Ahad, Februari 11, 2007

Modal cerita lucah

Modal cerita lucah:
KUALA LUMPUR: Dengan hanya bermodalkan 50 sen, seseorang pelajar boleh ‘mentelaah’ senaskhah majalah mini mengandungi pelbagai cerita berunsur lucah di kedai buku kaki lima sehingga habis dan berpeluang memilikinya dengan hanya membayar RM3.50 hingga RM8.

Pelbagai majalah lucah mini yang digelar ‘komik’ kini dijual secara terbuka di kedai kaki lima dengan memaparkan gambar wanita seksi dalam posisi mengghairahkan pada kulitnya bagi menarik perhatian golongan remaja, termasuk pelajar.

Penerbitan majalah bersaiz poket itu dipercayai antara taktik kotor syarikat penerbit buku tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat dan kesan jangka panjang terhadap golongan muda.

Sekilas pandang, majalah itu kelihatan seakan-akan majalah motivasi yang kononnya mampu memberi pengajaran dan teladan berguna, selain didakwa mengandungi pedoman hidup kepada pembaca supaya tidak terdedah kepada masalah sosial mahupun kehidupan seks bebas.

Malah, penerbit sengaja menetapkan harga yang mampu dibeli golongan remaja, iaitu tidak sampai RM10 senaskhah bagi melariskan jualannya, manakala pekedai pula seolah-olah bersubahat apabila membenarkan pelajar membaca majalah berkenaan dengan hanya membayar 50 sen.

Dengan kewujudan bahan bacaan sebegini, ia bukan saja memberi dorongan negatif secara langsung terhadap golongan muda yang dipengaruhi sikap ingin tahu yang tinggi, malah mencetuskan pengaruh tidak sihat terhadap minat membaca.

Ia sepatutnya disekat bagi mengurangkan punca masalah sosial yang kini di tahap membimbangkan selain mencemarkan industri penerbitan bahan cetak.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Hasnah berkata, majalah berkenaan adalah antara buku yang paling laris di kedainya berbanding majalah berbentuk ilmiah.

“Kebanyakan yang datang membeli majalah ini golongan remaja termasuk pelajar. Ada juga antara mereka yang datang membaca di kedai beramai-ramai.

“Bagaimanapun, untuk bacaan di kedai, mereka perlu bayar 50 sen bagi setiap judul yang dipilih,” katanya.

Menurut Hasnah, dia turut mengklasifikasikan majalah berkenaan sebagai komik kerana bersaiz sama.

“Saiz majalah ini sama dengan komik, jadi ia memudahkan penyusunan bahan bacaan di kedai selain mudah dikenal pasti pengunjung,” katanya.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow, ketika dihubungi berkata, penerbitan dan penjualan bahan bacaan sedemikian dilarang sama sekali kerana menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Sekiranya mereka (penerbit buku) didapati bersalah, pihak kementerian akan mengeluarkan amaran dan merampas bahan bacaan terbabit sebelum permit mereka digantung atau dibatalkan terus.

“Setakat ini kita mengenakan syarat kepada syarikat penerbitan supaya menyerahkan naskhah contoh bahan bacaan terbitan mereka untuk disemak. Jadi tidak wujud kebocoran pada sistem pemantauan, malah ia dijalankan secara tersusun.

“Majalah atau bahan terbitan dari luar negara pula akan melalui semakan terperinci di pintu masuk negara ini,” katanya.

Menurut Fu, lebih sejuta tajuk terbitan dari luar negara melalui semakan kementeriannya dan hanya sebahagian kecil disekat selepas dikesan mengandungi gambar dan artikel berunsur lucah.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan wujud kegiatan menyalahgunakan nombor siri penerbitan dan permit penerbitan yang dikeluarkan kementerian itu.

“Mungkin ada syarikat penerbitan yang mengambil kesempatan menerbitkan buku atau majalah berlainan tapi menggunakan nombor siri sama bagi mengelakkan kegiatan mereka diketahui pihak berkuasa.

“Dalam kes sebegini, kita akan menjalankan siasatan bagi mendapatkan bukti sahih sebelum sebarang tindakan dan amaran dikeluarkan,” katanya.
Related post: , , , ,

1 ulasan:

  1. ternyata kejadian kayak begitu gak cuma terjadi di indonesia yaa...banyak penerbit gelap yang gak mau tahu akibat dari buku yang diterbitkannya yang penting untung....

    BalasPadam