Selasa, September 27, 2005

Ikan lumba-lumba dilatih khas hilang

LONDON: Taufan Katrina tidak hanya menyebabkan kemalangan jiwa dan kerugian besar kepada Amerika Syarikat, malah turut menyaksikan kehilangan ‘senjata’ tersendiri mereka di medan pertahanan – sekumpulan 36 ekor ikan lumba-lumba yang dilatih khas.

Akhbar Britain The Observer melaporkan, ikan lumba-lumba itu mungkin mengambil kesempatan melepaskan diri selepas kawasan yang menempatkannya di pesisiran pantai New Orleans, ditenggelami air berikutan kehadiran Katrina pada 29 Ogos lalu.

Namun, kehilangannya itu sebaliknya mendatangkan risiko kepada penyelam dan pemain luncur ombak kerana membawa senjata bahaya iaitu damak yang bertoksik.

Tentera laut AS mengaku ia melatih ikan lumba-lumba berkenaan bagi tujuan ketenteraan, tetapi enggan mengesahkan sama ada binatang itu hilang.

Ikan itu sememangnya dilatih tentera AS untuk menembak pengganas serta menunjukkan sebarang kegiatan risikan di dasar laut.

Pakar yang mengkaji latihan tentera laut AS membabitkan haiwan pintar itu berkata, 36 ikan lumba-lumba itu bahaya kerana mungkin membawa senjata api dalam bentuk damak yang bertoksik.

Ikan lumba-lumba sememangnya dilatih dalam misi serang dan bunuh sejak Perang Dingin. Ia turut diajar menembak pengganas yang menyerang kapal tentera.

Mereka yang terbabit mengkaji program kontroversi pertahanan AS itu berkata, amat penting bagi ikan berkenaan ditangkap secepat mungkin.

Leo Sheridan, 72, yang juga penyiasat kemalangan disegani berkata, dia menerima maklumat perisikan yang mengesahkan kehilangan ikan lumba-lumba itu. – Agensi

“Saya bimbang ia akan menembak penyelam yang terbabit dalam latihan antipengganas. Malah jika peluncur ombak sekali pun yang dianggap bahaya, akan menyebabkan ikan lumba-lumba itu melepaskan tembakan damak berkenaan.” – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan