Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 20/40 (Ayat 164-167)
Ruku' 20 merangkumi beberapa hal termasuk cara mengenali Allah melalui alam semulajadi, golongan musyrik yang akan menghadapi azab yang berat dan pengikut kepada pemimpin sesat yang akan menyesal akhirnya.
Ayat 164
إِنَّ في خَلقِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَاختِلٰفِ اللَّيلِ وَالنَّهارِ وَالفُلكِ الَّتي تَجري فِي البَحرِ بِما يَنفَعُ النّاسَ وَما أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّماءِ مِن مّاءٍ فَأَحيا بِهِ الأَرضَ بَعدَ مَوتِها وَبَثَّ فيها مِن كُلِّ دابَّةٍ وَتَصريفِ الرِّيٰحِ وَالسَّحابِ المُسَخَّرِ بَينَ السَّماءِ وَالأَرضِ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يَعقِلونَ
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
Dalam ayat-ayat sebelum ini disebutkan tentang golongan yang menyembunyikan kebenaran dari wahyu. Ini dikenali dengan dalil naqli. Dalam ayat ini disebutkan pula dalil akli iaitu bagaimana seseorang tu boleh mengetahui kewujudan tuhan iaitu Allah dan kehebatannya dengan hanya dengan melihat kepada apa yang ada di sekeliling mereka iaitu alam semula jadi. Walaupun tanpa didakwahi dengan dalil, seseorang itu jika mahu berfikir akan nampak kebenaran.
Tanda pertama kejadian langit dan bumi. Dalam pelajaran sains disebut bumi dan alam semesta. Dalam Al Quran langit itu berbeza konsepnya dengan langit dalam bahasa Melayu iaitu langit yang kita boleh nampak yang berwarna biru. Sedangkan langit itu lebih luas dari itu merangkumi planet dalam satu sistem suria, galaksi-galaksi bintang-bintang dan semua objek angkasa yang masih belum mampu manusia terokai. Mustahil semua ini tiada yang mencipta dan mengaturkannya.
Tanda kedua ialah kejadian siang dan malam. Apabila masuk tahun baharu kita akan sibuk mencari kalendar untuk melihat tarikh tertentu, jika siang dan malam ini tidak diatur oleh penciptanya kalendar apa pun tidak lagi boleh berfungsi. Allah telah ciptakan kalendar semula jadi dengan pergerakan bumi, matahari dan bulan. Allah jadikan pula musim-musim tertentu dengan perubahan kecondongan paksi bumi. Allah jadikan untuk bekerja dan malam untuk berehat. Fikirkan.
Tanda ketiga ialah kapal-kapal yang belayar di lautan membawa barang untuk manusia. Ini satu tanda lagi tanda Al Quran bukan karangan nabi saw, kerana nabi tidak pernah belayar, juga tiada hadith menunjukkan nabi pernah melihat kapal. Orang Arab ketika itu berdagang dengan unta bukan dengan kapal. Walaupun begitu perdagangan laut telah lama berlaku. Allah jadikan kapal boleh mengangkut banyak mana pun muatan asalkan kapal dibuat dengan betul. Fikirkan.
Tanda keempat ialah bagaimana Allah menurunkan hujan pada kadar yang sesuai dengan tempatnya. Lihat bagaimana Allah telah murnikan air hujan walaupun yang disejat ialah air laut, air toksik dan sebagainya. Dari hujan manusia, haiwan dan bumi mendapat manfaat, tumbuhan hampir mati dapat tumbuh semula. Lihat bagaimana tanah yang gersang dan tandus akan subur semula dengan adanya air. Air dalam keadaan tertentu naik ke atas, turun ke bawah dan membeku. Fikirkan.
Tanda kelima ialah bagaimana Allah jadikan binatang yang pelbagai jenisnya. Ada yang bermanfaat langsung dengan manusia, sumber susu, daging, ubatan. Ada yang berfungsi secara tidak langsung dalam rantaiannya sendiri. Haiwan juga ada yang menguraikan bangkai dengan cepat, menyuburkan tanaman, menyebarkan benih tumbuhan, ada yang menjadi pengangkutan dan ada pula yang menjadi penghibur hati manusia. Banyak spesis baru dijumpai, spesis pupus pun tiba-tiba muncul.
Tanda keenam ialah angin atau udara yang bergerak. Ini adalah di antara ilmu awal yang manusia pelajari, banagaimana dengannya manusia dapat belayar dengan kapal, dengan angin manusia mengetahui pasang surutnya air laut, angin juga membawa awan ke kawasan tinggi lalu turun darinya air terjun dan sungai-sungai. Angin juga membawa debunga tumbuhan untuk menyebarkan tanaman. Angin juga mengeringkan pakaian, menggerakkan air melalui kincir angin. Fikirkan.
Tanda ketujuh ialah pergerakan awan. Allah menjadikan awan sebagai pelindung dari terik matahari, awan juga mengumpulkan air untuk diturunkan setelah cukup kadarnya sebagai hujan. Dalam masyarakat ada yang menggunakan bomoh untuk memanggil hujan sedangkan Islam mengajarkan solat Istisqa' di tanah lapang, ianya afdal diimamkan oleh ketua yang tinggi kedudukannya menunjukkan lemahnya manusia ini tidak mengira kedudukan jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah.
Ayat 165
وَمِنَ النّاسِ مَن يَتَّخِذُ مِن دونِ اللَّهِ أَندادًا يُحِبّونَهُم كَحُبِّ اللَّهِ ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ ۗ وَلَو يَرَى الَّذينَ ظَلَموا إِذ يَرَونَ العَذابَ أَنَّ القُوَّةَ لِلَّهِ جَميعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَديدُ العَذابِ
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya milik bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).
Setelah Allah sebutkan 7 dalil naqli kebenaran Allah sebagai satu-satu sembahan yang patut disembah Allah tegaskan walaupun dengan semua tanda itu masih ada sebahagian manusia yang menjadikan benda lain sebagai sesuatu yang ditaati selain Allah. Di antaranya ada yang berlebihan memuja malaikat, jin, nabi dan orang soleh. Perkara lain yang mereka puja ini akhirnya menjadi tandingan kepada Allah. Dalam masyarakat ada yang menyeru kepada selain Allah dalam berdoa.
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barang siapa yang mati, sedangkan dia menyeru selain Allah sebagai tandingannya maka dia masuk neraka.” Sedangkan aku berkata; ‘Barang siapa yang mati dan dia tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu maka dia masuk syurga.’ Sahih Bukhari (4137). Bomoh ada yang menyeru kepada selain Allah dalam mantera mereka, mereka menyeru kepada mambang untuk membantu mereka. Mendatangi mereka bermakna bersetuju Allah ada tandingan.
Dan di antara bentuk tandingan yang boleh terjadi ialah apabila seseorang itu melebihkan ucapan guru mereka melebihi apa yang Allah sebutkan dalam Al Quran. Ada yang percaya sesuatu itu ada keberkatan tertentu walaupun tidak dinyatakan dalam Al Quran, ada yang mencintai dan redha dengan undang-undang ciptaan manusia berbanding apa yang telah ditetapkan Allah. Orang beriman sepatutnya menerima sepenuhnya kandungan Al Quran dan berpegang teguh dengan sunnah.
Allah mengingat golongan yang menjadikan tandingan buat Allah ini dengan azab api neraka. Mereka mungkin tidak sedar sekarang ini tentang perbuatan buruk mereka, namun jika ditunjukkan api neraka kepada mereka barulah mereka akan tahu kekuasaan hanyalah milik Allah. Dan baru mereka sedar mereka akan diazab dengan azab yang sangat keras. Tiada kepatuhan kepada makhluk dalam aturan ibadah melainkan ada arahan dari Allah dalam Al Quran dan Al Sunnah.
Ayat 166
إِذ تَبَرَّأَ الَّذينَ اتُّبِعوا مِنَ الَّذينَ اتَّبَعوا وَرَأَوُا العَذابَ وَتَقَطَّعَت بِهِمُ الأَسبابُ
(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.
Ayat ini ada berkenaan dengan orang yang belajar agama dengan berguru dengan guru yang sesat atau menyimpang dari ajaran Islam. Setelah belajar sesuatu amalan dengan gurunya lalu dia mengamalkan pula amalan yang sesat atau menyimpang itu. Sesiapa pun memang berkehendak untuk mendekatkan diri dengan penciptanya namun kita perlu berhati-hati dalam menerima sesuatu amalan itu, perlu disemak sama ada ianya berlandaskan Al Quran dan hadith atau pun rekaan seseorang.
Mungkin ada yang menganggap dirinya selamat kerana telah belajar dan beramal, selain itu kita perlu pastikan dahulu sumber suatu amalan itu. Mungkin ada yang menganggap gurunya akan membelanya di hari akhirat nanti, jawapannya tiada pembelaan malah gurunya berlepas diri dari para pengikutnya. Para guru sesat ini akan menafikan apa yang telah diajarkan bahkan akan mengatakan pengikutnya sesat dengan sendiri. Itulah penyesalan bagi orang-orang yang beramal.
Guru sesat dan pengikut sesat ini akan dimasukkan ke dalam api neraka. Kerana itu mereka akan bersama-sama menyaksikan betapa ngerinya azab seksa neraka. Syurga yang dijanjikan dahulu hanya tinggal harapan akibat dari berguru dan beramal dengan amalan yang sesat. Setelah itu terputuslah hubungan di antara mereka, tiada lagi penghormatan buat guru sebagaimana di dunia, sudahlah dia tidak menolong kemudian tidak mengaku pula apa yang telah diajarkannya.
Ayat 167
وَقالَ الَّذينَ اتَّبَعوا لَو أَنَّ لَنا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنهُم كَما تَبَرَّءوا مِنّا ۗ كَذٰلِكَ يُريهِمُ اللَّهُ أَعمٰلَهُم حَسَرٰتٍ عَلَيهِم ۖ وَما هُم بِخٰرِجينَ مِنَ النّارِ
Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.
Guru-guru ajaran yang menyimpang telah berlepas diri dari bertanggung jawab atas penipuannya kepada para pengikutnya maka para pengikutnya menyesal dengan penyesalan yang dalam. Para pengikut ajaran sesat menyesali dengan berkata alangkan baik jika mereka dapat berlepas diri dari guru sesat mereka. Hakikatnya mereka tidak dapat berlepas diri dari amalan mereka yang sesat itu. Ini semua hanyalah khayalan mereka sahaja kerana penyesalan ini tiada lagi gunanya.
Selain itu mereka yang tertipu itu juga berharap untuk dapat kembali ke dunia untuk memperbaiki keadaan. Hakikatnya tiada lagi peluang kedua. Pengharapan ini disebut juga dalam surah Al Mukminun 106-108. Allah mahu kita berhati-hati dalam berguru tentang ilmu agama. Ada yang mengajarkan agama tetapi tidak bersumberkan dari Al Quran dan sunnah. Ada yang mengambil ilmu dari kitab-kitab yang tidak bersumberkan dalil yang jelas dan sahih.
Sudahlah dengan penyesalan itu lalu Allah tunjukkan pula amalan mereka yang buruk itu. Amalan yang mereka sangka hasanah itu rupanya adalah amalan yang tidak diterima malah menyimpang pula dari Al Quran dan sunnah. Penyesalan di neraka adalah penyesalan berterusan, jika di dunia penyesalan dapat dibaiki dengan taubat dan meninggalkan ajaran yang sesat itu. Banyak sekali amalan sunnah yang ditunjukkan oleh nabi saw untuk kita ikuti tanpa was-was.
Selesai ruku' 20 dari 40 ruku' dalam Surah Al Baqarah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan