Tuesday, July 26, 2005

Skim piramid menjurus skim cepat kaya

SKIM piramid ialah skim perkiraan bagi pengedaran atau penjualan komoditi. Seseorang itu mendapat faedah wang yang tidak bergantung pada jumlah atau kuantiti barang dan perkhidmatan dijual atau diedarkan kerana ia diasaskan kepada penajaan seorang atau lebih peserta ke dalam skim itu.

Ciri-ciri skim piramid adalah seperti berikut:

1. Menetapkan bilangan penajaan seperti ganjaran atau bonus dibayar berdasarkan kepada penajaan ahli yang ditetapkan, bukannya berdasarkan jumlah jualan yang dibuat.

2. Menjanjikan pendapatan yang tinggi dalam masa singkat berdasarkan bilangan ahli ditaja.

3. Skim latihan dan ceramah yang dianjurkan tidak menekan kepada kualiti produk atau cara memasarkan produk, tetapi lebih kepada cara bagaimana untuk menarik masuk peserta baru dalam skim.

4. Harga barangan atau perkhidmatan adalah lebih tinggi dan tidak setimpal dengan nilai sebenar barangan atau perkhidmatan itu.

Kerajaan mengambil langkah mengharamkan skim ini kerana ia lebih menjurus kepada skim cepat kaya yang memberi keuntungan hanya kepada segelintir peserta di peringkat tertinggi dan tidak kepada sebahagian besar peserta di peringkat bawah.

Dengan kata lain, hanya beberapa peserta terawal atau atasan saja mendapat faedah atau pulangan lumayan manakala sebahagian besar peserta di peringkat bawahan hanyalah penyumbang supaya peserta atasan dapat menikmati faedah.

Kerajaan sedang menggubal Akta Anti Piramid bagi mengharamkan skim ini dan akan mengenakan hukuman mandatori (denda dan penjara) ke atas penganjur dan juga peserta skim.

Bagaimana jika didatangi penganjur skim piramid?

1. Periksa sama ada syarikat itu mempunyai lesen sah dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan.

2. Rujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan syarikat (jualan langsung) memiliki lesen yang sah.

3. Meneliti pelan pemasaran syarikat dan buat rujukan dengan Unit Jualan Langsung, KPDNHEP mengenai kesahihan pelan yang dikemukakan.

No comments:

Post a Comment