Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 15/40 (Ayat 122-129)
Ayat 122
يَـٰبَنِىٓ إِسرٰءِيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى ٱلعَـٰلَمِينَ
Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).
Ayat ini merupakan penutup bagi kisah bani Israil dalam surah Al Baqarah. Setelah berulang-ulang disebutkan kesalahan-kesalahan mereka, tetap sahaja Allah memujuk mereka untuk kembali beriman dengan mengikuti ajaran nabi Muhammad saw. Allah masih lagi memanggil mereka dengan panggilan yang baik kerana boleh jadi akan terus ada hingga hari Kiamat orang Yahudi yang memeluk Islam. Banyak didengari para pengkaji Al Quran bukan Islam akhirnya memeluk Islam.
Yahudi di Madinah memang datang ke situ kerana menunggu nabi akhir zaman yang mereka ketahui dari kitab. Mereka ada semangat berkorban demi agama untuk mencari kebenaran. Mereka memuliakan ahli kitab di kalangan mereka, mereka dari keturunan yang baik-baik namun keturunan bukanlah jaminan seseorang itu di jalan yang benar. Ada juga di zaman ini yang mengaku keturunan nabi tetapi amalannya tidak menepati sunnah malah bercanggah.
Mereka telah dilebihkan berbanding mana-mana umat terdahulu, tidak sampai lebih mulia dari umat Muhammad. Ada yang mengatakan Yahudi ini akan hebat sampai hari kiamat sedangkan Allah telah nyatakan bahawa umat Muhammadlah yang terbaik seperti dalam surah Ali Imrah ayat 110, "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia," juga dalam surah Al Baqarah ayat 47. Mereka dimuliakan kerana Allah yang memuliakan mereka pada waktu itu.
Ayat 123
وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها عَدلٌ وَلا تَنفَعُها شَفَـٰعَةٌ وَلا هُم يُنصَرونَ
Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).
Hari yang dimaksudkan ialah hari kiamat. Hari manusia dibangkitkan semula menuju alam Akhirat untuk pembalasan. Hari yang banyak disebut di dalam Al Quran dan manusia perlu mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari ini. Hari di mana amalan yang baik akan diberi ganjaran baik dan amalan buruk akan diberi balasan yang buruk. Hari di mana tiada seorang pun dapat membantu seorang yang lain. Semuanya bergantung atas amalan sendiri.
Surah Abasa ayat 34-37; hari di mana seseorang itu lari dari saudaranya, ibu bapa, isteri dan anak-anak kerana setiap orang mempunyai urusannya sendiri yang sangat menyibukkan. Hari itu juga tidak ada lagi rasuah untuk memudahkan urusan, timbul persoalan nak rasuah dengan apa? Disebut dalam surah Al Ma'arij ayat 11-14; tebusan itu ialah anaknya sendiri, isteri, saudaranya bahkan seseorang itu ingin menebus seluruh penduduk dunia untuk memudahkan urusan sendiri.
Di hari itu juga tiada mereka itu memperoleh syafaat. Walaupun disebut nabi Muhammad saw akan memberi syafaat di akhirat nanti kepada umatnya tetapi syafaat itu hanya akan berlaku dengan izin Allah (Yunus 3). Orang kafir yang menolak kebenaran serta orang yang melakukan syirik tidak akan mendapat syafaat, syafaat hanya diberikan berdasarkan iman dan amal soleh (Maryam 87). Sekiranya seseorang itu ingkar di dunia, di akhirat tiada yang dapat menolongnya.
Ayat 124
وَإِذِ ابتَلىٰ إِبرٰهِـمَ رَبُّهُ بِكَلِمَـٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”
Bermula kisah nabi Ibrahim as melalui ayat ini. Melalui nabi Ibrahim lahirlah dua keturunan besar iaitu bani Israil (dari nabi Ishaq as) dan bani Ismail (dari nabi Ismail as). Kedua-dua keturunan ini menjadi mulia kerana doa nabi Ibrahim dalam ayat ini. Dalam pada Allah melantik nabi Ibrahim sebagai imam (contoh ikutan), nabi Ibrahim memohon juga dimuliakan keturunannya. Nabi Ibrahim di terima sebagai ikutan oleh Yahudi, Nasara dan juga umat Muhammad saw.
Ayat ini mengajak keseluruhan manusia dari bani Israil dan Ismail untuk mengenang kembali kepada asal usul agama ini iaitu ketaatan kepada perintah Allah. Nabi Ibrahim telah diuji dengan ujian-ujian yang berat namun semuanya dilalui dengan penuh yakin dan taat kepada Allah. Baginda digelar sebagai khalilullah seperti disebut dalam surah Al Nisa ayat 125; "...dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya. (خَلِيلًا)". Nabi Muhammad turut digelar khalilullah.
Tidak dinyatakan secara khusus ujian yang berikan tetapi secara umum kita mengetahui ujian berat yang diberikan kepada nabi Ibrahim iaitu; 1. Dibakar dalam api oleh raja Namrud kerana menafikan ada tuhan lain selain Allah, 2. Diperintahkan menyembelih anaknya Ismail as, 3. Diperintahkan meninggalkan isterinya Hajar dan Ismail di tengah padang pasir, 4. Diperintahkan membangunkan Kaabah, dan 5. Diperintahkan khitan di usia 80 tahun.
Kesemua ujian berupa perintah Allah ini dilaksanakan oleh nabi Ibrahim as dengan sempurna. Bukan sahaja sempurna bahkan baginda melaksanakannya dengan serta merta tanpa bertangguh-tangguh. Ia sebagai pengajaran kepada kita supaya mentaati semua perintah Allah tanpa bertangguh, tanpa beralas-alasan. Semua ujian ini Allah perintahkan supaya dapat menjadikan nabi Ibrahim sebagai imam atau contoh ikutan dan tauladan kepada kita semua.
Ayat 125
وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِّلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَّقامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَٱلعَـٰكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.
Yang dimaksudkan dengan الْبَيْتَ ialah baitullah iaitu kaabah. Kaabah merupakan rumah ibadat pertama bagi manusia seperti firman Allah dalam surah Ali Imran 96; "Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia." Ada pendapat mengatakan ia telah wujud dari zaman nabi Adam as dan rosak dan dibangunkan semula oleh nabi Ibrahim as.
Dijadikan Kaabah itu tempat yang sering dikunjungi, orang yang pernah mengunjunginya akan sentiasa rasa ingin kembali ke rumah ini. “Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100,000 kali solat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1,000 kali solat (di masjid yang lain), sedangkan solat di Baitul Maqdis (MasjidilAqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain).”
Terdapat beberapa pandangan berhubung makam Ibrahim as yang terletak berhampiran Kaabah, ada yang mengatakan ia kesan tapak kaki nabi Ibrahim ketika membangunkan Kaabah, ada juga pendapat mengatakan ia tapak tempat nabi Ibrahim solat menghadap Kaabah. Dalam manasik haji nabi Muhammad saw akan solat 2 rakaat di belakang makam Ibrahim selesai tawaf. Dalam kalangan orang Melayu ada pula yang sangka ia kubur kerana makam dinisbahkan kepada kubur dalam bahasa Melayu.
Allah menyebut nabi Ismail as dalam ayat ini menunjukkan kemuliaan baginda. Ini menafikan kepercayaan Yahudi bahawa keturunan nabi Ishaq sahaja yang mulia kerana dari nabi Ismail bermula keturunan Arab. Ini juga menunjukkan seorang bapa sepatutnya membawa anak lelakinya ke masjid. Selain dari membangunkan Kaabah, Allah juga perintahkan mereka untuk menyucikan Kaabah dari segala macam kesyirikan. Ini menunjukkan tempat ini telah ada dan mereka membangunkan semula.
Allah menyebutkan 4 ibadah di Kaabah iaitu tawaf yang paling utama, kedua i'tikaf kemudian rukuk dan sujud (solat). Selain menunjukkan keutamaan, ia menunjukkan juga bilangan, tawaf paling sedikit/ sukar kita lakukan, kedua i'tikaf kerana boleh juga dilakukan di masjid lain, kemudian solat paling banyak kerana boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Ketika menunaikan umrah utamakan 4 ibadah ini setelah selesai 1 umrah wajib, umrah hanya sekali dalam satu permusafiran.
Dalam masyarakat kita ada antara ibadah ini telah disalah amalkan antaranya ada yang tawaf di kubur tertentu, kemudian ada juga yang melakukan i'tikaf di tempat selain masjid seperti di kawasan perkuburan, di dalam gua, di bawah pokok besar, di atas gunung dan tempat pelik yang lain. Kononnya amalan ini dapat meningkatkan darjat seseorang. Susahnya nak tinggikan darjat apabila amalannya tidak betul, hakikatnya berjalan kaki ke masjid sahih meningkatkan darjat.
Ayat 126
وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا ءَامِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ ٱلثَّمَرٰتِ مَن ءَامَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.
Setelah menjalankan perintah Allah supaya dibersihkan Kaabah dari kesyirikan nabi Ibrahim as berdoa supaya Mekah menjadi aman. Dalam banyak ibadah kita dianjurkan supaya berdoa di penghujungnya, contohnya berdoa ketika hampir waktu berbuka, berdoa di akhir waktu Asar pada hari Jumaat dan berdoa ketika di dalam solat sebelum memberi salam. Keamanan adalah penting supaya orang yang mengunjungi Kaabah dapat tawaf, i'tikaf dan solat di dalamnya dengan tenang.
Doa nabi Ibrahim as diperkenankan Allah, Allah sendiri yang menerimanya. Hingga kini walaupun bertukar pemerintahan, Mekah kekal aman. Aman dari peperangan, juga aman dari segala macam kesyirikan dan perkara bid'ah. Dalam hadits ada disebut di akhir zaman nanti ketika kemunculan dajjal, Mekah tetap akan dipelihara dan dajjal tidak dapat memasukinya. Selain dari keamanan, nabi Ibrahim turut berdoa supaya diberikan rezeki kerana Mekah kawasan gersang.
Dalam doa nabi Ibrahim, baginda menetapkan syarat supaya doanya terhad kepada orang yang menyembah Allah dan beriman dengan hari akhirat sahaja, bagaimana pun Allah meluaskan rahmatnya kepada orang yang tidak beriman juga. Ini adalah isyarat dalam berdoa kita sepatutnya meluaskan doa kita dah tidak menyempitkannya untuk diri atau keluarga kita sahaja. Kenang juga kaum muslimin yang ditindas di seluruh dunia, doakan kemenangan para mujahidin.
Walaupun Allah turut memberi rahmatnya kepada orang kafir yang tidak beriman namun kesenangan ini semua bersifat sementara. Mungkin ada orang kafir fikir jika mereka tidak menyembah Allah kenapa kehidupan mereka baik sahaja. Jawapannya diakhiratnya nanti nasib mereka akan berbeza. Mereka semua akan dicampakkan ke dalam api neraka secara paksa. Tiada yang dapat merubah nasib mereka melainkan mereka menerima Islam dan mempraktikkan amalan yang benar.
Ayat 127
وَإِذ يَرفَعُ إِبرٰهِـۧمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسمَـٰعِيلُ رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
Ayat ini menunjukkan bahawa tapak Kaabah telah ada dan nabi Ibrahim dan Ismail as meninggikan binaan yang telah ada tapak. Ada pendapat mengatakan tapak Kaabah dibina oleh nabi Adam as namun tiada dalil yang menyatakannya. Dalam surah Ibrahim ayat 37 menunjukkan Baitullah telah ada ketika nabi Ibrahim meninggalkan nabi Ismail ketika kecil. Dalam surah Ali Imran ayat 96 menunjukkan Kaabah ialah rumah ibadat pertama di muka bumi.
Ketika menjalankan perintah Allah nabi Ibrahim berdoa kepada Allah supaya apa yang mereka laksanakan itu diterima. Inilah bentuk tawassul yang dibenarkan iaitu berdoa apabila selesai menjalankan ibadah atau di penghujungnya. Apabila selesai berpuasa di bulan Ramadan kita berdoa agar amalan kita semua diterima. Jangan anggap ibadah yang kita lakukan telah diterima sebelum kita berdoa supaya ibadah itu diterima. Ini adalah contoh dari nabi Ibrahim.
Ada beberapa syarat supaya ibadah diterima; 1. Ikhlas kerana Allah semata-mata, 2. Mengikuti apa yang ditunjukkan oleh Nabi saw, 3. Beribadah kerana takutkan Allah (bertaqwa) dan; 4. Berdoa supaya ibadah kita diterima. Nabi Ibrahim memuji sifat Maha Mendengar Allah ketika berdoa, apabila kita yakin Allah Maha Mendengar barulah kita ikhlas berdoa. Mendengar Allah itu tidak sama dengan makhluk namun ia bukanlah bermaksud lain seperti perkiraan akal ahli kalam.
Nabi Ibrahim juga memuji sifat Maha Mengetahui Allah. Allah mengetahui apa yang telah berlaku, apa yang sedang berlaku dan apa yang akan berlaku. Malah Allah mengetahui perkara yang tidak akan berlaku. Kesemua ketentuan telah tercatat dalam kitab Al Lauh Al Mahfuz. Dalam masyarakat kita ada yang percaya ada individu tertentu mengetahui perkara ghaib, ini bertentangan dengan apa yang Allah firmankan dalam surah Al Luqman ayat 34.
Ayat 128
رَبَّنا وَاجعَلنا مُسلِمَينِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنا أُمَّةً مُّسلِمَةً لَّكَ وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
Doa nabi Ibrahim as bersambung dari doa sebelumnya yang memohon supaya menerima amalan mereka berdua dari apa yang Allah perintahkan, nabi Ibrahim berdoa supaya tergolong dalam orang yang berserah hanya kepada Allah. Walau telah banyak ujian berupa perintah Allah yang berat diberikan kepada nabi Ibrahim tetap sahaja doanya menunjukkan kerendahan hati nabi Ibrahim, sebagai manusia siapa pun tidak terlepas dengan kesalahan.
Setelah itu nabi Ibrahim berdoa buat zuriatnya supaya tergolong dalam orang hanya berserah kepada Allah. Doa ini dimakbulkan Allah, dari keturunan nabi Ibrahim muncul penutup para nabi iaitu Muhammd saw dan umatnya. Dari kisah para sahabat ada sahabat tertentu yang tetap menyembah Allah yang satu di tengah-tengah masyarakat jahiliah, sebahagian mereka memang tidak pernah menyembah berhala, apabila Nabi Muhammad berdakwah tauhid mereka menerimanya.
Seterusnya nabi Ibrahim meminta cara ibadah haji dan tempatnya. Telah disebut sebelum ini tentang 3 ibadah utama di Kaabah iaitu tawaf, i'tikaf dan solat. Doa baginda diperkenankan dan Jibril turun untuk mengajarkan ibadah haji. Ibadah haji yang kita lakukan sekarang berasal dari doa nabi Ibrahim. Ibadah tidak boleh direka-reka kerana itu nabi Ibrahim berdoa meminta cara dan aturannya (dalil). Hukum asal semua ibadah adalah haram dilakukan sehingga adanya dalil.
Doa seterusnya ialah memohon keampunan kepada Allah. Doa mohon keampunan bukan hanya dilakukan setelah kita melalukan kesalahan tetapi juga setelah kita melakukan ibadah. Setelah selesai ibadah solat nabi saw mengajarkan supaya menyebut astaghfirullah sebanyak 3 kali. Dalam masyarakat ada yang mengubah perkara ini dengan menyebut alhamdulillah kerana kononnya astaghfirullah disebut hanya setelah melakukan kesilapan bukan setelah ibadah; ini suatu yang keliru.
Ayat 129
رَبَّنا وَابعَث فيهِم رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلكِتَـٰبَ وَالحِكمَةَ وَيُزَكّيهِم ۚ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ
“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Setelah nabi Ibrahim dan Ismail as berdoa untuk umat mereka supaya menjadi umat yang hanya berserah diri kepada Allah sahaja dalam ayat terdahulu, sekarang nabi Ibrahim berdoa pula supaya diutuskan rasul di kalangan keturunan mereka iaitu dari keturunan Ismail, bukan dari keturunan Ishaq kerana yang berdoa adalah mereka berdua (Ibrahim dan Ismail). Sebahagian dari sabdaan nabi Muhammad; "Aku adalah doa Nabi Ibrahim, khabar gembira Nabi Isa...".
Satu dari rahmat diutusnya nabi Muhammad saw dalam kalangan orang Arab ialah bahasa, amat penting untuk berdakwah bahasa yang digunakan adalah bahasa yang difahami oleh orang Mekah di peringkat awalnya. Hikmah kedua ialah nabi Muhammad terdiri dari kalangan orang yang dikenali di Mekah walaupun sebelum kerasulan, baginda dari keturunan yang dihormati, mereka sangat kenal peribadi nabi Muhammad. Bahasa dan akhlak adalah penting dalam berdakwah.
Sememangnya apabila telah diutuskan rasul pasti akan ada ayat-ayat berupa kitab yang akan diutuskan bersama. Rasullah yang akan bertanggung jawab menyampaikan ayat-ayat Allah, disebutkan pertamanya dibacakan dan kemudian baru diajar isi kandungan kitab. Mustahil seseorang itu boleh faham agama jika belajar ilmu tanpa rujukan Al Quran dan Sunnah. Masyarakat kita menerapkan membaca Al Quran dari kecil tetapi amat kurang ilmu pemahamannya.
Proses belajar Al Quran bukan cukup dalam tempoh yang singkat, Al Quran pun turun selama 23 tahun. Jika kita tahu masih tersisa umur kita 23 tahun pasti kita akan cuba memahamkan satu persatu ayat Al Quran dengan mendalam, bagaimana hendak berjaya ke syurga jika panduannya (Al Quran) pun kita tidak faham. الْحِكْمَةَ dalam ayat ini merujuk kepada beberapa perkara iaitu ia boleh jadi sunnah, kebijaksanaan dalam agama dan juga ilmu Al Quran; semuanya diterima.
Tamat ruku’ 15 dari 40 ruku' dalam surah Al Baqarah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan