Khamis, April 14, 2005

Dewan Rakyat: Bekalan Dadah Percuma Kepada Penagih Dikaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi dadah percuma kepada penagih sebagai sebahagian daripada usaha melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah dan membendung penagihan najis itu yang semakin meningkat di negara ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusof, berkata kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dulu dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk baik dan buruk cadangan itu.

Katanya, pada sekitar 1960-an, kerajaan pernah melesenkan premis khas kepada penagih candu dalam usaha menangani gejala itu dan hasilnya jumlah penagih bahan itu jauh berkurangan.

“Kerajaan mungkin boleh jadikan contoh itu untuk memberi dadah percuma kepada penagih bagi mengurangkan masalah berkenaan dan saya akan panjangkan perkara ini ke peringkat kementerian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Terdahulu Abu Seman menjawab soalan tambahan Baharum Mohamed (BN-Sekijang) yang mencadangkan supaya kerajaan memberi dadah percuma kepada penagih dalam usaha membanteras kegiatan itu secara total.

Baharum berpendapat disebabkan penagih suka menagih dadah dan mudah mendapat bekalan, adalah lebih elok jika diberi dadah percuma kerana tindakan itu seolah-olah mengundang mereka untuk cepat mati.

Bagaimanapun, Baharum mencadangkan semua penagih ditempatkan di sebuah pulau bagi memudahkan pemantauan dan pemulihan selain memberi program pemulihan sebaiknya kepada mereka yang mahu berhenti daripada kegiatan berkenaan.

Selain itu, dengan memberi dadah percuma, Baharum berpendapat kegiatan pengedaran dadah dapat dilumpuhkan berikutan tiada permintaan daripada penagih kerana sudah mendapat dadah percuma daripada kerajaan.

Menjawab soalan asal Baharum mengenai jumlah pengedar dadah dikenakan hukuman, Abu Seman berkata, sejak 1975 hingga 31 Mac lalu, 229 hukuman gantung sampai mati dikenakan terhadap pengedar dadah yang disabitkan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, daripada jumlah itu, 182 orang adalah rakyat tempatan manakala 47 lagi warga asing. Kini 101 pengedar dadah sedang menunggu pelaksanaan hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan di mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan