Isnin, April 10, 2006

Koleksi lucah remaja

Harian Metro Online (Malaysia):
GEORGETOWN: ‘Seks Dalam Tandas’, ‘Hentak Tangga Kolej Universiti’, ‘20 Tahun Punya’, ‘Aksi Kolej Indonesia’ dan ‘Bohsia Kota Raya’ adalah antara judul ‘panas’ terbaru klip video yang mendapat permintaan untuk dimuat turun ke dalam telefon bimbit di sini.

Selepas dikejutkan dengan penyebaran klip video lucah ‘Gro Bar Korek Yang Terlampau’ melalui telefon bimbit berkamera minggu lalu, kini adegan terbaru itu dikatakan menjadi koleksi peribadi pemilik telefon bimbit.

Kebanyakan adegan itu ditayangkan antara dua hingga empat minit memaparkan aksi lucah pasangan remaja tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Adegan memberahikan itu dirakam berlatar belakang bilik hotel, atas tangga, bilik asrama dan bilik air.

Tinjaun Harian Metro mendapati klip video berkenaan mudah diperoleh dengan bayaran antara RM5 hingga RM10 setiap satu di beberapa kedai telekomunikasi di sini.

Peniaga tanpa segan silu bertanyakan sama ada pelanggan berminat ingin mendapatkan klip video berkenaan kononnya dilakonkan gadis Melayu sebagai tarikan.

Sekiranya pelanggan bersetuju, mereka akan memindahkan dengan menggunakan beberapa sistem hubungan yang ada dalam telefon bimbit berkamera seperti ‘Bluetooth’ dan ultra ungu.

Penelitian yang dilakukan mendapati klip itu dipercayai dirakam sendiri pasangan terbabit dan juga orang lain yang turut berada bersama mereka.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong, Md Shaharudin Md Hassan Tajudin, berkata tindakan menjual dan menyebarkan klip video lucah itu adalah perbuatan biadap dan tidak bermoral.

Menurutnya, golongan terbabit sepatutnya menggunakan kemudahan itu untuk tujuan kebaikan bukan merosakkan pemikiran orang ramai selain membenarkan tubuh badan mereka dilihat orang lain.

Katanya, perbuatan itu patut dibendung segera bagi mengelakkan ia terus menular dan menjadi semakin buruk dan pihak berkuasa termasuk masyarakat, terutama orang ramai harus memandang serius masalah ini.

“Pemuda Umno turut menerima aduan mengenai penyebaran klip video ini yang semakin berleluasa dan terpanggil untuk memberi saranan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memantau gejala sosial itu.

“Kami tidak mahu anak muda terutama orang Melayu hanyut dibuai dosa dan maksiat tanpa dihalang dan ditegah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, jurucakap polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyimpan gambar lucah kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 292 dan 293 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan mereka terbabit boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Related post: , , , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan