Selasa, Oktober 28, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 16/40 (Ayat 130-141)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 16/40 (Ayat 130-141)

Ruku' 16 dari surah Al Baqarah ini merangkumi tentang; 1. Agama nabi Ibrahim iaitu Islam, 2. Perintah beriman kepada semua nabi, 3. Penyucian diri seseorang adalah datang dari Allah dan bukan dari ritual manusia, dan 4. Nabi Ibrahim dan keturunannya adalah Muslim.

Ayat 130

وَمَن يَرغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبرٰهِـۧمَ إِلّا مَن سَفِهَ نَفسَهُ ۚ وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

  1. Nabi Ibrahim as dipandang tinggi oleh orang Islam dan juga ahli kitab Yahudi dan Nasara. Apa yang kemudiannya dibawa oleh nabi Muhammad saw adalah kesinambungan dari apa yang dibawa oleh nabi Ibrahim. Setelah ribuan tahun orang Yahudi dan Nasrani masih tidak dapat menerima hakikat ini, sama ada mereka keliru atau mereka sengaja mengelirukan diri sendiri. Semua nabi membawa ajaran Islam, tetapi istimewa bagi nabi Ibrahim ajarannya disebut dengan Millah Ibrahim.

  2. Golongan yang membenci apa yang dibawa oleh nabi Ibrahim as adalah golongan yang memperbodohkan diri mereka sendiri. Agama itu sentiasa membawa kepada cahaya yang satu iaitu tauhid, kepercayaan lain seperti mensyirikkan Allah, menyembah patung, menyembah api, percaya kepada bintang-bintang, bertapa di dalam gua, berdoa kepada mayat, berdoa kepada pokok, mengambil berkat pada benda yang tiada berkat semuanya adalah benda bodoh yang manusia lakukan dari dahulu.

  3. Allah sendiri yang telah memilih nabi Ibrahim as sebagai imam atau ikutan buat manusia di zamannya. Kebanyakan ahli kitab tahu semua nabi termasuk nabi Ibrahim adalah pilihan Allah namun apabila nabi Muhammad saw diutuskan mereka tidak dapat menerimanya kerana hawa nafsu. Nabi Ibrahim memiliki kedudukan tinggi di akhirat kelak kerana kesolehannya yang tinggi, semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Ayat 131

إِذ قالَ لَهُ رَبُّهُ أَسلِم ۖ قالَ أَسلَمتُ لِرَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

  1. Ayat ini menjelaskan arahan terpenting Allah kepada nabi Ibrahim as iaitu berserah diri hanya kepada Allah dalam tauhid dan amal. Dalam masyarakat kita banyak disebutkan Islam itu bermaksud selamat, ini huraian yang kurang tepat kerana Islam itu lebih bermaksud serah diri kepada Allah, setelah kita serah diri kita dari segi tauhid dan amal barulah kita selamat. Ayat ini adalah teguran kepada ahli kitab yang meyakini nabi Ibrahim beragama sama dengan mereka.

  2. Dari zaman nabi Adam as lagi agama yang dibawa para nabi dan rasul adalah Islam, hanya para alim di kalangan ahli kitab yang mengubah nama agama Islam kepada Yahudi dan Kristian. Dalam surah Al Hajj ayat 78; "(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu", dalam surah Ali Imran ayat 85; " Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam". Agama nabi Musa dan Isa as adalah Islam.

  3. Nabi Ibrahim menjawab pertanyaan Allah dengan mengatakan beliau telah lama berserah diri kepada Rabb sekalian alam. Ada beza orang yang menjawab ya dengan jawapan telah lama. Ini menunjukkan penekanan dan ganti nama Allah dengan Rabb menekankan bahawa beliau adalah hamba dan Allah adalah tuhan sekalian alam. Allah memperkenalkan siapa nabi Ibrahim kepada seluruh manusia terutamanya kepada ahli kitab yang menerima kerasulannya.

Ayat 132

وَوَصّىٰ بِها إِبرٰهِـۧمُ بَنيهِ وَيَعقوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ اللَّهَ اصطَفىٰ لَكُمُ الدّينَ فَلا تَموتُنَّ إِلّا وَأَنتُم مُّسلِمونَ

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

  1. Sambungan dari pengakuan nabi Ibrahim as untuk menerima Islam dan berserah diri hanya kepada Allah. Setelah selesai untuk dirinya baginda wasiatkan pula kepada anaknya. Walaupun ada pandangan bilangan anak nabi Ibrahim adalah lebih dari dua namun di dalam al Quran hanya nabi Ishaq dan nabi Ismail sahaja disebut. Dalam masyarakat kita, wasiat biasanya dikaitkan dengan harta, sebenarnya wasiat yang utama ialah wasiat berpegang kepada ajaran Islam sebenar.

  2. Wasiat yang sama disampai oleh nabi Yaakub as kepada anaknya yang berjumlah 12 orang iaitu yang termasuk Nabi Yusuf as dan Bunyamin. Dari keturunan ini muncul Bani Israil. Hanya Islam sahaja agama yang diterima Allah. Walaupun agama lain ada yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan namun agama yang diterima hanya Islam. Penetapan ini adalah rahmat Allah kepada manusia. Keturunan yang baik tidak menjamin selamatnya seseorang di akhirat.

  3. Nabi Yaakub juga menasihati anaknya supaya jangan mati melainkan setelah betul-betul berserah diri kepada Allah. Hakikatnya tiada siapa yang boleh mengelak mati cuma sementara kita masih hidup ini hendaklah kita faham tentang Islam sepenuhnya. Bagaimana hendak berserah diri jika masih belum faham Islam dan bagaimana kita hendak faham Islam jika kita tidak faham al Quran. Adik-beradik Nabi Yusuf pernah jahat namun akhirnya kesemua mereka menjadi orang beriman.

  4. Doa nabi Yusuf dalam surah Yusuf ayat 101; (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh. Rasulullah telah bersabda; Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya. Hadis riwayat al-Bukhari. Mewasiatkan ketaatan kepada Allah boleh dibuat ketika hampir mati juga ketika anak mula baligh, ini dicontohkan dalam surah Luqman.

Ayat 133

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

  1. Orang Yahudi masih tidak mempercayai wasiat nabi Yaakub as kepada 12 anaknya yang mahu mereka semua mewarisi Islam sebagai agama sebagaimana agama nabi Ibrahim as. Sehinggakan Allah menempelak mereka kerana mereka tiada pun ketika wasiat Islam agama benar itu disampaikan. Mereka hanya dengar kata-kata pendeta mereka yang telah sesat. Ayat ini juga menunjukkan ketika hampir wafat nabi Yaakub memanggil anak-anaknya semua.

  2. Penting untuk mewasiatkan agama kepada anak-anak kerana merekalah yang akan mendoakan kita setelah ketiadaan kita. Ini selaras dengan petikan ayat 6 dari surah Al Tahrim; "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka". Ibubapalah yang paling rapat dengan anak untuk menasihatinya. Pertanyaan nabi Yaakub dengan menggunakan apa dan bukan siapa menunjukkan sembahan ini boleh jadi benda-benda, peraturan, amalan, kuasa dan lain-lain.

  3. Boleh jadi pada ketika itu semua anaknya beriman kepada Allah, tetapi bagaimana setelah lama ketiadaannya? Adakah akan tetap beriman? Anak-anak nabi Yaakub membuat pengakuan, yang mereka sembah sama dengan apa yang bapa mereka sembah, begitu juga sama dengan apa yang nabi Ibrahim, Ismail dan Ishaq sembah. Ini menunjukkan ketegasan pegangan mereka. Ini juga bukti mereka semua beriman walaupun ada kisah mereka membuli nabi Yusuf ketika kecil.

  4. Agama semua para nabi adalah sama sahaja iaitu Islam, bani Israil telah menggantikan Islam dengan agama rekaan pendeta mereka iaitu agama Yahudi. Dalam beragama mereka telah menolak wahyu dan menerima apa yang hawa nafsu mereka suka. Dalam kehidupan kita juga kita kena lihat apakah ada amalan yang tiada dalam wahyu yang dijadikan seolah-oleh ia sebahagian dari agama dibimbangi kita juga menjadi para pengikut hawa nafsu dan kebiasaan setempat.

Ayat 134

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

  1. Apa-apa usaha orang terdahulu sama ada usaha ke arah kebaikan atau usaha ke arah keburukan hanya mereka yang akan mendapat balasan sendiri. Keturunan yang baik tidak menjamin kita tergolong dalam orang yang baik, begitu juga keturunan yang jahat tidak pula pasti menjadikan seseorang itu jahat. Kita hanya akan menanggung balasan apa yang telah dipertanggung jawabkan kepada kita sahaja. Perkara baik dan buruk semuanya bermula dengan usaha kita sendiri.

  2. Allah berfirman dalam surah Al An'am ayat 164; "Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)". Tiada istilah menanggung biawak hidup dalam Islam dari segi amalan beragama. Setiap orang bertanggung jawab atas perbuatan masing-masing. Dalam surah Al Najm ayat 39 juga disebut perkara ini.

  3. Nabi saw bersabda; "“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.” (Riwayat Muslim No. 1631)". Berusahalah kita untuk mewariskan ilmu agama kepada anak-anak kerana kita amat perlukan doa dari mereka setelah kita meninggal dunia. Inilah yang diajarkan nabi Ibrahim dan nabi Yaakub as dalam ayat terdahulu.

  4. Sudahlah kita tidak mewarisi iman dan juga kekufuran orang terdahulu, malah kita pun tidak akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan. Mungkin ramai yang berbangga dengan keturunan mereka contohnya berbangga menjadi keturunan ulama tersohor atau berbangga keturunan nabi sedangkan itu semua tidak memberi manfaat sedikit pun kepada kita. Tetap sahaja kita mendapat balasan atas apa yang kita buat, pastikan amalan itu ada contohnya dari nabi saw.

Ayat 135

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ تَهتَدوا ۗ قُل بَل مِلَّةَ إِبرٰهِـۧمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia daripada orang-orang musyrik”.

  1. Orang Yahudi suruh orang Islam memeluk agama Yahudi dan orang Nasrani suruh orang Islam masuk agama Kristian. Kononnya agama-agama ini membawa kepada petunjuk. Ada juga pendapat yang mengatakan walaupun asalnya Yahudi dan Nasrani bermusuh tetapi apabila berhadapan dengan Islam mereka akan bersatu, masuklah ke dalam apa pun asalkan bukan Islam. Tugas mereka sentiasa cuba mengelirukan orang Islam supaya mengikuti cara kehidupan mereka.

  2. Jika pun tidak keluar dari Islam dan masuk ke dalam agama mereka pun tidak mengapa asalkan orang Islam mengikuti cara mereka. Ini seperti hadith popular berkenaan mereka iaitu peringatan nabi saw tentang umatnya yang akan mengikut cara Yahudi dan Nasara sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta bahkan jika mereka masuk ke lubang biawak pun akan orang Islam yang mengikuti mereka. Para sahabat menekanya dengan tepat musuh-musuh Islam ini.

  3. Nabi saw menolak hasutan mereka itu dan mengatakan kami mengikuti agama nabi Ibrahim as dari segi tauhidnya. Sememangnya semua nabi menyeru kepada tauhid yang sama cuma nabi Ibrahim signifikan dengan Yahudi dan Nasara kerana mereka berketurunan dan nabi Ibrahim dan mereka menghormati dan mengakuinya kebenaran apa yang dibawanya. Mereka tidak sedar agama Yahudi dan Nasrani itu telah dipesongkan oleh para alim ulama dalam kalangan mereka.

  4. Sikap fanatik menyebabkan Yahudi membuat pengakuan bahawa nabi Ibrahim beragama Yahudi, dan Nasara mengatakannya beragama Kristian. Ini dinyatakan dalam surah Ali Imran ayat 67; "Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik."

  5. Dalam masyarakat kita ada juga yang berperangai seperti ini apabila fanatik meliputi hati mereka setelah terpedaya dengan ilmuan yang terpesong. Sampai ada fanatik mazhab Syafie mengatakan nabi Muhammad saw bermazhab Syafie. Ada juga yang mengatakan nabi Muhammad berakidah Asya'irah. Begitu juga orang orang tarikat mengatakan nabi saw beraliran sufi. Mereka mengajarkan beri'tikaf di gua sedangkan sebenarnya nabi mengajarkan beri'tikaf di masjid.

  6. Nabi saw juga menambah bahawa nabi Ibrahim bukanlah pelaku kesyirikan seperti Yahudi, Nasrani dan termasuk juga musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah juga mengakui nabi Ibrahim as sebagai nabi mereka, mereka menganggap mereka mengikuti agama yang dibawa nabi Ibrahim tetapi sebenarnya dalam ibadah mereka telah ada kesyirikan, mereka berdoa kepada Allah dengan perantara yang mereka reka sendiri seperti patung-patung. Mereka mahukan simbol tuhan yang nampak di mata.

Ayat 136

قولوا ءَامَنَّا بِاللَّهِ وَما أُنزِلَ إِلَينا وَما أُنزِلَ إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَما أوتِيَ موسىٰ وَعيسىٰ وَما أوتِيَ النَّبِيّونَ مِن رَّبِّهِم لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّنهُم وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Qur’an), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.

  1. Ini adalah perintah kepada seluruh umat manusia, setelah beriman kepada Allah kita juga perlu beriman kepada apa yang telah Allah turunkan kepada kesemua nabi-nabiNya. Sebagaimana Yahudi menerima Taurar, Nasrani menerima Injil, mereka juga wajib menerima Al Quran kerana Allah yang menurunkan Taurat, Injil dan Al Quran. Penerimaan di sini kepada umat Islam bulankah dari syariat tetapi dari dari segi aqidah atau tauhidnya. Asal semua kitab yang diturunkan adalan murni dari pemesongan.

  2. Selain dari kita beriman bahawa semua nabi menerima wahyu dan seruannya adalah tauhid, kita juga beriman semua dari mereka menyampaikan wahyu kepada umatnya masing-masing. Kita juga beriman semua wahyu adalah murni dari Allah, tiada sedikit pun ianya dikarang sendiri oleh mana-mana nabi. Wahyu dikhabarkan dalam Al Quran berupa kitab dan suhuf. Kandungan kitab terdahulu sebelum Al Quran tidak dapat dipastikan kebenarannya melainkan disebut di dalam Al Quran.

  3. Selain dari kitab dan suhuf yang dinyatakan diberikan kepada nabi tertentu, nabi lain turun menerima wahyu, nabi Ismail as juga menerima wahyu, nabi Ishaq as juga menerima wahyu dari Allah. Bagi nabi Musa as baginda dinyatakan dalam surah Al A'la menerima suhuf dan menerima kitab Taurat, ada pendapat mengatakan suhuf ini sebahagian dari Taurat dan ada juga pandangan ianya berbeza. Sebahagian kandungan suhuf Ibrahim dan Musa dinyatakan dalam surah Al A'la.

  4. Kita perlu beriman kepada kesemua nabi tanpa membeza-bezakannya. Ini menyangkali sikap bani Israil yang mengetahui kenabian nabi Muhammad saw tetapi menolaknya, nasrani juga mengetahui kenabian nabi Muhammad tetapi menolaknya. Apabila penutup sekalian nabi mereka ingkari mereka telah jatuh kufur sebelum mengetahui syariat, mengikuti syariat dan meninggalkan larangan. Disebut juga dalam Al Baqarah 253; "Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain."

Ayat 137

فَإِن ءَامَنُواْ بِمِثلِ ما ءَامَنتُم بِهِ فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما هُم في شِقاقٍ ۖ فَسَيَكفيكَهُمُ اللَّهُ ۚ وَهُوَ السَّميعُ العَليمُ

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

  1. Dalam ayat ini Allah mengangkat kedudukan para sahabat nabi yang mengikuti petunjuk nabi Muhammad saw, Allah mengakui keimanan mereka dan penting bagi kita beriman sebagaimana mereka, begitu juga penting bagi kita berfahaman sebagaimana pemahaman mereka dalam beragama. Mereka melihat sendiri cara nabi solat dan menjalani ibadah, mereka yang meriwayatkan perbuatan dan kata-kata nabi supaya kita dapat mengikutinya. Mereka adalah kayu ukur sunnah nabi.

  2. Para sahabat beriman dengan petunjuk yang benar, bukan sahaja kita mengikuti apa yang mereka lakukan dalam ibadah tetapi juga kita meninggalkan apa yang tidak mereka lakukan dalam urusan agama. Urusan agama adalah perkara yang apabila dilakukan kita mengharapkan pahala darinya. Jika tiada petunjuk dari mereka maka berhati-hatilah kerana boleh jadi sesuatu perkara itu adalah rekaan orang terkemudian dan ada ancaman nabi tentang perkara baru dalam agama.

  3. Allah mengingatkan orang-orang yang menyanggah Sunnah itu adalah golongan sangat memusuhi Islam dan sentiasa kekal untuk berbalah dengan petunjuk yang benar. Golongan yang dimaksudkan ini adalah golongan yang mengaku beriman tetapi mengikuti petunjuk lain dari Al Quran dan Sunnah. Dalam menghadapi permusuhannya ini Allah menyatakan فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ (cukuplah Allah bagi kamu terhadap mereka). Apa yang para sahabat pegang adalah pasti selamat.

Ayat 138

صِبغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبغَةً ۖ وَنَحنُ لَهُ عَـٰبِدُونَ

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat”.

  1. Ayat ini menyanggah perbuatan ahli kitab yang tidak menerima Islam sepenuhnya sebagaimana para sahabat nabi saw menerima Islam. Di antara kekeliruan ahli kitab Yahudi dan Nasrani ialah adanya amalan mandi untuk menghilangkan dosa atau mandi untuk masuk ke agama mereka. Allah berfirman صِبغَةَ اللَّهِ, cukuplah dengan celupan Allah. Ialah sebaik-baik pencorak kehidupan. Celupan menggambarkan kehidupan yang sebati dengan agama yang diterima Allah.

  2. Di dalam Islam, cara untuk masuk ke dalam agama Islam adalah dengan mengucap shahadah dengan disaksikan muslim yang lain. Tiada amalan mandi untuk menyucikan diri dari dosa dahulu, begitu juga tiada amalan mandi sebagai pelindung, penguat semangat, mudah mendapat jodoh, tiada amalan mandi laut sebagai pemujaan kepada penunggu laut, juga tiada amalan mandikan kenderaan baru oleh "ustaz". Semua itu adalah rekaan yang boleh membawa kepada syirik.

  3. Jika seseorang itu boleh yakin hanya ada satu tuhan yang menciptakan seluruh alam dan mengaturnya, bagaimana pula dia tidak yakin untuk beragama dengan agama yang telah ditetapkan oleh tuhan itu. Celupan Allah pastilah yang terbaik manakala celupan rekaan manusia hanyalah berpandukan hawa nafsu dan percaya hanya di atas sangkaan. Mungkin hanya apabila nyawa sudah sampai kerongkong baru seseorang itu menyesal mengikuti jalan lain namun telah terlambat.

  4. Dalam surah Al Isra ayat 36 Allah melarang kita mengikuti suatu amalan yang tidak diketahui asalnya (tiada petunjuk nabi). " Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya". Tiada istilah mandi bunga untuk buang sial, perkara ini telah sebati dalam masyarakat hingga ramai yang tidak mengetahui perkara begini adalah kesyirikan.

Ayat 139

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمَـٰلُنَا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

  1. Ayat ini adalah teguran kepada kaum Yahudi dan Nasrani juga kepada Musyrikin Mekah, kelompok ini menyembah Allah tetapi dari segi tauhid ada banyak penyimpangan. Allah menyuruh nabi saw bertanya kepada mereka adakah mereka ingin berhujah tentang Allah (tauhid)? Telah banyak dibongkarkan kesilapan mereka dalam menyembah Allah, ada yang mengatakan Allah mempunyai anak, menyembah Allah dengan perantara, mereka juga kata jika pun mereka masuk neraka, hanya sekejap.

  2. Allah adalah tuhan bagi sekalian umat manusia, jika Yahudi dan Nasara mengakui mereka beriman kepada Allah, mereka juga perlu terima rasul terakhir yang bukan dari bangsa mereka. Apa yang dibawa sama sahaja dengan nabi mereka iaitu menyembah Allah yang satu dan meniadakan tandingan bagiNya. Setelah adanya syariat baru, amalan terdahulu adalah terbatal begitu juga amalan terkemudian yang direka. Amalan yang diterima hanyalah apa yang dicontohkan nabi saw.

  3. Amalan Islam hanya untuk umat Islam dan amalan bukan Islam haram dilakukan umat Islam. Semua amalan yang diharapkan pahala darinya perlulah dicontohkan nabi saw. "Barang siapa yang meniru tradisi suatu kaum maka dia adalah sebagian daripada kaum tersebut." (Sunan Abu Daud). Berhati-hati juga dengan amalan nenek moyang yang tiada asalnya di dalam Al Quran dan Sunnah. Setelah melakukan amalan yang shahih berusahalah untuk ikhlaskan diri kerana Allah semata.

Ayat 140

أَم تَقولونَ إِنَّ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطَ كانوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ ۗ قُل ءَأَنتُم أَعلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

“Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telah pun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

  1. Ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani sememangnya mengagungkan nabi Ibrahim as dan mengiktiraf baginda tetapi bukan dengan cara yang benar. Bukan sahaja nabi Ibrahim, bahkan nabi Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucu mereka pun telah dinisbahkan kepada perkara yang tidak benar. Ahli kitab itu mengatakan nabi-nabi ini beragama Yahudi dan Nasrani sedangkan dalam kitab mereka pun tidak ada disebutkan sedemikian dan agama palsu itu pun datang setelah mereka.

  2. Firman Allah dalam surah Ali Imran 65; "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?" Kata mereka tentang agama para nabi samalah silapnya seperti mengatakan perlunya mengakui nabi Isa sebagai tuhan barulah seseorang itu akan masuk syurga. Semua para nabi membawa Islam.

  3. Firman Allah dalam surah Ali Imran 67; "Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik." Takkanlah ahli kitab ini lebih tahu dari Allah. Apakah wajar kita bersi.kap lebih pandai dari Allah? Apa yang Allah sampaikan; terima sepenuhnya.

  4. Semua kepalsuan ini berlaku kerana adanya ahli kitab yang menyembunyikan penyaksian mereka kepada kebenaran. Ada ayat-ayat yang disembunyikan dan tidak diajar kepada masyarakat. Dalam kalangan ahli agama Islam pun ada yang menyembunyikan kebenaran kerana takut dikecam manusia atau takut kedudukannya tergugat. Ancaman ini merangkumi semua yang berpengetahuan agama. Allah maha mengetahui dan akan membalas perbuatan buruk ini dan tiada yang akan terlepas.

Ayat 141.

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

  1. Lafaz ayat 141 dari surah Al Baqarah ini serupa 100% dengan ayat 134 dari surah yang sama. Ini menunjukkan penegasan Allah tentang tanggung jawab atas amalan. Ayat 134 datang setelah nasihat atau wasiat nabi Yaakub as kepada anak-anaknya supaya menyembah Allah yang satu, ayat 141 pula datang setelah kisah 4 nabi terdahulu as yang dinisbah palsu oleh Yahudi dengan mengatakan mereka beragama Yahudi. Usaha orang terdahulu telah selesai, yang belum selesai kita.

  2. Apa yang orang terdahulu lakukan hanya mereka yang akan mendapat balasan darinya, sama ada balasan yang baik atau balasan yang buruk. Sama seperti mereka, kita juga bertanggung jawab atas apa yang kita usahakan dalam memahami dan melaksanakan tanggung jawab agama. Perbuatan yang baik akan dibalas baik dan perbuatan yang buruk akan dibalas buruk. Jangan kita hanya berbangga dengan kemuliaan keturunan tetapi kita tidak mencontohi perbuatan baik mereka yang benar.

  3. Apa yang baik dari kaum terdahulu kita contohi dan apa yang buruk kita tinggalkan. Bagusnya kita sebagai umat Islam ini, kita masih ada kitab Al Quran yang sentiasa terjaga, akan ada kelompok yang berhujah dengannya mengikut pemahaman para sahabat, kita ada ribuan hadith nabi saw yang telah dibukukan. Apa juga masalah yang dihadapi kita boleh kembali kepada Al Quran dan Al Sunnah, itulah yang sebaik-baik dan sebetul-betul tindakan dan panduan.

  4. Tiada yang dapat menentukan keturunannya selamat atau mulia melainkan adanya dalil yang menentukannya. "Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku, kemudian mereka yang datang selepas mereka, kemudian mereka yang datang selepas mereka..." (Riwayat al-Bukhari & Muslim). Tiga generasi ini dipuji nabi saw kerana iman mereka yang benar, kekuatan mereka pada ilmu agama dan keikhlasan mereka dalam amalan mereka. Tiga generasi ini adalah generasi yang kita banggakan.

Tamat juzuk 1 dan ruku' 16 dari 40 ruku' surah Al Baqarah.

 

Ahad, Oktober 26, 2025

Selesai Menggantikan Screen Laptop

Uji skrin yang baru diganti.

Assalamualaikum, selamat tengah hari dan selamat berhujung minggu. Apa pun sebenarnya hari Ahad dah masuk permulaan minggu seterusnya. Tetap sahaja orang akan sebut hari Ahad sebagai hujung minggu. Ringkas sahaja catatan kali ini sementara ada masa sedikit sebelum masuk waktu Zohor

Hari Rabu baru ni ada seseorang bertanya sama ada aku boleh repair laptop. Skrin laptop Dell Latitude 5450nya retak sebab terjatuh dari tempat yang tinggi. Dia ada beri tahu laptop ni adalah laptop tempat dia bekerja bermakna bukan laptop sendiri. Dia agak risau kerana tu dia nak cepat-cepat baiki. Katanya jika company tahu boleh jadi dia kena buang kerja. Huish kejam betul companynya. Aku pun minta dia hantarlah laptop tu supaya dapat aku check dahulu modelnya dan kena semak dahulu betul ke skrin sahaja yang rosak. Bimbang juga kalau kita try nak betulkan satu perkara tapi ada masalah lain pula. 

Setelah disemak aku pun yakin dengan ganti skrin maka akan ok baliklah laptop dia dan dia pun dah setuju dengan julat harga yang aku anggar. Sebab dia nak tahu dahulu sebelum sempat aku semak betul-betul. Nak cari skrin ganti ini agak tricky juga kerana setiap model ada model skrin tertentu sahaja yang sesuai, kena juga pastikan connectornya sama, semak resolusi dan option sentuhannya. 

Jadi semalam skrin pun sampai dan dapatlah aku menggantikannya dengan izin Allah. Semuanya ok dan bila diberitahu dia pun lega kerana dia mesti masuk kerja hari Isnin ini dengan laptop yang ok. Sempat juga aku tune Windows 11 dia untuk performance lebih baik. Windows 11 ini terkenal dengan masalah lag bila diguna lama tanpa tune-up. 

Terfikir juga di sektor kerajaan di mana banyak aset-aset ICT digunakan tetapi dari aspek menjaga tu macam tak ada langsung ada rasa nak menjaga. Pengguna biasa asyik minta komputer baru atau printer baru tetapi banyak yang cuai menggunakannya. Skrin berhabuk pun tak pernah ada rasa nak lap dengan kain, keyboard pun berhabuk. Macam mana boleh selesa guna begitu pun aku tak tahu. 

  

Pautan rawak: 

  1. 15 Google Docs Hacks Everyone Should Know
  2. Drama pagi.  
  3. Khilaf dalam membaca Al Fatihah bagi makmum.  
  4. Cara ibadah Haji dari doa Nabi Ibrahim.  

Rabu, Oktober 01, 2025

Bersembang Dengan Si Penjual Dangai

Kuih dangai. Gambar ihsan ikanmas.in.
Assalamualaikum dan selamat malam. Saja nak buat catatan sedikit tentang perbualan dengan seorang penjual dangai. Lepas Zohor tadi aku ke cafe untuk minum. Hujan boleh tahan lebat sebelum tu dan lepas Zohor itu pun masih renyai-renyai. Tiba-tiba rasa nak pekena teh tarik pula sejuk-sejuk ni. Aku pun belum pernah membeli di cafe ni, biasanya aku ke cafe satu lagi yang berdekatan surau.

Lepas dapat secawan teh tarik dari kaunter pesanan dan membuat bayaran, mata melilau mencari tempat. Disebabkan hujan ramai juga orang dan semua meja ada orang. Maka terpaksalah tumpang kongsi meja yang dah ada orang. Ada seorang lelaki Melayu bertopi sedang minum lalu aku pun tanya sama ada boleh duduk di meja dia tak? Dia pun ok sahaja.

Aku mulakan perbualan kerana kadang senyap tu lebih tak patut pada aku dari bercakap dengan orang yang tak dikenali. Disebabkan dia berbaju t-shirt dan jeans jadi aku jangka dia mungkin melawat pesakit kut. Dia kata isterinya di wad, baru lepas bersalin hari Ahad baru ni dan masa mandi, isteri dia pengsan. Itu yang kena tahan sampai hari ni (Rabu).  

Banyak juga yang kami sembangkan dan dia bekerja sebagai penjual dangai di Sungai Bakap, empat hari berniaga dan tiga hari lagi dia akan cari kelapa. Dangai ni bahan utamanya adalah kelapa, ia adalah kuih tradisional yang sedap juga. Terus rasa nak cari dangai ni bila-bila. Tak pasti di tempat lain ada atau tidak kuih ni kerana seingat aku setelah pindah ke Penang baru ada jumpa orang menjual kuih ni.  

Kemudian kami juga sembang pasal cara orang Melayu berniaga. Agak kagum juga aku kerana walaupun dia penjual dangai dia ada semangat yang kuat dan ilmu dia pun boleh tahan juga dalam berniaga. Mungkin datang dari keluarga yang berniaga juga tu. Tidak mustahil income dia berkali ganda dari orang yang makan gaji bulanan. 

Kami juga sembang pasal prosidur hospital, dia macam kurang puas hati bila isterinya kena tahan sampai hari ini, dia juga kata maklumat yang dia dapati tidak tetap. Mula katanya semalam dan boleh keluar, kemudian pagi tadi ada doktor kata kena tunggu sampai esok pula. Dia agak berkeras untuk bawa balik hari ini setelah result darah diperolehi. Katanya kena sign surat tanggung risiko sendiri. Aku cakaplah sekarang ni masalah juga di hospital sebab banyak kes saman-menyaman atas kecuaian. Mungkin sebab itulah doktor lebih berhati-hati. Dia pun setuju dan aku menambah kita orang yang percaya takdir ni tak perlulah nak berlebihan saman-menyaman. Walaupun kita nampak macam ada kekurangan di mana-mana mungkin ada hikmahnya yang kita sendiri tak terjangkau oleh pemikiran kita tentang aturan Allah. Aku pun ceritalah sedikit perihal cerita isteri aku setelah bersalin di Hospital Pulau Pinang (blog terbengkalai).  

Setelah itu aku pun minta diri untuk masuk ke pejabat. Semoga urusan pemuda penjual dangai ini dan keluarganya dipermudahkan.