Memaparkan catatan dengan label 2026. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2026. Papar semua catatan

Selasa, Mac 31, 2026

Ke mana Raya Kita Tahun Ini?

Assalamualaikum dan selamat pagi. Mungkin ramai dan mula kembali ke pejabat masing-masing setelah menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Di kesempatan ini juga saya dengan rendah hati mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf zahir dan batin kepada semua. 

Sebenarnya semalam dan masuk kerja tetapi baru hari ini dapat sedikit semangat untuk membuat catatan Selamat Hari Raya ini. Iya bulan Ramadan telah pergi, bagaimana pun harapnya ada lah sedikit sebanyak semangat beribadah di bulan Ramadan itu dibawa ke bulan-bulan seterusnya. Jika kita pada bulan Ramadan mencuba menahan diri dari apa yang mengurangkan pahala, harap dapat juga kita teruskan.

Tahun ini beraya hari pertama di Gombak iaitu di rumah ibunda saya. Sebelum ke Gombak saya dan anak ke Cyberjaya dahulu menjemput isteri. Sempat juga kami menyediakan rendang daging dan kuah kacang berdaging untuk dibawa ke rumah ibunda.

Kami Solat Hari Raya Idul Firti di Madrasah Al-Hilaliah yang tidak jauh dari rumah, berjalan kaki pun tidaklah penat. Kemudian kami bersalam-salaman bersama keluarga dan makan juadah raya seperti lemang, nasi impit dan rendang. Seterusnya kami beraya di rumah bapa saudara di Danau Kota.

Keesokan harinya dalam perjalanan ke Pahang untuk beraya bersama adik-beradik isteri, kami ke Kuala Klawang dahulu untuk beraya di rumah ibu saudara. Syoknya sebelum balik dibekalkan kami durian sebekas. Durian dari kebunnya sendiri dan  disimpan sejuk beku untuk dibagi-bagikan kepada tetamu istimewa.   

Di Pahang kami check-in Hotel Seri Malaysia yang mengumpulkan 7 keluarga. Malamnya ada makan malam khas ditempah dengan hotel dan kemudiannya ada acara bersalam-salaman. Keesokannya kami beraya di 3 buah rumah di Felda Mayam, Felda Purun dan Mentakab.

Pada hari raya keempat sebelum balik ke Gombak, kami sempat juga beraya merangkap makan tengah hari di Temerloh. Banyak juga rumah yang kami datang beraya untuk tahun ini. Dan aku sendiri agak lama juga bercuti iaitu sampai hari Jumaat kerana nak balik ke Penang sekali dengan isteri. Jimatlah tiket kapal terbang dia sedikit.

Selasa, Mac 17, 2026

Ramadan Kian Sampai Ke Penghujungnya

Kehidupan adalah perjalanan.
Assalamualaikum dan selamat pagi. Ramadan kian sampai ke penghujungnya, begitulah tajuk catatan pada kali ini. Benar laju sungguh perjalanan Ramadan ini. Malam tadi sewaktu tarawih di Surau Evoke Pauh Jaya ada tazkirah yang antaranya menyebutkan betapa cepatnya Ramadan ini meninggalkan kita. Ini menunjukkan Ramadan ini perlu di kejar (untuk menambah ibadah, kefahaman agama dan memohon keampunan) dan bukan untuk dibiarkan ia berlalu begitu sahaja. Rekod juga kerana tiada catatan lain di bulan Ramadan ini di blog ini kecuali satu perkongsian catatan tadabbur. Nasib baiklah ada itu, jika tidak hanya catatan ini sahajalah untuk Ramadan 1447 ini. Aku pun kurang juga singgah blog teman-teman dan komen. Maaf ya... 

Dikesempatan ini aku nak kongsikan kata-kata Syaikh Prof. Dr. Su'ud Asy-Syuraim hafizhahullahu ta'ala (imam & khotib Masjidil Haram terdahulu berkaitan Ramadan. Beliau menyebutkan rangkaian kata-kata perpisahan dengan Ramadan dari Ibnu Rajab iaitu:

"Wahai hamba Allah, bulan Ramadan telah bersiap-siap untuk berangkat. Tidak ada lagi yang tersisa kecuali saat-saat yang singkat. 

Barang siapa yang telah melakukan kebaikan selama ini, hendaklah ia menyempurnakannya. Barang siapa yang malah sebaliknya, hendaklah ia memperbaikinya dalam waktu yang masih tersisa. Karena ingatlah amalan itu dinilai dari akhirnya.

Manfaatkanlah malam-malam dan hari-hari Ramadan yang masih tersisa, serta titipkanlah amalan shalih yang dapat memberi kesaksian kepadamu nantinya di hadapan Al-Malikul ‘Alam (Sang Penguasa Hari Pembalasan)."

Sekian dahulu catatan Ramadan kali ini, semoga kita dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang kerana nilai Ramadan itu besar.