Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 17/40 (Ayat 142-147)
Ruku' ke 17 dari 40 ruku' bagi surah Al Baqarah menceritakan tentang kiblat iaitu arah solat bagi orang Islam, arahan Allah untuk menukar arah kiblat dan penetapan Kaabah sebagai kiblat baru.
Ayat 142
سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلَّٮٰهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها ۚ قُل لِّلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.
Ayat ini turun sebelum dari perintah penukaran kiblat lagi kerana ia bermula dengan "akan berkata". Allah maha mengetahui apa yang belum berlaku, sedang berlaku, apa yang akan berlaku malah Allah mengetahui apa yang tidak akan berlaku. Allah tidak menyebutkan golongan mana tetapi Allah sebutkan sifat mereka yang bodoh dalam mempertikaikan ketetapan Allah. Ayat ini juga adalah pujukan kepada nabi Muhammad saw supaya jangan pedulikan kata-kata mereka.
Antara kritikan orang-orang bodoh itu ialah kononnya nabi Muhammad saw kembali semula kepada agama nenek moyang mereka ketika Mekah berada dalam jahiliah, ketika itu Mekah masih di bawah kuasa musyrikin Mekah dan masih banyak berhala-berhala di Kaabah. Perubahan kiblat ini menjadi satu tamparan yang hebat kepada Yahudi kerana mereka sangat memuliakan Baitul Maqdis. Perubahan ini menyebabkan permusuhan mereka semakin kuat.
Dalam hadith disebut bahawa setelah berhijrah ke Madinah nabi saw dan para sahabat yang Islam solat menghadap Baitul Maqdis selama 16-17 bulan. Manakala sewaktu sebelum hijrah ada beberapa pendapat, ada yang mengatakan nabi solat menghadap ke Kaabah, ada juga yang mengatakan menghadap ke Baitul Maqdis dan ada yang mengatakan keduanya serentak dengan solat dari arah tertentu supaya Kaabah dan Baitul Maqdis berada di hadapan mereka.
Allah mengajarkan nabi saw apa yang perlu dijawab iaitu Allah maha memiliki timur dan barat. Allah menentukan ke mana arah kiblat perlu dihadapkan. Jalan yang lurus ialah jalan yang mengikuti arah Allah dan bukan jalan mengikuti hawa nafsu. Walaupun kiblat itu penting namun dalam keadaan kita tidak dapat mengetahui arahnya kita boleh sahaja solat mengadap ke arah mana pun. Apa yang lebih penting ialah kita mengikuti petunjuk Allah dan rasul.
Ketika arahan perubahan kiblat ini diwahyukan, keadaan Kaabah masih penuh dengan kesyirikan. Banyak patung-patung yang digunakan untuk berdoa kepada Allah. Musyrikin Mekah rasa dengan bantuan patung-patung, doa mereka kepada Allah lebih mustajab atau berkat. Perubahan kiblat ini sebenarnya adalah isyarat bahawa suatu masa Mekah akan ditakluki dan bakal menjadi pusat penyebaran agama Islam ke seluruh dunia. Yang mahukan kebenaran jalannya akan dibuka.
Ayat 143
وَكَذٰلِكَ جَعَلنٰكُم اُمَّةً وَّسَطًا لِّتَکُونُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيكُم شَهِيدًا ؕوَما جَعَلنَا القِبلَةَ الَّتي كُنتَ عَلَيها إِلّا لِنَعلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلىٰ عَقِبَيهِ ۚ وَإِن كانَت لَكَبيرَةً إِلّا عَلَى الَّذينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَما كانَ اللَّهُ لِيُضيعَ إيمانَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنّاسِ لَرَءوفٌ رَحيمٌ
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Ka’bah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).
Perubahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah menunjukkan isyarat bahawa umat Muhammad saw iaitu yang menerima Islam adalah umat terbaik. Perubahan arah solat juga merubah kemuliaan umat Islam, jika sebelum ini Bani Israil ialah umat pilihan kini ia telah berubah. Perkataan وَّسَطًا selalu diterjemahkan sebagai pertengahan sebenarnya ia lebih bermaksud terbaik atau paling idea atau paling optimum kedudukannya. Ia terletak di antara dua perkara yang melampau.
Dari segi ibadah atau amalan dalam Islam ia adalah seimbang di antara ibadah berbentuk peribadi dan ibadah bermasyarakat. Islam menjaga hubungan diri dengan Allah begitu juga hubungan diri dengan sesama manusia. Islam menekankan keseimbangan antara dunia dan akhirat, jika Yahudi sangat mengejar dunia, Nasrani pula sangat mengejar akhirat hingga berlawanan dengan fitrah manusia kepada dunia seperti larangan berkahwin dan amalan bertapa di biara-biara.
Dalam surah Al Jumuuah ayat 11; "Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung." Islam tidak menyuruh umatnya untuk hanya beribadah hingga melupakan dunia, perlu kita bekerja keras untuk menampung kehidupan dalam masa yang sama jangan sampai mengurangkan ibadah. وَّسَطًا juga memberi maksud Islam ini amalannya merangkumi rohani dan jasmani.
Umat Islam akan menjadi saksi kepada umat-umat terdahulu yang menyimpang dari apa yang telah diajarkan oleh semua nabi. Ini kerana umat Islam telah diberitahu melalui Al Quran, semua nabi menyeru kepada Islam yang benar, ramai yang mengikutinya kemudian terpesong sedikit demi sedikit kerana mengikut ulama palsu dan hawa nafsu. Semua nabi telah menyampaikan semua yang telah suruh oleh Allah sebagai bekal kepada umat mereka untuk kekal dalam landasan yang benar.
Di akhirat nanti, setelah umat Islam menjadi saksi kepada umat umat terdahulu yang sesat, kemudian Nabi Muhammad saw pula akan menjadi saksi kepada umatnya yang beriman. Mereka adalah orang-orang yang mengikuti apa yang telah ditunjukkan oleh baginda saw, yang menyebarkan Islam dengan sunnah. Peristiwa penukaran kiblat benar-benar menguji amalan orang-orang yang suka dengan perkara yang telah lazim dilakukan hingga ada yang tidak menerima perubahan kiblat.
Peristiwa perubahan kiblat disebut di dalam hadith, ia berlaku di Masjid Quba di Madinah ketika solat Subuh, seorang telah menyampaikan perintah berkenaan perubahan arah kiblat. Kaum muslimin yang menerima perintah ini serta merta mengubah kiblat mereka dari Baitul Maqdis ke Kaabah dengan berpaling dengan dua tumit mereka. Semua amalan solat mereka yang mengikuti kiblat Baitul Maqdis tetap sahaja diterima dan tidak perlu bertaubat atau mengulangi solat mereka.
Ayat 144
قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضَٮٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ لَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا يَعمَلونَ
Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Ka’bah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka’bah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
Di awal hijrah di Madinah nabi saw sering menghadapkan mukanya ke langit dengan harapan kiblat akan ditukarkan ke Masjidil Haram, walaupun nabi hanya menghadapkan muka sahaja, Allah tetap sahaja mengetahui apa yang di dalam hati nabi. Ini menunjukkan kita boleh berharap kepada Allah atau berdoa tanpa melafazkan doa, bersendirian dan juga tanpa menadahkan tangan. Terdapat banyak dalil dari Al Quran menunjukkan Allah di langit dan di antaranya adalah ayat ini.
Allah mengabulkan hajat nabi saw dan mengarahkan agar umat Islam berpaling dari berkiblatkan Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Ayat ini turun ketika nabi dan para sahabat sedang solat, jadi ketika solat itu nabi dan para sahabat berpusing hampir 180° dalam keadaan masih dalam solat. Ini menunjukkan pergerakan dalam solat dibenarkan jika ada keperluan. Dalam masyarakat ada yang tak mahu bergerak untuk penuhkan ruang solat atau menutup telefon yang berbunyi.
Perubahan kiblat ini juga adalah petunjuk kepada kaum Yahudi tentang benarnya ajaran nabi Muhammad saw kerana peristiwa perubahan kiblat ini ada tercatat dalam kitab mereka. Telah ada juga petunjuk-petunjuk melalui ayat lain di dalam Al Quran tentang kemuliaan Kaabah seperti peristiwa nabi Ibrahim dan Ismail as yang membangunkannya semula, bagaimana Jibril as mengajarkan ibadah haji dan doa mereka untuk keamanan Mekah serta keturunan mereka.
Arahan menghadap ke Masjidil Haram ini diperluaskan kepada seluruh tempat, di mana pun seseorang itu berada arah solatnya telah ditetapkan ke Masjidil Haram. Ketika itu Islam belum berkembang tetapi arahan Allah telah meliputi keseluruhan dunia, ini menjadi petunjuk bahawa Islam akan tersebar luas luar dari Madinah dan tugas kita adalah sebagai penyambung dakwah nabi untuk menyebarkannya. Allah akan membalas kepada yang tidak mahu terima kiblat ini.
Ayat 145
وَلَئِن أَتَيتَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءآيَةٍ مّا تَبِعوا قِبلَتَكَ ۚ وَما أَنتَ بِتابِعٍ قِبلَتَهُم ۚ وَما بَعضُهُم بِتابِعٍ قِبلَةَ بَعضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم مِّن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
Bukan semua orang menerima dalil dari Al Quran, seperti orang Yahudi dan Nasrani yang juga diberikan kitab akan ada sahaja golongan yang menolak dalil yang dibawa. Golongan seperti ini sebenarnya fanatik kepada kelompok mereka sahaja, hati mereka degil dan keras untuk menerima kebenaran. Macam-macam alasan diberikan untuk menolak kebenaran antaranya kerana dalil tidak kuat sedangkan banyak hujah dan dalil telah ditunjukkan. Aturan agama mesti berdalil.
Dalam Taurat telah disebut di mana apabila datang mana-mana nabi membawa kebenaran mereka mesti ikut namun sebaliknya ramai di antara para nabi yang mereka telah bunuh, dari segi syariat pula mereka telah tolak dua syariat iaitu syariat yang dibawa nabi Isa as dan syariat nabi Muhammad saw. Memang susah untuk berubah dari kebiasaan, peringatan kepada kita juga kerana mungkin sahaja ada perkara agama yang kita tolak tanpa sedar atau sengaja kerana telah biasa.
Sama sekali orang Islam tidak akan berubah kiblat setelah perubahan kiblat Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Jawapan kepada orang Yahudi di Madinah kononnya nanti kiblat akan bertukar lagi. Ini tidak akan berlaku kerana tidak akan ada lagi wahyu atau nabi diutuskan. Orang yang mengambil kononnya cerita mimpi anak Rasulullah atau mimpi imam mahdi sebagai pegangan sebenarnya menolak Islam, tiada lagi arahan baru dalam perkara agama setelah wafatnya Rasulullah.
Walaupun asalnya kiblat bagi Yahudi, Kristan dan Islam ada di Baitul Maqdis, setelah Islam berubah kepada kiblat Masjidil Haram, antara Yahudi dan Kristian menolak kiblat antara mereka. Asalnya kiblat Kristian juga di Baitul Maqdis, setelah Kristian dipermodenkan, kiblat bagi mereka tidak lagi penting, gereja lama banyak dibina menghadap ke timur sebagai simbol kebangkitan. Itulah hasilnya apabila hawa nafsu lebih diutamakan dari dalil kitab yang benar.
Akhirnya Allah memberi peringatan kepada nabi saw sendiri jika nabi mengikuti mereka iaitu menolak perintah, nabi pun termasuk golongan yang zalim. Selebihnya peringatan ini sebenarnya adalah untuk umat Islam seluruhnya supaya tidak menolak perintah. Apa yang telah ada dalilnya kita perlu terima dan menolaknya kerana hawa nafsu adalah satu yang zalim. Ini juga dalil yang menunjukkan Al Quran bukan karangan nabi seperti tohmahan Musyrikin Mekah dan kaum liberal.
Ayat 146
الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
Apabila disebut tentang sifat atau sikap ahli kitab, sebenarnya Allah ingin memberi peringatan kepada kita kerana kita juga diberikan kitab Al Quran. Jangan sampai kita membenci Yahudi tetapi kita mengikuti sifat atau sikap mereka kepada kitab. Mereka telah diberitahu sesuatu perkara di dalam kitab tetapi mereka; 1. Tidak ambil tahu isi kitab, 2. Menyembunyikannya, 3. Buat-buat tidak tahu, atau 4. Ubah apa yang di dalam kitab mengikut nafsu mereka.
Mereka mengetahui tentang nabi akhir zaman yang akan lahir di Mekah, baginda seterusnya akan berhijrah ke Madinah serta sifat-sifatnya. Perkara ini dinyatakan dalam Al A'raf 157; "Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka." Ada juga disebut dalam hadith Abdullah Bin Salam, seorang Yahudi yang menerima dakwah nabi saw.
Mereka bukan rasa-rasa malah mereka mengenalinya seperti mereka mengenal anak mereka sendiri. Semuanya cukup jelas, dalam kitab Taurat ketika diceritakan tentang nabi Ibrahim, Ismail, Hajar dan Zamzam di tempat yang diberi nama Gunung Paran ini nanti akan muncul nabi akhir zaman. Siapa lagi kalau bukan nabi Muhammad saw kerana tiada nabi lain diutuskan di situ. Sebahagian Yahudi mengakui kerasulan nabi saw tetapi mengatakan nabi itu hanya untuk orang Arab.
Ayat 147
الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ
Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
Kebenaran yang sebutkan ialah apa yang telah Allah wahyukan kepada nabi Muhammad saw iaitu Al Quran. Walaupun Yahudi mengetahui tentang kemuliaan Kaabah yang dibangunkan oleh nabi Ibrahim as iaitu salah seorang nabi yang mereka iktiraf dan banggakan, mereka juga telah diberitahu tentang perubahan kiblat dalam kitab mereka tetapi mereka sanggup menyembunyikannya. Ada yang mengakui perubahan kiblat, tetapi mereka tokok tambah kata perubahan itu hanya sementara.
Arahan ini adalah kepada nabi saw, para sahabat dan juga kepada kita supaya tidak ragu-ragu dengan kiblat yang telah ditetapkan. Sememangnya apa yang telah diwahyukan tidak boleh kita ragui, apatah lagi mempercayai kata-kata orang berbanding apa yang telah ada di dalam Al Quran. Baru-baru ini muncul ajaran sesat yang mengatakan kiblat sebenar adalah di Petra, Jordan, kononnya Imam Mahdi mereka telah mendapat mimpi tentang kiblat baru.
Berkaitan tentang perkara ibadah, dalam masyarakat kita ada yang berpegang kepada fahaman "nabi tidak larang" maka kita boleh sahaja melakukan sesuatu ibadah. Sedangkan sebetulnya kita perlu berpegang kepada "asal hukum semua ibadah adalah haram dilakukan melainkan ada dalil yang menyuruhnya". Dalil ini adalah dari Al Quran dan Sunnah nabi saw. Jika tiada dalil patutlah kita tinggalkan dan kita perlu ragui perbuatan yang bukan dicontohkan nabi.
Tamat ruku' 17 dari 40 ruku' dalam Surah Al Baqarah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan