Khamis, Januari 05, 2006

MT-surat: Rakyat dilayan begitu hina dan cuai sekali!

MT-surat: Rakyat dilayan begitu hina dan cuai sekali!:
"-Luahan Hati Seorang Marhain-

Apabila ditanya oleh wartawan asing mengenai kesan kenaikan harga minyak ke atas ekonomi negara, jawab pemimpin Malaysia seperti ini -

'Kita tidak akan mengalami masalah kerana Malaysia ialah sebuah negara net producer untuk petroleum (hasil ekspot melebihi kos impot untuk minyak)'.

Apabila ditanya rakyat, kenapa harga petroleum dinaikkan, ini pula jawapannya,

'Adalah tidak adil untuk kerajaan menanggung subsidi untuk harga minyak yang diimpot untuk kegunaan rakyat. Lebih baik kita salurkan wang tersebut kepada pembangunan negara seperti membuat jalanraya, hospital dll.'

Di manakah kelebihan rakyat yang dilahirkan di negara yang dianugerahkan Tuhan dengan minyak ini? Situasi ini boleh difahami jika dihadapi oleh rakyat Jepun atau Singapura yang tidak mempunyai hasil galian minyak asli.

Bagaimana pula dengan penggunaan wang hasil dari ekspot Petroleum untuk menyuntik dana ke dalam bank yang rugi akibat salahurus? "

Bagaimana dengan penggunaan wang petroleum untuk membina bandar pentadbiran Putrajaya?

Adakah ia adil?

Nampaknya semua perkara adalah adil dan "fair" selagi rakyat marhain yang tidak mendapat manfaat tersebut. Adakah keuntungan dari ekspot Petroleum tadi menjadi kurang apabila diambil sedikit hasilnya untuk manfaat rakyat marhain seperti memberi sedikit subsidi untuk harga petrol?

Tidak cukup dengan kenaikan harga minyak, rakyat Malaysia menanggung beban pula bagi menampung "kebanggaan negara" seperti Proton. Separuh dari gaji bulanan rakyat digunakan untuk membayar 'installment' bulanan kereta.

Akibat dari tekanan kewangan, scrap metal (kereta potong) 'half cut' dibawa masuk ke Malaysia. Besi buruk yang dibuang oleh pengguna di Jepun, Singapura dan Eropah dibawa masuk ke Malaysia untuk diguna pakai oleh rakyat. Komponen-komponen enjin yang terbuang ini digunapakai kembali, mungkin terdapat juga kereta yang telah terbabit kemalangan dan sebagainya. Apa nak buat, kalau nak source yang baru, harganya sama dengan satu tahun gaji terkumpul.

Keselamatan rakyat sendiri terabai kerana menanggung kos "kebanggaan negara". Besar sungguh pengorbanan rakyat negara ini untuk memuaskan nafsu dan menampung kesilapan pemimpin negara.

Di negara Britain pula, harga kereta Waja sekitar 8 ribu pound sterling. Gaji purata seorang eksekutif yang berumur 30an tahun di Britain ialah sekitar 5 ribu pound sterling. Waja untuk edisi ekspot mempunyai 4 airbags, ABS dan pelbagai ciri keselamatan. Jaminan menyeluruh (Full warranty - body, engine, gearbox and everything) untuk kereta Proton di Britain ialah tiga tahun. Dalam masa tiga tahun ini, setiap komponen kereta yang rosak (kecil atau besar) akan ditanggung oleh Proton. Warranty untuk enjin dan gearbox pula ialah enam tahun (sepanjang hayat kereta).

Jika saudara-mara Tony Blair, Michael Howard, Jack Straw atau sesiapa jua mat saleh di UK memiliki Waja berusia 5 tahun, kemudian enjin atau gearbox tidak berfungsi, Proton akan menggantikan komponen terbabit tanpa kos. Menurut majalah "car review" di UK, tiada pembuat kereta lain di dunia ini yang memberi warranty sebegitu komrehensif dan menarik kepada pembeli.

Siapakah sebenarnya "hamba abdi" yang menanggung kos terbabit?

Rakyat negara manakah sebenarnya yang menanggung beban kewangan (dan bebanan mental) untuk mambayar harga bagi memberi keselamatan dan keselesaan kepada pembeli kereta Proton di UK?

Adakah patut kita berbangga kerana negara kita "mampu" membuat kereta?

Adakah negara seperti Austria, Norway, Finland, Kanada, Denmark, Switzerland, Taiwan dan banyak lagi negara maju lain tidak "mampu" membuat kereta yang menyebabkan mereka tidak mempunyai projek kereta "nasional"?

Adakah rakyat dan kerajaan Britain "tidak mampu" menanggung beban kewangan syarikat Jaguar, Bentley, MG, Rover, RollsRoyce, Lotus dll. sehingga mereka "menggadaikan maruah" negara dengan membenarkan syarikat asing memiliki stake dalam syarikat-syarikat tersebut? Ini bukan soal mampu atau tidak, ini soal bodoh atau cerdik.

Juga persoalannya ialah adakah negara meletakkan kepentingan rakyat marhain mengatasi kepentingan yang lain?

Thailand yang mengamalkan dasar polisi pintu terbuka untuk industri otomotif telah berjaya menarik syarikat asing seperti Honda, GM, Ford, BMW dan sebagainya ke negara tersebut untuk membuka kilang dan pusat R&D masing-masing. Jika projection (jangkaan) Proton diambil kira, menjelang tahun 2010, Proton akan berjaya mengekspot 45,000 buah kereta. Thailand pula akan berjaya mengekspot 250,000 buah kereta. Walaupun kereta yang diekspot dari Thailand adalah berjenama Honda, Chevrolet, Toyota, Ford dll, kandungan bahan tempatan (Thai contents) di dalam kereta tersebut mencapai sehingga 85%.

Kereta yang diekspot oleh Proton pula, walaupun berjenama dan logo tempatan (kepala harimau disembelih), kandungan tempatan (local contents) belum tentu boleh mencapai angka setinggi tersebut. Di Malaysia, syarikat asing hanya membuka assembly plant (tempat pemasangan) untuk kenderaan mereka dengan mempunyai satu tujuan sahaja - iaitu menjadikan keluaran mereka status CKD (complete knockdown) supaya cukai boleh dikurangkan. Kesemua mould dan expertise telah siap dibangunkan di Thailand atau Jepun. Kereta Honda City ialah contoh product Thailand. Ia dibina dari scratch di Rayong, Thailand. Komponen-komponen kemudian dibawa ke Malaysia, Filipina, Indonesia untuk pemasangan. Kereta yang siap dipasang di Thailand diekspot ke seluruh dunia termasuk Jepun! Tiada satu Honda City yang dipasang di Jepun. Honda City di Jepun ialah sebuah kereta CBU dari Thailand. Bilangan pekerjaan (job creation) untuk rakyat yang terhasil dari dasar otomotif Thailand berlipat-lipat kali ganda jika dibandingkan dengan Malaysia. Thailand dikenai sebagai "Detroit of Asia" dan akan menjadi salah satu dari pengeluar kereta bertaraf dunia - setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan.

Hanya rakyat Malaysia (terutamanya Melayu) sahaja yang menjadi seperti "vulture" atau gagak yang merobek-robek longgokan sampah besi buruk yang dilusuh (scrap) oleh penduduk negara lain. Di dalam longgokan sampah sarap besi buruk inilah rakyat Malaysia menjumpai alternator, pulley, pump dan sebagainya. Itu pun harganya bukanlah semurah yang disangka. Jika alternator yang baru kosnya RM1000, Ah Leong atau Chong di kedai potong (half cut) tadi akan menjual kepada kita barangan buangan tadi pada harga sekitar RM550. Jika selepas seminggu menggunakan barang buruk dan terbuang tadi, ia menjadi rosak, kita sendiri yang menanggung kerugian. Ini kemudiannya akan menyumbang pula kepada statistik pesakit mental.

Secara ikhlas saya nyatakan, saya tidak pernah terjumpa rakyat di mana-mana negara di dalam dunia ini yang dilayan sebegitu hina dan cuai sekali, seolah-olah mereka semua ini adalah kambing atau lembu (atau b_b_) di ladang. Negara Komunis yang selalu di-demonised oleh rakyat negara ini (akibat propaganda) melancarkan projek kereta nasional untuk membantu rakyat, bukan untuk memuaskan nafsu ego sesiapa.

Kereta LADA (bekas Soviet Union) dan Yugo (bekas republik Yugoslavia) dilancarkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat marhain memiliki kenderaan. Kereta tesebut simple dan murah, tetapi tujuannya ialah supaya petani, nelayan juga boleh memiliki kereta.

Akhir sekali, saya menyeru kepada golongan pemerintah dan elitis supaya mengembalikan tenaga yang telah anda terima dari bumi ini kepada penghuninya.

ENERGY RECEIVED ENERGY RETURNED!

Sekian.

Hamba Tuhan yang kerdil,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan