Ahad, Julai 13, 2025

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 13/40 (Ayat 104-112)

Ruku' ke 13 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah ini menceritakan tentang beberapa perkara, antaranya; adab kepada Nabi Allah, pemansuhan ayat al-Quran, Kedengkian Yahudi dan Nasrani, serta dakwaan palsu Yahudi dan Nasrani untuk mewarisi syurga.

Ayat 104

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقولوا رٰعِنَا وَقولُوا انظُرنا وَاسمَعوا ۗ وَلِلڪَـٰفِرِينَ عَذابٌ أَليمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

  1. Jika ayat-ayat sebelum ini banyak menyentuh tentang perangai orang Yahudi kali ini kita masuk kepada ayat yang menegur kaum muslimin yang hadir dalam majlis bersama nabi saw. Allah melarang menggunakan perkataan raa'ina untuk menarik perhatian nabi saw kerana perkataan yang sama digunakan Yahudi Bani Israil untuk menghina nabi. Selain itu perkataan itu juga bermaksud awasilah kami atau jagalah kami yang lebih sesuai ditujukan kepada Allah.

  2. Allah menjaga nabi saw dengan menutup jalan-jalan yang digunakan musuh untuk menghina nabi Muhammad saw. Selain dari melarang Allah meminta ganti perkataan raaina kepada unzurna yang membawa maksud yang sama iaitu berilah perhataian kepada kami. Para sahabat yang sedang menadah ilmu pasti ada soalan yang ingin diajukan kepada nabi dan dengan perintah ini para sahabat gunakan perkataan unzurna. Selain itu Allah perintahkan mereka supaya sami'na iaitu dengar dengan baik.

  3. Menuntut ilmu memerlukan penuntutnya berdisplin, ilmu bukan sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ayat ini mengajarkan kepada kita perlunya interaksi antara pengajar dan orang yang belajar, jika ada yang tidak difahami maka perlu ada ruang untuk bertanya kepada yang berilmu. Mengajar bukan sahaja menyampaikan tetapi juga perlu memastikan pelajarnya faham sepenuhnya, ditekankan juga kepada yang belajar supaya dengar baik-baik dan beri fokus atas ilmu.

  4. Teguran ini bukan teguran yang biasa-biasa, terdapat ancaman kepada yang ingkar dengan arahan ini iaitu azab siksa yang pedih. Apabila adanya larangan dari Allah maka perlulah kita patuh sepenuhnya dan tidak berdolak dalik menggunakan akal dan nafsu kita. Walaupun maksud perkataan itu sama sahaja dalam bahasa Arab tetapi apabila ada larangan maka hendaklah kita patuh sahaja. Jangan sampai pengingkaran itu menyebabkan kita diseksa dengan azab yang pedih.

Ayat 105

مّا يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَلَا المُشرِكينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم ۗ وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

  1. Ayat ini adalah teguran Allah kepada para sahabat nabi saw ketika di Madinah. Para sahabat di Madinah terlalu bersangka baik dengan Yahudi, ialah mereka telah tinggal lama bersama mereka di Madinah, bersosial dan berjual beli bersama mereka. Mereka juga merupakan orang beragama dan berkitab. Yahudi yang dilihat baik tidak semestinya akan selamanya baik. Hakikatnya mereka tidak suka jika umat Islam mendapat kebaikan kerana sifat dengki dalam diri mereka.

  2. Bukan semua ahli kitab memusuhi Islam, Allah masih lagi menggelar mereka sebagai alhi kitab. Yang perlu berhati-hati ialah yang kafir dikalangan mereka. Kafir di sini bermaksud mereka yang telah tahu kebenaran Islam tetapi tetap tidak mahu menerimanya. Golongan kedua yang Allah mahu para sahabar berhati-hati ialah kaum musyrikin seperti musyrikin Mekah. Mereka yang yang pertama menentang Islam sehinggakan nabi saw dan sahabat berhijrah ke Madinah.

  3. Kedengkian utama Yahudi Madinah ialah diutusnya nabi akhir zaman bukan dari kalangan kaum mereka, mereka juga dengki bangsa arab diturunkan kitab Al-Quran. Allah memberikan kebaikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Ada di kalangan sahabat yang asalnya dari suku yang hina dan dipandang rendah oleh masyarakat tetapi diangkat mereka menjadi mulia dengan Islam. Mereka menerima kebenaran di atas kefahaman yang benar seperti yang diajarkan nabi saw.

Ayat 106

ما نَنسَخ مِن ءَايَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِّنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ


Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

  1. Ayat ini menempelak orang Yahudi yang cuba memperolokkan Islam, mereka mempersoalkan agama apa ini yang membatalkan kitab mereka (Taurat) seolah-olah Allah tidak konsisten dan berubah-ubah syariatnya. Pendapat kedua ialah berkenaan adanya ayat Al-Quran yang dimansukhkan seperti ayat wasiat kepada ibu-bapa dan waris, ayat berkenaan arak dan beberapa ayat lagi. Terdapat khilaf dalam bilangan ayat yang mansukhkan dalam Al-Quran.

  2. Sebenarnya yang dimansukhkan itu bukan dihapuskan terus, ia sebenarnya relevan pada ketika ianya diturunkan dan kemudian Allah ganti dengan aturan yang lebih baik sesuai dengan perkembangan Islam dan peradaban manusia. Bukan semua ayat dalam Taurat dimansukhkan, ada ayat yang apabila sama dengan Al-Quran kita wajib beriman padanya contohnya ayat penciptaan langit dan bumi dalam 6 masa.

  3. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa "Aayah" yang dimansukhkan itu ialah tanda atau mukjizat para nabi as. Kesemua mukjizat para nabi telah dimansukhkan dan tiada siapa boleh melakukan seperti mukjizat para nabi terdahulu lagi. Mukjizat-mukjizat ini diganti dengan mukjizat yang lebih baik iaitu Al-Quran. Ia adalah bukti atau mukjizat yang kekal dan dijamin dipelihara sampai ke akhir zaman.

  4. Orang Yahudi lebih gemar mencari kesalahan dalam Al-Quran berbanding mencari kebenaran. Ada sahaja hukum yang kekal dari Taurat dan dibenarkan dalam ajaran Islam contohnya hukum berkaitan qisas dan hukuman rejam, kedua-dua hukum ini kekal tetap ada. Dalam kalangan orang Islam pula ada yang cuba memandai-mandai mahu membatalkan hukum contohnya jihad. Ada yang mengatakan jihad perang telah tiada dan diganti dengan jihad melawan nafsu dan jihad ekomoni sahaja.

Ayat 107

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

  1. Ayat ini adalah sambungan kepada pemansuhan ayat-ayat dari kitab terdahulu setelah turunnya Al-Quran. Pemansuhan kitab terdahulu dipertikaikan ahli kitab Yahudi dan Nasrani kerana menganggap Allah tidak konsisten sedangkan Allah lebih mengetahui malah maha mengetahui segala yang di langit dan di bumi. Syariat Islam telah lengkap melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Syariat terdahulu tidak lagi boleh dipakai dan syariat (cara beragama) baru setelah Al-Quran adalah tertolak.

  2. Tiada makhluk yang boleh menentukan syariat atau membatalkan syariat. Apa yang telah Allah tetapkan tidak boleh dipertikaikan sampailah ke akir zaman. Jika masih ada yang mahu pertikaikannya tiada siapa yang dapat menyelamatkan seseorang itu dari diazab di hari akhirat. Ada juga di kalangan ahli kitab yang tidak mahu masuk Islam kerana takut kedudukan mereka tidak lagi dilindungi, takut dipulaukan, takut susah, takut hilang harta dan kedudukan walhal Allahlah sebaik-baik pelindung kepada orang yang menerima Islam.

  3. Allah bukan sahaja memberi jaminan perlindungan tetapi juga jaminan sebagai penolong sama ada di dunia atau di akhirat. Jika di dunia mungkin kita masih boleh meminta perlindungan atau pertolongan manusia tetapi di hari akhirat tiada lagi penolong selain Allah. Allah sentiasa menolong orang yang masuk Islam. Seseorang itu perlu sentiasa bertawakkal kepada Allah, serahkan semua urusan kepada Allah dan setelah itu tiada lagi gundah di dalam kehidupan kerana kita tahu Allahlah yang terbaik dalam menetapkan sesuatu itu pada kita.

Ayat 108

أَمْ تُرِيدُونَ أَن تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِن قَبْلُ ۗ وَمَن يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِالْإِيمَانِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus.

  1. Di antara sikap Yahudi ialah mereka gemar bertanya perkara yang tidak perlu, mereka juga gemar meminta sesuatu yang tujuannya hanya nak menyakitkan hati nabi Muhammad saw. Antaranya mereka meminta Al-Quran yang telah lengkap sedangkan Al-Quran turun beransur-ansur selama 23 tahun. Mereka sebenarnya nak menunjukkan Taurat lebih mulia kerana Taurat turus sekali gus. Penurunannya pula disaksikan sebahagian dari bani Israil di Bukit Tursina. Sebenarnya mereka hanya mempertikaikan Allah.

  2. Ayat ini juga adalah peringatan kepada para sahabat dan kita semua supaya tidak bertanyakan perkara yang tidak perlu. Ia selari dengan ayat 101 dari surah Al-Maidah; "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu." Di dalam hadits ada juga larangan nabi saw supaya para sahabat tidak bertanyakan perkara yang belum ditetapkan hukumnya. Ini semua hanya akan menyusahkan diri sahaja.

  3. Di antara persoalan para sahabat yang mencetus kemarahan nabi saw ialah soalan yang menanyakan siapa bapa mereka. Konteksnya ialah ketika di zaman jahiliah banyak berlaku zina dan kerap terjadi seorang anak itu tidak tahu siapa bapanya yang sebenar dan persoalan ini ditanyakan kepada nabi saw. Ini adalah soalan yang tidak patut ditanya dan tiada faedahnya lagi. Para sahabat diingatkan supaya tidak mengikut perangai Yahudi yang suka bertanyakan perkara yang tidak patut.

  4. Apapun bukanlah kita langsung tidak boleh bertanya, seeloknya sebelum kita bertanya hendaklah kita belajar dahulu sesuatu perkara itu. Baca dahulu perbahasan para ilmuan sebelum kita bertanya kepada ustaz. Dalam surah An-Nahl ayat 43 Allah berfirman; "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." Ada juga hadith nabi saw; "Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit). (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)".

Ayat 109

وَدَّ كَثيرٌ مِّن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ لَو يَرُدّونَكُم مِّن بَعدِ إِيمَـٰنِكُم كُفّارًا حَسَدًا مِّن عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الحَقُّ ۖ فَاعفوا وَاصفَحوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

  1. Dalam ayat sebelum ini diterangkan betapa orang kafir telah menolak keimanan dengan meminta yang bukan-bukan hanya sebagai alasan untuk menolak kebenaran, ayat ini pula lebih teruk lagi diterangkan tentang perangai mereka yang sebenar iaitu mereka sangat suka jika orang Islam kembali kepada kekufuran. Pelbagai kesangsian akan disebut kepada orang Islam dan usaha ini sentiasa berterusan hingga umat Islam menjadi sesat dan lemah. Mereka menjalankan kerja-kerja syaitan.

  2. Salah satu cara yang dilakukan oleh orang kafir ialah menjauhkan orang Islam dengan Al-Quran sehingga ramai yang tidak faham Al-Quran, jika mereka tidak berjaya memurtadkan orang Islam secara zahir mereka akan cuba mengajak supaya orang Islam meninggalkan ketaatan dalam ibadah seperti solat, puasa, umrah, haji dan sebagainya. Mereka sentiasa menimbulkan kesangsian dalam beragama jadi mereka yang kurang ilmu agamanya akan mudah ditipu dan disibukkan dengan perkara keduniaan sahaja.

  3. Dalam surah Fussllat ayat 26 Allah berfirman; "Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Qur’an ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (menghalang mereka dari baca Al-Qur’an)!”" Orang kafir akan sentiasa cuba melalaikan orang Islam dengan filem, muzik dan nyanyian, game, sukan dan macam-macam lagi. Perkara yang haram seperti musik telah dinormal dalam kehidupan seorang muslim.

  4. Orang Yahudi memilih kekafiran sebagai cara hidup mereka bukan kerana mereka jahil bahkan mereka banyak mengkaji Al-Quran untuk melemahkan umat Islam. Mereka memilih kekafiran kerana degil. Mereka sangat tahu punca kepada kebenaran ialah Al-Quran dan sebab itulah mereka akan sedaya upaya menjauhkan umat Islam dengan Al-Quran. Dalam ayat ini Allah perintahkan umat Islam memaafkan mereka, ini sebenarnya bukan memaafkan kesalahan tetapi sudah memang sebegitu perangai mereka yang degil dan biarkan sahaja mereka.

  5. Allah menyuruh kita membiarkan kedegilan mereka itu, kerakusan mereka itu, kekejaman mereka itu hinggalah datang ketentuan dari Allah. Sebagai mana Yahudi diusir dari Madinah sampai satu masa mereka juga akan diusir dan dikalahkan dengan penuh penghinaan. Kemenangan mutlak hanya akan diberikan kepada pejuang yang bertauhid dengan tauhid yang benar, beriman dengan sempurna dan bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa. Mereka berjuang bukan kerana negara atau bangsa tetapi kerana agama Islam yang murni.

Ayat 110

وَأَقيمُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّڪَوٰةَ‌ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِّن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

  1. Ayat ini menjawab shubhat orang kafir dari ayat sebelumnya. Orang kafir bukan sahaja menolak kebenaran tetapi juga sentiasa berusaha menyesatkan orang Islam. Bukan semua kejahatan mereka perlu dibalas dengan kejahatan. Allah mengajarkan dua ibadah besar dalam ayat ini iaitu solat dan zakat. Solat menjaga hubungan dengan Allah manakala zakat menjaga hubungan sesama manusia. Kedua amalan ini akan dibalas dengan balasan yang berkali ganda di akhirat kelak. Solat perlu dijaga mengikut sifat solat nabi saw sahaja.

  2. Ketika di Mekah, komuniti Islam masih kecil. Mereka ditindas dah Allah mengajarkan solat. Mereka solat sembunyi-sembunyi di rumah Arqam ra kerana tidak dibenarkan solat di Kaabah. Syariat solat dan zakat ketika itu masih belum ada dan ada pendapat mengatakan di peringkat awal solat adalah mengikut syariat nabi Ibrahim tanpa ada kesyirikan di dalamnya. Allah mahu kita supaya kuatkan iman dahulu sebelum melawan musuh yang berkuasa dan lebih ramai ketika itu. Nabi saw diperintahkan solat malam dalam surah Muzammil ayat 1-3.

  3. Allah memerintahkan zakat supaya menjaga hubungan sesama orang Islam. Tanpa hubungan yang kukuh umat Islam tidak akan dapat mengalahkan musuh. Setelah kita belajar sifat solat nabi saw, kita kena belajar pula fiqh zakat. Masih ramai yang buat-buat tak tahu dengan perintah mengeluarkan zakat hingga ada yang beranggapan zakat telah selesai setelah dibayar zakat fitrah di bulan Ramadan. Setelah solat dan zakat disebut juga amal kebaikan secara umum. Apa sahaja kebaikan akan menjadi bekal di akhirat kelak.

  4. Dalam surah Al-An'am ayat 160; " Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun)." Allah sentisa melihat apa yang kita lakukan, maksudnya kebaikan yang dilakukan pasti akan dibalas. Dalam hadits ada disebut antara kebaikan yang mudah dibuat ialah senyum, jangan meremehkan senyum dalam kebidupan.

Ayat 111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

  1. Bagi ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani selain dari agama mereka semuanya akan masuk neraka, sebenarnya bagi Yahudi hanya mereka yang masuk syurga dan bagi Nasrani hanya mereka yang akan masuk syurga tetapi apabila berlawan dengan orang Islam mereka berpakat menetapkan selain dari mereka akan masuk neraka. Semua ini hanya angan-angan mereka sahaja. Inilah antara dakwah mereka kepada orang Islam supaya keluar murtad dari agama. Mereka mengatakan nabi Isa telah berkorban dan menanggung dosa pengikutnya.

  2. Dalam kalangan orang Islam pula ada yang masih ragu-ragu tentang adakah semua orang kafir akan masuk neraka bahkan ada yang mendoakan mereka masuk syurga pula apa dengar kematian mereka dengan mengucapkan RIP. Walhal hanya Islam sahaja agama yang diredhai Allah. Apapun Islam mengajarkan beradab, jangan pula kita katakan mereka akan masuk neraka bila mengucap takziah kepada mereka. Cukup kita tujukkan simpati kita dah kita tidak boleh berpura-pura dalam urusan agama seperti taqiyyah orang Syiah.

  3. Ramai orang Islam keluar dari agama kerana budi pekerti pendakwah Nasrani, ada yang terpikat dengan cara dakwah dan bukan isi dakwah. Dalam kalangan pendakwah Islam pula ada yang gemar mengeluarkan orang Islam sendiri dari Islam dengan melebel kumpulan tertentu dengan perkataan yang tidak baik sedangkan mereka tiada hujah atau dalil untuk menguatkan dakyah mereka. Dalam ayat ini Allah mengajar kita untuk meminta dalil dalam urusan agama, dalam kalangan orang Islam ada pula yang marah-marah apabila diminta dalil sedangkan Allah sendiri menetapkan agama ini adalah agama dalil.

Ayat 112

بَلَىٰ مَن أَسلَمَ وَجهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحسِنٌ فَلَهُ ۥۤ أَجرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوفٌ عَلَيهِم وَلَا هُم يَحزَنُونَ

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

  1. Sangkaan Yahudi dan Nasrani hanya kelompok mereka sahaja yang akan masuk syurga sekali lagi dibantah, yang akan masuk syurga ialah siapa yang menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah. Perkataan Islam itu dari perkataan Istislam yang bermaksud berserah diri kepada Allah. Wajah digunakan sebagai mewakili semua anggota badan, wajah adalah anggota paling mulia dan emosi seseorang tergambar melalui wajahnya. Dengan wajah, kita merendahkan diri kita dalam sujud.

  2. Syarat kedua setelah berserah diri kepada Allah ialah ikhlas. Tidak boleh ada syirik tersembunyi dalam ibadah iaitu mengharapkan pujian manusia atau mengharapkan dipandang mulia sedangkan apa yang perlu kita harapkan ialah balasan dari Allah semata. Ihsan bermaksud mengetahui semua perbuatan kita sentiasa dilihat Allah dan kita beribadat seperti melihat Allah. Sifat muhsin; 1. Mendirikan solat malam dan 2. Beristighfar di waktu subuh (Al-Dzariayat 16-19).

  3. Setelah berserah diri sepernuhnya kepada Allah kemudian mengikhlaskan diri dengan sifat ihsan, syarat seterusnya dalam memastikan amalan kita diterima Allah ialah dengan mengikuti sunnah nabi saw. Amalan-amalan yang diajarkan oleh manusia lain adalah tidak berlandaskan wahyu, kita tidak boleh menganggap-anggap atau bersangka-sangka suatu amalan itu akan diterima melainkan adanya dalil dari Al-Quran dan Sunnah.

  4. Setelah lengkap syarat pemerimaan ibadah tiada lagi rasa takut kepada seseorang yang telah melaksanakannya. Apapun ujian musibah atau ujian kebahagiaan yang ditempuhinya diketahui semuanya adalah dari Allah, dia juga tidak takut disoal jika ditanya dari mana amalannya diambil adakah dari Al-Quran dan sunnah atau dari yang lain. Sifat orang mukmin sentiasa tenang, tiada yang terlalu merisaukannya begitu juga yang tiada yang terlalu menyedihkannya.

Tamat ruku' 13 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan