Khamis, Julai 09, 2026

Travelog Haji 2: Menyelesaikan Umrah dan Ziarah Masyair

Assalamualaikum dan selamat malam. Travelog Haji masuk ke episod kedua. Setelah aku terbitkan Travelog Haji 1 dua hari lepas, aku adalah sebarkan link ke catatan itu ke facebook aku. Dalam pada kami di sana ada juga kami add-add facebook team pengurusan, pakar-pakar rujuk, mutawif-mutawif dan kenalan-kenalan baru. Ini juga antaranya kerana mengikut saranan Dr. Rozaimi ketika menyampaikan tausiah pasca haji kepada semua jemaah haji MKM. Antara nasihatnya ialah supaya kami mengekalkan ukhuwah sesama jemaah haji walaupun setelah semua kembali ke kampung halaman masing-masing. Perhubungan yang didasari keimanan insyaAllah ada manfaatnya untuk dunia dan akhirat. Bila aku kongsikan link ke Travelog Haji 1 ke facebook aku, ada di kalangan sahabat-sahabat baru bekas jemaah haji yang memberikan galakan untuk terus menulis. Bersemangatlah sikit aku dibuatnya untuk meneruskan siri travelog ini.

Baik, sekarang kita sambung dengan aktiviti umrah. Bagi haji tamattu' kami perlu selesaikan umrah dahulu kemudian baru laksanakan haji dengan dua kali ihram. Pagi itu kami bertolak dengan bas untuk menyelesaikan umrah. Walaupun dah beberapa kali mengerjakan umrah tetapi kali ini situasinya berbeza, kawalan polis adalah ketat sekali. Pergerakan kami dipantau oleh agen Kementerian Haji yang dikenali sebagai Muhsin. Muhsin ini akan memastikan bilangan kami sama semasa datang dan semasa keluar balik ke Aziziah. 

Sebelum tu iklan dulu. Haji Ahmad iaitu pengurus haji MKM ada menghantar link siang tadi. Boleh tengok di sini. Bersemangat sungguh bini gue memberi refleksinya setelah tiba ke tanah air.  

Kami telah diberi taklimat tentang di mana tempat bertemu semula setelah selesai umrah. Ada satu arahan mutawif yang aku tak terpatuhi iaitu supaya tahalul sendiri-sendiri setelah saie kerana takut lambat jika pergi bercukur di kedai. Aku dah memang dah target nak bercukur terus kerana mengikuti sabdaan Nabi ﷺ tentang fadhilat rahmat Allah atas orang yang bercukur lebih utama berbanding yang bergunting. Maaf ya Ustaz Fadhli... 

Bila melaksanakan umrah, kita tak boleh harapkan orang lain sangat untuk ibadah kita, sama jugalah dengan haji. Kita kena fahamkan betul-betul cara pelaksanaannya supaya sekiranya terpisah kita boleh buat sendiri dengan keyakinan ilmu sendiri. Penting bagi kita memahami bagaimana Nabi ﷺ melaksanakan haji atau umrahnya. Biasanya Sifat Haji dan Sifat Umrah Nabi ﷺ ini tidak diajarkan secara spesifik, jadi kena cari sendiri dahulu. Belajar dari ilmuan yang utamakan sunnah nabi ﷺ. Belajar juga apa yang afdal dan perkara yang orang banyak buat tetapi tiada petunjuk khusus dari nabi ﷺ supaya kita tidak terikut-ikut.

Satu perkara yang buat semua orang teruja ialah apabila terlihatnya Kaabah yang mulia di depan mata. Tempat di mana seluruh orang Islam mengarahkan kedudukannya ketika solat. Syukur atas nikmat yang Allah izinkan untuk sampai menjejakkan kaki ke rumahnya Baitullah. Kami dibimbing oleh Dr Zaharuddin dan Ustaz Fadhli Suria. Mula tawaf aku dan isteri memang follow rapat Dr Zaharuddin dan isterinya. Sampai pusingan keenam rasanya kami terpisah juga. Apapun aku tak kisah sangat sebab tawaf memang perbuatan sendiri-sendiri. Kita tak perlukan tekong dalam rukun tawaf ini. Walaupun terpisah kami berjaya selesaikan tawaf dalam suasana berhimpit-himpit, dalam pusingan akhir baru matahari mula terik dan semakin panas. Syukur tak lama terdedah kepada matahari kami pun keluar dari mataf setelah selesai 7 pusingan. Kami cari tempat yang sesuai untuk solat sunat tawaf dan kemudian baru kami pi minum air zamzam. Setelah itu kami berkumpul sebentar sebelum memulakan saie pula. 

Seperti mana tawaf, untuk saie juga kami bergerak sendiri-sendiri. Bergerak sendiri-sendiri lebih cepat dan mudah kerana orang terlalu ramai untuk bergerak dalam kumpulan. Selesai 7 kali berulang antara Safa dan Marwah kami pun keluar dari masjid. 

۞ اِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَاۤىِٕرِ اللّٰهِۚ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ اَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ اَنْ يَّطَّوَّفَ بِهِمَاۗ وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًاۙ فَاِنَّ اللّٰهَ شَاكِرٌ عَلِيْمٌ ۝١٥٨ 

Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui. 

Allah menyebutkan tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dalam ayat di atas kerana pada ketika para sahabat datang untuk melaksanakan haji pada tahun ke-9 Hijrah yang diketuai Sayyidina Abu Bakar Al Siddiq, ketika itu sekitar Kaabah masih ada patung-patung yang digunakan musyrikin Mekah sebagai perantara untuk meminta kepada Allah, begitu juga di puncak Safa dan di puncak Marwah ada juga patung mereka. Allah turunkan ayat ini untuk menenangkan hati para sahabat dan meyakinkan mereka tentang tatacara bersaie.

Keluar dari masjid aku pun menyelesaikan tahalul isteri dan bergegas mencari tempat untuk bercukur. Puan isteri sebenarnya sebelum bertolak haji ada masalah mata, bila sampai di sana masalah mata makin teruk. Kena selalu dipimpin kerana susah mengagak, jadi tak boleh juga nak laju-laju sangat. Lagi pun penat tawaf dan saie pun masih terasa. Apapun kami bukanlah yang akhir berkumpul di tempat yang tetapkan walaupun aku ambil masa sedikit untuk bercukur kepala di kedai. Selesai umrah kami pulang semula ke Aziziah. 

Keesokan paginya kami dijadualkan untuk ziarah masyair. Masyair ialah jamak kepada syiar iaitu ziarah ke beberapa tempat yang menjadi syiar Islam tetutamanya ketika musim haji. Ketika ini kami dah mula kita hari guna kalendar hijri  dan dah tak pakai lagi kalendar masihi sehingga selesai ibadah haji. Kami dibawa ziarah ke tempat melontar dan sempadan khemah Mina. Bagus ada lawatan ini sebenarnya kerana kita lebih faham tatacara pelaksanaannya. Pembimbing sangat membantu dalam memberi kefahaman kepada semua jemaah, dari mana kita akan datang, dari arah mana kita melontar jamrah sugra/ ula, wusta dan kubra/ aqabah. Untuk jamrah sugra/ ula kita melontar pada dinding sebelah kanan iaitu posisi bahu kanan menghala ke kiblat, untuk jamrah wusta dan kubra/ aqabah kita melontar pada dinding sebelah kiri iaitu dengan bahu kiri menghala ke arah kiblat. Nabi hanya berdoa setelah selesai melontar jamrah sugra/ ula dan wusta.  

Habis setengah hari juga ziarah ke Masyair. Balik tu kami agak bergegas kerana dah tak tahan panas dan penat. Sempat singgah kedai membeli yogurt, roti dan air untuk iftar petang Isnin itu.  

 

Uploaded Image
Selesai tawaf.

Uploaded Image
Bergambar bersama Mutawif Ustaz Fadhli Suria. Tak banyak masa bersama kerana Ustaz Fadhli datang lebih awal dan balik pun awal.  

Uploaded Image
Bersedia untuk halak iaitu bercukur. Kena cakap nak guna pisau.

Uploaded Image
Bergerak dari hotel ke kawasan jamrat. Laluannya sedikit mendaki.

Uploaded Image
Bergambar bersama Haji Johan dan isteri. Ketika itu belum haji lagi. Bonda kami berkawan, bila tahu penerbangan sama Emak hantar gambar kut-kut jumpa. Bukan setakat penerbangan sama tetapi syarikat pun sama rupanya.   

Uploaded Image
Kawasan dataran Mina. Belum masuk Mina lagi. 

Uploaded Image
Menuju tempat melontar.

Uploaded Image
Hj Ahmad memberikan penerangan tentang tatacara melontar. 

Uploaded Image
Sampai ke Hotel Nasmat Al Yaqin.

Uploaded Image
Habuan buka puasa Isnin 1 Zulhijjah.

Bersambung ke episod seterusnya... Ada pertemuan yang tidak disangka berlaku dan ada pertemuan yang ditunggu-tunggu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan