MASZLEE MALIK
Tepat jam menunjukkan detik 12 malam tanggal 31 Ogos...seluruh Malaysia terutamanya di Dataran Merdeka acara stereotaip tahunan akan berlangsung. Selepas jeritan merdeka, merdeka, merdeka...jiwa-jiwa dan pemikiran anak-anak muda kita pun akan mula dijajah kembali. Dijajah nafsu, dijajah kegilaan andreanelin, dijajah keseronokan yang singkat yang mengundang bala yang berpanjangan, dijajah pemikiran pengabdian secara total kepada budaya najis dari barat dan juga dijajah oleh Iblis yang telah mengisytiharkan peperangan terhadap Bani Adam seawal Nabi Adam A.S. diciptakan.
Merdeka, merdeka, merdeka...seruan yang dulunya menjadi laungan keramat tanda bebasnya watan kita dari penjajahan kuasa luar kini telah menjadi laungan keramat sebagai lesen untuk penjajahan bentuk baru di dalam jiwa anak-anak muda kita. Sejarah tidak pernah menipu, dan sejarah jugalah yang telah menyaksikan saban tahun pemudi-pemudi beragama Islam kita dijajah dan disamun kemuliaan dan mahkotanya oleh penjajah-penjajah yang sepatutnya menjadi "Qawwamuun" (pelindung) ke atas mereka. Pemuda dan pemudi menjadi tidak keruan dijajah otak mereka dek air-air khayal yang kedapatannya dilelong dan dijual secara jumbo sale di malam tersebut di premis-premis 7 eleven, pasaraya-pasaraya dan juga kelab-kelab malam.
Merdeka, merdeka, merdeka...di satu ceruk pula kedapatan pengunjung-pengunjung setia rumah-rumah Allah mengsekularkan diri mereka menyambut hari Merdeka dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat. Sekular ?, ya...mereka di satu wadi dan manusia di wadi yang lain. Mereka mengharapkan keredhaan Allah tanpa menghiraukan mereka-mereka yang hanyut kelemasan dijajah dan digagahi oleh nafsu dan sayitan di malam tersebut. Sekali lagi mereka-mereka ini pun masih lagi dijajah oleh pemikiran "Nafsi-nafsi" atau "Ananiyyah".
Habis cara yang bagaimana kita nak sambut Hari Kemerdekaan kita ?, jika tiada hiburan tiada serilah hidup kita ?, jika tiada hiburan kita tidak maju!, jika tiada hiburan kita dilihat kolot!
Begitu parahnya pemikiran kita dijajah dan diperkosa. Kehidupan hanyalah untuk hiburan ! jika tiada hiburan tiadalah kehidupan!, jika tiada hiburan ketinggalan zaman! Segalanya untuk berhibur, menghibur dan terhibur kemudiannya terlanjur.
Dalam zaman yang serba moden ini sepatutnya umat Islam perlu lebih kreatif. Pemikiran mereka tidak selayaknya dijumudkan dengan menjilat dan menelan semua yang berasal dari barat. Sikap sebegini hanya akan merencatkan kekreatifan sesuatu bangsa dan hanya menjadikan mereka hamba pemikiran barat dan akan terus terjajah. Seeloknya umat Islam, di Malaysia khususnya dalam menyambut hari kemerdekaan, menyemaikan jatidiri bangsa merdeka dan menyuburkan semangat patriotik mempunyai gaya dan cara yang tersendiri yang tidak bertentangan dengan Syariat Islam.
Tiada count down bukan beertinya kita ketinggalan zaman, dan ber count down tidak menunjukkan kita maju. Ianya hanya mempamerkan keujaan kita dan sikap jakun untuk meniru bangsa lain yang kita anggap lebih keramat dan lebih berdarjat. Zaman-zaman 70'an, 80'an malah, tiada pun acara count down dan konsert-konsert sehingga larut malam yang akhirnya mengundang tahajjud bersama orang ketiga (syaitan) di celah-celah pokok di taman, di dalam kereta di tepi taman-taman bunga, di hotel-hotel muran dan malah di sesetengah tempat dilakukan di tepi-tepi padang. Tidak cukup lagikah dengan national parade yang menjadi acara fardhu kifayah di Dataran Merdeka pada tiap-tiap tahun ?, mengapa mesti sesuatu acara yang bersulamkan maksiat menjadi acara yang diberikan galakan untuk hidup mekar dan terus diwarisi sepanjang zaman ?
Jikalau kita lapar sangat pun nak meniru budaya barat yang menghidupkan waktu malam mereka pun, hidupkanlah ia dengan cara yang lebih bermaruah dan patriotik. Acara tatu angkatan tentera, pantomen pentas, alunan lagu-lagu patriotik, acara berdoa dan bersolat berjemaah beramai-ramai, pementasan filem-filem patriotik dan pelbagai acara lain yang bebas maksiat boleh dijalankan untuk menyambut malam kemerdekaan. Yang penting kita wajib ada cara sambutan kita yang tersendiri. Acara sambutan yang tidak bercanggah dengan syariat tetapi selari dengan aliran zaman. Acara yang tidak membuka jalan-jalan kepada maksiat untuk dilakukan secara terbuka. Jikalaulah perkara seumpama itu pun tidak dapat kita fikirkan jelaslah fikiran kita dan jiwa kita masih lagi dijajah. Apalaj ertinya merdeka negara tetapi fikiran umatnya masih terjajah.
Walau bagaimanapun yang lebih penting bukannya sambutan. Sambutan hanya hiasan, hanya simbol, hanya lambang, yang lebih utama sebenarnya ialah pengisian dan juga keadaan sebenar rakyat itu sendiri mesti benar-benar merdeka.Bagi umat Islam pula, kemerdekaan akidah mereka dari kesyirikan adalah perkara pokok yang mesti mereka usahakan. Begitu juga halnya kemerdekaan jiwa mereka dari sifat-sifat mazmumah yang akan mengundang bala di dalam kehidupan dunia dan akhirat tidak boleh diabaikan. Seterusnya kemerdekaan pemikiran individu umat dari segala pemikiran dan perhambaan terhadap pemikiran barat yang bertentangan dengan syarak juga penting agar mereka tidak selamanya menjadi pengikut agenda orang lain dan sentiasa berakhir menjadi penyaksi sejarah sahaja. Selain itu kemerdekaan umat Islam dari perhambaan kepada nafsu juga tidak boleh dipandang ringan, ini kerana perhambaan mereka kepada nafsu akan membawa mereka menjadi hamba kepada benda-benda lain. Contohnya, jika mereka menurut nafsu, mereka akan menjadi hamba Arak, hamba wanita, hamba duit, dan yang wanita pula akan sentiasa dieksploit untuk menjadi hamba kapitalis-kapitalis yang hanya memandang mereka tidak lebih dari peralatan untuk mereka menggandakan keuntungan. Sekali lagi untuk menjadi seorang yang meredeka, seseorang itu wajiblah terlebih dahulu menyedari dirinya hanyalah hamba kepada Allah sahaja dan hanya tunduk dan patuh kepada perintah Allah semata-mata dan tidak sekali-kali melanggar perintahnya. Sebarang pelanggaran terhadap perintah Allah dan perbuatan meninggalkan larangannya akan hanya menjadikannya hamba Allah yang derhaka dan tidak merdeka dari menuruti hawa nafsu sendiri...maka berterusanlah dia dijajah.
Persoalannya, bagaimana pula dengan diri kita ?, meredekakah kita ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan