Memaparkan catatan dengan label Hari Raya Aidil Fitri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Raya Aidil Fitri. Papar semua catatan

Selasa, Mac 31, 2026

Ke mana Raya Kita Tahun Ini?

Assalamualaikum dan selamat pagi. Mungkin ramai dan mula kembali ke pejabat masing-masing setelah menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Di kesempatan ini juga saya dengan rendah hati mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf zahir dan batin kepada semua. 

Sebenarnya semalam dan masuk kerja tetapi baru hari ini dapat sedikit semangat untuk membuat catatan Selamat Hari Raya ini. Iya bulan Ramadan telah pergi, bagaimana pun harapnya ada lah sedikit sebanyak semangat beribadah di bulan Ramadan itu dibawa ke bulan-bulan seterusnya. Jika kita pada bulan Ramadan mencuba menahan diri dari apa yang mengurangkan pahala, harap dapat juga kita teruskan.

Tahun ini beraya hari pertama di Gombak iaitu di rumah ibunda saya. Sebelum ke Gombak saya dan anak ke Cyberjaya dahulu menjemput isteri. Sempat juga kami menyediakan rendang daging dan kuah kacang berdaging untuk dibawa ke rumah ibunda.

Kami Solat Hari Raya Idul Firti di Madrasah Al-Hilaliah yang tidak jauh dari rumah, berjalan kaki pun tidaklah penat. Kemudian kami bersalam-salaman bersama keluarga dan makan juadah raya seperti lemang, nasi impit dan rendang. Seterusnya kami beraya di rumah bapa saudara di Danau Kota.

Keesokan harinya dalam perjalanan ke Pahang untuk beraya bersama adik-beradik isteri, kami ke Kuala Klawang dahulu untuk beraya di rumah ibu saudara. Syoknya sebelum balik dibekalkan kami durian sebekas. Durian dari kebunnya sendiri dan  disimpan sejuk beku untuk dibagi-bagikan kepada tetamu istimewa.   

Di Pahang kami check-in Hotel Seri Malaysia yang mengumpulkan 7 keluarga. Malamnya ada makan malam khas ditempah dengan hotel dan kemudiannya ada acara bersalam-salaman. Keesokannya kami beraya di 3 buah rumah di Felda Mayam, Felda Purun dan Mentakab.

Pada hari raya keempat sebelum balik ke Gombak, kami sempat juga beraya merangkap makan tengah hari di Temerloh. Banyak juga rumah yang kami datang beraya untuk tahun ini. Dan aku sendiri agak lama juga bercuti iaitu sampai hari Jumaat kerana nak balik ke Penang sekali dengan isteri. Jimatlah tiket kapal terbang dia sedikit.

Khamis, April 18, 2024

Raya Di Temerloh

Assalamualaikum dan selamat pagi. Mungkin ramai yang dah mula puasa 6 tapi aku baru sahaja nak mula puasa 6 hari ini. Pada yang tak biasa puasa 6 tu mungkin boleh mula buat kali ni. Catatan kali ini ialah berkaitan raya. Seperti yang aku maklumkan pada catatan sebelum ini aku akan bahagikan catatan berkenaan raya kepada 2 bahagian. Yang ini adalah catatan yang kedua. Boleh check catatan sebelum ini untuk catatan pertama bertajuk Raya Di Gombak. 

Kami bertolak ke Temerloh pada hari raya kedua. Dalam perjalanan tu sempat singgah beraya di dua rumah iaitu rumah kawan wife di Batang Kali dan rumah sepupu wife di Mentakab. Ruginya jalan ke Genting Highland dari Ulu Yam masih ditutup kerana kejadian tanah runtuh, kalau tidak tidak perlu ikut jalan ke Gombak semula. Satu benda yang kita agak kecewa tentang jalan raya di Malaysia ni ialah nampak seperti sambil lewa sangat pihak2 tertentu dalam nak upgrade jalan2 utama dan jalan2 alternatif. Macam2 cerita kita dengar tentang kesesakan trafik sewaktu cuti raya baru2 ni. 

Petang raya kedua tu kami pun sampai ke Hotel Seri Malaysia di Temerloh. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini keluarga adik beradik belah isteri akan berkumpul di hotel ni. Pada malamnya ada sesi makan2 di hotel. Menunya ikan patin masak tempoyak. Ini menu yang mesti kena cuba bila di Temerloh yang cukup sinonim dengan gelaran bandar ikan patin selain gelaran titik tengah semenanjung Malaysia. Selepas itu ada sesi bersalaman antara keluarga dan yang paling seronok mestilah anak2 yang akan dapat duit raya. 

Keesokan harinya kami berkonvoi raya ke beberapa rumah, sebelum itu kami ziarah kubur ibu dan ayah dahulu di Bukit Keledang. Kami beraya di sekitar Mengkarak dan Guai kemudian ke Felda Mayam. Di Felda Mayam kami sempat solat Jumaat di sana. Isu utama di kawasan2 Felda sekarang ini ialah masalah air. Kesian betul sampai ada yang mula menggunakan perigi semula sebagai sumber air. 

Keesokan harinya sebelum balik ke KL aku sempat beraya ke rumah sahabat baik dari zaman sekolah menengah di Kerayong. Dia sekarang ni dah jadi wakil rakyat bagi kawasan Kemayan. Sebelum balik sempat kami makan nasi dahulu di rumah adik kepada isteri yang tidak jauh dari situ. Nasib baik kami makan dahulu tengah hari tu sebab perjalanan balik yang sepatutnya hanya 3 jam akhirnya jadi 8 jam kerana kesesakan teruk di lebuhraya. Di harap kerajaan dapatlah besarkan lagi jalan2 alternatif supaya kesesakan dapat dikurangkan.