Assalamualaikum dan selamat pagi. Susah betul nak move-on dengan pengalaman haji ini (adakah orang lain pun sama?), bahkan setelah selesai melaksanakan haji semakin lama semakin seronok melihat perkongsian haji, suka bertegur sapa dengan bekas sahabat-sahabat sehaji dan aku suka juga melihat promosi dari MKM di media sosial. Selain itu aku juga ada mendengar kuliah-kuliah agama yang disampaikan mutawif-mutawif yang bersekali semasa haji tempoh hari. Jika di pejabat ada juga yang suka bertanya tentang haji dan aku suka untuk berkongsi pengalaman haji aku. Sebenarnya perbuatan ini sama semasa sebelum aku berhaji, aku kerap bertanyakan pengalaman orang baru berhaji dalam beberapa tahun. Keinginan yang melonjak-lonjak untuk melaksanakan haji menjadikan kita tidak segan untuk bertanya pengalaman orang lain.
Pagi semalam tiba-tiba puan isteri beritahu yang MKM ada membuka booth di Masjid USM kerana ada mini karnival haji bersekali dengan kursus haji yang berlangsung pada hari itu. Kebetulan MKM ada buat live sekejap, jadi dari situ dapatlah tahu keberadaan mereka di USM, dalam live itu ada Hj. Ahmad yang aku mula kenali dari tahun 2024 lagi. Setelah sarapan pagi, aku, isteri dan Eryna meneruskan perjalanan ke USM. Eryna teringin nak ikut kerana dah lama katanya dia tak ke USM. Banyak juga memory di USM. Sebelum itu kami sempat singgah ke Jeruk Madu Pak Ali untuk membeli sedikit buah tangan.
Sampai di USM, terus kami mencari booth MKM ini. Dan setibanya di masjid terus nampak Hj. Ahmad sedang melayan seseorang yang berminat untuk menunaikan haji bersama MKM. Hj. Ahmad ini merupakan pengurus haji MKM. Nampak sahaja kami, terus terganggu layanan dia kepada bakal hajah itu (insyaAllah). Aku terus bersalaman dan bersembang dengan Hj Ahmad dan isteri aku pula take over jadi promoter MKM dengan bersembang dengan bakal jemaah haji tu (semoga Allah memudahkan urusan hajinya). Jadi perempuan itu mendapat info terus dari bekas jemaah MKM berbanding dari syarikat itu sendiri. Sempat juga mereka bertukar nombor telefon untuk sambung bertanyakan jika ada kemusykilan.
Ada sesuatu yang menarik semasa kami berbual. Katanya ada seorang jemaah berminat untuk berhaji bersama MKM kerana membaca blog aku ini. Aku ada buat catatan Travelog Haji yang masih belum habis. Mungkin kerana membaca catatan-catatan itu maka dia berminat untuk tahu lebih lanjut pakej yang ditawarkan MKM. Sempat Hj. Ahmad berterima kasih. Nampaknya kena sambung cepat sikit siri Travelog Haji ni.
Bakal jemaah haji 2027 telah mula menerima tawaran haji, setakat ini 10,000 orang telah ditawarkan dan berbaki lagi 20,000 lebih tempat. Hj Ahmad juga ada beritahu, jika sebelum ini untuk rayuan Tabung Haji, mereka pertimbangkan perayu yang telah merayu selama 4 tahun tetapi bagi tahun 2027 ini mereka pertimbangkan rayuan 3 tahun pula. Jadi bagi yang telah cukup syarat untuk mengerjakan haji perlu membuat rayuan setiap tahun. Jangan skip, rayu secepat mungkin dan sekiranya mampu pergi dengan PJH, rayulah untuk pergi dengan PJH. Peluang untuk dapat pergi awal lebih luas dan apapun kenalah banyak berdoa. Keinginan berhaji ini sebenarnya banyak mendekat diri kepada Allah, ia membuatkan kita lebih bergantung kepada Allah berbanding makhluk, bahkan sekecil-kecil perkara pun cepat kita akan serahkan kepada Allah. Kita juga akan sedar betapa lemahnya kita dalam mengatur sesuatu. Haji ini adalah 100% jemputan Allah, kita dipertanggung jawabkan untuk berusaha menyelesaikannya setelah cukup syaratnya.
Lama juga kami bersembang, dan setelah itu kami beredar. Ada rezeki boleh bertemu lagi.
| Seronok dapat bertemu Hj. Ahmad. |
| Mengimbau kenangan berhaji baru-baru ini. Memang tak akan habis cerita tentang haji ini. |
| Semoga perkenalan berterusan. |
Jika ada yang berminat dan perlukan nasihat haji, jangan malu untuk bertanya. Sekian dahulu catatan kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan