Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 12/40 (Ayat 97-103)
Ruku' ke-12 Surah Al-Baqarah (ayat 97–103) membicarakan beberapa isu penting berkaitan dengan wahyu, permusuhan terhadap para malaikat, sihir, dan keengganan sebahagian Bani Israil menerima kebenaran.
Ayat 97
قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.
Salah satu dari rukun iman ialah beriman dengan malaikat. Bani Israil juga beriman dengan adanya malaikat, mereka percaya Taurat yang turun kepada nabi Musa melalui perantaraan Jibril. Namun dalam masa yang sama mereka memusuhi Jibril kerana; 1. Jibril banyak menurunkan bala pada mereka, 2. Jibril menurunkan kitab Al-Quran kepada nabi yang salah kerana bukan dari kalangan mereka. Mereka percaya malaikat adalah anak-anak Allah yang bernafsu dan sering bergaduh antara mereka.
Pemahaman mereka salah, yang menurunkan bala atau musibah adalah Allah. Membenci malaikat adalah kesalahan yang besar, mengingkari rukun iman membawa kepada murtad dan kekafiran. Dalam kalangan pengikut Syiah, ada juga yang membenci Jibril kerana berpendapat atau berpegang kepada bahawasanya Jibril telah tersilap menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad saw, bagi mereka sepatutnya Ali ra yang mendapat wahyu.
Hakikatnya dalam penurunan kitab Jibril hanyalah perantara, Allah bukan sahaja menyampaikan kitab kepada nabi pilihanNya bahkan memberi faham kepada para nabi juga adalah Allah. Wahyu yang diturunkan tidak hanya cukup dibaca atau dihafal, adalah wajib bagi kita memahaminya melalui tadabbur kepada setiap ayat yang diturunkan. Setelah itu diamalkan.
Kitab terdahulu adalah petunjuk sehinggalah ia diselewengkan, Al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad saw juga adalah petunjuk. Tidak sepatutnya seseorang menjadi petunjuk lain yang lebih utama berbanding Al-Quran. Semua kitab, ajaran atau pandangan yang bertentangan atau menyimpang dengan Al-Quran tidak boleh dijadikan rujukan dalam memahami agama.
Ayat 98
مَن كانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ وَرُسُلِهِ وَجِبريلَ وَمِيكَٮٰلَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ
Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.
Dalam ayat sebelum ini disebut Bani Israil telah memusuhi Jibril. Hakikatnya apabila memusuhi malaikat Allah sebenarnya mereka telah memusuhi Allah. Apabila mereka memusuhi Jibril sebenarnya juga mereka telah memusuhi kesemua malaikat. Mereka telah ingkari sifat malaikat yang hanya menurut perintah Allah. Begitu juga apabila mereka memusuhi seorang rasul bermakna mereka juga telah memusuhi keseluruhan rasul dan nabi. Apa yang nabi sampaikan hanyalah wahyu dari Allah.
Disebut dalam ayat ini bahawa mereka memusuhi Mikail juga walaupun mereka katakan mereka sukakan Mikail kerana memberi rezeki berbanding Jibril yang banyak menurunkan ujian kepada mereka. Sebenarnya apabila mereka berani menolak satu malaikat lambat laun mereka akan menolak Mikail pula mungkin kerana lambat memberi rezeki. Begitu juga dengan kitab yang diturunkan, menolak 1 ayat bahkan 1 huruf pun membawa kepada kekafiran dan murtad dari agama.
Disebutkan dua malaikat Jibril dan Mikail di dalam ayat ini adalah kerana kedua-dua malaikat ini adalah antara malaikat yang utama. Israfil juga malaikat yang utama tetapi masih belum berinteraksi dengan kehidupan manusia. Dalam doa nabi saw, disebutkan nama malaikat utama ini untuk mengagungkan Allah, nabi berdoa memuliakan Allah yang menjadikan malaikat, yang menjadikan langit dan bumi, yang mengetahui nyata dan ghaib, dan zat yang akan mengadili hamba-hambanya.
Hakikatnya sesiapa yang memusihi atau mengingkati atau menyelisihi apa yang telah Allah tetapkan termasuk dalam kalangan orang-orang kafir. Ancaman ini bukan hanya ditujukan kepada Bani Israil atau Yahudi sahaja tetapi juga kepada kita. Apa yang telah Allah tetapkan untuk kita beriman kepadanya hendaklah kita beriman sepenuhnya. Penting untuk kita pelajari dan mendalami bab beriman kepada malaikat-malaikat Allah supaya tidak tersalah pemahaman.
Ayat 99
وَلَقَد أَنزَلنا إِلَيكَ ءَايَـٰتِۭ بَيِّنَـٰتٍ ۖ وَما يَكفُرُ بِها إِلَّا ٱلفَـٰسِقُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Qur’an), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.
Allah memberi kekuatan kepada nabi Muhammad saw bahawa memang Al-Quran ini Allah turunkan kepada beliau. Al-Quran diturunkan sekali gus ke Luh Mahfuz dan di turunkan kepada nabi Muhammad beransur-ansur selama 23 tahun melalui malaikat Jibril as. Dalam masyarakat kita ada yang susah nak terima kedudukan kita di bawah dan Allah di atas, macam-macam hujah diberi tapi Al-Quran sendiri menyebut ia diturunkan dari langit.
Dalam masyarakat Arab ketika sebelum diturunkan Al-Quran mereka memang memandang mulia nabi Muhammad saw, baginda kenali sebagai seorang yang jujur, adil dan dipercayai. Apabila turunnya Al-Quran masyarakat Arab di Mekah tidak dapat menerima kebenaran jadi mereka mempersoalkan Al-Quran yang diturunkan. Ada yang buat-buat tak faham dengan apa yang diturunkan sedangkan ayat yang turun adalah jelas dan terang untuk diikuti.
Dalam konteks ayat ini yang dikatakan kufur kepada ayat-ayat Allah ialah orang-orang Yahudi di Madinah namun secara umumnya sesiapa pun yang mengingkari ayat-ayat Allah adalah termasuk dalam golongan kufur termasuklah dilakang orang Islam sendiri, kefasikan yang banyak dan berlanjutan membawa kepada kepada kekufuran. Antara maksud fasik ialah menolak kebenaran, melanggar larangan dan tidak taat.
Ayat 100
أَوَكُلَّما عَـٰهَدُواْ عَهدًا نَّبَذَهُ فَريقٌ مِّنهُم ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يُؤمِنونَ
Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah
tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli
oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
Allah menempelak bani Israil dalam bentuk pertanyaan pula. Banyak perjanjian mereka dengan Allah antaranya tidak mensyirikkan Allah namun akhirnya mereka sembah patung anak lembu, mereka berjanji tidak beraktiviti pada hari Sabtu tetapi mereka cuba tipu Allah dengan menahan pukat pada hari Jumaat dan menuai hasil pada hari Ahad. Janji mereka untuk beriman dengan dengan nabi akhir zaman juga mereka langgar.
Bukan semua dari mereka melanggar janji, ada juga sebahagian yang beriman dengan ajaran yang dibawa nabi Muhammad saw. Allah mengajar kita supaya tidak pukul rata. Dalam Islam perjanjian kita dengan Allah ialah hanya menyembah dan meminta pertolongan denganNya sahaja namun ada juga sebahagian dari kita yang menyembah selain Allah dengan mewujudkan perantara dalam berdoa dan menjalankan ibadah yang diambil dari kepercayaan lain.
Allah menyatakan bahawa kebanyakan mereka tidak beriman, sekali lagi ditunjukkan kepada kita supaya tidak pukul rata. Yang beriman hanya sedikit sahaja iaitu yang menerima syariat dari Al-Quran. Kebanyakan mereka menyambil syariat dari kitab yang tidak jelas dan telah terpesong. Siapa sahaja yang menolak kebenaran setelah tahu mengenai sesuatu kebenaran sebenarnya berperangai Yahudi. Ayat ini juga memujuk nabi Muhammad agar tidak bersedih dalam berdakwah.
Ayat 101
وَلَمّا جاءَهُم رَسولٌ مِّن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّما مَعَهُم نَبَذَ فَريقٌ مِّنَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ ڪِتَـٰبَ اللَّهِ وَراءَ ظُهورِهِم كَأَنَّهُم لا يَعلَمونَ
Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah, yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
Allah mengingatkan bani Israil bahawa nabi Muhammad saw adalah utusan Allah sama seperti nabi Musa as dan sekin banyaknya nabi-nabi yang diutuskan buat mereka. Sebagaimana Taurat diturunkan kepada mereka begitu juga Al-Quran. Bukan itu sahaja Al-Taurat dan Al-Quran sama-sama membenarkan antara satu sama yang lain namun mereka mengenepikan semua itu kerana ia tidak kena dengan nafsu mereka. Apa yang kononnya mereka tunggu selama ini akhirnya mereka tolak.
Sebahagian mereka (jangan pukul rata) bahkan melemparkan kitab itu ke belakang. Mereka bukan sekadar lempar tetapi mereka lempat ke belakang. Ini menunjukkan mereka langsung tak mahukan kitab sebagai panduan beragama. Dalam kalangan kita pun ada yang tidak mahu lagi mempelajari kitab Al-Quran, jika tidak dipelajari bagaimana kita boleh jadikannya panduan ibadah kepada Allah dan panduan hidup sesama manusia.
Apa yang dibawa di dalam Taurat dan Al-Quran sama sahaja dari segi tauhidnya iaitu tidak menyekutukan Allah dalam beribadah. Setelah diutuskan nabi Muhammad saw sebagai rasul semua ajaran terdahulu perlu ditinggalkan bahkan nanti apabila nabi Isa as turun dari langit baginda akan mengikut syariat yang dibawa nabi Muhammad seperti di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Syariat lama telah terbatal. Apa yang mereka buang itu adalah kitabullah.
Apa yang mereka lakukan itu seolah-olah mereka tidak tahu langsung dengan kebenaran ajaran Islam. Dalam kalangan kita pun ada yang tidak tahu langsung apa yang ada di dalam Al-Quran. Beragama perlu belajar dan menuntut ilmu agama itu tiada kesudahannya. Kita banyak ditekankan dengan kaedah beribadah (fekah) tetapi ilmu tentang Al-Quran kurang ditekan dari kecil lagi. Kita lebih ditekankan wirid berbanding membaca Al-Quran walhal wirid paling utama ialah membaca Al-Quran.
Ayat 102
وَاتَّبَعوا ما تَتلُو ٱلشَّيَـٰطِينُ عَلىٰ مُلكِ سُلَيمَـٰنَ ۖ وَما كَفَرَ سُلَيمَـٰنُ وَلٰكِنَّ ٱلشَّيَـٰطِينَ كَفَروا يُعَلِّمونَ النّاسَ السِّحرَ وَما أُنزِلَ عَلَى المَلَكَينِ بِبابِلَ هَـٰرُوتَ وَمَـٰرُوتَ ۚ وَما يُعَلِّمانِ مِن أَحَدٍ حَتّىٰ يَقولا إِنَّما نَحنُ فِتنَةٌ فَلا تَكفُر ۖ فَيَتَعَلَّمونَ مِنهُما ما يُفَرِّقونَ بِهِ بَينَ المَرءِ وَزَوجِهِ ۚ وَما هُم بِضارّينَ بِهِ مِن أَحَدٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمونَ ما يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم ۚ وَلَقَد عَلِموا لَمَنِ ٱشتَرَٮٰهُ ما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ ۚ وَلَبِئسَ ما شَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.
Nabi Sulaiman as adalah salah seorang nabi yang diturunkan kepada bani Israil. Keturunan nabi Musa dan nabi Sulaiman adalah dari adik beradik yang berbeza dari 12 orang anak nabi Yaakub. Ketika setelah wafatnya nabi Sulaiman as amalan sihir menjadi-jadi dan amalan ini syaitan telah kaitkan dengan nabi Sulaiman supaya manusia tertipu. Dikatakan nabi Sulaiman mempunyai cincin hikmat yang mempunyai kuasa walhal itu semuanya adalah dustaan syaitan.
Ketika zaman nabi Sulaiman as, ahli sihir dan pengamal sihir ditangkap dan dipancung, mayatnya tidak dimandikan dan juga tidak ditanam di tanah perkuburan Islam. Syariat ini berlanjutan sampai hari kiamat. Pengamal sihir merasakan mereka memperoleh kuasa atau ilmu dari amalan mereka yang soleh (sebenarnya amalan songsang), mereka sebenarnya mengamalkan apa yang diajarkan syaitan supaya manusia melepaskan diri dari kebergantungan kepada Allah sahaja.
Syaitan telah mengelirukan manusia dengan mukjizat yang telah Allah kurniakan kepada nabi Sulaiman dan sihir. Jangan tertipu dengan sihir yang menggunakan ayat Al-Quran, banyak sihir menggunakan ayat Al-Quran dengan tujuan yang tidak betul dan menyeru kepada sesuatu yang selain Allah. Manusia diajak untuk percaya kepada tangkal dan azimat dalam menjalani kehidupan.
Kesamaran seterusnya bani Israil ialah tentang malaikat Harut dan Marut yang mengajarkan tentang sihir di Babylon. Daripada mengambil pengajaran dari kefahaman atas sihir ada pula sebilangan yang beramal dengan sihir itu pula. Ada juga yang mengatakan Harut dan Marut hanya menguji manusia yang ada dengan sihir-sihir supaya manusia menjauhinya atau tidak tertipu dengannya tetapi ada pula yang menjadi pengamalnya.
Dizaman moden ini ada sebilangan masyarakat moden mula menolak tentang kewujudan sihir. Walhal sihir tetap ada dan nabi Muhammad saw mengamalkan menbawa surah Al-Falaq dan surah Al-Nas sebagai pelindung dari sihir (hakikatnya yang melindungi kita adalah Allah). Nabi Muhaammad sendiri pernah disihir yang kemudiannya disembuhkan Allah. Antara bentuk sihir ialah sihir yang memisahkan hubungan suami isteri, hakikatnya apa yang belaku adalah atas izin Allah sahaja.
Ayat 103
وَلَو أَنَّهُم ءَامَنُواْ وَاتَّقَوا لَمَثوبَةٌ مِّن عِندِ اللَّهِ خَيرٌ ۖ لَّو كانوا يَعلَمونَ
Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.
Sebahagian bani Israil percaya mereka masih beriman sedangkan iman mereka tidak sungguh-sungguh dan tidak sempurna. Mereka percaya kepada Allah tetapi dalam masa yang sama mereka juga percaya kepada sesuatu selain Allah. Mereka percaya tukang sihir mempunyai kelebihan tertentu dan mempunyai kuasa tertentu. Ini semua adalah sihir, walaupun tukang sihir itu menggunakan ayat-ayat dari kitab mereka tetapi tujuannya bathil.
Orang yang beriman dengan sempurna dan menolak kepercayaan kepada ahli sihir adalah orang yang bertaqwa. Ahli sihir bukan sahaja memandai-mandai dalam urusan dunia malahan mereka juga memandai-mandai dalam urusan agama. Mereka gemar menetapkan ayat tertentu dari kitab Allah untuk diamalkan sedangkan tiada petunjuk dari rasulullah saw. Mempercayai mereka sama seperti menganggap apa yang dibawa oleh rasulullah masih belum sempurna.
Dalam masyarakat kita selalu bomoh menggunakan ayat 31 dari surah Ali-Imran; "Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Kononnya ayat ini adalah ayat pengasih, penunduk, pemikat, pengikat antara pasangan sedangkan tidak ada pun petunjuk dari nabi saw dalam hal ini.
Amalan lain yang mahsyur dalam masyarakat kita ialah ayat 9 dari surah Yasin; "Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Kononnya ayat ini boleh menyebabkan musuh tidak boleh melihat kita, belindung dari perompak, binatang liar dan sebagainya. Ini juga tiada petunjuknya dari nabi saw.
Masyarakat kita juga mudah tertipu di antara mukjizat, karamah dan sihir. Sedangkan para nabi pun tak mampu nak membuat sesuatu mukjizat tanpa keizinan Allah, begitu juga karamah yang diberikan kepada orang beriman yang tidak melakukan syirik, Allah memberi mereka kelebihan pada waktu tertentu (sekali sahaja berlaku). Sedangkan kalau benda-benda pelik yang boleh dilakukan bomoh berkali-kali itu nyata syirik dengan meminta bantuan syaitan kebiasaanya melalui jin.
Nabi saw bersabda “Barangsiapa mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” (Riwayat. At-Tirmidzi 135 disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam “Irwa’ul Gholil” 6817). Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita supaya sentiasa kenal yang mana orang boleh dipercayai akidahnya dan orang yang tidak boleh dipercayai akidahnya (pengamal amalan bukan dari nabi saw).
Tamat ruku' 12 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.
terima kasih kongsi
BalasPadamSama-sama uncle.
Padamalhamdulillah. barakallah fiik
BalasPadam