
Berbicara tentang haji ini sebenarnya aku mula terkesan teringin untuk melaksanakannya bermula ketika seorang boss aku yang pergi mengerjakan haji kalau tak silap pada tahun 2015. Dia seorang boss yang garang, ada moodnya yang tersendiri namun dia selalu menceritakan perkara yang bukan dalam hal kerja dengan aku. Ketika itu dia juga berjauhan dengan keluarga (PJJ) dan kami selalu jumpa kalau selain waktu kerja itu di surau di waktu malam. Kadang-kadang kami makan sekali beramai-ramai dengan geng2 PJJ yang lain. Dia banyak betul menceritakan pengalaman dia ketika di sana. Dia sangat menggalakkan supaya banyak berjalan kaki ke mana-mana.
Aku yang telah beberapa kali mengerjakan umrah bolehlah bersembang dengan dia dan antara anjuran dia ialah supaya cepat-cepat usaha supaya dapat berhaji ketika masih muda. Tragedi kren jatuh juga berlaku pada ketika dia berhaji. Dari situ aku berazam untuk mengerjakan haji dengan berdoa dan mula merayu beberapa tahun kemudian. Bila tiba musim haji dan dapat berita orang tertentu dapat pergi mengerjakan haji, hati ini rasa cukup cemburu. Teringin sekali untuk mengerjakan haji. Dalam pada itu, bila berpeluang kita usahakan juga umrah. Kalau ikutkan turn Tabung Haji memang lambat lagi dan sebab itu kami merayu. Selain merayu, perlu juga kita memenuhkan keperluan kewangan untuk berhaji tu dalam akaun TH. Setelah banyak tahun merayu, direzekikan kami terpilih pada tahun ini melalui PJH. Aku memang harap dapat pergi dengan MKM kerana MKM sentiasa mengutamakan mengikuti aturan nabi dalam pelaksanaan sesuatu ibadah, ia juga banyak sesuai dengan pegangan aku dalam beragama. Kami juga pernah berumrah dengan MKM pada tahun 2024. Banyak juga berhubungan dengan ustaz-ustaz yang membimbing walaupun setalah lama berlalu.
Dipendekkan cerita pada dua minggu lepas kami menghadiri kursus haji dengan MKM di Shah Alam. Kursus ini lengkap menceritakan perjalanan haji yang bakal ditempuhi, siap dengan praktikalnya sekali. Kami menaiki bas dengan berpakaian ihram ke lokasi-lokasi berbeza yang menggambarkan lokasi di Masyair (kawasan2 syiar Islam). Ini bukan kali pertama kami join kursus ini, tahun lepas kami dah join cuma ketika itu masih belum ada rezeki. Kali ini lebih yakin kerana telah ditawarkan secara rasmi melalui TH.
InsyaAllah kami akan berlepas dengan KT93 pada 16 Mei 2026. Debaran kian terasa kerana telah ada beberapa penerbangan yang membawa jemaah ke sana dalam beberapa hari ini. Semoga semuanya lancar dan dapatlah kami menyempurnakan ibadah agung ini.
| In Hajj 26. |
| Berihram ke mana-mana. |
| Singgah di beberapa tempat yang menggambarkan lokasi di sana. |
| Kami juga diberi ilmu dan penerangan situasi di sana. |
| Dapat juga bag dan lain-lain aksesori untuk haji nanti. |
Sekian dahulu, tunggu catatan seterusnya.
Semoga perjalanan hajinya berjalan lancar bang.. Amiin YRA, sehat selalu dan semoga menjadi haji yg mabrur .
BalasPadamalhamdulillah dapat panggilan haji pada tahun ni. semoga dipermudahkan urusan sepanjang disana bersama dgn jemaah2 lain. MKM ni antara syarikat yg trusted juga.
BalasPadamada kawan2 yg seusia saya dpt panggilan haji juga tahun ni. memang rezeki sgt pergi waktu muda2! ikutkan turn saya, umur 78 nanti. tapi saya harap ada rezeki pergi awal sikit. takut time tu dah tak larat jee
Alhamdulillah…tumpang seronok. Moga lancar semuanya ya. Memang selagi tak pergi, tak habis debarannya.
BalasPadam