Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pertamanya nak mohon maaf kerana ketidak aktifan blog ini sepanjang tempoh di tanah suci, bahkan mungkin lebih dari itu lagi.
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ
(Musim) haji itu (pada) bulan-bulan yang telah dimaklumi.
Walaupun hari-hari pelaksanaan haji itu hanyalah 5 atau 6 hari sahaja tetapi Allah telah sebutkan tentang bulan-bulan haji. Bulan-bulan haji itu ada 3 iaitu Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Sepanjang 3 bulan ini secara lazimnya semua yang akan berhaji tidak lagi dapat fokus dengan kehidupan biasa. Tempoh ini ada tempoh kritikal untuk mempersiapkan diri untuk berangkat ke tanah suci. Jantung ini pada ketika itu kerap berdebar-debar memikirkan persiapan. Tidak dinafikan kebergantung kepada Allah sangatlah tinggi pada ketika itu. Solat lebih khusyuk, sehari-harian sedaya upaya akan cuba menjaga diri dari melakukan perbuatan yang tidak elok. Terdapat larangan khusus kepada bakal jemaah haji supaya tidak melakukan perkara fasik dan tidak berjidal (berbantah) dalam sebarang komunikasi dengan manusia lain.
Sebenarnya berkira-kira untuk tulis siri Travelog Haji ni kerana risau tak habis. Apa pun dari sudut yang lain rasa rugi jika tak catat untuk kepuasan diri dan dikongsi dengan pembaca sekiranya ada. Semoga Allah beri kekuatan.
Persediaan haji ini memanglah panjang tapi untuk catatan khusus Travelog Haji ni dimulakan dengan meninggalkan anak kepada kakak ipar di Klang. Eryna dipindahkan ke sekolah di Klang dan tinggal dengan keluarga kakak ipar. Terima kasih kerana membantu menyelesaikan masalah yang agak penting ini. Permusafiran haji melalui laluan Tabung Haji ini bermula di Movenpick KLIA. Ramai juga yang datang menghantar kami sampai 2 meja besar kami penuhi. Kami dibekalkan dengan gelang besi, kad Nusuk dari Kementerian Haji Arab Saudi, kad Tabung Haji dan kad MKM iaitu Pengelola Jemaah Haji yang kami ikuti. Bila diamati ketika di tanah suci, hanya Malaysia dan Indonesia menggunakan gelang jenis besi, negara lain gunakan gelang plastik. Tujuan gelang ini adalah sekiranya kami jadi mayat sehingga tak dikenali, gelang inilah jadi tandanya. Sedikit sebanyak menggerunkan kami tentang apa yang akan kami hadapi di sana.
Dalam trip kami ada bersama pakar rujuk yang dilantik MKM iaitu Dr Zaharuddin. Seronok sekali mendengan perkongsian beliau terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan harta. Kami seramai 45 orang dari MKM menaiki kapal terbang KT93 terus ke Jeddah. Dari Jeddah kami dibawa dengan bas ke Aziziyah. Perjalanan mengambil masa 3 jam kerana aliran trafik dan jalan yang telah diubah khusus ketika haji supaya perjalanan lancar. Sebelum menaiki kapal terbang kami telah mula memakai kain ihram supaya tidak kelam kabut di dalam kapal terbang. Apa pun member di sebelah buat relaks sahaja pakai tshirt sampai aku pula yang risau sebab dah nak sampai sempadan miqat lalu aku pun mengingatkan dia. Masa tu belum kenal lagi, kemudian baru tahu yang duduk sebelah aku tu kapten Ali, pilot Malaysia Airlines. Apapun dia memang sempoi, sangat humble orangnya bila dah mula kenal. Sebelum sampai miqat kami berniat ihram umrah. Dalam group kami semuanya melakukan Haji Tamattuk iaitu melakukan umrah kemudian baru melakukan haji dalam satu perjalanan haji. Sebagai tanda bersyukur dengan kemudahan haji tamattuk bagi orang dari luar Mekah, kami perlu membayar dam tanda syukur. Jadi setelah selesai umrah, kami bebas pakai pakai biasa sampai hari tarwiyah (8 Zulhijjah).
Sampai di Hotel Nasmat di Aziziyah barulah lega, kami diminta tidur dahulu kerana esoknya kami akan melaksanakan umrah. Biliknya luas, kami basuh baju sendiri pakai tangan dan jemur pakaian dalam bilik. Pakaian nak kering pun cepat. Berdebar-debar untuk selesaikan umrah dimusim haji.
| Hantar Eryna ke rumah kakak ipar, pindah sekolah untuk tempoh 6 minggu. |
| Antara yang menghantar kami di Movenpick KLIA. |
| Sebenarnya boleh bersarapan di sini tapi kami dah bersarapan ketika dalam perjalanan. |
| Gelang yang sangat tinggi nilainya. |
| Sempat bergambar bersama Dr Zaharuddin. |
| Kapal terbang baru landing di Airport King Abdul Aziz, Jeddah. |
| Dalam bas menuju Aziziyah. |
| Tiba di hotel kami disambut dengan buang ros dan dessert oleh pihak hotel. Kami diberi taklimat oleh Hj Ahmad tentang hotel dan perjalanan untuk umrah pada keesokan harinya. |
| Seronok masa ni, hotel masih kosong. Kami conquer surau dan tempat makan. Banyak dapat ilmu ketika di Aziziyah. |
Permandangan dari tingkap bilik hotel. |
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan