Penasihat Persatuan Alam Malaysia (MNS) Johor Vincent Chow berkata, beliau yakin dengan kewujudan ``Bigfoot'' di hutan Johor dan ia dibuktikan dengan beberapa insiden orang ramai terserempak dengan makhluk itu.
``Ia (Bigfoot) memang wujud. Kami menerima banyak maklumat tentang insiden manusia terserempak dengan makhluk itu seperti di kawasan hutan di Tanjung Piai, Mersing, Kahang, Taman Negara Endau Rompin dan Kota Tinggi.
``Ia (insiden terserempak) bukanlah sesuatu perkara yang baru. Malah saya menganggapnya (Bigfoot) sebagai suatu perkara unik dan khazanah fauna hutan Johor. Kita perlu mengambil langkah untuk melindunginya,'' katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Menurut Chow, dalam insiden terbaru bulan lepas di Kampung Mawai, Kota Tinggi, tiga orang pekerja yang sedang membina kolam ikan di kampung tersebut mendakwa terserempak dengan satu keluarga makhluk itu.
Pekerja tersebut katanya mendakwa, keluarga ``Bigfoot'' yang mereka lihat itu terdiri daripada dua dewasa dan satu anak dan membuktikan teori bahawa makhluk ini tidak mempunyai suatu komuniti tetapi bergerak di dalam satu keluarga.
Selepas insiden itu, para pekerja kolam ikan tersebut kembali semula ke tempat kejadian di mana mereka telah menemui kesan tapak kaki makhluk bersaiz kecil dan besar, sepanjang 45cm, menurutnya.
``Kewujudan kesan tapak kaki pelbagai saiz itu membuktikan kemungkinan apa yang mereka (pekerja) lihat itu sememangnya satu keluarga `Bigfoot'. Dakwaan mereka tentang penemuan itu adalah berwibawa,'' kata Chow.
Beliau menganggarkan bahawa makhluk tersebut mempunyai ketinggian di antara lapan hingga 10 kaki berdasarkan kepada ketinggian bahagian ranting pokok yang patah di tempat makhluk itu ditemui dan memiliki bulu berwarna keperangan berdasarkan penemuan bulu dipercayai milik haiwan itu.
``Bulu yang ditemui itu juga memiliki bau seakan-akan bau ketiak manusia,'' katanya.
Penasihat MNS Johor itu juga berkata, beberapa insiden penemuan Orang Asli Empan a/p Melai, 5, yang hilang selama enam hari di Hutan Simpan Lenggor awal bulan ini ketika bersama-sama keluarga mencari rotan di hutan itu.
``Adik saya nampak `King Kong', tinggi dan lengannya besar, sebesar batang pokok dan berbulu hitam. Dia lari apabila nampak (King Kong) itu,'' kata abangnya Awin a/l Sentok, 25, kepada pemberita di Balai Polis Daerah Kluang selepas adik serta dua sepupunya berumur empat tahun itu ditemui oleh pasukan penyelamat.
Chow berkata, pihak MNS Johor bersedia untuk menjalankan kajian saintifik mengenai kewujudan ``Bigfoot'' di hutan negeri itu bagi memperoleh lebih banyak data terperinci tentang haiwan itu.
Data yang lebih terperinci tentang makhluk itu katanya, akan membolehkan usaha-usaha pemuliharaan dan perlindungan ``Bigfoot'' yang turut dikenali sebagai ``Hantu Jarang Gigi'' oleh masyarakat Orang Asli di situ.
Beliau juga berharap, Jabatan Antropologi universiti-universiti tempatan dan kerajaan negeri Johor turut serta dalam kajian saintifik itu.
``Ia (Bigfoot) boleh menjadi tarikan besar pelancong ke negeri Johor,'' kata Chow sambil menambah, isu sama ada makhluk itu benar-benar wujud atau tidak merupakan ``suatu yang amat besar'' di Eropah dan Amerika Syarikat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan