Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 28/40 (Ayat 222-228)
Ruku' 28 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah berkisar tentang larangan hubungan suami isteri semasa haid, larangan salah guna sumpah yang dibuat atas nama Allah, tempoh empat bulan untuk membuat keputusan membatalkan hubungan suami isteri dan tempoh tiga kali haid untuk berkahwin semula selepas perceraian.
Ayat 222
وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Sahabat yang telah beristeri bertanya kepada Nabi ﷺ tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka lakukan kepada isteri mereka apabila isteri dalam tempoh haid. Nabi ﷺ menjawab, darah haid adalah suatu yang kotor. Seorang suami tidak boleh melakukan hubungan dengan isterinya dalam tempoh haid. مَحِيضِ bermaksud tempat keluar haid iaitu faraj isteri. Ia juga boleh bermaksud tempoh keluarnya haid. Jadi, batasnya adalah faraj isteri dalam tempoh haid.
Persoalan tentang haid ini muncul kerana ketika di Madinah, ada para sahabat yang terikut-ikut dengan perbuatan orang Yahudi. Bagi orang Yahudi, ketika isteri mereka sedang haid, mereka tidak memberi isteri mereka makan dan tidak mempedulikan mereka. Ini sesuatu yang melampau; batas sepatutnya hanyalah faraj isteri. Selain daripada itu, kita melayaninya seperti biasa sahaja. Batas sementara ini akan hilang setelah mereka bersuci dengan mandi wajib.
Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها beliau berkata, “Jika salah seorang daripada kami sedang mengalami haid dan Rasulullah ﷺ berkeinginan untuk bermesraan, baginda memerintahkan untuk mengenakan kain, lalu baginda pun mencumbuinya.” ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Padahal, siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan.” Hadith ini dikuatkan oleh Khalid dan Jarir daripada Asy Syaibani.” Mencium adalah dibenarkan.
Sebahagian orang Kristian pula menolak larangan bersama dengan isteri ketika haid. Ini juga sesuatu yang melampau. Islam berada di tengah-tengah antara dua pendekatan yang melampau. Bagi yang pernah melakukannya, seseorang itu perlu bertaubat dan si suami perlu bersedekah dengan nilai 1 dinar emas (4.25g) atau 1/2 dinar emas. Jangan buat tak tahu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat. Siapa pun tidak terlepas daripada berbuat silap.
Ayat 223
نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم ۖ وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.
Allah memberi perumpamaan isteri seperti kebun tanaman atau ladang-ladang. Ini menunjukkan ia mestilah sesuatu yang boleh membuahkan hasil. Jika kebun atau ladang memerlukan penjagaan yang baik untuk membuahkan hasil yang baik, begitu jugalah perihalnya terhadap isteri. Hendaklah dijaga dengan baik juga. Dibenarkan untuk mendatangi isteri dari arah depan dan juga arah belakang, tetapi bukanlah melalui dubur kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan.
Daripada Ibnu Al Munkadir aku mendengar Jabir رضي الله عنهما berkata; “Orang-orang Yahudi berkata; ‘Apabila menggauli wanita melalui belakang maka mata anaknya akan menjadi juling’. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; Isteri-isteri kalian adalah ladang kalian, maka datangilah ladang kalian dari mana engkau kehendaki.” (Al-Baqarah 223). (Hadith Bukhari No. 4164). Ayat ini juga berkait dengan amalan karut orang Yahudi yang gemar mereka perkara baharu dalam agama.
Perbuatan bersama dengan isteri adalah suatu yang baik namun suami perlulah bijak dalam menilai situasi isteri, begitu juga isteri perlulah bijak dalam memenuhi keperluan suami. Walaupun bersama antara suami dan isteri adalah perkara yang baik, perlu juga kita jaga amalan-amalan baik yang lain. Jangan ditinggalkan apa yang telah diwajibkan. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat yang ramai kerana Nabi ﷺ suka jika umatnya ramai.
“Wahai Abdullah, telah dikhabarkan kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan solat malam (terus-menerus)?” Aku menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Jangan lakukan itu. Berpuasalah dan berbukalah, solat malamlah dan tidurlah. Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu, matamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu…” (HR. Bukhari No. 1975). Dalam hubungan bersama juga kita perlu jaga hukum-hukumnya.
Ayat 224
وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم أَن تَبَرّوا وَتَتَّقوا وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ
(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
Ayat ini adalah berkenaan sumpah yang tidak dianjurkan atau yang tidak sepatutnya dilakukan. Di zaman jahiliyah, masyarakat Arab terkenal dengan kesukaan mereka untuk bersumpah dalam percakapan mereka sehari-hari. Ada sumpah yang dibenarkan seperti dalam perkara yang besar dan penting, dan ada pula sumpah yang tidak dianjurkan. Antara sumpah yang tidak dianjurkan ialah menggunakan sumpah untuk menghalang seseorang itu daripada melakukan perkara yang baik.
Contoh sumpah yang tidak patut ialah seperti seseorang yang bersumpah untuk tidak lagi pergi ke satu masjid tertentu, mungkin kerana ada perkara yang tidak disukainya tentang masjid itu. Ada juga orang yang bersumpah untuk tidak meninggalkan amalan turun-temurun yang tidak ada petunjuknya dari Nabi ﷺ tetapi diajarkan oleh guru mereka. Ada juga yang bersumpah tidak akan berjimak dengan isteri kerana isu tertentu, sedangkan jimak itu perkara yang baik.
Dalam Surah An-Nur juga disebutkan larangan sumpah sebegini. "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Setelah disebutkan tentang larangan sumpah yang tidak dibenarkan ini, Allah perintahkan supaya bertaqwa kepada Allah iaitu dengan mengikuti suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah. Jangan kita memandai-memandai dalam muamalah sesama manusia. Allah juga perintahkan kita untuk mendamaikan hubungan di antara manusia. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu (yang berselisih)." Surah Al-Hujurat: 10.
Ayat 225
لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ
Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
Dalam masyarakat Arab, telah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk bersumpah atas nama Allah. Perkara ini berlaku lebih awal sebelum diutusnya Nabi ﷺ lagi. Terkadang mereka mengucapkannya dalam keadaan tidak sedar kerana telah terlalu lazim. Contoh sumpah sebegini ialah "Dia telah sampai, wallahi". Biasanya ia disebut untuk perkara kecil. Sumpah sebegini tidak terikat dengan hukum Allah. Bagi yang tidak biasa, perbuatan ini seperti mempermainkan nama Allah.
Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafsh ‘Umar bin Al-Khattab r.a., beliau berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Siapa yang hijrahnya kerana mencari dunia atau kerana wanita yang dinikahinya, maka hijrahnya kepada yang dia tuju.” (HR. Bukhari).
Walaupun ada sumpah yang terikat dengan hukum Allah, namun perbuatan ini perlu dielakkan. Dalam apa jua keadaan kita perlu berhati-hati dalam berkata-kata, sentiasa kawal perasaan dan jangan terikut-ikut dengan cara orang lain yang tidak sesuai dengan agama. Di dalam Mukminun ayat 3, disebutkan tentang sifat orang Mukmin; "Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna." Biarlah perkataan kita sentiasa berguna.
Sumpah yang sengaja dilakukan dalam sedar tetapi melakukannya untuk menipu merupakan kesalahan besar. Sumpah sebegini tiada kaffarahnya (tebus) melainkan dengan bertaubat. Apapun kesalahan seseorang itu ada sahaja jalan keluarnya, bertaubat, tinggalkan perkara buruk itu dan menyesali perbuatan itu. Allah maha mengampunkan kesalahan hambanya yang bertaubat. Allah maha mengetahui mana satu sumpah yang tidak sengaja dan mana satu sumpah yang benar.
Ayat 226
لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini berkenaan dengan sumpah ila'. Sumpah ila' ialah sumpah atas nama Allah oleh suami kepada isterinya untuk tidak bersama (berjimak) dengan isterinya. Perkara ini adalah lanjutan daripada amalan kebiasaan bangsa Arab yang suka bersumpah dan satu cara zalim suami terhadap isterinya. Sebelum turunnya ayat ini, seseorang suami yang membuat sumpah ila' kepada isterinya dengan tanpa had tempoh tertentu. Ini semestinya suatu perbuatan zalim kepada isteri.
Ayat ini diturunkan untuk menegur atau membetulkan perbuatan zalim sumpah ila'. Ditetapkan tempoh yang dibenarkan bagi seorang suami untuk tidak bersama dengan isterinya selama empat bulan sahaja. Dalam masyarakat kita ada istilah yang lebih kurang sama iaitu istilah "gantung tak bertali". Islam menjaga kehormatan wanita dan mengehadkan perbuatan yang dibenarkan serta perbuatan yang tidak dibenarkan dengan mengehadkan tempoh masa tertentu.
Hukum melakukan sumpah ila' adalah haram jika dalam tempoh 4 bulan suami tidak kembali bersama dengan isterinya. Sekiranya suami tetap tidak mahu bersama, suami perlu menceraikan isterinya dan sekiranya dia tidak menceraikan isterinya, maka qadhi berkuasa untuk memaksa penceraian berlaku demi menjaga kehormatan seorang isteri. Seorang suami yang melakukan sumpah ila' perlu membayar kafarah untuk menebus dosanya. Kafarah akan menyelesaikan sumpah ila'.
Islam memberi ruang masa dan had masa tertentu dalam penyelesaian masalah hubungan suami isteri. Tidak wajar seorang suami membiarkan isterinya terkontang-kanting dalam tempoh yang melebihi had kerana isteri juga berkehendak hubungan jimak. Allah maha mengampuni perbuatan sumpah ila' sekiranya ia telah terbatal, iaitu dengan suami itu kembali bersama dengan isterinya dan juga telah selesai membayar kafarah mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Ayat 227
وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Selepas tempoh empat bulan sejak sumpah ila' dibuat, suami perlu membuat keputusan. Penceraian tidaklah terjadi serta-merta; masih ada ruang untuk kembali sebelum keputusan cerai dibuat. Jika tempoh masa 'bertenang' untuk berfikir masak-masak sudah cukup dan tiada jalan lain, maka suami wajarlah melepaskan isterinya untuk hidup masing-masing. Ini juga bagi membolehkan isteri berkahwin semula dengan lalaki lain. Buat keputusan supaya tidak menzalimi orang lain.
Allah mengingatkan tentang sifat maha mendengarnya kerana dalam masalah rumah tangga, biasanya akan berlaku pertengkaran. Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Jangan bersumpah sesuka hati, jangan mengikut perasan dan jangan membuat keputusan ketika dalam marah. Kata-kata yang tidak baik semuanya akan dibicarakan di akhirat nanti. Isteri juga jangan gemar membuat provokasi, bukan hanya kata-kata bahkan Allah mengetahui isi hati manusia.
Dalam masyarakat ada pula yang beranggapan bahawa jika suami tidak bersama isteri selama empat bulan maka isteri boleh menuntut cerai. Ini tidak benar. Sumpah ila' perlu berlaku dahulu. Dan keputusan perlu dibuat oleh suami setelah tempohnya. Bukan ia jatuh serta-merta. Jimak dapat membatalkan sumpah ila'. Ada juga keadaannya suami dan isteri tidak dapat bersama kerana tinggal berjauhan, kerana sakit atau sudah tua yang tidak memungkinkan jimak lagi.
Ayat 228
وَٱلْمُطَلَّقَٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَٰثَةَ قُرُوٓءٍ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِىٓ أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَٰحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika benar mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Sekiranya isteri diceraikan, hendaklah seorang perempuan itu menunggu tempoh tiga kali suci sebelum mereka boleh berkahwin semula. Tempoh ini penting untuk menjaga nasab dengan memastikan rahim adalah kosong. Ia juga memberi tempoh rujuk kepada suami yang menceraikan isterinya bagi talak pertama dan talak kedua. Ia juga memberi tempoh bertenang dan tidaklah tindakan mana-mana pihak itu kelam-kabut. Tempoh iddah bagi yang mengandung adalah sehinggan bayinya lahir.
Di zaman jahiliyah tidak ada peraturan yang jelas tentang tempoh iddah. Hak seorang wanita pada ketika itu berada pada titik terendah. Islam datang dengan peraturan-peraturan yang melindungi hak wanita. Tidak benar jika dikatakan Islam merendahkan wanita, sedangkan Islamlah yang menjaga hak wanita. Perkara seperti iddah tidak ada dalam amalan agama lain. Sekiranya perempuan itu ada bayi yang dikandungnya, hendaklah dia memaklumkan perkara tersebut.
Dalam tempoh tiga bulan ini, sekiranya suami ingin kembali hidup bersama bekas isterinya, maka dia boleh rujuk semula. Tujuan rujuk semula ini hendaklah kerana ingin berdamai, bukan sengaja dibuat untuk menyeksa isteri itu. Di zaman jahiliyah, cerai dan rujuk semula ini tiada batas bilangan dan ada yang menggunakan ini untuk menyusahkan si isteri. Islam datang dan menetapkan bilangan cerai dan rujuk hanyalah dua kali. Tiada lagi rujuk setelah 3 kali cerai.
Dalam tempoh iddah, tanggungjawab masing-masing masih berjalan seperti biasa. Suami dan isteri masih tinggal bersama. Lelaki diberi kelebihan 1 darjat berbanding isteri, ini menunjukkan keputusan di tangan suami dan isteri masih perlulah menghormatinya. Apa pun kelebihan sedikit itu, jangan disalahgunakan sehingga menzalimi pula. Suami dan isteri perlu mengetahui bahawa Allah maha berkuasa dan bijaksana dalam menetapkan hal-hal rumah tangga.
Tamat Ruku' 28 daripada 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

Terima kasih kongsi, haji
BalasPadamnice sharing haji, moga kita semua patuhi ajaran dan larangan dalam islam dalam kehidupan harian , insyaAllah.
BalasPadam