Ahad, Ogos 10, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 14/40 (Ayat 113-121)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 14/40 (Ayat 113-121)

Ayat 113

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلىٰ شَيءٍ وَقالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيسَتِ اليَهودُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُم يَتلونَ ٱلكِتَـٰبَ‌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ مِثلَ قَولِهِم ۚ فَاللَّهُ يَحكُمُ بَينَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

  1. Dalam ayat ini Allah membongkarkan sifat tiga golongan iaitu Yahudi, Nasara dan golongan tiada ilmu. Yahudi mengatakan orang Nasrani tidak berpegang kepada kebenaran, begitu juga golongan Nasrani mengatakan Yahudi tidak berpegang kepada kebenaran. Kedua-dua golongan ini telah diberikan kitab tetapi mereka menolak sesuatu itu berdasarkan hawa nafsu, bukan berdasarkan dalil dalam kitab mereka. Kedua kelompok ini hanya tahu menyesatkan orang lain.

  2. Sifat merasakan kelompok mereka sahaja yang benar menyebabkan mereka semakin jauh dari kebenaran. Mereka yang sepatutnya sibuk membaiki diri dengan ilmu yang benar mengenepikan semua itu kerana sifat ego tanpa ilmu yang benar. Dalam diri mereka tiada sifat muhsin (nilai perbuatan sendiri) seperti yang disebutkan dalam ayat sebelum ini. Ini adalah talbis Iblis atau hasutan Iblis yang suka melihat manusia bersifat lebih hebat dari orang lain.

  3. Dalam masyarakat kita ada juga kelompok yang suka menyesatkan kelompok lain tanpa berpandukan kepada dalil al-Quran. Kadang itu hanya berbeza pendapat dalam ibadah pun ada yang berani menilai perbuatan seseorang itu sesat sedangkan suatu perbuatan itu ada khilafnya dalam kalangan ulama sendiri. Bagi mereka amalan mereka sahaja benar kerana ramai yang melakukannya, yang mengajarkannya pula para ustaz yang tidak mengambil amalan yang dicontohkan nabi saw.

  4. Yahudi dan Nasara keduanya dari bangsa yang sama iaitu Bani Israil. Keduanya bersusur galur dari keturunan Nabi Yaakub as. Dalam bangsa yang sama pun kedua mereka sesat-menyesatkan antara mereka. Keduanya menyembah Allah dan menerima kitab dari Allah melalui nabi-nabi yang dilantik Allah. Yahudi menjadi sesat kerana menolak kenabian nabi Isa dan Nasrani menjadi sesat kerana berlebihan dalam mentaati nabi Isa sampai mengatakan bawah nabi Isa adalah anak Allah.

  5. Golongan ketiga yang disebut dalam ayat ini ialah golongan yang tidak tahu. Ada pendapat mengatakan golongan ini ialah golongan yang tiada kitab besar iaitu golongan mushrikin di Mekah. Mereka beriman dari saki-baki ajaran nabi Ibrahim dan nabi Ismail as dicampurkan dengan amalan-amalan baru yang mereka reka sendiri. Orang Islam yang diberi kitab pun ada yang sampai dah berusia pun masih belum pernah belajar satu ayat dengan mendalam (ilmu tafsir dan tadabbur).

Ayat 114

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها ۚ أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

  1. Pertanyaan siapakah yang lebih zalim bukan pertanyaan kerana tidak tahu tetapi menunjukkan tiada siapa lagi yang lebih zalim dari orang yang menghalang masjid Allah digunakan untuk tujuan ibadah termasuk menyebarkan ilmu agama yang benar. Allah mengaitkan namanya dengan masjid-masjidnya menunjukkan kemuliaan masjid dan besarnya peranan penjaganya untuk memastikan masjid dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan ibadah.

  2. Sebagaimana Allah kaitkan namanya dengan masjidil haram dengan gelaran baitullah, begitu jugalah Allah muliakan masjid-masjidnya. Turunnya ayat ini adalah kerana larangan musyrikin Mekah kepada kaum muslimin untuk menunaikan umrah dan haji, sebenarnya larangan ini bermula lebih awal lagi di waktu nabi Muhammad saw diangkat sebagai nabi. Kaum muslimin dilarang berdakwah dan beribadah di masjidil haram. Hanya dakwah palsu dan ibadah palsu yang mereka benarkan.

  3. Perkataan masajid dalam bentuk jamak menunjukkan bukan sahaja musyrikin Mekah yang zalim malah siapa sahaja yang menghalang orang Islam dari menegakkan syariat Islam di masjid adalah termasuk golongan yang paling zalim. Dalam sejarah banyak masjid telah dirobohkan dan ada yang telah digantikan dengan rumah ibadah dari kepercayaan selain Islam apa tempat orang Islam ditawan. Di masjidil Aqsa, orang Islam juga disusahkan dengan banyak sekatan untuk beribadah.

  4. Larangan kepada orang Islam dalam menggunakan masjid untuk tujuan ibadah dan penyebaran ilmu Al-Quran dan Sunnah adalah zalim kerana ia akan menyebabkan masyarakat menjadi jahil dalam agama, lebih teruk lagi ilmu-ilmu yang bersifat menghiburkan pula lebih ditonjolkan. Ilmu yang tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah bebas disebarkan, ini menyebabkan ilmu yang benar dan lebih penting tidak dapat diajarkan kepada masyarakat. Akhirnya banyak ajaran pelik muncul.

  5. Ada tafsiran mengatakan "menyebut nama Allah" dalam ayat ini bermaksud ajaran tauhid yang benar, banyak juga kita dengan dakwah tauhid yang disekat di masjid-masjid, ada pula tafsiran mengatakan ia adalah ilmu Al-Quran, ilmu membacanya, mengajarnya dan termasuk mentadabburnya. Orang Islam risaukan ajaran yang pelik-pelik serta pepecahan dalam kalangan orang Islam tetapi tidak mahu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah nabi saw.

  6. "Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk." Surah Al-Taubah ayat 18. Dalam mengajak orang untuk kembali kepada amalan yang benar tiada siapa yang layak ditakuti kecuali Allah.

Ayat 115

وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

  1. Ayat ini adalah kesinambungan dari ayat sebelumnya yang menetapkan tempat beribadah adalah di masjid dan larangan melarang orang beribadah dan menyampaikan kebenaran di masjid. Ayat ini memujuk kaum muslimin yang terpaksa meninggalkan kaabah kerana berhijrah menuju Madinah. Kepunyaan Allah seluruh alam ini, bukan hanya Kaabah dan Mekah sahaja. Di mana pun kita boleh menyembah Allah, tidak terhad pada Kaabah sahaja.

  2. Di dalam Islam kiblat adalah menghadap Kaabah, bagaimana pun sekiranya tidak dapat dipastikan arahnya kita tetap perlu solat dengan menghadap ke mana pun. Dalam sesetengah kepercayaan, mereka mahukan juga kiblat yang wujud nyata dan boleh dinampak; dari sini datangnya perkataan berhala. Mereka beribadah dengan ada hala (arah) menghadap sesuatu objek. Orang jahil mengatakan orang Islam menyembah Kaabah sedang ia hanya arah kerana kita solat berjemaah.

  3. Apabila bertemu dengan ayat yang mengatakan sifat Allah seperti berwajah, cukup bagi kita beriman mengikut apa yang Allah sampaikan sendiri, jangan kerana nak menidakkan kita mereka-reka pula tafsiran yang lain (takwil) cumanya kita yakin apa yang difirmankan itu tidak serupa dengan makhluk kerana ada ayat "Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia (Allah)". Kita beriman dengan maksud sebenar ayat tidaklah pula kita menganggap Allah itu berjisim.

Ayat 116

وَقالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحَـٰنَهُ ۖ بَل لَّهُ ما فِي ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ كُلٌّ لَّهُ قَـٰنِتُونَ

Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.

  1. Yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah, Nasrani mengatakan Isa adalah anak Allah dan Musyrikin Mekah mengatakan malaikat adalah anak-anak perempuan Allah. Semua ini bertitik tolak dari hawa nafsu yang mahu beragama tetapi tidak yakin dengan apa yang telah ditetapkan. Mereka sangka dengan adanya anak, maka mereka lebih mudah untuk meminta kepada Allah melalui perantaraan anaknya. Sebenarnya mereka hanya menghina Allah kerana perlu kepada anak itu adalah sifat makhluk.

  2. Perbuatan mengatakan Allah mempunyai anak ini adalah syirik dan ia adalah dosa yang amat besar, amalan pelaku syirik semuanya terbatal, dosa-dosanya tidak akan diampunkan melainkan dengan taubat dan sekiranya tidak bertaubat pelakunya akan kekal dalam neraka selamanya. Menyekutukan Allah dengan benda lain adalah syirik. Di dunia pelakunya masih tetap juga diberikan rezeki dan kesihatan namun di akhirat mereka akan menyesal dengan penyesalan yang tiada penghujung.

  3. Allah menafikan kepercayaan mereka yang buruk itu dengan lafaz سُبحَـٰنَهُ, memiliki anak bagi manusia adalah kemuliaan tetapi memiliki anak bagi Allah ia kehinaan. Allah tidak memerlukan semua itu kerana Allah memiliki segalanya. Para nabi memiliki kemuliaan tertentu namun tetap tidak layak bagi mereka untuk dikatakan sebagai anak Allah; "Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba." Maryam 93.

  4. Kesemua makhluk adalah tunduk patuh pada perintah Allah termasuk apa yang mereka katakan sebagai anak Allah itu, juga sembahan-sembahan lain yang mereka sembah itu semuanya patuh kepada apa yang telah ditetapkan Allah. Sekiranya ia adalah batu, tetaplah ia patuh dengan sifat batu. Walaupun ada orang kafir yang tidak patuh pada tubuh mereka anggota mereka tetap patuh aturan, tetap sahaja bernafas, bergerak, bernafsu, berakal dan sebagainya.

Ayat 117

بَديعُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَإِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

  1. Kalimah بَدِيعُ itu bermaksud mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada. Allah menciptakan langit-langit dan bumi tanpa perlu meniru atau mencontohi apa yang telah ada. Apabila Allah berkehendak Allah boleh mencipta dalam sekelip mata, jadi apabila Allah tidak berkehendak kepada anak kenapa ada yang mereka-reka kata Allah mempunyai anak. Perkataan bid'ah juga dari kata dasar ب د ع iaitu mereka-reka perkara baru dalam ibadah yang tiada contohnya dari nabi saw.

  2. Ada juga benda yang direka oleh manusia tetapi tidaklah sama prosesnya, manusia sangat lemah sebenarnya dalam mereka sesuatu. Manusia perlukan perancangan, kajian, sumber-sumber dan manusia tidak akan mampu mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Apa yang manusia reka sebenarnya beradaptasi dengan apa yang telah sedia ada di alam ini. Manusia banyak belajar dari pemerhatian dan pengalamannya.

  3. Apa sahaja yang Allah kehendaki terjadi maka akan terjadilah sesuatu itu. Allah tidak memerlukan perancangan, contoh, pandangan makhluk lain atau sumber-sumber tertentu untuk mencipta sesuatu. Kalimah كُنْ فَيَكُونُ menunjukkan betapa cepatnya sesuatu itu boleh dijadikan atau ditiadakan oleh Allah. Contonya asal manusia bernyawa dan jika Allah tetapnya nyawanya menjadi tiada maka matilah seseorang itu.

Ayat 118

وَقالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ لَولا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَو تَأتينا ءَايَةٌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّثلَ قَولِهِم ۘ تَشَـٰبَهَت قُلوبُهُم ۗ قَد بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يوقِنونَ

Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

  1. Yang dimaksudkan dengan golongan yang tidak berilmu di sini ialah golongan musyrikin Mekah kerana mereka tidak tahu tentang wahyu. Golongan kedua ialah Yahudi Madinah, walaupun mereka ada wahyu namun mereka tidak pedulikan apa yang ada di dalam wahyu itu lagi. Hakikatnya siapa sahaja yang ada kitab tetapi langsung tidak pedulikan apa isi kandungan kitab itu adalah tergolong dalam golongan yang tidak berilmu pengetahuan.

  2. Golongan yang tidak berilmu pengetahuan ini mahukan Allah sendiri yang bercakap dengan mereka, kononnya dengan sebab itu barulah mereka akan beriman. Mereka mempertikaikan rasul yang telah dilantik oleh Allah sendiri sebagai penyampai wahyu, pada hakikatnya golongan ini hendak mempertikaikan Allah. Sebenarnya tidak layak bagi seorang manusia untuk berinteraksi secara terus dengan Allah seperti dinyatakan dalam surah Al Syura ayat 51.

  3. Proses penyampaian wahyu juga berat. Tidak akan mampu bagi manusia biasa untuk menanggungnya. Ini dinyatakan dalam surah Al Muzzammil ayat 5, "Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu yang berat." Selain itu golongan jahil ini mahukan satu tanda iaitu mukjizat yang mereka boleh lihat atau rasai sendiri. Al Ayah atau mukjizat bukanlah suatu yang boleh diminta oleh makhluk, ia adalah kurniaan khas Allah kepada nabinya yang tertentu.

  4. Permintaan orang jahil ini meresahkan nabi saw, lalu Allah pujuk nabi dengan menyatakan bahawa permintaan sebegini sebenarnya sama sahaja dengan permintaan orang jahil terdahulu, Bani Israil banyak mempertikaikan nabi mereka sehingga Allah tunjukkan banyak mukjizat namun tetap sahaja mereka tidak beriman. Mereka yang menolak kebenaran telah dibisikkan dengan was-was oleh syaitan dalam hati mereka tentang apa yang ada di dalam wahyu.

Ayat 119

إِنّا أَرسَلنَـٰكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۖ وَلا تُسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

  1. Ayat ini adalah ayat tasliah atau pujukan kepada nabi saw setelah terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam dakwah, antaranya ada yang meminta supaya Allah sendiri bercakap dengan mereka. Ayat ini menegaskan Allah sendiri yang mengutuskan nabi sebagai penyampai risalah melalui Al Quran. Walaupun ada yang menolak bahkan ada yang menentang tiada yang dapat menidakkan bahawa nabi saw adalah utusan Allah untuk menjadi contoh kepada setiap manusia.

  2. Nabi saw diutuskan dengan kebenaran iaitu berita gembira buat orang yang mengikutinya di mana akan ada ganjaran syurga buat mereka. Selain berita gembira nabi saw juga diutuskan untuk memberi ancaman kepada manusia tentang perkara yang dilarang seperti menyembah kepada selain Allah. Bagi yang melanggar larangan disediakan pula neraka buat mereka. Jadi manusia ada pilihan sama ada mahukan syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang penuh azab.

  3. Tugas menyampaikan kebenaran dan mengancam melakukan perbuatan yang dilarang ini bukanlah tugas para nabi sahaja. Ia juga ada tugas kita semua berdasarkan banyak ayat Al Quran yang menyuruh kita menyampaikan kebenaran dan menegah kemungkaran. Jadi seseorang itu perlu ada pemahaman terhadap ayat Al Quran dengan mempelajarinya. Memberi nasihat adalah jalan melepaskan diri dari rasa bersalah di hadapan Allah; walaupun nasihat itu tidak diterima (Al A'raf 164).

Ayat 120

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم ۗ قُل إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الهُدىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَ الَّذي جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ ما لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

  1. Ayat ini memujuk nabi Muhammad saw yang sangat mahukan orang Yahudi dan Nasrani masuk Islam, sangkaan bahawa mereka beriman dengan kitab malah telah kenal Allah jadi mudahlah mereka menerima Islam tetapi sebaliknya mereka menolak dengan keras sekali. Nabi sangat sedih sehingga Allah memujuk dalam surah Faatir ayat 8; "Maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka." dan juga dalam surah Al Kahfi ayat 6.

  2. Sampai bila-bila pun Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan Islam yang sebenar. Mereka merangka pelbagai cara untuk menjatuhkan Islam, kalau pun mereka tidak dapat mengeluarkan seseorang itu dari Islam, mereka akan cari jalan untuk merosakkan pemikiran orang Islam sampai sedikit demi sedikit akan mengikut cara mereka. Untuk mengetahui adakah kita telah ikut cara mereka ialah dengan tadabbur Al Quran kerana banyak sekali dikhabarkan tentang mereka.

  3. Dalam menghadapi mereka yang sering mengajak kepada petunjuk mereka, Allah mengajarkan kepada nabi saw bahawasanya sebenar-benar petunjuk adalah petunjuk Allah. Selain dari petunjuk dari syariat yang telah terbatal, kita juga tidak boleh mengikuti petunjuk-petunjuk baru setelah wafatnya nabi Muhammad saw, walaupun kelihatan ia seperti dari agama yang sama, mereka tidak akan lebih tahu dari nabi saw. Ilmu wahyu dan ilmu khayalan tidak boleh bercampur aduk.

  4. Dalam ayat ini dibandingkan agama yang benar ini lawannya adalah hawa nafsu, walaupun ahli kitab itu punya panduan wahyu, apa yang mereka amalkan bukan lagi dari wahyu tetapi hawa nafsu sahaja. Apa-apa petunjuk selain dari wahyu adalah hawa nafsu. Walaupun Yahudi dan Nasrani itu asalnya adalah agama tauhid, kerana mengikut hawa nafsu agama mereka telah menjadi agama syirik. Mereka mengikuti petunjuk baru dari ahli kitab mereka yang terpesong.

Ayat 121

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَتلونَهُ حَقَّ تِلاوَتِهِ أُولٰئِكَ يُؤمِنونَ بِهِ ۗ وَمَن يَكفُر بِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ ٱلخَـٰسِرُونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

  1. Walaupun dalam ayat sebelum ini disebutkan Yahudi dan Nasara tidak akan redha dengan Islam, namun ada juga sebahagian dari mereka yang menerima Islam. Iaitu mereka yang membaca kitab yang diturunkan dengan pemahaman yang betul tanpa mengubah maksud atau menambah-nambah kandungannya. Ayat ini juga peringatan kepada orang Islam sekarang tentang pentingnya mempelajari Al Quran dengan pemahaman yang benar sebagai mana pemahaman para sahabat.

  2. Membaca Al Quran dengan baik sahaja tidak mencukupi, Al Quran perlu dibaca dengan sebenar-benar bacaan iaitu mempelajari tafsirnya, mentadabburinya, mengakui keseluruhan ayat-ayatnya, beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan di dalamnya, menyampaikannya, menyebarkannya, meninggikan kalam-kalam Allah berbanding pendapat makhluk dan tidak menukarkan hukum yang telah ditetapkan dengan hukum baru ciptaan manusia.

  3. Dalam masyarakat kita pernah disebarkan bahawa untuk orang awam hanya cukup sekadar perlu pandai membaca Al Quran sahaja, manakala ilmu-ilmu lain dalam Al Quran adalah berat hanya orang tertentu sahaja yang layak mempelajarinya. Ini pemahaman yang tidak betul malah mirip ajaran Yahudi yang terpesong. Al Quran diturunkan untuk sekalian umat manusia, penting untuk mempelajarinya supaya apa yang kita faham tentang agama tidak menyeleweng.

  4. Sebaliknya sesiapa yang kufur iaitu ingkar dengan kitab, mereka itulah orang-orang yang rugi; iaitu orang yang tidak mempelajarinya, beramal dengan amalan yang tiada dalil dari Al Quran dan sunnah dan mereka yang tidak menjadikan wahyu sebagai panduan hidup. Amatlah rugi bagi orang yang sedemikian sedangkan ilmu tentang Al Quran telah banyak diajarkan, tafsir tentangnya mudah diperolehi dan telah banyak kelas-kelas tadabbur diajarkan.

Tamat ruku' 14 dari 40 ruku' dalam surah Al Baqarah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan