Khamis, Mei 08, 2008

Suspek utama kes bunuh ditembak

myMetro:
KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai kes pembunuhan pasangan suami isteri dalam dua kejadian berasingan di Rawang dan Gombak, baru-baru ini, terjawab apabila suspek yang melakukannya ditembak mati polis di Jalan Pahang di sini, malam tadi.

Suspek dikenali sebagai M Usup Osman, 34, keturunan Aceh, menemui ajal di tempat kejadian kira-kira jam 10 malam itu dengan beberapa kesan tembakan, termasuk dua di dada dan satu di kepala.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansor, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, suspek diekori polis dari kawasan Chow Kit sebelum ditembak di hadapan Kompleks Galleria, Jalan Pahang.

“Sebaik menyedari dirinya diekori, suspek mengeluarkan pistol jenis Walter dan mengacukan ke arah polis, namun anggota kami yang cuba mempertahankan diri terlebih dahulu melepaskan tiga das tembakan ke arahnya.

“Suspek mati di tempat kejadian dan polis turut melihat kelibat seorang lagi rakan suspek berjalan menuju ke bangunan berhampiran, namun dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) suspek kedua ditahan bagi siasatan,” katanya.

Katanya, dengan kematian suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan pasangan suami isteri berkenaan.

Baru-baru ini, seorang pemandu teksi, Anuar Ahmad, ditemui mati dengan dua kesan tembakan dalam sebuah longkang di Rawang, manakala isteri kedua mangsa, Sariningsih Nilam, 35, ditembak ketika menaiki motosikal berhampiran Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Batu 12, Gombak, beberapa hari kemudian.

Jumaat lalu polis turut menembak mati seorang daripada ahli kumpulan terbabit berhampiran Plaza Safuan, Kampung Baru di sini, dan menahan enam lelaki lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan pemandu teksi berkenaan.

p/s: Malam td lalu la depan Galleria tu, jem teruk dr bulatan Pahang, baru lepas kejadian time tu. Ingatkan kes rompakan, rupa2 kes ni. Mujur x kena peluru sesat huhu ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan