Ruku' 19 dari 40 ruku' dari surah Al Baqarah menyentuh beberapa perkara iaitu cara meminta pertolongan Allah, orang yang mati syahid sebenarnya tidak mati, beberapa ujian Allah kepada orang yang beriman, Safa dan Marwah adalah syiar Allah, dan laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia ke atas mereka yang menyembunyikan kebenaran.
Ayat 153
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
Perintah Allah kepada orang beriman yang tidak melakukan kesyirikan ialah supaya kita meminta pertolongan kepada Allah, jika ditimpa musibah atau ujian kembali kepada Allah. Sebolehnya elakkan dari mengadu kepada makhluk yang tiada kuasa membantu, bahkan dalam diam menyukai apa musibah yang kita hadapi. Seharusnya kita kembalikan semua perkara sebagai takdir Allah yang telah ditetapkan. Cara yang diajarkan untuk meminta pertolongan ialah dengan berdoa.
Apabila berdoa, mengeluhlah kepada Allah, mohonlah kepada Allah jalan keluar dan mintalah diberi kekuatan untuk menghadapinya. Sabar terbahagi 3; 1. Sabar dalam ketaatan, 2. Sabar dalam menjauhi larangan dan, 3. Sabar dalam menghadapi ujian. Dalam surah Al Zumar ayat 10 Allah berfirman; "Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." Beruntunglah orang yang boleh mengawal kemarahan dengan bersabar.
Setelah bersabar, Allah mengajarkan kita bersolat pula apabila ingin meminta pertolongan Allah. Telah disebutkan sebelum ini ibadah solat adalah puncak ibadah dalam mengingati Allah. Allah ajar kita supaya tidak terlalu memikirkan tentang masalah sebaliknya segera mengerjakan solat. Darinya Allah akan merungkai segala masalah yang kita hadapi. Allah mahu kita mengadu terus kepada Allah, banyak terjadi orang kembali ingat kepada Allah setelah diuji dengan berat.
Allah memang mahu kita sentiasa selalu meminta pertolongan denganNya dengan bersabar, Allah juga mahu kita selalu bersegera solat kepadaNya apabila masuk waktu, tambah dengan solat-solat sunat yang diajarkan nabi saw. Banyakkan berdoa sebelum beri salam dan di dalam mana-mana sujud jika solat bersendirian. Allah menekankan bahawa Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Kesemuanya dari Allah juga dan boleh jadi semua ujian itu bakal meninggikan darjat seseorang.
Ayat 154
وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَموٰتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لّا تَشعُرونَ
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
Diperkenalkan satu ibadah yang mulia iaitu jihad di jalan Allah hingga kerananya seseorang itu terbunuh (syahid). Sememangnya syahid itu luas seperti hadith; “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” Apapun tingkat amalan yang paling agung ialah jihad berperang di jalan Allah dan tingkat mati yang paling agung ialah syahid berperang di jalan Allah.
Sabda nabi saw; “Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya di dalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya”. Dikatakan ayat ini diturunkan sebelum perang Badar, supaya kaum Muslimin berani berperang.
Orang yang terbunuh dalam berperang di jalan Allah sebenarnya tidak (mati biasa) mereka terus hidup dalam kehidupan khas. Dalam satu hadist disebut roh mereka berada dalam rongga burung hijau, mereka bebas keluar masuk syurga sesuka mereka. Walaupun hidup, mereka bukanlah hidup dalam erti kata sebenar, ayat ini digunakan kelompok sesat untuk meminta kepada tokoh tertentu yang telah mati, kononnya mereka masih hidup untuk memenuhi permintaan doa.
Ayat 155
وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِّنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِّنَ الأَموٰلِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرٰتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرينَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
Siapapun pasti akan diuji. Ujian Allah tidak mengira kedudukan seseorang bukan orang susah sahaja diuji, orang yang senang pun diuji. Ujian bukan hanya akan datang bila seseorang melakukan kesalahan, ujian boleh sahaja berlaku pada orang yang tidak melakukan kesalahan, orang yang taat dan orang yang faham agama. Ujian Allah akan datang dengan pelbagai bentuk. Ujian ini menentukan seseorang itu bersabar atau pun tidak. Di antara ujian Allah ialah ujian ketakutan.
Kita mungkin diuji dengan ketakutan kerana musuh yang kuat, majikan yang garang, pemerintah yang zalim, atau kehidupan yang tidak aman. Semua ujian ini telah pun dilalui oleh orang-orang terdahulu. Di zaman nabi saw dan para sahabat ujian lebih hebat lagi. Kita juga akan diuji dengan kelaparan, mungkin kerana tiadanya pendapatan, tiadanya makanan ketika bermusafir, atau mungkin kerana peperangan. Banyak kisah nabi saw dan sahabat yang diuji dengan kelaparan.
Kita juga akan diuji dengan kurangnya harta benda. Para sahabat dahulu apabila datang seruan jihad mereka mengeluarkan banyak dari harta mereka sebagai persediaan untuk berperang, hanya sedikit sahaja harta ditinggalkan buat isteri dan anak-anak. Perjuangan memerlukan pengorbanan harta yang tinggi. Selain itu kita juga akan diuji dengan hilangnya orang yang kita sayangi. Nabi saw banyak kehilangan keluarga dan sahabat dalam peperangan dengan orang kafir.
Ujian terakhir ialah buah-buahan atau tanaman. Boleh sahaja pada ketikanya tertentu tanaman tidak menjadi, begitu juga jika kita terpaksa meninggalkan tanaman tanpa jagaan kerana adanya seruan jihad. Itulah yang dihadapi para sahabat nabi saw. Ada ketikanya kemarau melanda sampai hampir sahaja mati kesemua tanam-tanaman yang diusahakan. Semua ini adalah ujian ubat orang bersabar dan pasti ada khabar gembira ubat orang bersabar di akhirat sana.
156
الَّذينَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Sekiranya Allah telah menetapkan musibah untuk seseorang itu maka tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengelak dari musibah itu. Orang beriman akan redha atas apa yang telah Allah takdirkan kepadanya. Allah mengajarkan apa kalimah yang perlu disebut apabila ditimpa musibah. Kalimah ini dikenali sebagai kalimah istirja'. Mulanya kita kena sedar bahawa kita ini semua adalah milik Allah. Seterusnya disambung dengan kita semua akan kembali kepadaNya.
Allah boleh memberikan kehidupan yang baik buat kita, harta yang banyak, keluarga yang ramai, kesihatan yang baik, negara yang aman dan banyak lagi nikmat, tetapi kita kena sedar semua itu adalah milik Allah dan boleh sahaja ditarik balik dari kita bila-bila masa. Bukan itu sahaja malah diri kita ini juga milik Allah, Dia boleh berbuat sesukaNya sama ada mahu seorang itu mendapat hidayah ke jalan benar atau membiarkan seseorang itu terus sesat.
Apabila ditimpa musibah seseorang itu boleh bersedih namun kesedihan itu perlu juga diliputi dengan rasa sabar dari awal lagi musibah itu datang. Kita tidak dibolehkan meracau, meratap dan berperangai tak keruan seperti hilang kewarasan diri apabila ditimpa musibah. Dalam sebuah hadits Nabi saw juga menyebutkan kalimah إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ (istirja') ini ketika lampu pelita padam. Kalimah ini bukan sahaja disebut ketika ada kematian.
Dalam masyarakat kita ada yang mengamalkan membaca Al Fatihah apabila ditimpa musibah, ini tiada saranannya di dalam Al Quran atau sunnah nabi saw berbuat demikian. Mulanya dulu orang hanya tulis Al Fatihah tetapi kerana ramai yang mengelat ditulis pula Al Fatihah (dibaca). Benda ini seperti dibuat main-main pula, akan datang akan ada lagi inovasi lain jika masyarakat tidak mahu kembali kepada Al Quran dan Sunnah nabi. Al Fatihah adalah doa untuk yang hidup.
Ayat 157
أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَوٰتٌ مِّن رَّبِّهِم وَرَحمَةٌ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Ayat ini adalah sambungan dari ayat sebelum ni iaitu di mana Allah mengajarkan kalimah إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ (istirja') apabila ditimpa musibah seterusnya bersabar atas musibah itu. Allah akan melimpahkan berbagai kebaikan kepada orang itu. Justeru apabila ditimpa musibah ucaplah kalimah istirja dan bukan dengan perkataan lain. Perkataan صَلَوٰتٌ juga bermaksud ucapan tahniah atau syabas dari Allah kerana dapat mengurus musibah mengikut suruhan Allah.
Selain dari ucapan tahniah serta pelbagai kebaikan seorang itu juga akan dikurniakan rahmat dari Allah. Tiada seorang pun boleh masuk ke dalam syurga tanpa rahmat dari Allah. Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.” (Riwayat Muslim (5042)).
Seterusnya Allah memuji orang sebegini; iaitu yang menuruti perintah Allah dalam menghadapi musibah. Sememangnya dunia ini adalah tempat ujian jadi kita harus menghadapi dan mengurus setiap ujian dengan kalimah istirja' dan seterusnya bersabar atasnya. Orang sebegini dipuji Allah sebagai golongan yang mendapat petunjuk. Dari ilmu yang didapati dalam Al Quran, dia mengamalkannya sepenuh hati. Amalan dengan panduan Ilahi itulah yang terbaik.
Latih diri untuk mengikuti petunjuk Allah dalam setiap keadaan, apabila perlu bersabar maka kita bersabar. Kelebihan bari seorang Islam, dari kesabaran kita mendapat ganjaran. “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.” (Sahih Muslim, no. 2999).
Ayat 158
إِنَّ الصَّفا وَالمَروَةَ مِن شَعائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَن حَجَّ البَيتَ أَوِ اعتَمَرَ فَلا جُناحَ عَلَيهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِما ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَإِنَّ اللَّهَ شاكِرٌ عَليمٌ
Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.
Allah berfirman dalam Surah Al Hajj 32; “Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu adalah dari ketakwaan hati.” Safa dan Marwah termasuk satu dari lambang Islam. Berulang alik di antaranya merupakan rukun haji dan juga umrah. Kisah Safa dan Marwah bermula dari zaman Nabi Ibrahim as lagi di mana Hajar berulang alik antaranya untuk mencari air supaya dapat menyusukan Ismail as ketika ditinggalkan berdua berhampiran Kaabah.
Perbuatan Hajar adalah simbol usaha, dalam ayat sebelum ini Allah mengajarkan sabar setelah ditimpa musibah, dalam ayat ini Allah mengajarkan usaha untuk keluar dari musibah. 7 kali Hajar berulang alik mencari air kerana bekalan airnya telah habis, tanpa air dia tidak dapat menyusukan Ismail as. Peristiwa ini dirakamkan dalam hadits yang panjang di mana akhirnya datang suku Jurhum berkampung di situ dan nabi Ismail apabila besar berkahwin dengan di situ.
Timbul persoalan mengapa disebut "tidaklah berdosa untuk bersa'i" dalam ayat ini. Ini kerana sebelum hijrah ada sahabat yang telah melakukan ibadah sa'i ini dengan kesyirikan, di puncak safa dan marwah ketika itu adanya patung yang perlu dimuliakan, jadi sahabat jadi khuatir hinggalah turun ayat ini. Peristiwa ini disebut dalam hadith Hisyam bin Urwah di mana Aisyah ra menerangkan tentang ayat ini. Arab jahiliyah telah lama berhaji dengan kesyirikan.
Perbuatan sa'i dengan sukarela dan ikhlas adalah perkara yang baik, ini telah ditentukan sendiri oleh Allah. Dalam masyarakat ada yang pandai-pandai menyatakan suatu perbuatan ibadah itu baik tanpa ada pengesahannya oleh Allah atau nabi Muhammad saw. Bersa'i ini adalah tanda kesyukuran makhluk kepada Allah atas kurniaannya untuk diterima menjadi tetamuNya. Allah juga maha mengetahui semua ibadah yang dilakukan dan Allah pasti membalas perbuatan sa'i hambaNya.
Umrah pertama para sahabat berlaku pada tahun ke 7 hijrah setelah pada tahun ke 6 mereka dihalang hingga terjadinya perjanjian Hudaibiyah. Bermakna mereka melakukan umrah qadha. Mereka telah biasa melakukannya ketika belum Islam cuma setelah Islam tiada lagi kesyirikan (walaupun patung masih ada), semuanya berdoa, talbiah dan bergantung hanya kepada Allah dan bukan dengan perantara. Umrah para sahabat hanya sekali sahaja dalam satu perjalanan mengerjakan umrah.
Ayat 159
إِنَّ الَّذينَ يَكتُمونَ ما أَنزَلنا مِنَ البَيِّنٰتِ وَالهُدىٰ مِن بَعدِ ما بَيَّنّٰهُ لِلنّاسِ فِي الكِتٰبِ ۙ أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلعَنُهُمُ اللّٰعِنونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
Ayat ini merupakan ancaman kepada golongan yang belajar dan mengetahui ilmu agama tetapi menyembunyikannya dari pengetahuan masyarakat umum. Sedangkan ilmu dunia pun kita tidak boleh sembunyikan bagaimana pula jika ia adalah ilmu agama yang bakal menyelamatkan seseorang dari bakaran api neraka. Mulanya golongan ini mula bertapak di kalangan kelompok Yahudi tetapi ia tidak terhad kepada mereka sahaja, ia berlaku juga dalam kalangan umat Islam.
Sebenarnya apa yang mereka sembunyikan adalah perkara yang jelas nyata dikhabarkan dalam kitab. Ia bukan perkara yang samar-samar kerana khabar dari kitab yang diturunkan adalah jelas dan mudah untuk difahami. Mungkin kerana perkara tertentu, suatu ayat itu dilangkau dari diajarkan. Boleh jadi kerana takut dikecam, hilang pengaruh, atau tidak kena dengan nafsu. Ahli kitab Yahudi sembunyikan kebenaran nabi Muhammad saw sebagai nabi akhir kepada pengikut mereka.
Di zaman kitab terdahulu, kitab wahyu hanya disimpan di kalangan ahli kitab sahaja dan masyarakat umum tidak menyimpannya. Beruntung bagi umat Muhammad saw, kitab Al Quran kini tersebar luas dan kandungannya terpelihara 100% seperti mana ia diturunkan, setiap orang Islam memiliki kitab masing-masing sebagai panduan dan rujukan. Penting sebagai umat Islam belajar lebih mendalam Al Quran untuk memahami tafsir melalui tadabbur dari satu ayat ke satu ayat.
Dari ‘Aisyah Radhiyallahu anha, dia berkata: “Barangsiapa menceritakan kepadamu bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyembunyikan sesuatu dari wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada baginda, maka dia telah berdusta, Kerana Allah Azza wa Jalla berfirman ‘Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu’ al-ayat (Maidah:67). [Sahih Bukhari, no. 4612]. Semua ilmu agama telah disampaikan nabi saw kepada umatnya dengan sempurna.
Golongan yang menyembunyikan kebenaran ini dilaknat Allah berupa tiadanya keampunan buat dosa mereka yang menyembunyikan kebenaran dan tiadanya rahmat Allah bagi mereka untuk masuk syurga. Ayat ini adalah motivasi mengapa dakwah agama terus berjalan hingga akhir zaman walaupun tanpa ganjaran atau habuan tertentu. Selain dari laknat Allah, makhluk seperti malaikat, jin dan manusia juga akan melaknat golongan yang menyembunyikan ilmu wahyu di akhirat kelak.
Ayat 160
إِلَّا الَّذينَ تابوا وَأَصلَحوا وَبَيَّنوا فَأُولٰئِكَ أَتوبُ عَلَيهِم ۚ وَأَنَا التَّوّابُ الرَّحيمُ
Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki, serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
Dalam ayat sebelum ini telah diterangkan akibat kepada orang yang menyembunyikan kebenaran iaitu dilaknat oleh Allah dan juga makhluk Allah seperti malaikat, jin dan manusia. Ayat ini pula menerangkan bagaimana caranya menghindar dari dilaknat sekiranya seseorang itu ada menyembunyikan kebenaran wahyu dari pengetahuan masyarakat. Langkah pertama ialah bertaubat dari perbuatan menyembunyikan kebenaran untuk kepentingan diri, habuan duniawi dan reputasi.
Salah satu dari rukun taubat ialah mengakui kesilapan yang dilakukan, tidak cukup hanya kita berhenti melakukan sesuatu perkara buruk itu. Setelah bertaubat dan mengakui kesilapan, langkah seterusnya ialah dengan memperbaiki perbuatan yang salah itu. Mungkin masyarakat yang sepatutnya tahu perkara yang benar menjadi tidak tahu kerana perbuatan menyembunyikan kebenaran oleh orang berilmu. Orang yang berilmu perlu menegur kesilapan masyarakat dalam beramal.
Dalam sejarah seorang alim ada mencontohkan perubahan kefahaman mereka tentang suatu perkara, jika mengkaji penulisan mereka ada fasa tertentu yang dilalui dan berbeza pegangannya dari masa ke semasa. Setelah membaiki kesilapan, seseorang itu perlu juga menerangkan apa yang telah mereka sembunyikan dari pengetahuan masyarakat. Apa yang di dalam wahyu perlu diterangkan dengan jelas terutamanya tentang tauhid, sebagaimana para sahabat faham tentangnya.
Setelah bertaubat, memperbaiki kerosakan dan menjelaskan apa yang disembunyikan barulah Allah menerima taubat mereka yang menyembunyikan ilmu agama. Jika tidak tahu tentang satu perkara, boleh sahaja seseorang itu mengatakan tidak tahu, mustahil ada ilmuan yang tahu semua perkara dalam agama. Bukan sahaja Allah itu maha menerima taubat, malahan juga Dia maha mengasihani, dalam pada orang menyembunyikan kebenaran masih juga ada rahmat dari Allah buat mereka.
Ayat 161
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ أُولٰئِكَ عَلَيهِم لَعنَةُ اللَّهِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.
Setelah diingatkan tentang laknat yang akan diterima oleh golongan yang tidak mahu bertaubat dari menyembunyikan kebenaran, tetap sahaja akan ada golongan yang tidak ambil peduli. Golongan ini kekal ingkar kepada peringatan Allah. Golongan ini telah menyembunyikan isi kandungan kitab termasuklah Al Quran, golongan ini menyembunyikan bagaimana sahabat faham sesuatu ayat itu dengan tafsiran akal mereka sendiri. Sehinggalah akhirnya mereka mati dalam keingkaran.
Boleh jadi golongan ini tahu kesilapan mereka menyembunyikan kebenaran tetapi sikap melengah-lengahkan taubat telah menyebabkan akhirnya mereka mati tanpa sempat bertaubat. Dan di antara talbis Iblis ialah dia sentiasa menghasut manusia supaya melengah-lengahkan taubat. Golongan ini hatinya keras kerana keegoannya sendiri. Apapun kita tidak boleh menghukum seseorang itu dengan laknat kerana kita tidak tahu apa di dalam hatinya.
Golongan ini juga termasuk dalam golongan yang disebut ulama su' yang jumlahnya banyak di akhir zaman. Mereka berilmu tetapi menyembunyikan kebenaran dan mereka kelirukan manusia. Tiada tempat lain bagi golongan yang dilaknat Allah melainkan di neraka. Mereka juga dilaknat golongan malaikat, begitu juga mereka dilaknat manusia keseluruhannya iaitu golongan beriman dan golongan kafir. Orang kafir nanti akan menyalahkan orang yang tidak berdakwah kepada mereka.
Ayat 162
خٰلِدينَ فيها ۖ لا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنظَرونَ
Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.
Golongan yang dilaknat itu akan kekal dalam api neraka kerana tidak bertaubat dari kesilapan mereka menyembunyikan kebenaran. Sememangnya ada hadith yang menunjukkan orang Islam kalau pun banyak dosa dan dimasukkan ke neraka, akhirnya dia akan dimasukkan ke dalam syurga juga kerana rahmat Allah. Dari ayat ini tidak dapat dipastikan orang yang menyembunyikan kebenaran ini masih dikira Islam atau pun tidak kerana golongan ini kekal dalam neraka.
Setelah kekal di dalam neraka, golongan ini juga tidak akan diringankan azab buat mereka. Ahli neraka sentiasa meminta untuk dikurangkan azab buat mereka seperti disebut dalam surah Ghafir ayat 49-50. Dalam ayat lain disebut bahkan azab buat mereka sentiasa bertambah. An Naba 30; “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.
Dalam surah Al Tahrim ayat 6; "Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." Bukan sahaja azab tidak ringankan bahkan azab yang akan mereka hadapi juga tidak ditangguh-tangguh. Serta merta mereka akan diazab dan malaikat sentiasa ada untuk mengazab penghuni neraka dengan pelbagai jenis azab siksaan. Mereka akan sentiasa diperhatikan.
Ayat 163
وَإِلٰهُكُم إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ
Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Setelah amaran kepada golongan yang menyembunyikan kebenaran, Allah turunkan pula ayat tauhid. Ini menunjukkan penekanan besarnya salah golongan yang menyembunyikan atau tidak menyampaikan dakwah tauhid. Kerananya manusia menyembah kepada selain Allah, kerana mereka manusia berterusan hidup dalam kesyirikan. Banyak agama faham yang menjadikan dunia adalah satu tuhan sahaja, mereka jadi sesat kerana banyaknya tokok tambah dan wahyu yang benar tidak disampaikan.
Masyarakat Arab jahiliyah juga menyembah Allah yang satu tetapi dalam masa yang sama mereka jadikan perantara-perantara dalam menyembah Allah. Ada agama memuliakan makhluk hingga menandingi Allah, ada yang meminta kepada malaikat, kepada kuburan orang soleh, ada yang percaya kepada bintang, matahari, api dan ada yang mewujudkan binaan tertentu untuk menyembah tuhan. Kesemua ini adalah kesyirikan. Allah tidak perlukan perantara untuk disembah atau diminta tolong.
Dalam kalimah tauhid, perlu kita fahami tentang penolakan ilah-ilah lain selain Allah perlu terlebih dahulu diterapkan sebelum menetapkan Allah sebagai satunya tuhan yang disembah. Semua ilah-ilah ini di akhirat nanti akan menjadi bahan bakar api neraka untuk menyeksa pengikutnya. Allah sentiasa memberi rahmat di dunia kepada semua manusia supaya manusia dapat memikirkan pencipta setiap rahmat itu, bagi orang beriman diberikan lebih lagi berupa ganjaran syurga.
Tamat ruku' 19 dari 40 ruku' dalam surah Al Baqarah.

Terima kasih haji!
BalasPadam