Memaparkan catatan dengan label Balkan 2025. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Balkan 2025. Papar semua catatan

Jumaat, Mei 16, 2025

Travelog Skopje (North Macedonia) dan Sofia (Bulgaria)

Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat. Jika Jumaat sebelum ini kita kurang berselawat kepada nabi Muhammad, hari ini kita tanamkan azam untuk memperbanyakkan selawat dan menghindari dari percakapan yang sia-sia.

Sambung catatan perjalanan ke bumi Balkan pada bulan Januari 2025 yang lalu. Sedang nak cuba habiskan siri catatan ini secepat yang mungkin (tetap lambat huhu). Pada yang membaca blog ini dan mungkin masih ingat catatan terdahulu di Tasik Ohrid yang cantik itu. Seterusnya perjalanan diteruskan pada hari ini menuju Bulgaria melalui bandar Skopje di North Macedonia. Skopje merupakan ibu negara dan juga bandar terbesar di negara North Macedonia. Negara ini merupakan negara paling selatan bagi negara-negara bekas Yugoslavia. Setelah melalui bahagian paling atas iaitu Slovenia kini kami berada di bahagian paling bawah bagi wilayah Balkan. Bermakna tersisa sedikit sahaja lagi perjalanan kami. 

Dalam menuju ke ibu negara Skopje kami sempat singgah ke Šarena Mosque atau lebih biasa disebut colorful mosque atau masjid berwana-warni di Tetovo. Masjid ini terletak ke kawasan yang sibuk dan di sebelahnya ada sungai. Sungguh unik masjid ini dengan dekorasi yang penuh. Di bahagian belakang masjid ada beberapa makam. Masjid ini dibina oleh pasha dari Ottoman Empire. Kami dapat masuk ke dalam masjid, mulanya risau juga kerana ada logo hasan dan husin di mimbar masjid tetapi sebenarnya ada juga nama 4 khalifah di bahagian atasnya. Ini membawa maksud masjid ini beraliran sunni. Dekorasi sarat di bahagian luar dan dalam. Mihrabnya berwarna putih cantik sekali. Aku sempat bergambar dengan seorang yang mundar mandir di dalam masjid ketika kami masuk. Mungkin penjaga masjid menurut telahan aku.

Selesai di situ kami ke Skopje untuk makan tengah hari. Skopje terbahagi kepada 2 iaitu kawasan bandar baru dan kawasan bandar lama. Kawasan ini menjadi tarikan kepada pelancong kerana terdapatnya beberapa monumen yang dikatakan Alexander the Great dah keluarganya. Individu yang kononnya sama dengan Iskankar Zulkarnain yang menakluk timur dan barat. Kedua mereka sebenarnya individu yang berbeza menurut pengkaji sejarah Islam. Kami terus ke bandar lama untuk makan tengah hari iaitu ayam grill dengan nasi dan sayur. Berseleralah aku makan. Setelah itu kami mundar-mandir di bandar lama Skopje ini. Di bandar lama ini banyak peniaga Islam dan kebanyakan mereka dari Albania. Ketika masuk ke satu kedai cenderamata aku ada bercakap-cakap dengan seorang pemuda itu, tanya serba sedikit kerana dia seorang Islam. Bila aku ajak bergambar dengannya dia menolak, katanya dia tidak pernah bergambar, bahkan di dalam telefon dia pun tiada satu pun gambar dia. Huh terkejut juga kerana ada juga orang sebegitu.  

Alkisah anak aku Eryna dah mula mengidam makanan di Malaysia secara spesifiknya dia ada sebut teringin nak makan cucuq (cucur). Manalah nak cari cucuqkan di Balkan ini. Selesai di Skopje kami meneruskan perjalanan ke Sofia iaitu ibu negara Bulgaria. Perjalanan agak jauh dan kami tiba Sofia dah malam. Satu keajaiban telah berlaku di mana kami dibawa ke sebuah restoran Indonesia! Salah satu menunya adalah cucur atau bahasa Indonesianya bakwan sayur jika tak silap. Berebutlah ahli trip nak merasa cucur tu. Menu utamanya pula adalah nasi putih dan lauk ayam masak lemak lengkap dengan sambal belacan. Fuhh. Sepanjang perjalanan walaupun ada jumpa nasi tetapi bukan nasi putih, kali ni dapat nasi putih panas-panas memang menyelerakan betul. Sampai ada yang tak segan silu menambah nasi. Nasi dihidang secara buffet pun memang ramai juga yang menambah nasi. Ibu Yati iaitu empunya restoran ini sebenarnya bekerja di Konsulat Indonesia di Bulgaria asalnya. Kemudian setelah tidak lagi bekerja dia membuka restoran ini, dah dah banyak tahun restoran ini beroperasi. Malam itu kami tidur dengan puasnya cuma yang kurang menariknya orang Bulgaria ni kuat merokok, di sana sini bau rokok.

Isnin, April 28, 2025

Travelog Shkoder, Tirana (Albania) dan Ohrid (North Macedonia)

Assalamualaikum dan selamat pagi. Marilah kita sambung siri pengembaraan Balkan 2025 yang telah berlaku pada bulan Januari lalu. Mungkin ada dua atau tiga lagi catatan baru siri pengembaraan ini akan tamat. Jika hari sebelum kami melalui 4 buah negara, catatan hari ini hanya merangkumi 2 buah negara iaitu Albania dan North Macedonia. Penting untuk dicatatkan di sini ialah guide kami berasal dari North Macedonia lebih tepatnya di Ohrid, salah satu destinasi penting dalam pengembaraan ini pada hari ini. 

Sebelum memulakan perjalanan, recap sedikit perkara yang berlaku pada malam tadi ketika nak check ini ke hotel. Rupanya berdekatan hotel kami menginap iaitu Alis Hotel adanya kedai pakaian LC Waikiki. Sebelum trip ini aku tak tahu pun tentang LC Waikiki tetapi ada ahli trip yang beri tahu tentangnya, di KL telah pun ada satu atau dua branch. Pada aku LC Waikiki ini sesuai untuk yang mencari pakaian harian dengan harga berpatutan, kualitinya bagus dan katanya brand ini berasal dari Turkey. Selepas check-in aku dan isteri bergegas ke LC Waikiki, bukan ada apa nak beli sangat pun cuma agak teruja sahaja. Waktu itu dah hampir jam 9 malam dan kedai dah nak tutup. Banyak juga offer terutamanya pakaian musim panas. Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya di Alis Hotel, sempat juga basuh pakaian dalaman sebelum tidur dan sangkut dekat heater. 

Pagi itu kami meneruskan perjalanan dari Shkoder, Albania ke Ohrid, North Macedonia melalui ibu negara North Mecedonia iaitu Tirana. North Macedonia ini biasanya orang akan sebut Macedonia sahaja, cuma dari segi konflik perebutan kawasan dan nama kalau tak silap Bulgaria tidak membenarkan guna nama Macedonia kerana pada mereka Macedonia adalah sebahagian mereka. Perjalanan agak panjang dan kami jangka ada adalah tour di Tirana rupanya seperti lintas sahaja di Tirana, mungkin kesuntukan masa untuk mengejar aktiviti di Ohrid atau tour guide kami yang teruja nak menunjukkan kampung asal-usulnya kepada kami. 

Tengah hari itu kami berhenti rehat di Kompleksi Nogu yang masih dalam negara Albania. Di sini ada kawasan yang luas, ada toilet yang di jaga oleh anjing besar yang menyebabkan serba salah sama ada nak masuk atau tidak huhuhu. Lega dapat meregangkan otot-otot di sini. Kawasan ini sebenarnya agak terpencil tetapi agak lengkap juga. Tengah hari tu seronok betul sebab dapat makan nasi yang berwarna kuning bersama potongan daging yang besar juga. Kami juga dihidangkan dengan dessert seperti puding yang sedap. Macam biasa sentiasa setiap hidangan disediakan air mineral. Kalau nak air manis kena order sendiri. Sebelum naik bas kami sempat beli kopi dan sebelum bertolak kami solat dalam bas kerana tak jumpa kawasan yang bersih.

Kami tiba di Ohrid dalam jam 2PM. Di sini kami dihidangkan dengan permandangan tasik Ohrid yang sangat cantik. Aktiviti kami di sini ialah tour dengan bot mengelilingi tasik Ohrid. Aktiviti ini merupakan aktiviti pilihan dan kos bagi tiap peserta ialah 40 Euro jika tak silap. Yang bestnya hanya kami sahaja dalam bot yang luas itu, ada deck di atas, di hadapan dan di belakang. Kami juga diberikan minuman kopi atau coklat secara percuma. Tak dapat digambarkan betapa cantiknya permandangan. Apapun trip sebegini mengingatkan trip kami dengan bot sebelum-sebelum ini di Milford Sound, Bosphorus Strait dan Tasman Sea.  

Selesai aktiviti dengan bot kami berpeluang jalan-jalan di bandar Ohrid, di sini ada 3 masjid yang letaknya tidak jauh antara satu sama lain dan kami sempat solat di dalamnya. Kami tidak sempat berjemaah kerana setelah azan Maghrib mereka terus solat tanpa ada solat sunat. Jemaahnya pun tak ramai kalau tak silap ada 4 orang sahaja. Selesai aku dan abang ipar aku solat mereka merempat mengadap kami menyebabkan kami terpinga-pinga. Mungkin ada yang tidak kena pada mereka. Apapun dari pengamatan gaya mereka seperti sekte sufi.

Setakat ini sahaja dahulu. Hari ni adalah hari akhir Ramadan 1446 dan aku berpuasa 6 yang terakhir. Betul-betul last minit ni. Ada pendapat mengatakan puasa 6 tidak terbatas hanya di bulan Syawal kerana lafaz hadith sebut "min Syawal" bukan "fi Syawal" yang bermaksud bermula Syawal dan bukan pada Syawal. Apapun yang masyur biasanya orang akan habiskan dalam bulan Syawal juga, cuma bila tak sempat, ada halangan boleh sahaja disambung di bulan Rabiul awwal. Semoga Allah terima.    

Rabu, Mac 12, 2025

Travelog Trebijne (Bosnia), Dubrovnik (Croatia) & Kotor (Montenegro) & Shkoder (Albania)

Assalamualaikum dan selamat pagi. Kita sambung lagi travelog dalam siri trip Balkan 2025. Siri kali ini akan merentas 4 negara dalam satu hari iaitu Bosnia, Croatia, Montenegro dan Albania. Malam itu kami masih lagi di bumi Bosnia. Termasuk malam itu 3 malam kami di negara Bosnia, pertama di Bihac, kedua di Sarajevo dan malam ketiga di Trebijne. Kami bermalam di Hotel Leotar. Masa terima kunci biasanya kami redha sahaja dapat bilik macam mana. Kami bertiga dan dapat bilik katil queen sahaja tetapi direzekikan ada rakan setrip yang offer tukar bilik kerana dia dapat bilik besar ala-ala suite, siap ada access ke beranda yang besar. Syukur betul. Dia berdua sahaja suami isteri. Kadang-kadang bila booking hotel banyak bilik ni hotel akan bagi sahaja bilik besar walaupun order bilik biasa sebab bila tak cukup bilik biasa takkan hotel nak tolak. Hotel ni agak oldies, tiada lif dan dan ada seorang perempuan tukang hantar beg ditugaskan menghantar beg ke bilik-bilik. Kagum dengan kehebatan dia mengangkat beg yang besar. Beg-beg kecil kami bawa sendiri sahaja. Malam itu kami tidur selesa dengan nyenyaknya.

Keesokan harinya setelah sarapan kami bertolak ke Dubrovnik di Croatia. Sebelum masuk ke Bosnia sebenarnya kami telah melalui Croatia cuma semasa pembahagian negara selepas perang, Bosnia hanya diberi akses ke Laut Adriatik dalam 20km sahaja, Croatia pula dapat akses laut yang banyak sekali. Di Dubrovnik kami masuk ke sebuah kubu yang ada penempatan di dalamnya. Sungguh unik sekali kerana kota ini betul-betul dikelilingi kubu di tepi laut. Sungguh hebat kerajaan yang menjaga kota ini dari serangan luar. Jika tak silap dalam rangka kerajaan Turkey Uthmaniyah menakluk kawasan ini kota ini tidak berjaya ditakluk. Dubrovnik ini juga terkenal sebagai tempat penggambaran siri Game of Thrones. Terdapat akses ke pelabuhan dengan pintu yang sangat cantik. Ada satu masalah sewaktu nak bergerak dari kota ini di mana kami ke toilet bertiga tetapi tiada duit syiling. Panik betul sebab toiletnya pakai mesin, nasib baik ada orang ajarkan untuk swipe credit card. 

Kami meneruskan perjalanan dengan pemandangan Adriatic Sea di sebelah kanan kami manakala bukit-bukit di sebelah kiri. Banyak kawasan ini didiami oleh orang-orang kaya. Kami singgah di tempat bernama Kotor di Montenegro. Bila tahu namanya begitu bisinglah kami yang dalam trip ini. Hakikatnya tempatnya bersih sekali. Jangan judge pada namanya ya. Antara yang menarik di Kotor ialah banyaknya kucing-kucing mundar mandir di sini. Apa pun menurut local tour guide kucing-kucing ini tiada kena mengena dengan nama Kotor tu, apa pun antara kepercayaan orang tempatan kucing ini membawa tuah kepada mereka. Di sini kami makan ikan goreng di restoran makanan laut bernama Bastion. Kawasan ini berada dekat dengan laut Adriatic jadi jika nak makan ikan inilah antara restorannya. Bangunan restoran ini dahulunya adalah tempat menyimpan bahan letupan, jadi dinding dan silingnya cukup tebal dibina. Menunya hanya ikan goreng dan sayur rebus, sebelum itu dihidangkan dahulu roti. Antara benda yang bagus di restoran-restoran sepanjang perjalanan kami ialah air kosong adalah wajib. Duduk sahaja di meja kita akan dihidangkan dengan air kosong dahulu. Jarang sekali orang order air manis kecuali secawan kecil (betul punya kecil ya) kopi atau teh setelah habis makan semua. Sepatutnya di negara kita pun kena praktikkan macam ni, lebih sihat.  

Perjalanan hari ini agak jauh juga, kami melewati pesisir laut Adriatik melalui bandar Budva yang mewah. Di sini adalah tempat orang-orang kaya Eropah bercuti pada musim panas. Banyak hotel-hotel mewah di kawasan pelancongan ini. Kami meneruskan perjalanan merentas negara Albania dan bermalam di Shkoder.

Khamis, Februari 27, 2025

Travelog Monumen Semulajadi Vrelo Bosne, Terowong Sarajevo, Kota Mostar Dan Dicopet di Blagaj (Bosnia Herzegovina)

Assalamualaikum dan selamat pagi. Ada perkara yang kurang baik berlaku dalam catatan kali ini jadi sila cekalkan diri untuk membaca perkongsian ini hingga habis kerana ia berada di hujung catatan. Catatan kali ini agak panjang sedikit kerana ia meliputi 4 tempat persinggahan. Catatan ini adalah sebahagian dari catatan travelog Balkan 2025. Kami memulakan perjalanan dari hotel di Sarajevo seawal pagi menuju ke Mostar iaitu sebuah bandar lama di Herzegovina. Dalam perjalanan kami singgah di dua tempat persinggahan, untuk trip ini boleh dikatakan semua tempat yang kami singgah adalah destinasi utama yang dilawati pelancong, bukan itu sahaja kebanyakan telah digazet sebagai UNESCO World Heritage Center

Destinasi pertama yang kami lawati ialah Vrelo Bosne. Tempat ini telah digazetkan sebagai nature monument. Saya kira macam Taman Negara juga, bila dah digazetkan  tak boleh digunakan tanahnya untuk pembangunan lagi. Cuma yang kami lawati ini betul-betul terjaga kesemulajadiannya. Melawat kawasan Vrelo Bosne ini di waktu pagi memang menenangkan hati, setelah banyak menghabis masa di bandar kali ini ke kawasan hutan pula, banyak pokok maple di sini, usianya mencecah hingga 100 tahun. Kami disambut dengan sebuah tasik yang sangat jernih airnya, dari mata kasar kita boleh nampak dasar sungai yang berpasir, berbatu dan berlumut hijau. Di atasnya itik-itik berenang dengan bebas tanpa rasa takut dengan kehadiran kami. Dan di antara tasik ini ada pula sungai-sungai yang menghubunginya menjadikan lanskap di sini sangat cantik. Burung-burung berkicauan di antara bunyi air menjadi suasana seakan berhenti seketika. Di sini kami sempat merakam gambar di satu spot dengan harga 5 Euro, gambar dicetak terus oleh seorang jurugambar tua. 

Destinasi kedua yang kami lawati sekitar Sarajevo ialah Tunnel of Hope. Tidak cukup rasanya jika di Bosnia kita tidak melawat tempat sejarah peninggalan perang. Kerana kerakusan satu pihak ratusan ribu rakyat Bosnia di bunuh, perempuannya dirogol di hadapan suaminya, itulah kisah yang kita dengar. Sebelum peperangan negara-negara Balkan dari segi sosialnya saling berhubung rapat, banyak perkahwinan di antara rakyat negara Balkan, ialah mereka asalnya satu negara Yugoslavia, kebanyakan mereka faham bahasa antara mereka iaitu bahasa Slavic. Ketika kebanyakan tempat di Bosnia telah di kuasai dan Sarajevo telah di kepung, terowong ini menjadi laluan harapan antara lapangan terbang Sarajevo dengan bandar Sarajevo. Lapangan terbang Sarajevo ketika itu dikuasai United Nation dan melalui terowong inilah makanan, ubat-ubatan dan laluan pergerakan dapat disalurkan ke Sarajevo yang dikepung. Di dalamnya ada landasan kecil untuk memudahkan dan mempercepatkan saluran bantuan. 

Dalam perjalanan ke Mostar kami singgah untuk makan tengah hari di sebuah restoran di tepi tasik. ketika turun dari bas, kami dah tercium bau kambing dan rupanya menu tengah hari ini ialah kambing bakar. Sungguh teruja dapat makan kambing bakar, cuma rasanya agak plain dan tekstur dagingnya agak kasar. Nasib baik ada sos cili dan ada membawa sendiri mayonis. Dapatlah mengurangkan rasa loya makan daring kambing bakar yang kosong tanpa rempah. Lanjut dari itu kami meneruskan perjalanan ke bandar Mostar dan akhirnya kami pun sampai. Paling ikonik di Mostar ialah jambatan Stari Most, jambatan ini dibina pada kurun ke 16 oleh kerajaan Uthmaniyah merentangi sungai Neretva. Jambatan ini runtuh ketika perang Bosnia, berbanding Sarajevo yang cuba dikuasai Serbia, Mostar pula cuba dikuasai pihak Croatia. Begitulah sejarahnya, apa pun bagi kami yang melawati dan melewati jambatan ini, yang paling kami tak boleh lupa ialah lantainya yang dibuat dari batu-batu sungai yang agak besar, lengkungan jambatan ini agak tinggi juga dan untuk melangkah memang licin dan tak rata. Nak sampai ke hujungnya pun susah, nak bergambar pun kena hati-hati silap-silap phonenya akan terjun ke dalam sungai. Oh ya, jambatan ini juga terkenal sebagai tempat aktiviti terjun. Akan ada masa-masa yang mereka buat aktiviti terjun untuk mencabar keberanian diri. Waktu winter tak pula ada yang nak terjun. Selesai di jambatan kami berkumpul di sebuah masjid lama, masjid ini ada bayaran untuk masuk tetapi untuk solat adalah percuma. Beruntunglah orang-orang yang solat. Masjid ini juga dibina di zaman Uthmaniyah, nampak jelas ciri-cirinya. 

Okay, sekarang baru sampai ke catatan tempat yang akan paling diingati sepanjang perjalanan. Selesai di bandar Mostar kami ke satu tempat di Blagaj (sebutannya Blagai). Kami dibawa ke sebuah tempat berkumpulnya orang sufi atau sekarang biasa disebut tarikat. Untuk sampai ke tempat itu kami perlu berjalan sedikit mendaki, dah di laluan itu ada pengawal yang menjaganya. Walaupun ada pengawal jangan sangka orang jahat ini takut, mereka lebih pakar dalam melakukan kerja mereka. Ketika aku dan isteri berjalan beriringan, di hadapan dan di belakang ada kumpulan rombongan kami. Entah macam mana di hadapan kami ada dua orang perempuan sedang berjalan dan kemudian berhenti untuk mengambil gambar di satu tempat. Kemudian mereka masuk semula berjalan di belakang kami. Entah macam mana salah seorang darinya dapat ambil purse wife sedangkan handbag sentiasa diletakkan ke hadapan. Memang dia dan dapat ambil dan entah macam mana isteri terperasan dan terus pusing belakang minta balik purse itu dengan dua orang perempuan itu. Mereka terus panik dan buat-buat kata purse itu terjatuh. Sempat wife check sama ada mereka ada ambil duit atau tidak, dan mereka memang tak sempat buat apa lagi. Syukur betul cuma cukup traumalah masa tu. Tak nak panjangkan cerita kami terus tinggalkan mereka. Setelah berkumpul berdekatan tempat sufi itu kami pun ceritakan pada ahli rombongan lain, dan guide kami minta kami sentiasa hati-hati dan menunjukkan walletnya yang sentiasa berantai untuk keselamatan. Mulanya kami tak berapa faham tentang tempat ini. Dalam perjalanan ada terperasan simbol Hu, Hu, Hu, lantas aku teringat tentang memang ada amalan tarikat zikir Hu Hu Hu. Pernah jadi isu juga di negara kita di mana ada ustaz yang memboleh zikir Hu Hu Hu walaupun Rasullullah saw tidak pernah mengajarkannya. Setelah dicari infonya di tempat sebegini biasanya di panggil dengan khanaqah, zawiya, atau takiya bergantung kepada zaman dan jenis tarikat. Dalam bahasa inggeris dipanggil shrine atau lodge. Ia menjadi tempat berkumpul orang tarikat untuk beribadah kerana ada kubur yang mereka anggap mulia. Hakikatnya tiada kubur yang boleh dianggap mulia kecuali kemuliaan itu disebut dalam Al-Quran atau hadits. Di situ ada dua jasad yang ditinggalkan di sebuah bilik, terdapat bilik-bilik lain dan ada satu ruang seperti tempat bertafakur. Untuk info lanjut boleh baca pada pautan ini berkenaan tempat ini tetapi jangan sampai terpengaruh pula. Cukuplah kita berpegang dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. Tak perlu meninggalkan kehidupan dunia, mensucikan hati dengan bertapa dan berzikir dengan lafaz zikir yang tidak diajarkan oleh Nabi. Ada tarikat tertentu yang menyimpang apabila sampai ke marifat tertentu bermakna dia dan bersebati dengan tuhan dan tak perlu lagi beribadah seperti orang biasa. Apapun, sekitar tempat ini sangat cantik, sungai yang mengalir warnanya biru turquoise namun ini semua tak mampu meredakan lagi trauma dicopet.     

Jumaat, Februari 21, 2025

Travelog Kincir Air Mlinčići, Masjid & Cafe Malaysia Dan Sarajevo (Bosnia & Herzegovina)

Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat. Sambung siri catatan travelog Balkan 2025 pagi ini. Selesai di Zagreb kemi meneruskan perjalanan untuk bermalam di Bihac, Bosnia. Sungguh teruja rasanya untuk menjejakkan kaki di bumi Bosnia. Siapa yang pernah melewati zaman 90an pasti akan ingat peristiwa peperangan di Balkan yang melibatkan tiga negara utama iaitu Serbia, Bosnia dan Croatia. Lebih dari 50% rakyat Bosnia adalah beragama Islam. Pasca peperangan Malaysia pada ketika tu membantu dengan menghantar tentera pengaman di bawah United Nation. 

Kami bermalam di Hotel Rekic, di bilik hotel ini ada sofa bed, jadi dapatlah kami tidur dengan selesa. Apapun ada masalah juga pada pintu bilik, dah puas dicuba tetapi pintunya tak boleh dikunci. Disebabkan malas nak tukar bilik kami stay sahaja dengan menyendal pintu dengan beg besar semasa tidur. Paginya kami bersarapan mana yang meyakinkan sahaja kerana tiada jaminan halal walaupun dah berada di Bosnia. Walaupun ramai yang Islam namun ia bukanlah seperti di Malaysia, ada pihak berkuasa yang memantau status halal hotel-hotel.

Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Jacje. Di sini kami singgah di sebuah tasik  yang ada kesan peninggalan kincir air lama Mlinčići. Terdapat berpuluh kincir air dibina mengisar hasil tanaman sekitar 400 tahun dahulu. Kincir air ini dibina sekali dengan rumah kecil, dengan jambatan kayu yang menghubungkan antara setiap kincir air. Walaupun ia dibina di atas tasik, air yang melalui bawah kincir deras juga. Mungkin terdapat takung besar tasik di atas dan dilepaskan air masuk ke bawah dan melalui kincir air ini. Rumah-rumah kecil ini dilihat seperti tempat tinggal orang kerdil (seperti hobbit). Sangat mendamaikan apabila dapat berjalan sekitar tasik, melihat itik berenang di air dan menaiki jambatan kayu yang menghubungi antara tiap rumah kincir (hati-hati kerana ada tempat yang licin). Boleh lihat gambarnya di bawah pada gambar ke 2 hingga ke 4. 

Begitu ralit ahli rombongan mengambil gambar di sini sampaikan tour guide terpaksa menjerit-jerit memanggil supaya dapat kami meneruskan perjalanan. Mungkin ada yang teringin nak tinggal di sini agaknya. Kami menelusuri kawasan berbukit menuju ibu negara Bosnia iaitu Sarajevo. Dalam perjalanan kami dapat lihat banyak kampung-kampung di sepanjang perjalanan, diceritakan kebanyakan rumah-rumah ini tiada penghuni kerana ramai orang muda mingrate ke negara Eropah lain yang lebih maju untuk bekerja. Berkemungkinan juga rumah-rumah itu hanya sebagai rumah singgah yang dibeli orang-orang kaya untuk tujuan travel.

Dalam perjalanan ke Sarajevo kami singgah di Masjid Malaysia. Ini adalah satu kejutan yang tidak diberitahu dahulu oleh tour guide. Macam tak percaya ada masjid yang diberi nama Džamija Malezija (Masjid Malaysia) di sini. Disebabkan perut dah lapar eloklah kita makan dahulu sebab dah nampak Cafe Malaysia pula di tepi masjid ini. Kami dihidangkan dengan starter sup telur macam ada campur maggi yang hancur halus. Memang kegemaran akulah sup-sup ini, kemudian main dishnya adalah roti dengan daging mince di dalamnya, terus terlintas roti murtabak huhuhu. Rasanya seakan murtabak cuma lebih keras dan kering. Kemudian kami masuk ke masjid untuk solat jamak dan qasar. Lega dapat ke toilet yang ada air dan percuma. Masjidnya luas dan selesa, diluarnya ada plak yang tertera nama Dr Mahathir. Bangga jugalah kerana ada bukti jelas sumbangan rakyat dan kerajaan Malaysia dalam membantu Bosnia. 

Panjang pula jadi catatan ini, akhirnya sampai juga kami ke Sarajevo. Sebelum tiba di Sarajevo ketika melalui jalan yang ada apartment di kiri kanan jelas masih ada kesan peperangan yang tidak dibaiki. Kesan peluru pada dinding bangunan masih ada kelihatan. Sambil-sambil tu tour guide mendendangkan satu lagu tempatan. Sedap juga suaranya. Sarajevo sebenarnya bukanlah satu bandar yang maju sangat, pada tahun 1984 Sarajevo terpilih untuk menganjurkan sukan Winter Olympic. Disebabkan hotel tidak mencukupi rakyat Sarajevo bersedia menumpangkan pengunjung di rumah mereka, sehingga kini mereka sangat berbangga dengan penganjuran itu sampaikan pada fridge magnet atau key-chain cenderamata masih boleh didapati maskot Winter Olympic 1984 dijual. 

Pusat bandar Sarajevo yang menjadi tumpuan pelancong agak unik kerana bandarnya seperti terpecah kepada dua, satu bahagian adalah bandar lama dan sebelah lagi bandar baru dan moden. Bangunannya berbeza binaan dan ada batas antaranya. Kami diterangkan tentang di mana hotel pertama di Sarajevo, diceritakan penghuni dilayan seperti tetamu selama 3 hari tanpa perlu membayar hotel dan makan. Sarajevo menjadi tempat persinggahan yang menghubungkan laluan keretapi dari Eropah dan Asia (Turki). Lama kami mundar mandir di Sarajevo, sempat juga solat Maghrib dan Isya di sebuah masjid lama sayangnya tak boleh masuk ke dalam hanya solat di bahagian luar dalam kesejukan. Kami makan malam di sebuah restoran yang menyesiakan daging hancur yang dikepal kemudian dibakar. Macam biasa aku makan sampai habis sedangkan ramai juga yang tak berjaya menghabiskan makanan.         

Isnin, Februari 10, 2025

Travelog Ljubljana (Slovenia) dan Zegreb (Croatia)

Assalamulaikum dan selamat pagi. Pagi ni cuba untuk sambung sedikit catatan bagi siri travelog Balkan 2025. Setelah selesai di Italy kami meneruskan perjalanan menaiki bas menuju ke Ibu Negara Slovenia iaitu Ljubljana, sebutannya Jubjana. Memasuki Slovenia bermakna kami telah mula masuk ke negara-negara balkan. Slovenia merupakan sebahagian Yugoslavia pada masa dahulu, ia merupakan negara yang lebih maju berbanding negara Balkan lain, ini menjadikan bandar-bandar di Slovenia menjadi tempat mencari rezeki bagi negara sekitarnya. Slovenia menggunakan mata wang Euro. 

Kami tiba di Ljubljana dalam pukul 4.20PM, cuacaanya hampir sama seperti di Italy iaitu hujan renyai-renyai. Aku yang berjeket kain cotton agak susah sedikitlah, next time kalau ke tempat yang bermusim winter kena consider jaket yang water-prove. Selain itu boleh juga bawa atau beli payung. Kami berkumpul di Prešeren Square. Walaupun square tetapi tempat ni sebenarnya bulat! Di sini kami berpisah dengan kumpulan lain dan mula menuju kawasan sekitar. Di antara tarikan di Ljubljana ialah Dragon Bridge, jambatan ini bukan sahaja penting tetapi bersejarah dan menjadi ikon kepada bandar Ljubljana. Di kedua belah jambatan ini terdapat patung dragon berwarna hijau mungkin kesan dari patina. 

Setelah bergambar di sekitar bandar kami terus berjalan menuju kedai makan. Menu pada malam itu ialah nasi, berketul-ketul ayam dan salad. Ala-ala macam nasi ayam kunyit yang ada di pasar malam tapi tak ada rasa sangat. Apapun berjaya juga aku menghabiskannya walaupun potionnya besar. Mana yang tak habis kami tapau untuk buat makan waktu sarapan, kerana bersarapan di hotel biasanya banyak tak boleh makan. Seterusnya kami teruskan perjalanan sampai ke Zegreb (Croatia) dan bermalam di Hotel Europa Zegreb. 

Keesokan paginya kami ke pusat bandar Zegreb di Zagreb Glavni Kolod Train Station. Ia merupakan sebuah bangunan lama yang jamnya telah mati akibat gempa bumi. Ketikanya jam besar itu mati, ia dibiarkan sebegitu sahaja sebagai mengingati peristiwa gempa bumi. Di Zagreb ada disediakan tour guide orang tempatan. Dapatlah info dari orang tempatan. Kami menaiki tram menuju ke sebuah dataran di mana ada sebuah tugu pejuang mereka. Kami dibawa ke sebuah gereja lama yang telah rosak akibat gempa bumi dan kami dilepaskan bebas setelah itu untuk meneroka sendiri pusat bandar Zegreb. 

Jalan punya jalan ntan macam mana masuk ke kawasan pasar mereka yang ada jual pelbagai jenis babi, adoi jenuh menahan tekak dan hidung. Selepas itu kami beli buah dan berjalan ke arah lain pula. Sekali terjumpa Zara. Aku teringat yang aku pernah beli baju kerja Zara semasa di Madrid dahulu, kemudian aku pun usha-ushalah kat tempat lelaki sekali memang beruntung sekali sebab di bahagian yang ada sale ada baju yang sesuai. Aku jenis tak cerewet sangat dan aku pun belilah dengan cepat baju kerja dengan harga 10 Euro. Kalau kat Malaysia mana nak dapat harga macam ni. Kebetulan pula hari ni aku sedang pakai baju ni ke tempat kerja. Huhuhu pandai betul setting masa untuk merasmikan baju baru. 

Selesai di situ kami ke sebuah pasaraya untuk makan, apa pun masih banyak masa untuk pusing-pusing mall sebelum makan, menu tengah hari tu ialah kebab wrap. Sedap betul sebab banyak salad jadi cukup juicy. Setelah makan kami ke sebuah masjid atau dinamakan community center. Seronok betul dapat tengok masjid, masjid ini agak unik binaannya, kerana sepanjang trip ini ada banyak jumpa masjid dan kebanyakan masjid ialah masjid yang dibina di zaman Uthmaniyah, jadi senibina turkey itu cukup menonjol, masjid di Zegreb itu tidak begitu, kubahnya berbentuk seperti biji rambutan dan dibuat seperti terbelah. Untuk masuk ke ruang solat kami diarahkan untuk memakai stokin untuk menjaga kebersihan masjid. Dapatlah merasa solat dengan sempurna ketika dalam perjalanan. Semasa di Italy kami solat dalam bas. Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke sebuah negara Islam iaitu Bosnia. Nantikan catatannya insyaAllah.          

Isnin, Februari 03, 2025

Travelog Milan, Lake Garda Dan Venice (Italy)

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali untuk catatan pengembaraan 9 negara. Hari ni masuk kerja setelah 2 minggu bercuti, kepenatan masih terasa dan masih terasa di awang-awangan. Pengembaraan ini merupakan pengembaraan ekspres, dalam masa 11 hari kami menjelajah 9 buah negara. Rasanya memang selling point trip ini ialah bilangan negara tu. Apapun trip ini hanya tumpu pada tempat-tempat top pelancong. Kami tiba di Milan dalam pukul 7 malam, keluar dari Milano Malpensa Airport terus angin sejuk menyapa kulit. Masing-masing baru nak melengkapkan pakaian sejuk seperti jeket, beanie dan sarung tangan. Lega bas tidak jauh dan kami terus bergerak ke Restoran Malpensa Turkish Kebab untuk makan malam.

Seperti biasa aku sentiasa bersemangat makan berbanding orang lain, dari dalam flight pergi sampai ke flight balik biasanya aku akan makan habis, potionnya selalu besar dan kadangkala tambah pula makanan orang yang tak habis. Sudahnya malam tadi timbang berat tengok-tengok naik 2 kg huhuhu. Marilah memperbanyakkan puasa di blan Sya'ban, nabi saw paling banyak puasa pada bulan Sya'ban selain sebulan Ramadan. Awal-awal dah pekena shawarma kebab dan roti, ramai yang kurang semangat untuk makan kerana kepenatan dalam flight dan kalau ikutkan waktu Malaysia dah awal pagi tu. Setelah makan malam kami ke hotel untuk tidur. Aku yang jarang sekali ikut trip macam ni baru nak faham aturannya. Hotel hanya untuk tidur dan sarapan pagi, beg kena angkut sepanjang perjalanan kerana tidak akan kembali ke tempat yang sama.

Keesokannya paginya kami ke tengah bandar Milan iaitu di sekitar Piazza del Duomo, kebanyakan bandar di Eropah akan ada square sebagai pusat atau landmark bandar dan bagi Milan inilah tempatnya. Bersebelahannya terdapat Duomo di Milano iaitu sebuah cathedral gothic lama. Bersebelahannya juga ada Galleria Vittorio Emanuele II, sebuah tempat beli belah terbesar dan juga ada muzium seni di dalamnya. Puan isteri terus teruja dan sempat membeli beg galas jenama Longchamp di situ. Nah, baru sampai dah shopping. Selesai shopping dan cuci mata kami ke luar untuk bergambar dan mencari kopi. 

Jauh sikit berjalan baru dapat jumpa kedai kopi Caffè Napoli Giardino dan fuh berbaloi betul, hot chocolate dengan cream di atasnya memang ngam betul dengan cuaca yang sejuk. Setelah itu kami lunch dan meneruskan perjalanan ke Tasik Garda (Lago de Garda). Tasik ini merupakan tasik yang terbesar di Itali dan kami sampai ke satu kubu lama melalui satu semenanjung yang sempit. Semenanjung ini memanjang ke tengah tasik, jadi seolah seperti berada di sebuah pulau kecil. Tempatnya sangat menenangkan bagaimana pun agak menghairankan kerana kebanyakan kedai tidak buka. Mungkin kawasan ini menjadi tumpuan pada musim panas. Kami diberitahu di sini adalah tempat dengan nilai rumah paling tinggi di Italy dan antara yang paling tinggi di dunia.

Kami meneruskan perjalanan ke Venice dan bermalam di Hotel Mondial. Oh lupa nak bagitahu dalam trip ini ada 3 group, satu group 10 orang, ada group 5 orang dan ada group 2 orang. Kemudian ada tour leader orang Malaysia, seorang leader orang Macedonia dan driver. Kami yang berlima itu ialah aku, isteri, anak aku Eryna, kakak ipar dan suaminya. Mulanya tour leader offer untuk Eryna duduk sebilik dengannya supaya lebih selesa, dan untuk dua malam memang Eryna sebilik dengannya. Lepas tu Eryna sakit kaki dan mula stay dengan kami, berhimpit sedikit kadang tu tapi mana yang boleh adjust bilik triple leader akan cuba dapatkan. Alhamdulillah ada juga sesama group yang faham dan offer untuk tukar bilik jika ada yang dapat bilik dengan katil lebih. Untuk Hotel Mondial ni ada satu yang pelik bila masuk ke bilik, biliknya sedang dibaiki di bahagian almarinya. Bagaimana pun katil, bilik air semua bersih dan ok. Mulanya terfikir juga nak minta tukar bilik tetapi tak jadi sebab dan penat sangat dan taklah teruk sangat masalahnya tu. Mungkin dia tak sempat nak siapkan sebelum kami sampai.  

Keesokan paginya kami ke Venice, tempat yang paling top untuk pelancong yang datang ke Italy dan yang paling kena join ialah menelusuri Venice dengan gondola air (macam sampan). Naik gondola ni merupakan optional aktiviti, kalau nak naik kena bayar tambahan 50 Euro seorang. Mahal jugakan, tapi sebab first time dan ada yang pernah sampai tetapi tak dapat naik kerana banjir. Bila berpeluang, telan air liur dan bayar sahaja. Pengalaman yang menarik dapat menelusuri Venice dengan sampai yang dikayuh dengan pendayung. Yang bestnya sampannya cantik, dan pendayungnya orang putih. Baru dia tahu siapa tuan sekarang hahaha.

Selesai aktiviti dengan gondola air, kami bersiar-siar di Kota Venice, kami dibekalkan dengan pizza untuk makan tengah hari dan kami pun keluar dari Venice untuk meneruskan perjalanan.