Rabu, Disember 19, 2007

Azimat tingkat aksi di ranjang

Azimat tingkat aksi di ranjang:
KUALA LUMPUR: Sukar dipercayai apabila segelintir Mat Rempit sanggup melakukan amalan syirik dengan memakai kalung aneh berbentuk kemaluan dipanggil 'tangkal mengawan' semata-mata kerana yakin ia mampu memberi kekuatan batin ketika melakukan seks bebas.

Kebanyakan tangkal terbabit yang dibeli sama ada daripada pengamal perubatan tradisional di Thailand atau diimport dari Nepal, diperbuat menggunakan besi selain taring atau tulang babi yang diukir.

Perbuatan khurafat itu semakin membimbangkan berikutan kebanyakan pemakaiannya golongan Mat Rempit remaja Islam.

Seorang Mat Rempit yang hanya mahu dikenali sebagai Man Kriss, 20-an, mendedahkan ada beberapa jenis tangkal pelik yang popular di kalangan mereka, sama ada berbentuk tulisan mentera, benang berwarna serta objek besi menyerupai manusia.

Dia yang pernah menganggotai Geng Apache sejak 2004 berkata, idea pemakaian tangkal terbabit mula tercetus apabila khabar angin tersebar mengenai cerita seorang Mat Rempit yang hanya cedera ringan walaupun terbabit dalam kemalangan ngeri kerana memakai tangkal pelik itu.

Difahamkan, tiada tulang Mat Rempit berasal dari Pendang, Kedah itu patah selepas dirempuh kereta ketika melakukan aksi 'pacak' di Jalan Duta di sini, tidak lama dulu.

"Ada khabar angin mengatakan dia mengamalkan ilmu kebal dengan memakai tangkal bagi memastikan tubuhnya kental walaupun dipukul atau terjatuh ketika kemalangan.

"Malah, ada juga cakap-cakap mendakwa tangkal dipakai beberapa pelumba lain mampu membuat lawan di litar lumba haram menjadi gerun. Semua ini menyebabkan ada Mat Rempit teruja untuk mencuba," katanya.

Dia yang sebelum ini beberapa kali ditahan polis trafik Kuala Lumpur mendakwa cerita mulut ke mulut itu akhirnya tersebar pula dakwaan wujud tangkal istimewa yang boleh membuatkan pemakainya mempunyai kekuatan seks luar biasa.

"Malah, ramai tertarik apabila tangkal itu didakwa boleh berfungsi sama seperti minyak pengasih khusus untuk memikat gadis sebelum diangkut ke ranjang.

"Bertitik-tolak dari cerita itu, ada Mat Rempit sanggup berjumpa bomoh atau membeli tangkal terbabit daripada rakan yang mendakwa mempunyai 'kenalan' atau sumber pembekal," katanya.

Menurutnya, antara tangkal yang paling popular adalah objek besi berbentuk patung berwarna emas menyerupai lelaki dan wanita sedang berpelukan selain tangkal ukiran kemaluan lelaki atau wanita.

"Selain itu ada juga patung tangkal yang direndam dalam minyak khas yang kemudian dipakai bersama rantai di leher. Difahamkan minyak berkenaan berfungsi sama seperti minyak calit atau pengasih khusus untuk memikat wanita.

"Apa yang saya tahu tangkal kecil berbentuk patung boleh dibeli pada harga RM50 manakala tangkal patung yang siap direndam minyak pengasih boleh mencecah harga RM200," katanya.

Dia yang pernah didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 mendakwa ada juga jenis tangkal aneh berbentuk kemaluan yang dililit seperti tali pinggang oleh segelintir Mat Rempit yang taksub.

"Segala-galanya berpunca tarikan seks bebas yang menyebabkan ramai remaja Melayu kemaruk atau mudah terpengaruh mencuba. Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada ia benar-benar berkesan atau sebaliknya," katanya yang kini insaf dan memulakan hidup baru.

Sementara itu, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Datuk Dr Muhammad Yusoff Hussain, menasihatkan golongan remaja membuang tangkal dipakai kerana ia jelas perbuatan syirik kerana menyekutukan Allah.

Menurutnya, umat Islam mesti mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak perkara khurafat seperti menggunakan tangkal atau percaya pada kuasa tertentu apatah lagi jika ia bersangkut paut dengan perbuatan menjurus kepada dosa.

"Amalan sebegini, jika tidak dikekang, boleh menggalakkan perkembangan ajaran sesat kerana ia memesongkan akidah orang Islam," katanya.
p/s: betul ke Harian Metro ni, atau sengaja ada2kan cerita, cerita pelaris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan