Ahad, Disember 07, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 18/40 (Ayat 148-152)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 18/40 (Ayat 148-152)

Ruku' 18 dari 40 ruku' dalam surah Al Baqarah adalah berkenaan perintah untuk menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat ketika solat.

Ayat 148

وَلِكُلٍّ وِجهَةٌ هُوَ مُوَلّيها ۖ فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ ۚ أَينَ ما تَكونوا يَأتِ بِكُمُ اللَّهُ جَميعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

  1. Umat nabi Musa as ada kiblatnya sendiri, umat nabi Isa as ada kiblatnya sendiri begitu juga umat nabi Muhammad saw. Nabi dan sebahagian sahabat merasa dua kiblat iaitu Baitul Maqdis dan Masjidil Haram. Setelah perubahan kiblat telah tetap arahnya. Meskipun jika tiada Kaabah, tetap sahaja kiblat kita menghadap ke Masjid Haram. Arah dalam ayat ini juga bermaksud syariat dan tujuan hidup, perlu difahami apa tujuan hidup kita sebenarnya seperti kehendak Allah swt.

  2. Allah mengajarkan kita tentang tujuan hidup iaitu mengerjakan kebaikan. Kita bukan sahaja disuruh melakukan kebaikan tetapi diminta jangan bertangguh, jangan buat lambat dalam perkara kebaikan. Mengambil sedikit dari kenikmatan dunia dibenarkan cuma jangan sampai kita dikuasai dunia dan melambat-lambatkan melakukan kebaikan. Arahan ini lebih lagi ditujukan kepada yang masih belum mula berubah dari kehidupan tanpa ada tujuan akhirat.

  3. Bagi yang belum mula beribadah, mulakan dengan mendalami ilmu agama dengan belajar agama dengan berstruktur, tidak cukup setakat apa yang kita belajar di sekolah atau sesekali mendengar kuliah yang bermacam-macam topiknya, pelajari apa ibadah yang nabi mahu kita ikut, terutamanya pelajari tauhid, fahami bab niat, bagaimana sifat solat nabi dan sebagainya. Dengan ilmu baru dapat kita beribadah dengan betul dan yakin. Contohi para sahabat berkorban untuk Islam.

  4. Kehidupan ini ada hadnya dan setelah mati kita semua akan dibangkitkan, dihimpunkan dan dihisab segala perbuatan kita sama ada kebaikan atau pun dosa. Timbangan inilah yang menentukan nasib kita sama ada ke syurga atau ke neraka. Allah mengetahui apa sahaja yang seseorang itu lakukan, bahkan apa yang ada dalam hati pun Allah maha mengetahuinya, tetaplah kita sentiasa cuba berubah meninggalkan perbuatan sia-sia dan menambah amalan yang nabi contohkan.

Ayat 149

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۖ وَإِنَّهُ لَلحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

  1. Sebelum ini telah ada arahan untuk menghadap ke Masjidil Haram ketika solat. Ayat ini memberi penegasan tentang kiblat baru ini. Bukan sahaja kita menghadap ketika di rumah atau di masjid, arahan menghadap ini juga sama sahaja ketika nabi saw keluar bermusafir untuk dakwah, berperang atau kerana urusan lain. Kita kena berusaha untuk menghadapkan diri ke kiblat, jika perlu tanya orang, belajar gunakan kompas dan belajar mengagak arah berpandukan matahari.

  2. Penetapan arah kiblat ketika keluar dari rumah ini benar dari Allah, perintah ini menunjukkan solat tetap sahaja perlu dilakukan dalam walaupun ketika musafir, walaupun tiada masjid, walaupun tiada air, walaupun tiada azan didengari, walaupun tiada orang Islam lain. Perintah menghadap kiblat juga kekal sampai bila-bila kerana tiada lagi wahyu atau petunjuk dari Allah dan agama Islam telah sempurna, semua yang Allah mahu kita turuti telah ditunjukkan nabi saw.

  3. Ketika perintah pertukaran kiblat ini ada di kalangan sahabat yang enggan menuruti kiblat baharu, terutamanya sahabat yang asalnya Yahudi atau Nasrani. Mereka sangat memuliakan Baitul Maqdis. Golongan munafik pula yang hanya menghadap Masjidil Haram ketika adanya nabi saw, apabila nabi tiada mereka kembali solat menghadap Baitul Maqdis. Benda dah jadi kebiasaan setempat memang susah ditinggalkan melainkan jika kita redha dengan apa yang Allah perintahkan.

Ayat 150

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَيكُم حُجَّةٌ إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم فَلا تَخشَوهُم وَاخشَوني وَلِأُتِمَّ نِعمَتي عَلَيكُم وَلَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Ka’bah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepadaKu (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

  1. Ayat ini ditujukan kepada umat Islam keseluruhannya. Ke mana pun kita keluar, apabila tiba waktu untuk solat kita perlu menghadapkan wajah kita ke arah Masjidil Haram. Selagi kita mampu kita kena cari arah kiblat dengan betul, namun dalam keadaan terdesak ke mana pun kita boleh bersolat. Banyak masjid lama yang apabila disemak arah kiblatnya agak lari dan perlu kita betulkan, begitu juga di dalam rumah arah kiblat perlu juga disemak dah dibetulkan.

  2. Orang-orang Yahudi dan Nasrani di zaman nabi saw memerhati dan memantau peristiwa perubahan kiblat ini kerana di dalam kitab mereka telah tercatat perkara besar ini. Sekiranya umat Islam mengubah lagi kiblat mereka maka ia akan jadi hujah buat mereka untuk menolak Islam lagi. Walaupun dalam Islam sendiri terpecah kepada 73 golongan seperti yang disebutkan dalam hadith namun kiblat kesemuanya tetap sama iaitu Masjidil Haram dan tiada khilaf dalam hal ini.

  3. Akan ada golongan yang mencela pensyariatan perubahan kiblat ini, golongan ini adalah golongan yang degil, degil kerana enggan menuruti perintah Allah atau degil kerana menuruti hawa nafsu. Allah mengingatkan kaum Muslimin supaya tidak takut kepada celaan mereka tetapi kita hanya perlu takut kepada Allah sahaja. Dakwah tidak akan berjaya jika kita takutkan celaan. Setelah takut kepada Allah, akan Allah sempurnakan nikmatnya dan memudahkan petunjuk buat kita.

Ayat 151

كَما أَرسَلنا فيكُم رَسولًا مِّنكُم يَتلو عَلَيكُم ءَايَـٰتِنَا وَيُزَكّيكُم وَيُعَلِّمُكُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

(Nikmat berkiblatkan Ka’bah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

  1. Ayat ini adalah ayat permisalan kepada peristiwa perubahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Perubahan kiblat itu adalah peristiwa yang besar dalam Islam, perumpamaannya adalah seperti diutuskan Nabi Muhammad saw dari kalangan manusia berbangsa Arab, berbahasa Arab sesuai dengan tempat dia diutuskan. Nabi Muhammad juga adalah penutup bagi era kenabian, ajarannya adalah muktamad buat keseluruhan umat manusia. Tiada lagi ajaran-ajaran baru setelahnya.

  2. Kepentingan nabi diutuskan dengan bahasa yang sama dengan kaumnya disebut dalam surah Ibrahim ayat 4; "Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka." Dalam dakwah bahasa sangat penting supaya dakwah itu jelas dan dapat membersihkan jiwa seseorang dari amalan syirik dan maksiat. Pembersihan jiwa bermula dengan mempelajari Al-Quran dengan bahasa yang kita fahami.

  3. Apakah yang Nabi Muhammad dahwahkan? Beliau mendakwahkan ayat-ayat yang diturunkan kepadanya. Dalam berdakwah kepada yang bukan Islam atau yang Islam pendakwah mestilah membacakan ayat-ayat Allah iaitu Al Quran kepada mereka. Pendakwah tidak boleh memandai-mandai mengatakan sesuatu itu tidak boleh dilakukan atau boleh dilakukan melainkan adanya dalil dari Al Quran atau Sunnah. Dari belajar Al Quran jiwa seseorang disucikan.

Ayat 152

فَاذكُروني أَذكُركُم وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

  1. Lanjutan dari ayat sebelum ini, setelah kita belajar Al Quran dan hikmah (sunnah) sebagaimana para sahabat belajar dari nabi saw, selanjutnya Allah perintahkan kita untuk selalu ingat kepadaNya dengan zikir. Dalam masyarakat ada yang faham zikir itu hanyalah kalimah tasbih, tahmid, takbir dan tahlil sedangkan zikir itu lebih luas dari itu bahkan ada zikir yang lebih utama iaitu membaca Al Quran dan solat. Solat ialah puncak ibadah dalam mengingati Allah.

  2. Firman Allah dalam surah Al Ankabut 45; "Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." Sebagaimana kita mengetahui Allah sentiasa melihat kita, dalam solat kita perlu tetapkan rasa seolah-olah kita melihat Allah juga. Apabila perkara ini dicapai barulah rasa khusyuk itu akan hadir.

  3. Setelah mengingati Allah, Allah juga akan mengingati kita dengan membalas dengan kebaikan. Semakin banyak kita mengingati Allah, semakin banyak pula Allah ingat kepada kita untuk menambah nikmat dan iman kepada hambaNya yang mengingatiNya. Semua cara zikir telah ditunjukkan oleh nabi saw dan tiada petunjuk lain yang boleh kita ikuti dalam ibadah selain petunjuk nabi. Ada aliran tertentu yang mengamalkan zikir huhuhu, ini tiada dalam sunnah yang ditunjukkan nabi.

  4. Setelah mendapat nikmat, Allah mengingatkan kita supaya bersyukur dengan taat kepadaNya, tanda seseorang itu bersyukur ialah dengan taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah. Dalam hadith Aisyah ada disebut tentang pertanyaannya kepada nabi tentang solat nabi yang sampai bengkak kaki sedangkan dosanya diampunkan. Nabi menjawab kerana itu tanda sorang hamba bersyukur. Orang yang setelah diberi nikmat tetapi tidak taat tergolong dalam golongan kufur.

Tamat ruku' 18 dari 40 ruku' dalam surah Al Baqarah.

 

2 ulasan:

  1. Jangan menangguhkan suatu pekerjaan. Ini terkadang masih saya lakukan 😔. Padahal Allah sudah menegaskan itu yaaa. Reminder lagi untuk saya.

    Belajar agama dengan berstruktur, saya setuju. Jangan asal ambil darah podcast, atau medsos yg biasanya hanya sepotong2 informasi yg diberikan. Pilih ustad yg sudah punya reputasi baik, bahasa halus. Saya paling benci kalau ada ustad yg bicaranya kasar, keras dan tidak ada saringan di mulut. Adaa yg begitu di sini

    Nabi diutus dengan bahasa yg sama dengan kaumnya, masuk akal sangat. Macam mana pula nak paham kalau sang nabi menjelaskan bahasa yg berbeda. Pasti susahlah. Dan ajaran tersebut tak akan terserap dengan baik.

    BalasPadam