Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2024, tepat jam 12 malam ini kita akan melangkah ke tahun 2025 pula. Banyak yang telah berlaku sepanjang 2024, semoga apa yang baik akan kita teruskan pada tahun 2025 dan apa yang buruk kita tinggalkan. Umur pun sudah semakin meningkat, apa lagi motivasi yang lebih baik untuk berubah selain meningkatnya umur bermakna semakin dekat kita dengan kematian.
Minggu lepas ni aku ambil cuti 4 hari ditambah dengan cuti Krismas bermakna sepanjang minggulah aku bercuti dari kerja. Perancangannya nak spend masa dengan ziarah emak di Gombak dua malam kemudian di Cyberjaya dua malam dan kemudian check-in Hotel Seri Pacific satu malam kerana puan isteri ada majlis makan malam UPSI Holdings.
Semasa di Gombak emak berhajat nak buat makan-makan bersama anak beranak. Semua adik beradik ada bersama keluarga kecuali yang bongsu kerana ada perancangan lain di Melaka. Ditambah pula dengan Abang Murad dan anaknya. Abang Murad yang juga pernah tinggal dengan kami dulu di Gombak dan Kuantan. Kami makan tengah hari di Taj Hadramawt di Taman Melati. Sedap dapat makan nasi arab ala Yamen.
Keesokan harinya kami bersarapan di NZ Curry House bersama Acu dan Kak Misah yang tinggal berdekatan. Entah macam mana boleh terfikir untuk ziarah Pak Chek, Mak Long dan Pak Long di Juasseh, Negeri Sembilan. Emak bersetuju bila aku ajak ziarah dengan syarat kena bermalam di Cyberjaya supaya lebih dekat nak ke Juasseh esoknya. Bermalam lah emak di Cyberjaya untuk kali pertama. Bilik ada satu sahaja jadi yang lain-lain tidur di ruang tamu.
Pagi esoknya selepas bersarapan kami pun bertolak ke Juasseh dari Cyberjaya untuk ziarah Pak Chek, Mak Long dan Pak Long. Dalam perjalanan kami singgah beli lauk dan buah untuk orang di sana. Dapatlah emak melepas rindu kepada kakak dan adik dia yang semakin uzur. Petang selepas solat Jumaat dan makan tengah hari kami pun bertolak pulang ke Gombak menghantar emak semula manakala aku dan isteri ke Cyberjaya.
Hari Sabtu itu pula ada jemputan kenduri kawan sekolah isteri di Puchong. Lama tak makan lauk kenduri maka aku makan agak banyak juga, lauk pun sedap. Selepas itu kami check-in Hotel Seri Pacific kerana memenuhi jemputan majlis makan malam UPSI Holdings. Sedang aku baring-baring tiba-tiba ada makluman yang Pak Chek dah meninggal dunia dalam tidur. Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un, allahummaghfirlahu warhamhu waafihi wafuanhu. Rezeki kami datang berziarah semalamnya. Dapat berjumpa kali akhir. Aku dan isteri tidak ke pengkebumian kerana masih baru ziarah dan ada urusan lain. Aku pun dan agak penat ke sana ke sini dan esok paginya nak balik ke Penang.
Panjang ceritanya dalam permusafiran kali ini. itu tak cerita lagi dapat anak buah sepupu dan cucu saudara lagi dalam seminggu ni. Padat sungguh dengan peristiwa. Semalam (Isnin) masuk kerja dengan penat yang masih belum hilang lagi.