Jumaat, Mei 16, 2025

Travelog Skopje (North Macedonia) dan Sofia (Bulgaria)

Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat. Jika Jumaat sebelum ini kita kurang berselawat kepada nabi Muhammad, hari ini kita tanamkan azam untuk memperbanyakkan selawat dan menghindari dari percakapan yang sia-sia.

Sambung catatan perjalanan ke bumi Balkan pada bulan Januari 2025 yang lalu. Sedang nak cuba habiskan siri catatan ini secepat yang mungkin (tetap lambat huhu). Pada yang membaca blog ini dan mungkin masih ingat catatan terdahulu di Tasik Ohrid yang cantik itu. Seterusnya perjalanan diteruskan pada hari ini menuju Bulgaria melalui bandar Skopje di North Macedonia. Skopje merupakan ibu negara dan juga bandar terbesar di negara North Macedonia. Negara ini merupakan negara paling selatan bagi negara-negara bekas Yugoslavia. Setelah melalui bahagian paling atas iaitu Slovenia kini kami berada di bahagian paling bawah bagi wilayah Balkan. Bermakna tersisa sedikit sahaja lagi perjalanan kami. 

Dalam menuju ke ibu negara Skopje kami sempat singgah ke Ε arena Mosque atau lebih biasa disebut colorful mosque atau masjid berwana-warni di Tetovo. Masjid ini terletak ke kawasan yang sibuk dan di sebelahnya ada sungai. Sungguh unik masjid ini dengan dekorasi yang penuh. Di bahagian belakang masjid ada beberapa makam. Masjid ini dibina oleh pasha dari Ottoman Empire. Kami dapat masuk ke dalam masjid, mulanya risau juga kerana ada logo hasan dan husin di mimbar masjid tetapi sebenarnya ada juga nama 4 khalifah di bahagian atasnya. Ini membawa maksud masjid ini beraliran sunni. Dekorasi sarat di bahagian luar dan dalam. Mihrabnya berwarna putih cantik sekali. Aku sempat bergambar dengan seorang yang mundar mandir di dalam masjid ketika kami masuk. Mungkin penjaga masjid menurut telahan aku.

Selesai di situ kami ke Skopje untuk makan tengah hari. Skopje terbahagi kepada 2 iaitu kawasan bandar baru dan kawasan bandar lama. Kawasan ini menjadi tarikan kepada pelancong kerana terdapatnya beberapa monumen yang dikatakan Alexander the Great dah keluarganya. Individu yang kononnya sama dengan Iskankar Zulkarnain yang menakluk timur dan barat. Kedua mereka sebenarnya individu yang berbeza menurut pengkaji sejarah Islam. Kami terus ke bandar lama untuk makan tengah hari iaitu ayam grill dengan nasi dan sayur. Berseleralah aku makan. Setelah itu kami mundar-mandir di bandar lama Skopje ini. Di bandar lama ini banyak peniaga Islam dan kebanyakan mereka dari Albania. Ketika masuk ke satu kedai cenderamata aku ada bercakap-cakap dengan seorang pemuda itu, tanya serba sedikit kerana dia seorang Islam. Bila aku ajak bergambar dengannya dia menolak, katanya dia tidak pernah bergambar, bahkan di dalam telefon dia pun tiada satu pun gambar dia. Huh terkejut juga kerana ada juga orang sebegitu.  

Alkisah anak aku Eryna dah mula mengidam makanan di Malaysia secara spesifiknya dia ada sebut teringin nak makan cucuq (cucur). Manalah nak cari cucuqkan di Balkan ini. Selesai di Skopje kami meneruskan perjalanan ke Sofia iaitu ibu negara Bulgaria. Perjalanan agak jauh dan kami tiba Sofia dah malam. Satu keajaiban telah berlaku di mana kami dibawa ke sebuah restoran Indonesia! Salah satu menunya adalah cucur atau bahasa Indonesianya bakwan sayur jika tak silap. Berebutlah ahli trip nak merasa cucur tu. Menu utamanya pula adalah nasi putih dan lauk ayam masak lemak lengkap dengan sambal belacan. Fuhh. Sepanjang perjalanan walaupun ada jumpa nasi tetapi bukan nasi putih, kali ni dapat nasi putih panas-panas memang menyelerakan betul. Sampai ada yang tak segan silu menambah nasi. Nasi dihidang secara buffet pun memang ramai juga yang menambah nasi. Ibu Yati iaitu empunya restoran ini sebenarnya bekerja di Konsulat Indonesia di Bulgaria asalnya. Kemudian setelah tidak lagi bekerja dia membuka restoran ini, dah dah banyak tahun restoran ini beroperasi. Malam itu kami tidur dengan puasnya cuma yang kurang menariknya orang Bulgaria ni kuat merokok, di sana sini bau rokok.

Masjid ini dikelilingi pagar yang mempunyai dekorasi seperti masjid.

Tak pernah jumpa masjid dari empayar Uthmaniyyah yang sebegini binaannya.

Mimbar masjid yang berwarna putih.

Rakan bergaduh.

Dinding dalaman yang berwarna-warni.

Sempat bergambar dengan warga tempatan muslim.

Dari kamera team leader.

Monumen Alexander the Great di Skopje.

Bapa kepada Alexander, Philip II of Macedon.

Makan tengah hari di Skopje.

Berjalan-jalan dalam gerimis.

Ada gaya, lain kali nak ikut travel lagi katanya.

Gambar dari kamera abang ipar, entah mengapa tiada gambar dari phone sendiri mungkin habis bateri.

Nasi puti dengan ayam masak lemak cili api.

Gambar ihsan team leader.

Setakat ini dahulu. Bersambung lagi.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan