Isnin, September 07, 2026

Travelog Haji 5: Haji Adalah Arafah, Inilah Ketikanya

Assalamualaikum dan selamat pagi. Sambung siri Travelog Haji pagi ini. Lama betul tertangguh catatan ini sampaikan ada rakan jemaah haji yang bertanya akan sambungan penulisannya. Kepada yang ternanti-nanti kami mohon maaf. Susah juga nak cari mood dan banyak juga hal-hal lain yang menghalang. Apapun ayuh ikuti catatan pada hari yang ditunggu-tunggu iaitu hari Arafah. 

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi ﷺ bersabda: Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)] 

Wukuf di Arafah adalah rukun haji, sesiapa yang berhaji tetapi tidak wukuf di Arafah maka tiadalah haji baginya. Begitulah pentingnya rukun yang satu ini. Wukuf di Arafah bermaksud berada dalam kawasan Arafah bermula waktu Zohor hingga tamat waktu Asar pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Ketika di khemah Mina aku selalu duduk di hujung khemah yang tiada lagi penghuninya. Bukan semua pengelola jemaah haji memulakan haji dari Mina, ada yang terus ke Arafah. Bahagian hujung khemah ini juga dijadikan tempat imam kerana kedudukannya paling hadapan apabila menghadap kiblat. Bila dah malam aku kembali ke tempat aku yang ada tilam untuk tidur. Malam tu aku memang tak boleh sangat nak tidur. Suasananya panas dan sempit dan masing-masing memakai ihram. Jika kita bergerak sedikit membetulkan baring sama ada ke kiri atau kanan pasti akan menyentuh orang sebelah, dan jika kita terlebih melunjurkan kaki, pasti akan menyentuh kaki orang yang di hadapan kita. Hampir Subuh, aku bangun untuk mandi dan bersiap untuk solat Subuh. Selepas Subuh kami di arahkan untuk bersedia untuk bergerak ke Arafah dengan bas. 

Tiba di Arafah kami dibawa ke khemah yang telah ditetapkan. Setibanya di Arafah, aku tertanya-tanya tentang di mana Jabal Rahmah? Rupanya kedudukan kami jauh dari Jabal Rahmah, semua jemaah haji dari pelbagai negara telah ditetapkan tempat-tempatnya dan kami semua tidak boleh keluar dari kawasan yang telah ditetapkan. Bayangkan jika tiada ketetapan ini, pasti semua orang akan bergerak ke Jabal Rahmah untuk berdoa di situ sedangkan seluruh kawasan Arafah adalah tempat yang dimustajabkan doa. Setibanya di Arafah kami bersarapan dahulu sebelum masuk ke khemah masing-masing dan diasingkan lelaki dan perempuan sama seperti di khemah Mina. Kami diminta untuk tidur dahulu sampai waktu Zohor supaya dapat mengumpul tenaga untuk kekal berdoa dari Zohor sampai Maghrib. Tempoh kira-kira 5 jam ini amatlah penting bagi semua jemaah haji. Aku sendiri sudah set dalam minda untuk tidak buang masa dalam tempoh yang sangat penting ini. Sebolehnya ketika waktu makan setelah Zohor itu makanlah ala kadar sahaja, sekadar mengalas perut kerana bukan keutamaannya untuk makan. Begitu juga rancang keperluan untuk ke tandas, jika tidak perlu jangan ke tandas kerana akan rugi banyak masa.  

Apabila hampir tiba waktu Zohor, kami mengemaskan tempat baring dan buat persediaan untuk solat berjemaah di dalam khemah. Kami jemaah MKM berada dalam khemah yang sama dengan jemaah Azzuha. Jemaah mendengar dengan khusyuk khutbah Arafah yang disampaikan mengikut khemah masing-masing. Ketika di Arafah, Nabi ﷺ ada kaedah khusus untuk bersolat iaitu solat Zohor dan Asar dilaksanakan secara jamak qasar dalam waktu Zohor, kemudian untuk solat Maghrib dan Isyak dilaksanakan secara jamak qasar dalam waktu Isya di Muzdalifah. Alhamdulillah khemah kami bersetuju mengikuti cara Nabi ﷺ bersolat. Setelah solat, kami keluar dari khemah dalam keadaan yang sangat tertib. Masing-masing menjaga adab kerana sedang berada dalam tempoh kritikal ibadah haji. Aku mula janji jumpa dengan isteri dan ambil makanan sedikit dan air yang mencukupi untuk melalui tempoh 5 jam ini. Kami mula mencari lokasi yang sesuai di luar sekitar khemah untuk mula berdoa. Aku dan isteri ambil tempat satu tempat seperti tempat makan yang ada meja dan kerusi. Ketika ini orang mula mengeluarkan koleksi doa masing-masing dan mula berdoa. Aku sendiri memulakan doa dengan membaca susunan doa dari kitab Doa-doa Dan Dzikir-zikir Dari Al-Quran dan As Sunnah As Shahihah Karya Syeikh Abdul Muhsin bin Hamd Al 'Abbaad Al Badr (Pengajar Di Masjid Nabawi-Ahli Hadits Madinah) yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dr. Abdullah Roy, M.A semoga Allah merahmati keduanya. Dikongsikan juga link untuk download kitab himpunan doa ini. Setelah habis berdoa dengan kitab ini baru aku berdoa pula mana-mana kehendak diri dan juga doa kiriman orang lain. 

Dalam berdoa ketika Wukuf di Arafah ada satu teguran Allah dalam surah Al Baqarah ayat 200 dan 201 di mana. Ada sebahagian manusia berdoa hanya untuk dunia sahaja tetapi tidak berdoa untuk akhirat. Ini adalah sesuatu yang tidak patut dan ia juga adalah cara berdoa Musyrikin Mekah kerana mereka tidak percayakan hari akhirat. Berdoalah untuk kebaikan di dunia sedikit dan untuk kebaikan akhirat lebih banyak kerana itulah sebenarnya yang lebih kekal dan yang lebih lagi kita mahukan berbanding dunia. Jika mampu berdiri, berdirilah. Sebenarnya ketika ini kena paksa diri kita merendahkan ego kita serendah-rendahnya. Angkat tangan tinggi-tinggi dan berdiri doa kepada Allah. Sedangkan Nabi ﷺ yang mulia pun berdoa sebegitu. Setelah agak lama di luar dan cuaca semakin panas, aku mengajak isteri masuk ke khemah masing-masing dan sambung berdoa di dalam khemah. Dalam waktu Asar kami keluar semula dan sambung semula berdoa sampailah matahari terbenam. Sungguh menyayat hati situasinya ketika itu, cantik sekali kedudukan kami sebenarnya iaitu arah kiblat sama dengan arah matahari terbenam. Sambil berdoa, Allah tunjukkan keindahan matahari terbenam sedikit demi sedikit sampai tidak lagi nampak matahari itu. Ini menunjukkan masanya akan berakhir dan waktu Maghrib akan tiba, dan secara adatnya kesempatan ini tidak akan berulang lagi. Semoga Allah memakbulkan doa-doa semua yang berdoa pada hari Arafah. Semoga ada yang mendoakan kita semasa mereka berwukuf di Arafah pada tahun-tahun akan datang. Aamiin ya Rabbal 'alamin.   

Setakat ini dahulu, bersambung lagi untuk perjalanan ke Muzdalifah dan bagaimana situasinya bermalam berbumbungkan langit di Muzdalifah.    

Uploaded Image
Jemaah diminta berbaris untuk menaiki bas.

Uploaded Image
Tiba di Arafah, ada yang dah mula cop tempat masing-masing. Aku sendiri agak terpinga-pinga ketika ini.

Uploaded Image
Suasana di khemah Arafah, kami diminta tidur atau berehat sampai waktu Zohor supaya bertenaga dan fokus.

Uploaded Image
Khutbah Arafah disampaikan oleh Ust Najmudin iaitu mutawif yang membimbing kami.

Uploaded Image
Makan sekadar mengisi perut sahaja. Jaga emosi, jangan marah jika makanan habis.

Uploaded Image
Suasana dalam khemah Arafah.

Uploaded Image
Makan ala kadar.

Uploaded Image
Port berdoa kami ketika berwukuf. Pastikan kita menghadap kiblat. Hari ini adalah hari paling ramai Allah ampunkan manusia yang berdosa. 

Uploaded Image
Teruskan berdoa sampai waktu Maghrib walau di mana pun berada.

Uploaded Image

Hujung-hujung waktu berwukuf di Arafah.  

Sekian dahulu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan