Memaparkan catatan dengan label Tadabbur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tadabbur. Papar semua catatan

Jumaat, November 06, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 31/40 (Ayat 236-242)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 31/40 (Ayat 236-242)

Ruku' 31 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah in berkisar tentang perintah berkaitan mahar dalam kes perceraian, perintah memelihara solat dan pelaksanaan wasiat adalah diwajibkan.

Ayat 236

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتٰعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

  1. Ayat ini berkenaan perkahwinan yang tidak diteruskan sebelum suami menyentuh isterinya. Sentuh di sini bermaksud jimak. Perkataan kiasan digunakan supaya lebih sopan dan mudah diajarkan kepada pelbagai kelompok manusia. Al-Quran diturunkan untuk pelbagai kategori pembacanya. Bagi perempuan yang berpisah sebelum disentuh, tiada iddah baginya. Bagi suami pula, jika maskahwih tidak ditetapkan dahulu maka dia juga tidak perlu membayar maskahwin.

  2. Walaupun maskahwin tidak perlu ditunaikan tetapi suami perlu memberi mut'ah iaitu saguhati kepada bekas isterinya itu. Kadar mut'ah tiada ketetapannya, ia bergantung kepada kemampuan suami itu. Mut'ah dilihat sebagai jalan untuk menjaga nama baik suami dan juga sesuatu yang melegakan isteri. Ia juga menunjukkan perpisahan bukan perpisahan yang buruk. Boleh jadi lebih baik memutuskan perkahwinan daripada meneruskan perkahwinan dalam situasi tertentu dari awal.

  3. Antara contoh perkahwinan yang lebih baik diputuskan lebih awal ialah yang berkaitan dengan akidah. Lebih baik diputuskan lebih awal sekiranya ada pelaku syirik, berlaku murtad. Ada juga perkahwinan yang telah diaturkan keluarga dan kemudiaannya setelah kahwin ada perkara yang tidak boleh diterima. Boleh jadi seseorang isteri itu mempunyai kekasih yang masih berhubung, boleh jadi suami itu kaki maksiat, penghisap rokok, mengambil dadah atau penjenayah.

Ayat 237

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً فَنِصفُ ما فَرَضتُم إِلّا أَن يَعفونَ أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ ۚ وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ ۚ وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

  1. Dalam ayat sebelum ini, diterangkan tentang pasangan yang bercerai dalam situasi belum bersama (jimak) dan mahar atau mas kahwin tidak ditetapkan. Ayat ini pula tentang pasangan yang bercerai dalam situasi belum bersama dan mahar atau mas kahwin telah ditetapkan. Bagaimana hukumnya pada mahar itu? Mahar yang perlu diberikan adalah separuh daripada apa yang telah ditetapkan kecuali jika pihak isteri memaafkannya. Hukum ini memerlukan perbincangan kedua pihak.

  2. Di pihak lelaki pula, sekiranya mereka mahu memberikan keseluruhan mahar yang ditetapkan dahulu maka ia juga dibolehkan. Boleh jadi pihak lelaki dari golongan kaya dan kasihan dengan isteri yang diceraikannya. Yang memutuskan hubungan adalah pihak lelaki, dan dengan pemberian keseluruhan mahar ini mungkin ia dapat menjaga nama baik pihak lelaki. Perbuatan berlumba-lumba dalam memberi kebaikan ini tetap sahaja dianjurkan walaupun ketika berlakunya penceraian.

  3. Walaupun perkahwinan tidak menjadi sikap memaafkan antara satu sama lain tetap perlu diutamakan. Kita perlu melihat dalam konteks yang luas iaitu kesemuanya adalah takdir yang telah ditetapkan Allah dan pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Setelah itu Allah menganjurkan pula perbuatan berbuat baik dan berbudi. Jika lelaki memberikan mahar penuh maka pihak perempuan mungkin boleh membalas dengan sesuatu pula. Begitu jugalah sebaliknya.

Ayat 238

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

  1. Dalam berbicara tentang nikah dan cerai, diselitkan pula hal tentang solat. Ini menunjukkan bahawa dalam kesibukan menguruskan hubungan sesama manusia, jangan sampai kita lupa menjaga hubungan dengan Allah melalui solat. Penceraian adalah sesuatu yang menyedihkan dan tidak ada penyembuh lain yang lebih baik selain menjaga hubungan dengan Allah melalui solat. Melalui solat, banyak sekali masalah dapat diselesaikan dan melaluinya kita mengadu kepada Allah.

  2. Sebuah hadith daripada Abul ‘Abbas ‘Abdullah bin ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, ia berkata, “Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi ‎ﷻ, lalu baginda bersabda, ‘Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan mengajarkan beberapa kalimat kepadamu. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. (Jami’ Tirmidzi No. 2516. Hasan menurut Darussalam). Hubungan dengan Allah hendaklah dijaga.

  3. Solat 5 waktu telah ditetapkan waktu-waktunya supaya dalam kesibukan manusia menjaga hubungan dengan manusia, kita tidak lupa untuk mengingati Allah. Daripada Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang laki-laki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.” (Sahih Muslim No. 116). Meninggalkan solat adalah kesalahan paling besar.

  4. “Perkara pertama yang akan dihisab atas seorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalnya. Dan jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh amalnya.” (Riwayat at-Tirmidzi No. 413, dinilai hasan oleh al-Albani). Setiap manusia melakukan kesalahan dan kesalahan dihilangkan dosanya melalui wudhu, solat dan istighfar. Hendaklah seseorang itu menjaga solatnya dengan menumpukan beberapa perkara penting dalam bersolat.

  5. Perkara yang perlu diambil perhatian dalam menjaga solat ialah: 1. Menjaga waktunya dengan solat di awal waktu, 2. Menjaga syarat dan rukunnya, 3. Menjaga kekhusyukan ketika bersolat, 4. Konsisten dalam melaksanakannya, 5. Menjaga adab dan akhlak solat. Disebutkan secara spesifik tentang solat wusto (pertengahan) iaitu solat Asar. Solat Asar merupakan solat pertengahan dari kesibukan dan waktu manusia mula untuk berehat sehingga ramai yang mengabaikannya.

Ayat 239

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا ۖ فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

  1. Setelah diselitkan kepentingan menjaga hubungan dengan Allah melalui solat dalam berbicara tentang hukum nikah dan cerai, kini ditekankan lagi tentang solat itu. Solat bukan hanya dilakukan dalam keadaan selesa atau kondusif sahaja, bahkan ia wajib dilaksanakan semampunya berdasarkan keadaan semasa. Sesetengah orang menetapkan bahawa untuk solat perlu mandi dan menggunakan pakaian khas solat. Dalam situasi tertentu seperti musafir kita perlu lebih fleksibel.

  2. Dalam situasi diancam bahaya, tatacara solat boleh berubah. Contohnya, ketika sedang lari dari musuh, kita boleh solat dalam keadaan berjalan sebelum sampai ke tempat yang selamat. Rukun-rukun seperti rukuk dan sujud boleh dilakukan dengan isyarat sehingga selesai. Begitu juga ketika di dalam kenderaan seperti dalam penerbangan panjang. Jika boleh, angkat takbiratul ihram dengan menghadap arah masjidil haram dan kemudian solat di tempat duduk dengan isyarat.

  3. Dalam masyarakat ada yang terlalu takut batal solatnya hanya kerana ingin memenuhkan saf yang kosong hinggakan tertinggal ruang kosong itu sampai habis solat. Ini tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu bergerak untuk memenuhkan saf. “Nabi ﷺ sedang solat di masjidnya, lalu seorang lelaki datang dan melihat baginda sedang solat. Lelaki itu meminta Nabi ﷺ supaya membuka pintu untuknya, lalu Nabi ﷺ pun membuka pintu itu.” — (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud).

  4. Dalam situasi perang, ada juga solat yang dikenali sebagai solat khauf seperti yang disebutkan dalam Surah An-Nisa ayat 102. Dibahagikan jemaah yang solat dan jemaah yang berkawal, yang sedang berkawal boleh masuk jemaah pada rakaat yang pertengahan. Dibolehkan memegang senjata ketika solat dan jika perlu untuk tidak berdiri juga dibolehkan. Islam sangat fleksibel dalam cara solat tetapi tidak fleksibel terhadap orang yang meremehkan solat.

Ayat 240

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Terdapat pandangan yang mengatakan ayat ini dimansukhkan oleh ayat 234 yang terdahulu yang menetapkan tempoh iddah bagi yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Ada pula pandangan bahawa tempoh setahun dalam ayat ini tidak berkait dengan iddah. Ia adalah saguhati yang boleh diberikan kepada isteri sekiranya suaminya mati. Ayat ini adalah perintah berwasiat sebegitu supaya dapat menjaga hati dan menjamin kehidupan isteri yang ditinggalkan.

  2. Apa yang boleh diwasiatkan adalah siisteri tidak dihalau keluar dari rumah yang dia tinggal selama setahun, begitu juga boleh mewasiatkan makanan dan pakaian untuk tempoh satu tahun itu. Dalam masyarakat, ada yang tamak akan hak sehingga mengabaikan hak orang lain, malah ibunya sendiri. Berlaku kisah ibu yang dihalau keluar dari rumah tempat tinggalnya setelah kematian suaminya. Walhal, warislah yang sepatutnya menjaga kebajikan ibunya.

  3. Sekiranya ibu ingin keluar terus dari rumah itu dalam tempoh setahun itu juga, tiada masalah. Ada kemungkinan ibunya berkahwin semula setelah tempoh iddah dan tinggal di rumah lain pula. Ketika ini bolehlah rumah itu difaraidkan. Perlu diketahui bahawa Allah Maha Berkuasa menghukum orang-orang yang berbuat zalim, apatah lagi kezaliman itu dilakukan kepada kerabat sendiri. Rujuklah kepada orang yang berilmu yang faham dengan petunjuk al-Quran.

Ayat 241

وَلِلمُطَلَّقٰتِ مَتٰعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

  1. Dalam ayat 236 dari Surah Al-Baqarah ada saranan kepada suami yang menceraikan isterinya dalam keadaan mereka belum lagi bersama (jimak) supaya memberikan saguhati mengikut kemampuannya. Ayat ini pula adalah saranan kepada penceraian bagi yang telah pun bersama. Dalam hal perceraian, Islam mengajarkan supaya suami berbudi kepada isteri yang diceraikan. Dalam masyarakat, selalunya penceraian berakhir dengan permusuhan. Islam tidak mengajarkannya sebegitu.

  2. Walaupun suami tidak lagi menyukai isteri yang diceraikan itu, sepanjang hidup bersama pasti ada banyak dan besar pengorbanan seorang isteri. Dialah yang telah melahirkan anak-anak, jika ada, membesarkan mereka satu persatu dan mungkin akan terus menjaga mereka setelah berlaku penceraian. Wajarlah belas suami itu selalu memberi saguhati kepada bekas isterinya. Cara memberi itu juga perlulah dalam situasi yang ma'ruf, bukan dengan rasa berat hati.

  3. Saranan memberi saguhati ini adalah secara umum, namun secara khusus kepada orang bertakwa. Pemberian ini bukan hanya saguhati, tetapi tanggung jawab. Sememangnya ia perlu meneruskan tanggungjawab memberi nafkah sekiranya isteri yang diceraikan itu menjaga anak-anaknya. Begitu juga sekiranya semasa hidup bersama ada tanggungan yang masih tertangguh, hutang dan sebagainya. Di dalam tempoh iddah juga, semua belanja masih perlu ditanggung oleh suami.

Ayat 242

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.

  1. Allah menerangkankan hukum nikah, mahar, solat, saguhati dan penceraian ini satu demi satu supaya manusia dapat mengikutinya. Kesemuanya adalah untuk menjamin keselamatan hidup manusia. Apa pun yang terjadi manusia sukakan kedamaian dan ketenangan hidup dan kesemua ini hanya boleh dicapai apabila kita menuruti perintah Allah. Pada akhirnya, kesemua ini adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Semua ini hanya dapat difahami dengan tadabbur Al-Quran.

  2. Kefahaman tentang ilmu di dalam Al-Quran adalah untuk seluruh umat Islam. Islam bukan seperti Yahudi di mana ilmu wahyu hanya diketahui oleh ahli kitab sahaja. Ilmu tadabbur Al-Quran perlu lebih banyak diajar oleh para ilmuan. Melalui ilmu kita tidak mudah ditipu oleh orang-orang yang menjadikan ilmu agama sebagai sumber rezeki, bukan meneruskan dakwah Nabi ﷺ. Allah menyebutkan ilmu Al-Quran ini adalah suatu yang mudah untuk diambil sebagai peringatan.

  3. Kesemua hukum yang Allah telah tetapkan ini adalah untuk dituruti, bukan hanya untuk dipelajari. Ilmuan agama bukan hanya perlu menjelaskan perbezaan di antara apa yang Allah mahukan dengan apa yang kita amalkan tetapi perlu mengajak manusia kembali kepada amalan yang sebenar dari Al-Quran dan sunnah. Kita perlu berfikir apa yang perlu kita tinggalkan dalam mengikuti amalan yang sebenarnya. Kebanyakan manusia malas untuk berfikir dan berubah.

Tamat Ruku' 31 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

Isnin, Oktober 12, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 30/40 (Ayat 232-235)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 30/40 (Ayat 232-235)

Ruku' 30 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah merangkumi perihal tentang tiadanya sekatan bagi wanita yang telah bercerai untuk berkahwin semula, perintah menyusukan bayi, perintahkan untuk menunggu selama empat bulan

dan sepuluh hari bagi wanita kematian suami sebelum berkahwin semula dan

tiadanya sekatan bagi wanita kematian suami untuk berkahwin semula.

Ayat 232

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ ۗ ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۗ ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa iddah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

  1. Wanita yang telah bercerai tidak sepatutnya dihalang daripada berkahwin semula. Perkahwinan ini adalah sama ada dengan lelaki lain atau dengan bekas suaminya (dengan syarat-syarat yang memenuhi syariat). Dalam masyarakat ada yang berpandangan penceraian adalah suatu yang dianggap sial, berkahwin semula seperti mengundang sial yang lain pula, ini adalah kepercayaan yang tidak benar. Wali atau bukan wali tidak sepatutnya menghalang perkahwinan seterusnya.

  2. Daripada Jabir bin Abdullah r.a., bahawasanya Nabi ﷺ bersabda: “Seorang janda lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, dan seorang gadis diminta izinnya ke atas dirinya, dan izinnya adalah diamnya.” (Sahih Muslim, Kitab An-Nikah, Bab Isti’dzan Ats-Tsayyib wal Bikr). Walaupun seorang janda lebih berhak ke atas dirinya berbanding walinya, namun tidak semestinya wali hanya menerima pilihan hatinya tanpa menyelidiki latar belakang pasangan.

  3. Perkara pertama yang perlu diselidiki ialah sama ada seseorang itu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Perkara ini penting dan lebih utama untuk dipertimbangkan berbanding pekerjaan, status, keturunan dan lain-lain. Allah menutup ayat ini dengan sifat-Nya yang maha mengetahui. Ini menunjukkan sangkaan manusia itu lemah; menghalang-halang orang daripada berkahwin semula tidak menyelesaikan masalah, malah mungkin menimbulkan masalah yang lebih besar pula.

Ayat 233

وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ ۗ فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما ۗ وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

  1. Terdapat dua konteks dalam ayat ini, sekiranya kita mengambil kira ayat sebelum ini iaitu berkaitan penceraian. Sekiranya si ibu mempunya anak kecil atau mungkin sedang mengandung, perlulah si ibu menyusukan bayi dengan susu badannya. Tempoh yang diminta untuk dipenuhi ialah selama 2 tahun sempurna. Susu ibu sangat penting kepada bayi, Allah telah menganjurkannya jauh lebih awal daripada kajian-kajian saintifik berkaitan penyusuan menggunakan susu badan.

  2. Dalam konteks bukan kerana penceraian pun sama juga saranannya, iaitu baik untuk menyusukan bayi dengan susu badan selama dua tahun sempurna. Kajian menunjukkan kelebihan susu badan antaranya; 1. Meningkatkan imuniti anak, 2. Baik untuk perkembangan otak dan emosi anak, 3. Ikatan kasih sayang yang lebih dan 4. Baik untuk kesihatan ibu seperti mengurangkan risiko kanser payudara, baik untuk rahim dan lebih mudah untuk ibu kembali kepada fizikal asal.

  3. Kewajipan bapa pun ada juga iaitu memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan sewajarnya. Walaupun telah bercerai, ketika ibu menyusukan anak, bapa juga perlulah menjaga keperluan kedua ibu dan anak. Anak itu masih anaknya dan lelaki bertanggung jawab atau tanggungan anak tersebut. Pemberian ini perlu pertimbangan wajar, tidaklah sampai membebankan lelaki dan disesuaikan dengan keperluan ibu dan anak. Begitu juga, waris perlu menunaikan tanggungjawab.

  4. Sekiranya suami dan isteri telah bersetuju untuk bercerai, selepas penceraian sepatutnya tidak lagi perlu bermusuhan di antaranya. Fokus utamanya menunaikan hak Allah yang telah membenarkan penceraian itu dan menunaikan hak anak-anak. Ibu dan bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kerana anak menilai semua yang berlaku, apatah lagi semuanya ada nilaiannya di akhirat nanti. Kita perlu sedar bahawa sekecil-kecil perkara pun Allah mengetahui kesemuanya.

Ayat 234

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا ۖ فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

  1. Bagi isteri yang kematian suami, tempoh iddahnya adalah empat bulan sepuluh hari. Tempoh ini berbeza dengan iddah kerana penceraian iaitu tiga kali suci. Antara hikmahnya adalah untuk memberi tempoh kepada isteri untuk bertenang dan mengubah kehidupan daripada berpasangan kepada berseorangan. Ia juga sebagai penghormatan kepada keluarga suami. Tempoh ini juga dinyatakan terus tempohnya supaya orang di sekeliling boleh menghitung sendiri tempoh ini.

  2. Daripada Ummu Salamah r.a. (isteri Nabi ﷺ), beliau berkata: “Pada zaman Jahiliyah, apabila seorang wanita ditinggal mati oleh suaminya, dia akan masuk ke dalam tempat yang sempit (kotor), memakai pakaian paling buruk, dan tidak menyentuh sebarang wangian atau perhiasan selama setahun. Setelah genap setahun, seekor haiwan disembelih untuknya dan dia keluar…” (Riwayat Bukhari No. 1281 dan Muslim No. 938). Islam memberi keringanan kepada wanita.

  3. Dalam tempoh empat bulan sepuluh hari itu, wanita yang kematian suami dilarang berhias. Perhiasan ini termasuklah jenis pakaian, aksesori dari emas dan perak, wangi-wangian, dan mengenakan solekan. Selain itu, mereka juga tidak boleh keluar dari rumah melainkan jika ada urusan penting seperti kesihatan, keselamatan, mendapatkan keperluan asas dan bekerja sekiranya tiada sumber pendapatan lain. Islam menetapkan sebaiknya bagi wanita tempatnya adalah di rumah.

  4. Selain daripada larangan berhias ini, ada larangan yang lebih besar, iaitu wanita yang kematian suami juga tidak boleh menerima peminangan dalam tempoh empat bulan sepuluh hari ini. Begitu juga mereka dilarang untuk berkahwin. Jika telah habis tempoh, maka semua larangan ini sudah terbatal, wanita dibenarkan berhias semula dan tiada halangan jika ingin berkahwin. Allah maha mengetahui keperluan manusia dan menjaga kehormatan pihak yang lain juga.

Ayat 235

وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا ۚ وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain daripada menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

  1. Ayat ini ditujukan kepada lelaki yang berminat untuk mengahwini janda yang kematian suami. Adalah dibenarkan seseorang itu untuk berkias atau memberi bayangan sehingga diketahui janda itu walaupun masih di dalam tempoh iddah. Sekiranya dikiaskan hingga janda tahu pun dibenarkan apatah lagi jika disembunyikan di dalam hati. Allah meraikan rasa cinta hamba-Nya baik lelaki ataupun wanita. Wanita bertaraf janda tetap mulia kedudukannya dalam Islam.

  2. Walaupun dibenarkan berkias, namun ada juga larangannya, iaitu tidak dibenarkan untuk menyatakan hasrat untuk bernikah dengan bersungguh-sungguh ketika di dalam tempoh iddah. Begitu juga, kita dilarang untuk berpakat di antara seorang lelaki dan seorang wanita itu tanpa pengetahuan walinya. Sekiranya ada lelaki sebegitu, wanita janda itu tidak boleh melayan kehendaknya sepanjang tempoh iddah. Ini adalah langkah supaya tidak terjerumus dalam maksiat.

  3. Allah Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya. Mungkin wanita itu telah ada yang menginginkannya, namun pada ketika itu masih bersuami. Setelah kematian suami, tiada larangan untuk seseorang itu berkahwin semula selepas tempoh iddah. Boleh jadi bukan seorang yang menginginkannya jadi supaya tidak melepas, seorang lelaki boleh memberi tanda, atau kiasan dalam tempoh iddah. Perbincangan yang lebih serius hanya boleh dilakukan setelah selesai tempoh iddah.

Tamat Ruku' 30 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Isnin, Oktober 05, 2026

Konvensyen Tadabbur Al-Quran 2026

Assalamualaikum dan selamat petang. Hari Sabtu baru ni sempat menghadiri Konvensyen Tadabbur Al-Quran 2026 bersama isteri. Program ini dianjurkan oleh Shabab Way dan Lin Nisa'. Tak pernah dengar sebenarnya dua penganjur ni tapi duk rasa mungkin ada kaitan juga dengan Ghulam Al-Dakwah yang diterajui oleh Ustaz Abdul Muien Abdul Rahman yang masyhur dengan kuliah tadabbur di samping aktiviti dakwah dan kebajikan mereka. 

Konvensyen diadakan di PICC, Putrajaya. Mula-mula daftar acara ni sebenarnya tak berjaya sebab dah penuh tapi penganjur ada tambah seat kemudiannya. Bila mula daftar dan penuh tu aku terus pm penganjur. Dalam beberapa hari mereka inform ada buat penambahan seat. Aku pun cepat-cepat daftar, tak sangka puan isteri pun teringin nak join. Mungkin sebab di Putrajaya, senanglah sebab dah ada tempat tinggal yang dekat.

Program bermula jam 9 pagi, dalam dua sesi awal, ustaz Muien membuat kupasan tentang  awal adalah tentang 1. Siapa Ahlul Quran? dan 2. Al-Quran Sumber Ketenangan Dan Rezeki. Bagi yang dah lazim membaca Al-Quran, konvensyen ini membuka minda tentang apa yang tujuan utama Al-Quran diturunkan. Tidak cukup sekadar dibaca dan dihafal tetapi yang lebih utama Al-Quran perlu difahami dan kandungannya perlu disebarkan melalui dakwah. 

Di sebelah petang ada perkongsian dari ustaz-ustaz lain dan ada juga slot yang disampaikan oleh pelajar-pelajar tadabbur. Ada yang menyampaikan tazkirah dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Bagus rencana mereka kerana dah petang tetapi tak mengantuk dibuatnya. Slot di akhiri dengan forum bagaimana tadabbur mampu mengubah seseorang itu.  

Ringkas sahaja catatan kali ini, untuk rekod peserta yang hadir mencecah 2,600 orang. Satu angka yang besar, dan tak sangka banyak peminatnya tadabbur ni. Selesai program aku dan isteri singgah Amir Damascus di Cyberjaya. 

Rakaman disediakan:

Rabu, September 30, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 29/40 (Ayat 229-231)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 29/40 (Ayat 229-231)

Ruku' 29 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah ini berkisar tentang hukum berkaitan perceraian dan perintah melayan wanita yang diceraikan dengan cara yang baik dan penuh ihsan.

Ayat 229

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَٰنٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا۟ مِمَّآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ شَيْـًٔا إِلَّآ أَن يَخَافَآ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا ٱفْتَدَتْ بِهِۦ ۗ تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

  1. Talak hanya boleh dirujuk dua kali, ini hak yang ada pada suami. Setelah tiga kali talak, suami tidak boleh lagi boleh untuk rujuk semula isterinya. Inilah had yang Islam bawa berbanding praktik zaman jahiliyah dahulu iaitu talak dan rujuk tiada had. Perbuatan ini digunakan untuk menzalimi isteri dengan mencerai dan rujuk berkali-kali. Penceraian bukanlah suatu yang hina, ia peluang untuk memulakan hidup baharu namun prosesnya perlu baik dan memberi keadilan.

  2. Berkenaan bilangan talak, terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan para alim ulama; ada yang berpegang bahawa dibolehkan menalak 2 atau 3 dalam sekali lafaz, dan ada yang berpegang bahawa talak itu hanya dikira sekali walaupun yang menalak menyebutnya 2 atau 3 kali. Ini kerana melalui ayat 229 ini, difahami bahawa seharusnya talak itu perlu ada ruang untuk rujuk kembali. Perbuatan menalak secara sekaligus ini seperti menolak Kitabullah.

  3. Rukanah Bin Abd Yazid menceraikan isterinya dengan talak tiga dalam satu majlis, maka sesudah itu beliau jatuh sedih yang amat sangat. (Apabila dibawa kepada Nabi ﷺ). Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: “Bagaimanakah kamu menceraikannya?” Beliau menjawab: “Dengan tiga sekaligus dalam satu majlis”, lalu Nabi ﷺ menjawab: “Sesungguhnya itu hanyalah satu, rujuklah dengannya sekiranya kamu mahu”, lalu beliau pun kembali rujuk dengan isterinya.

  4. Sekiranya penceraian tidak jadi dan suami merujuk, ia perlu dilakukan dengan tujuan yang baik. Tidak boleh rujuk itu hanyalah untuk menzalimi isterinya. Melepaskannya juga perlu dilakukan dengan cara yang baik. Apa yang telah diberikan sepanjang perkahwinan tidak boleh diambil semula walaupun sedikit. Dalam masyarakat telah popular hadist dhaif yang menyatakan penceraian itu menggegarkan Arash Allah. Namun, bukanlah kita menggalakkan penceraian pula.

  5. Di pihak isteri, ada juga hak untuk memohon penceraian dengan talak khulu'. Pihak mahkamah akan memutuskan sama ada perkara ini dibenarkan dan pihak isteri perlu membayar ganti rugi. Jumlah ganti rugi akan ditetapkan oleh mahkamah dan suami perlu bersetuju dengan jumlah tersebut. Sekiranya suami tidak bersetuju dengan jumlah ganti rugi, mahkamah akan pertimbangkan semula sehingga kes selesai iaitu apabila ianya mendapat persetujuan kedua pihak.

Ayat 230

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُۥ مِنۢ بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُۥ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يَتَرَاجَعَآ إِن ظَنَّآ أَن يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

  1. Lanjutan daripada hukum talak dan rujuk, sekiranya pasangan telah bercerai untuk kali ketiga setelah ditalak tiga kali, maka bekas isterinya tidak lagi halal untuk dirujuk. Islam telah mengehadkan rujuk sebanyak 2 kali sahaja. Setelah itu, bekas suami isteri itu boleh berkahwin dengan siapa yang dimahukan kecuali bekas suami atau isterinya. Jika bekas isteri itu bercerai dan telah habis idahnya baru boleh bekas suami pertamanya berkahwin dengannya semula.

  2. Perkahwinan kali kedua ini memerlukan maskahwin semula. Dalam masyarakat, situasi ini selalu dikaitkan dengan istilah "cina buta". Di mana bekas suami berpakat dan mengupah seseorang untuk berkahwin dengan bekas isterinya untuk tempoh tertentu kemudian menceraikannya. Kerap disebutkan syaratnya mestilah tidak melakukan jimak. Perkara sebegini tidak dibenarkan kerana perbuatan ini adalah helah dalam mengikuti apa yang telah Allah tetapkan.

  3. Perkahwinan kedua seorang isteri itu perlulah dengan syarat telah berjimak kerana nikah itu antara maksudnya ialah jimak. Penceraian kedua juga perlulah berlaku dengan natural dan bukan kerana pakatan, paksaan atau kerana upah tertentu. Perkahwinan semula juga bersyarat iaitu perlu boleh menegakkan hukum Allah dalam kehidupan rumah tangga. Dalam masyarakat, ramai beranggapan syarat utama perkahwinan adalah mampu sedangkan yang utamanya adalah menegak hukum.

Ayat 231

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا۟ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ هُزُوًا ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمَآ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ وَٱلْحِكْمَةِ يَعِظُكُم بِهِۦ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh iddahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

  1. Suami yang merujuk kembali isterinya semasa dalam tempoh iddah perlulah melakukannya dengan tujuan baik. Dalam surah Thalaq ayat 2; "Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah." Saksi diperlukan supaya tidak timbul isu dikemuadian hari dalam hal cerai dan rujuk.

  2. Suami yang menceraikan isterinya perlu menceraikannya dengan baik juga. Walaupun penceraian berlaku, hubungan kekeluargaan tetap ada. Ini terutamanya sekiranya pasangan sudah mempunyai anak, tetap ada hubungan dengan mertua, anak dengan datuk dan nenek, ibu dan bapa saudara yang perlu dijaga. Orang yang merujuk semula atau menceraikan dengan buruk sebenarnya menganiaya diri sendiri. Ada juga yang menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan permainan.

  3. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: "Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai, rujuk." (Riwayat Abu Daud No. 2194 dinilai hasan oleh Albani). Tiga perkara ini tidak boleh dibuat main-main. Apa yang disebutkan tetap dikira walaupun orang itu berkata dia hanya bergurau. Kerana itulah diberikan masa supaya seorang suami itu dapat berfikir masak-masak sebelum penceraian berlaku.

  4. Allah mengingatkan kita semua supaya mengenang segala nikmat yang telah Allah kurniakan. Dalam bab perkahwinan yang bermasalah, tetap sahaja Allah kurniakan rahmatnya dan nikmatnya dalam perkahwinan tersebut, cumanya manusia mudah melupakan nikmat yang telah Allah kurniakan. Anak-anak merupakan nikmat besar dalam rumah tangga selain nikmat bersama antara suami dan isteri. Dengan mengenang nikmat-nikmat ini, ia akan menjadikan seseorang itu lebih rasional.

  5. Nikmat terbesar yang sebenarnya adalah nikmat kitab Al-Qur'an yang diturunkan. Allah mahu kita lihat kebesaran-Nya melalui kitab yang diturunkan. Di dalamnya ada petunjuk untuk menjalani kehidupan. Selain itu, sunnah Nabi ﷺ juga adalah nikmat yang besar. Banyak sekali ditunjukkan perbuatan Nabi ﷺ dalam menjaga hubungan dengan isteri-isterinya r.a. Banyak keruntuhan institusi kekeluargaan berlaku kerana kalam manusia lebih diutamakan daripada wahyu.

Tamat ruku’ 29 daripada 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Ahad, September 13, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 28/40 (Ayat 222-228)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 28/40 (Ayat 222-228)

Ruku' 28 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah berkisar tentang larangan hubungan suami isteri semasa haid, larangan salah guna sumpah yang dibuat atas nama Allah, tempoh empat bulan untuk membuat keputusan membatalkan hubungan suami isteri dan tempoh tiga kali haid untuk berkahwin semula selepas perceraian.

Ayat 222

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

  1. Sahabat yang telah beristeri bertanya kepada Nabi ﷺ tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka lakukan kepada isteri mereka apabila isteri dalam tempoh haid. Nabi ﷺ menjawab, darah haid adalah suatu yang kotor. Seorang suami tidak boleh melakukan hubungan dengan isterinya dalam tempoh haid. مَحِيضِ bermaksud tempat keluar haid iaitu faraj isteri. Ia juga boleh bermaksud tempoh keluarnya haid. Jadi, batasnya adalah faraj isteri dalam tempoh haid.

  2. Persoalan tentang haid ini muncul kerana ketika di Madinah, ada para sahabat yang terikut-ikut dengan perbuatan orang Yahudi. Bagi orang Yahudi, ketika isteri mereka sedang haid, mereka tidak memberi isteri mereka makan dan tidak mempedulikan mereka. Ini sesuatu yang melampau; batas sepatutnya hanyalah faraj isteri. Selain daripada itu, kita melayaninya seperti biasa sahaja. Batas sementara ini akan hilang setelah mereka bersuci dengan mandi wajib.

  3. Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها beliau berkata, “Jika salah seorang daripada kami sedang mengalami haid dan Rasulullah ﷺ berkeinginan untuk bermesraan, baginda memerintahkan untuk mengenakan kain, lalu baginda pun mencumbuinya.” ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Padahal, siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan.” Hadith ini dikuatkan oleh Khalid dan Jarir daripada Asy Syaibani.” Mencium adalah dibenarkan.

  4. Sebahagian orang Kristian pula menolak larangan bersama dengan isteri ketika haid. Ini juga sesuatu yang melampau. Islam berada di tengah-tengah antara dua pendekatan yang melampau. Bagi yang pernah melakukannya, seseorang itu perlu bertaubat dan si suami perlu bersedekah dengan nilai 1 dinar emas (4.25g) atau 1/2 dinar emas. Jangan buat tak tahu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat. Siapa pun tidak terlepas daripada berbuat silap.

Ayat 223

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم ۖ وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

  1. Allah memberi perumpamaan isteri seperti kebun tanaman atau ladang-ladang. Ini menunjukkan ia mestilah sesuatu yang boleh membuahkan hasil. Jika kebun atau ladang memerlukan penjagaan yang baik untuk membuahkan hasil yang baik, begitu jugalah perihalnya terhadap isteri. Hendaklah dijaga dengan baik juga. Dibenarkan untuk mendatangi isteri dari arah depan dan juga arah belakang, tetapi bukanlah melalui dubur kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan.

  2. Daripada Ibnu Al Munkadir aku mendengar Jabir رضي الله عنهما berkata; “Orang-orang Yahudi berkata; ‘Apabila menggauli wanita melalui belakang maka mata anaknya akan menjadi juling’. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; Isteri-isteri kalian adalah ladang kalian, maka datangilah ladang kalian dari mana engkau kehendaki.” (Al-Baqarah 223). (Hadith Bukhari No. 4164). Ayat ini juga berkait dengan amalan karut orang Yahudi yang gemar mereka perkara baharu dalam agama.

  3. Perbuatan bersama dengan isteri adalah suatu yang baik namun suami perlulah bijak dalam menilai situasi isteri, begitu juga isteri perlulah bijak dalam memenuhi keperluan suami. Walaupun bersama antara suami dan isteri adalah perkara yang baik, perlu juga kita jaga amalan-amalan baik yang lain. Jangan ditinggalkan apa yang telah diwajibkan. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat yang ramai kerana Nabi ﷺ suka jika umatnya ramai.

  4. “Wahai Abdullah, telah dikhabarkan kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan solat malam (terus-menerus)?” Aku menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Jangan lakukan itu. Berpuasalah dan berbukalah, solat malamlah dan tidurlah. Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu, matamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu…” (HR. Bukhari No. 1975). Dalam hubungan bersama juga kita perlu jaga hukum-hukumnya.

Ayat 224

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم أَن تَبَرّوا وَتَتَّقوا وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

  1. Ayat ini adalah berkenaan sumpah yang tidak dianjurkan atau yang tidak sepatutnya dilakukan. Di zaman jahiliyah, masyarakat Arab terkenal dengan kesukaan mereka untuk bersumpah dalam percakapan mereka sehari-hari. Ada sumpah yang dibenarkan seperti dalam perkara yang besar dan penting, dan ada pula sumpah yang tidak dianjurkan. Antara sumpah yang tidak dianjurkan ialah menggunakan sumpah untuk menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara yang baik.

  2. Contoh sumpah yang tidak patut ialah seperti seseorang yang bersumpah untuk tidak lagi pergi ke satu masjid tertentu, mungkin kerana ada perkara yang tidak disukainya tentang masjid itu. Ada juga orang yang bersumpah untuk tidak meninggalkan amalan turun-temurun yang tidak ada petunjuknya dari Nabi ﷺ tetapi diajarkan oleh guru mereka. Ada juga yang bersumpah tidak akan berjimak dengan isteri kerana isu tertentu, sedangkan jimak itu perkara yang baik.

  3. Dalam Surah An-Nur juga disebutkan larangan sumpah sebegini. "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

  4. Setelah disebutkan tentang larangan sumpah yang tidak dibenarkan ini, Allah perintahkan supaya bertaqwa kepada Allah iaitu dengan mengikuti suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah. Jangan kita memandai-memandai dalam muamalah sesama manusia. Allah juga perintahkan kita untuk mendamaikan hubungan di antara manusia. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu (yang berselisih)." Surah Al-Hujurat: 10.

Ayat 225

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

  1. Dalam masyarakat Arab, telah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk bersumpah atas nama Allah. Perkara ini berlaku lebih awal sebelum diutusnya Nabi ﷺ lagi. Terkadang mereka mengucapkannya dalam keadaan tidak sedar kerana telah terlalu lazim. Contoh sumpah sebegini ialah "Dia telah sampai, wallahi". Biasanya ia disebut untuk perkara kecil. Sumpah sebegini tidak terikat dengan hukum Allah. Bagi yang tidak biasa, perbuatan ini seperti mempermainkan nama Allah.

  2. Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafsh ‘Umar bin Al-Khattab r.a., beliau berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang dia tuju.” (HR. Bukhari).

  3. Walaupun ada sumpah yang terikat dengan hukum Allah, namun perbuatan ini perlu dielakkan. Dalam apa jua keadaan kita perlu berhati-hati dalam berkata-kata, sentiasa kawal perasaan dan jangan terikut-ikut dengan cara orang lain yang tidak sesuai dengan agama. Di dalam Mukminun ayat 3, disebutkan tentang sifat orang Mukmin; "Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna." Biarlah perkataan kita sentiasa berguna.

  4. Sumpah yang sengaja dilakukan dalam sedar tetapi melakukannya untuk menipu merupakan kesalahan besar. Sumpah sebegini tiada kaffarahnya (tebus) melainkan dengan bertaubat. Apapun kesalahan seseorang itu ada sahaja jalan keluarnya, bertaubat, tinggalkan perkara buruk itu dan menyesali perbuatan itu. Allah maha mengampunkan kesalahan hambanya yang bertaubat. Allah maha mengetahui mana satu sumpah yang tidak sengaja dan mana satu sumpah yang benar.

Ayat 226

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

  1. Ayat ini berkenaan dengan sumpah ila'. Sumpah ila' ialah sumpah atas nama Allah oleh suami kepada isterinya untuk tidak bersama (berjimak) dengan isterinya. Perkara ini adalah lanjutan daripada amalan kebiasaan bangsa Arab yang suka bersumpah dan satu cara zalim suami terhadap isterinya. Sebelum turunnya ayat ini, seseorang suami yang membuat sumpah ila' kepada isterinya dengan tanpa had tempoh tertentu. Ini semestinya suatu perbuatan zalim kepada isteri.

  2. Ayat ini diturunkan untuk menegur atau membetulkan perbuatan zalim sumpah ila'. Ditetapkan tempoh yang dibenarkan bagi seorang suami untuk tidak bersama dengan isterinya selama empat bulan sahaja. Dalam masyarakat kita ada istilah yang lebih kurang sama iaitu istilah "gantung tak bertali". Islam menjaga kehormatan wanita dan mengehadkan perbuatan yang dibenarkan serta perbuatan yang tidak dibenarkan dengan mengehadkan tempoh masa tertentu.

  3. Hukum melakukan sumpah ila' adalah haram jika dalam tempoh 4 bulan suami tidak kembali bersama dengan isterinya. Sekiranya suami tetap tidak mahu bersama, suami perlu menceraikan isterinya dan sekiranya dia tidak menceraikan isterinya, maka qadhi berkuasa untuk memaksa penceraian berlaku demi menjaga kehormatan seorang isteri. Seorang suami yang melakukan sumpah ila' perlu membayar kafarah untuk menebus dosanya. Kafarah akan menyelesaikan sumpah ila'.

  4. Islam memberi ruang masa dan had masa tertentu dalam penyelesaian masalah hubungan suami isteri. Tidak wajar seorang suami membiarkan isterinya terkontang-kanting dalam tempoh yang melebihi had kerana isteri juga berkehendak hubungan jimak. Allah maha mengampuni perbuatan sumpah ila' sekiranya ia telah terbatal, iaitu dengan suami itu kembali bersama dengan isterinya dan juga telah selesai membayar kafarah mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Ayat 227

وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

  1. Selepas tempoh empat bulan sejak sumpah ila' dibuat, suami perlu membuat keputusan. Penceraian tidaklah terjadi serta-merta; masih ada ruang untuk kembali sebelum keputusan cerai dibuat. Jika tempoh masa 'bertenang' untuk berfikir masak-masak sudah cukup dan tiada jalan lain, maka suami wajarlah melepaskan isterinya untuk hidup masing-masing. Ini juga bagi membolehkan isteri berkahwin semula dengan lalaki lain. Buat keputusan supaya tidak menzalimi orang lain.

  2. Allah mengingatkan tentang sifat maha mendengarnya kerana dalam masalah rumah tangga, biasanya akan berlaku pertengkaran. Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Jangan bersumpah sesuka hati, jangan mengikut perasan dan jangan membuat keputusan ketika dalam marah. Kata-kata yang tidak baik semuanya akan dibicarakan di akhirat nanti. Isteri juga jangan gemar membuat provokasi, bukan hanya kata-kata bahkan Allah mengetahui isi hati manusia.

  3. Dalam masyarakat ada pula yang beranggapan bahawa jika suami tidak bersama isteri selama empat bulan maka isteri boleh menuntut cerai. Ini tidak benar. Sumpah ila' perlu berlaku dahulu. Dan keputusan perlu dibuat oleh suami setelah tempohnya. Bukan ia jatuh serta-merta. Jimak dapat membatalkan sumpah ila'. Ada juga keadaannya suami dan isteri tidak dapat bersama kerana tinggal berjauhan, kerana sakit atau sudah tua yang tidak memungkinkan jimak lagi.

Ayat 228

وَٱلْمُطَلَّقَٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَٰثَةَ قُرُوٓءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِىٓ أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika benar mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Sekiranya isteri diceraikan, hendaklah seorang perempuan itu menunggu tempoh tiga kali suci sebelum mereka boleh berkahwin semula. Tempoh ini penting untuk menjaga nasab dengan memastikan rahim adalah kosong. Ia juga memberi tempoh rujuk kepada suami yang menceraikan isterinya bagi talak pertama dan talak kedua. Ia juga memberi tempoh bertenang dan tidaklah tindakan mana-mana pihak itu kelam-kabut. Tempoh iddah bagi yang mengandung adalah sehinggan bayinya lahir.

  2. Di zaman jahiliyah tidak ada peraturan yang jelas tentang tempoh iddah. Hak seorang wanita pada ketika itu berada pada titik terendah. Islam datang dengan peraturan-peraturan yang melindungi hak wanita. Tidak benar jika dikatakan Islam merendahkan wanita, sedangkan Islamlah yang menjaga hak wanita. Perkara seperti iddah tidak ada dalam amalan agama lain. Sekiranya perempuan itu ada bayi yang dikandungnya, hendaklah dia memaklumkan perkara tersebut.

  3. Dalam tempoh tiga bulan ini, sekiranya suami ingin kembali hidup bersama bekas isterinya, maka dia boleh rujuk semula. Tujuan rujuk semula ini hendaklah kerana ingin berdamai, bukan sengaja dibuat untuk menyeksa isteri itu. Di zaman jahiliyah, cerai dan rujuk semula ini tiada batas bilangan dan ada yang menggunakan ini untuk menyusahkan si isteri. Islam datang dan menetapkan bilangan cerai dan rujuk hanyalah dua kali. Tiada lagi rujuk setelah 3 kali cerai.

  4. Dalam tempoh iddah, tanggungjawab masing-masing masih berjalan seperti biasa. Suami dan isteri masih tinggal bersama. Lelaki diberi kelebihan 1 darjat berbanding isteri, ini menunjukkan keputusan di tangan suami dan isteri masih perlulah menghormatinya. Apa pun kelebihan sedikit itu, jangan disalahgunakan sehingga menzalimi pula. Suami dan isteri perlu mengetahui bahawa Allah maha berkuasa dan bijaksana dalam menetapkan hal-hal rumah tangga.

Tamat Ruku' 28 daripada 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Sabtu, Ogos 15, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 27/40 (Ayat 217-221)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 27/40 (Ayat 217-221)

Ruku' 27 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah berkisar tentang bulan-bulan haram, hukuman bagi pemurtad, hukum arak dan judi, perintah melayani anak yatim dengan adil dan larangan berkahwin dengan lelaki atau perempuan musyrik.

Ayat 217

يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

  1. Ayat ini berkaitan dengan satu peristiwa yang melibatkan sahabat Nabi ﷺ, iaitu Abdullah bin Jahsy r.a. Beliau telah diarahkan ke suatu tempat di Nakhlah (antara Mekah dan Taif) bersama 8 orang pemuda lagi untuk memerhati pergerakan Quraisy. Mereka terserempak dengan kafilah Quraisy dan terjadi pembunuhan terhadap seorang Quraisy bernama Amr bin al-Hadrami. Apabila orang Quraisy tahu, Islam dituduh mencabul kesucian bulan haram kerana ketika itu bulan Rejab.

  2. Abdullah bin Jahsy r.a. terpaksa membuat keputusan membunuh Amr bin al-Hadrami kerana sekiranya mereka dilepaskan, kemungkinan mereka akan memberitahu kehadiran mereka kepada pembesar Quraisy dan mereka semua akan dibunuh. Perkara ini diketahui oleh Nabi ﷺ dan mereka ditegur. Lalu bersedihlah mereka kerana tidak mengikut apa yang diperintahkan sehingga turun ayat ini (Al-Baqarah 217). Allah tetap melarang membunuh di bulan haram, kemudian membuat perbandingan.

  3. Perbandingan perbuatan membunuh di bulan haram dengan perbuatan musyrikin Mekah: 1. Mereka menghalang orang menerima Islam dan melarang dakwah Nabi, ﷺ, 2. Perbuatan mereka menolak kebenaran Islam adalah kekufuran, 3. Mereka menghalang orang Islam beribadah di Masjidil Haram, 4. Mereka mengusir Nabi dan orang Islam dari Mekah, dan 5. Mereka kekal mahu melakukan kesyirikan dalam kehidupan. Semua ini lebih besar daripada dosa membunuh seorang kafir di bulan haram.

  4. Selain daripada lima perkara itu, Allah menyebutkan isi hati sebenar musyrikin Mekah. Walaupun Nabi ﷺ dan sahabat telah berhijrah ke Madinah, mereka masih tidak puas hati. Sebolehnya mereka mahu umat Islam kembali kepada kekufuran dan melakukan kesyirikan bersama mereka. Allah mengingatkan sekiranya ada yang berpaling murtad, kemudian seseorang itu mati, maka dia mati sebagai seorang kafir. Semua amalan baiknya sebelum ini tidak dikira dan nerakalah tempatnya.

Ayat 218

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah

serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka

itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

  1. Sambungan kepada kisah Abdullah bin Jahsy r.a. yang membunuh musyrikin Mekah bernama Amr bin al-Hadrami pada bulan haram, lalu Allah membandingkan kesilapannya itu dengan 5 perbuatan buruk musyrikin Mekah. Allah menyebut mereka sebagai orang yang beriman. Tidaklah sama kesilapan yang dilakukan orang beriman dengan kesilapan orang yang mensyirikkan Allah. Maka hendaklah kita memastikan perkataan dan perbuatan kita tidak mensyirikkan Allah sedikit pun.

  2. Allah juga menyebutkan mereka sebagai golongan yang berhijrah. Hijrah mereka bukan sahaja hijrah lokasi dari Mekah ke Madinah, malah lebih daripada itu, hijrah juga merangkumi perbuatan dan amalan kita seharian yang hendaklah sentiasa berubah menjadi lebih baik. Selain itu, ada juga hijrah hati, iaitu daripada mencintai kenikmatan dunia kepada mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan lebih utama. Hijrah juga bermaksud menahan diri dari apa yang dilarang Allah.

  3. Allah juga menyebutkan mereka sebagai golongan yang berjuang di jalan Allah. Kepatuhan mereka dalam melaksanakan perintah Nabi ﷺ untuk memantau di antara Madinah dan Mekah termasuk dalam ibadah berjuang di jalan Allah. Risiko yang mereka hadapi adalah bahawa mereka mungkin akan dibunuh jika pembesar Mekah mengetahuinya. Kerana itu juga mereka mengambil keputusan untuk membunuh seorang dan menawan dua orang lagi daripada kafilah musyrikin Mekah.

  4. Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.” (Hadith riwayat Muslim No. 5037). Orang yang berjuang di jalan Allah adalah golongan yang sentiasa inginkan rahmat daripada Allah. Allah Maha mengampuni dosa orang yang tersilap dan bertaubat dari kesilapan.

Ayat 219

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.

  1. Ayat ini mengisahkan para sahabat yang mula tertanya-tanya tentang arak dan judi. Kedua-dua perkara ini adalah perlakuan Arab jahiliah. Para sahabat tertanya-tanya hukumnya kerana mereka nampak keburukan pada keduanya. Arak menghilangkan kewarasan akal dan judi pula menghilangkan harta benda. Arak adalah apa-apa sahaja yang memabukkan, antara maksud khamar ialah apa sahaja yang memabukkan termasuklah arak. Judi pula adalah apa sahaja yang dipertaruhkan.

  2. Hinggalah turun ayat ini yang menyatakan arak dan judi, padanya adalah dosa besar. Disebutkan "padanya adalah dosa besar" bermaksud ia merangkumi semua orang yang terlibat dalam penghasilan arak dan pertaruhan judi. Pun begitu, Allah tetap menyebutkan pada keduanya masih ada sedikit manfaat. Mungkin pada waktu-waktu tertentu atau dalam situasi kesihatan tertentu masih ada manfaatnya juga. Apapun keburukannya jauh lebih besar dari manfaatnya.

  3. Setelah turun ayat ini ramai para sahabat meninggalkan arak namun masih ada yang belum meninggalkan sepenuhnya. Larangan ini belum lagi mengharamkan arak secara penuh kerana pengharaman arak dilakukan secara berperingkat. Ini baru amaran pertama dan ia mengajak manusia berfikir dan berkira-kira untuk melakukannya. Ada lagi dua peringkat sebelum pengharaman arak secara sepenuhnya. Dikatakan apabila turun ayat ini Madinah bergenang dengan arak yang dibuang.

  4. Di antara hikmah pengharaman arak secara berperingkat ialah kerana arak telah menjadi budaya masyarakat ketika itu, jika diharamkan serta merta mungkin ramai yang keluar dari Islam. Kaum Muslimin sedang dalam proses memperkukuhkan iman setelah aqidah mereka kukuh. Tanpa iman yang kukuh, pengharaman secara total akan menyebabkan masyarakat memberontak. Allah Maha Mengetahui sifat manusia dari satu zaman ke zaman yang lain. Allah juga mahu manusia berfikir.

  5. Soalan kedua yang ditanya oleh sahabat Nabi ﷺ ialah tentang infaq. Sebelum ini telah dinyatakan kepada siapa infaq perlu disalurkan, kini pertanyaannya adalah apa yang perlu diinfaqkan itu. Setelah soalan menghindar dosa, sahabat mahu tahu bagaimana mencari pahala pula. Allah menyebutkan yang diinfaqkan ialah apa yang lebih ada pada seseorang setelah cukup keperluannya. Allah tutup ayat ini dengan peringatan supaya manusia sentiasa berfikir tentang sesuatu.

Ayat 220

فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Dalam ayat sebelum ini, telah diterangkan tentang arak, judi dan infak. Kesemuanya, Allah minta kita berfikir tentang baik buruknya. Dalam ayat ini pula, Allah menyambung bahawa baik dan buruk itu perlu pertimbangan dunia dan akhirat sekali. Jangan hanya pertimbangkan dunia sahaja. Ayat ini pula berkisar tentang anak yatim. Para sahabat bukan sahaja bertanyakan tentang perkara buruk tetapi juga perkara baik seperti infak dan penjagaan anak yatim.

  2. Perkara yang baik perlu pertimbangan akal dan bagi perkara ibadah, ia perlu ada anjurannya di dalam al-Quran ataupun sunnah Nabi ﷺ. Kita tidak boleh menganggap sesuatu yang baik itu ibadah juga jika tiada suruhannya dalam agama. Allah menyebutkan bahawa membaiki kehidupan anak yatim adalah sesuatu yang amat baik. Anak yatim ialah kanak-kanak yang belum baligh dan telah kematian bapanya. Jika hanya kematian ibu, ia tidak dikira sebagai anak yatim.

  3. Nabi ﷺ bersabda: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”. (Riwayat Muslim No. 2983). Dua jari yang rapat itu menunjukkan rapatnya Nabi ﷺ dengan orang yang menjaga kebajikan anak yatim di syurga nanti. Para sahabat juga ingin tahu kerana risau akan ancaman terhadap orang yang memakan harta anak yatim seperti dalam Surah Al-Nisa ayat 6.

  4. Sebenarnya jika anak yatim itu mempunyai harta, bukanlah tidak boleh langsung guna hartanya. Dalam masyarakat, ada yang terlalu takut termakan harta anak yatim sehingga tidak berani nak berkongsi makan dengannya. Mereka perlu dianggap seperti sebahagian daripada kita juga. Allah maha mengetahui kadar yang sesuai, yang boleh digunakan sekiranya anak yatim itu berharta. Allah juga maha berkuasa untuk membalas perbuatan buruk sama ada di dunia atau di akhirat.

Ayat 221

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم ۗ وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا ۚ وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم ۗ أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

  1. Persoalan seterusnya dari siri persoalan para sahabat kepada Nabi ﷺ ialah tentang siapa yang boleh dikahwini. Asbabun nuzul ayat ini adalah tentang seorang sahabat yang telah masuk Islam dan berjumpa kekasih lamanya yang masih musyrik. Jumhur ulama menetapkan ahli kitab tidak termasuk dalam larangan ini kerana firman Allah: (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu.

  2. Walaupun perkahwinan dengan ahli kitab dihalalkan, bukan bermaksud ia digalakkan. Kita dilarang berkahwin dengan orang musyrik kerana bimbang terjerumus dalam kesyirikan dan ahli kitab juga melakukan kesyirikan dan mengubah agama asal mereka, cuma asal mereka bertauhid kepada Allah yang satu, sebahagian mereka juga beriman kepada nabi yang diutuskan. Sekiranya mereka masuk Islam untuk berkahwin, itu lain ceritanya. Perkahwinan dengan mereka menjadi halal.

  3. Mungkin ada yang mempertikaikan orang yang masuk Islam kerana perkahwinan ini. Sebenarnya, ini tidak wajar. Nabi ﷺ sendiri berkahwin dengan Safiyyah yang asalnya Yahudi. Ada juga kisah Usamah bin Zaid r.a. yang membunuh musuh yang mengucapkan syahadah ketika perang. Apabila Rasulullah ﷺ mengetahuinya, Usamah dimarahi. Cara apa pun seseorang itu masuk Islam, jangan kita persoalkan. Boleh jadi mereka lebih tinggi kedudukannya dari kita di akhirat nanti.

  4. Allah juga menyebutkan bahawa hamba yang beriman lebih baik kedudukannya daripada seseorang musyrik walaupun kita menyukainya. Tidak sama kedudukan orang beriman dengan yang kafir. Ada kisah seorang sahabat yang berlebihan memarahi hamba berkulit hitam yang beriman dan bertanya kepada Nabi ﷺ. Atas rasa bersalah beliau memerdekakan hamba itu dan kemudian mengahwininya. Walaupun bekas hamba, tetapi keimanannya talah mengangkat darjatnya semasa di dunia lagi.

  5. Selain itu, bagi para wali pula, tidak dibenarkan menikahkan wanita Islam dengan orang kafir dan juga ahli kitab. Dalam keluarga tetap suami adalah ketua, jadi mahu tak mahu seorang orang perempuan itu terpaksa mengikut kehendak suaminya. Seorang wanita Islam hanya berkahwin dengan lelaki Islam juga. Lebih mulia seorang hamba lelaki yang beriman daripada seorang yang merdeka tetapi kafir. Perkahwinan yang tidak menepati syariat hanya membawa ke neraka.

Tamat ruku' 27 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah.