Khamis, Julai 02, 2026

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 25/40 (Ayat 197-210)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 25/40 (Ayat 197-210)

Ruku' 25 dari surah Al-Baqarah adalah berkisar tentang sekatan semasa menunaikan Haji, kemunafikan vs. keyakinan yang benar dan perintah untuk masuk Islam sepenuhnya.

Ayat 197

الحَجُّ أَشهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

  1. Dalam ayat ini ada larangan dan saranan ketika haji. Walaupun hari-hari penting haji hanya 6 hari iaitu bermula dari 8 hingga 13 Zulhijjah, tetapi umum mengetahui bahawa musim haji itu bermula dari bulan Syawal hingga habis Zulhijjah. Perkara ini telah maklum sebelum dari diutuskan Nabi ﷺ. Tiga bulan ini adalah 3 daripada 4 bulan haram, iaitu bulan yang dimuliakan. Tempoh 3 bulan ini menunjukkan kemuliaan ibadah haji dan pentingnya persediaan.

  2. Orang yang telah berniat mengerjakan haji perlu menahan diri daripada beberapa perkara. Perkara pertama ialah tidak dibenarkan berhubungan badan dengan isteri juga perkara-perkara yang berhubung dengannya. Perkara ini ada suatu yang berat kerana pada musim haji pelbagai bangsa berkumpul lelaki dan perempuan dengan tidak memakai penutup muka. Setelah larang berat itu, dilarang juga untuk tidak membunuh binatang dan juga dilarang memotong rambut dan kuku.

  3. Larangan seterusnya ialah memakai wangian, bagi lelaki pula dilarang memakai pakaian berjahit, menutup kepala dan muka. Larangan menutup muka juga adalah termasuk kepada perempuan. Larangan hubungan badan adalah larangan yang keras kerana ia boleh menyebabkan terbatalnya ihram manakala larangan lain boleh ditebus dengan membayar dam. Setelah itu orang yang mengerjakan haji juga perlu meninggalkan jidal iaitu berbantah-bantah di antara satu sama lain.

  4. Setelah disebutkan larangan semasa haji, disebutkan pula saranan ketika haji iaitu: 1. Berbuat baik dan Allah mengetahui semua perbuatan baik yang dilakukan. Tidak perlu seseorang itu menghebahkan perbuatan baiknya di kalangan manusia, 2. Berbekal dengan bekalan yang cukup iaitu dari segi kewangan, makanan, pakaian, terlebih dahulu sebenarnya kita perlulah memperbanyakkan ilmu tentang ibadah haji dan pastikan kita ikut cara haji Rasulullah ﷺ.

  5. Allah juga berpesan supaya bertaqwa iaitu mengikuti semua perintah dan meninggalkan semua larangan dalam haji, inilah sebaik-baik bekalan. Bekalan jasmani itu penting, tetapi yang lebih penting adalah bekalan rohani. Jika ziarah kubur mengingatkan kita tentang kematian, ibadah haji pula mengingatkan kita tentang hari kebangkitan. Hari ketika semua manusia dari yang pertama dan terakhir dibangkitkan, dikumpulkan dan akan dihitung amalan mereka masing-masing.

Ayat 198

لَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم ۚ فَإِذا أَفَضتُم مِّن عَرَفَـٰتٍ فَاذكُرُوا اللَّهَ عِندَ المَشعَرِ الحَرامِ ۖ وَاذكُروهُ كَما هَدَٮٰڪُم وَإِن كُنتُم مِّن قَبلِهِ لَمِنَ الضّالّينَ

Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

  1. Disebutkan tidak berdosa jika seseorang itu berniaga pada musim haji, termasuklah kepada orang yang sedang mengerjakan haji. Ini kerana berniaga sememangnya satu kelaziman bagi orang Arab ketika musim haji walaupun ketika Nabi ﷺ belum diangkat menjadi Rasul. Para sahabat yang memeluk Islam bimbang aktiviti berniaga itu bersalahan dengan ibadah haji dan Islam, kerana itu turunlah ayat ini. Berniaga dibenarkan, cuma jangan sampai ia menjadi tujuan utama.

  2. Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata; Ukazh, Majanah, Dzul Majaz adalah pasar-pasar yang ada pada masa jahiliyah. Mereka merasa takut berdosa bila berjualan pada musim haji. Maka turunlah ayat; bukanlah suatu dosa bagimu sekalian mencari kurnia daripada Rabb kalian. (Al-Baqarah 198). Iaitu pada musim haji. (Sahih Bukhari No. 4157). Ini adalah penjelasan tentang ayat ini dari hadis Nabi ﷺ. Para sahabat berhati-hati dengan amalan mereka.

  3. Diperkenalkan satu tempat dalam ibadah haji iaitu Arafah. Dikatakan asal nama ini daripada perkataan mengenal Allah. Di sini tempatnya manusia mengenal Allah. Ada juga pendapat yang mengatakan ia berasal dari ketika Jibril mengajarkan kepada Nabi Ibrahim as tentang ibadah haji. Apabila faham, Nabi Ibrahim akan menyebut Araf lalu menjadi Arafat. Disebut dalam bentuk jamak kerana menunjukkan keagungannya. Di sini adalah tempat agama Islam disempurnakan.

  4. Ketika di Arafah, Allah memerintahkan manusia supaya sentiasa mengingati Allah. Dianjurkan berdoa dari waktu Zohor hingga waktu Maghrib. Setelah itu, jemaah haji akan menggantikan lafaz talbiah dengan takbir Eid al-Adha. Jemaah haji akan bermalam di Muzdalifah sebelum mula melontar Jamrah Aqabah keesokan harinya. Ketika di Arafah, Nabi ﷺ solat Zohor dan Asar jamak dalam waktu Zohor, dan ketika di Muzdalifah, solat Maghrib dan Isyak dijamak dalam waktu Isyak.

Ayat 199

ثُمَّ أَفيضوا مِن حَيثُ أَفاضَ النّاسُ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Kemudian itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat

bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan

memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha

Mengasihani.

  1. Dalam ayat sebelum ini telah disebutkan tentang pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah dan dalam ayat ini diulang semula. Ini menunjukkan penekanan pentingnya Arafah dan Muzdalifah dalam ibadah haji. Ada juga satu isu lain berkaitan hal ini, iaitu di Zaman Jahiliah, para pengerja haji bangsa Arab enggan keluar dari Tanah Haram, iaitu ke Arafah. Mereka mengubah syariat ibadah haji yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Agama ini tidak boleh diubah sesuka hati.

  2. Tidaklah sah haji tanpa wukuf di Arafah. Dalam sebuah hadith, Nabi ﷺ menyebutkan bawahasanya Haji itu ialah Arafah. Kaum Quraisy Jahiliah merasakan mereka bangsa mulia kerana mereka adalah penjaga Kaabah. Mengikut perkiraan akal mereka, mereka tidak perlu ke Arafah yang berada di kawasan tanah halal dan kekal berada di Muzdalifah yang berada di Tanah Haram. Begitulah buruknya perangai mereka yang mengada-adakan perkara baharu dalam agama.

  3. Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, Suku Quraisy dan orang-orang yang memeluk agama mereka, biasa tinggal di Muzdalifah dan memanggil diri mereka sendiri dengan Al-Hums, sementara orang-orang Arab lainnya biasa tinggal di Arafah. Ketika Islam datang, Allah memerintahkan Nabi ﷺ untuk tinggal di sana (dengan waktu yang telah ditentukan) dan kemudian berangkat dari sana. Itulah yang dimaksudkan firman Allah; “Kemudian berangkatlah beramai-ramai dari tempat bertolaknya orang banyak“. (Al-Baqarah 199).

  4. Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, suku Quraisy dan orang-orang yang memeluk agama mereka biasa tinggal di Muzdalifah dan memanggil diri mereka sendiri dengan Al-Hums, sementara orang-orang Arab lainnya biasa tinggal di Arafah. Ketika Islam datang, Allah memerintahkan Nabi ﷺ untuk tinggal di sana (dengan waktu yang telah ditentukan) dan kemudian berangkat dari sana. Itulah yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam ayat 199 Al-Baqarah.

  5. Setelah keluar dari Arafah menuju Muzdalifah, Allah mengajarkan kita supaya mengucapkan Astafghfirullah untuk memohon keampunan dari Allah. Pertamanya, kepada para sahabat yang baru masuk Islam dah pernah mengerjakan haji tanpa berlandaskan syariat yang benar (pemahaman sendiri). Keduanya kepada semua para pengerja haji hingga ke akhir zaman. Ada yang salah memahami istighfar dengan menganggap istighfar disebut setelah melakukan kesalahan sahaja.

  6. Setelah beribadah, sememangnya kita dianjurkan beristighfar sepertimana Nabi ﷺ menunjukkan ketika selesai solat. Setelah memberi salam, baginda beristighfar dengan lafaz "Astaghfirullah" sebanyak 3 kali. Apa sahaja zikir yang ditunjukkan nabi ﷺ dan dikhususkan pada ketika tertentu, di tempat tertentu atau pada peristiwa tertentu, perlulah kita ikuti sebagaimana ia ditetapkan. Kita tidak boleh menetapkan zikir tertentu sesuka hati tanpa petunjuk nabi ﷺ.

Ayat 200

فَإِذا قَضَيتُم مَّنَـٰسِكَڪُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَذِكرِكُم ءَابَآءَڪُم أَو أَشَدَّ ذِكرًا ۗ فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلَـٰقٍ

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

  1. Ayat ini berkenaan anjuran mengingati Allah dan teguran kepada orang yang berdoa setelah mengerjakan haji. Ada kaedah tertentu dalam berdoa. Amalan berzikir bukan hanya dilakukan di dalam ibadah, bahkan ia juga dianjurkan dilakukan setelah ibadah. Allah menganjurkan kita untuk berzikir setelah solat dan Nabi ﷺ telah menunjukkan cara berzikir setelah solat. Kita hanya perlu mengikuti contoh dari Nabi ﷺ. Setelah selesai beribadah haji, kita juga perlu berzikir.

  2. Ada satu perangai yang tidak baik dilakukan oleh orang Arab Jahiliah setelah mereka mengerjakan haji. Mereka akan mengingati nenek moyang mereka yang telah tiada. Mereka berbangga dengan puak. Perbuatan ini adalah sia-sia. Orang yang telah pergi tidak dapat membantu mendekatkan diri kita kepada Allah. Allah mahu kita mengingati-Nya setelah mengerjakan haji. Tanah Haram adalah tempat yang mustajab untuk berdoa, dan jangan sia-siakan peluang berdoa di sana.

  3. Setelah itu, Allah menegur golongan tertentu yang berdoa meminta kebaikan dunia sahaja. Tidak ada langsung doa mereka yang mereka panjatkan kepada Allah untuk kebaikan di akhirat. Orang sebegini akan diberi kebaikan dunia tetapi tiada langsung kebaikan di akhirat yang akan mereka dapat. Kita boleh meminta hal dunia tetapi mintalah hal akhirat lebih banyak, dunia hanyalah sementara dan nasib kita di akhirat itu jauh lebih penting dari dunia ini.

Ayat 201

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

  1. Dalam ayat sebelum ini telah disebutkan perihal adanya orang yang hanya berdoa untuk urusan dunia sahaja tetapi tidak untuk urusan akhirat. Akhirnya, orang itu langsung tidak mendapat kebaikan di hari akhirat nanti. Dalam ayat ini diajarkan cara berdoa yang betul. Bukan semua perkara yang kita sangka baik itu adalah betul di sisi agama. Apa yang pasti betul adalah apa yang terkandung di dalam al-Quran dan apa yang Nabi ﷺ ajar dan mahu kita semua ikuti.

  2. Cara yang benar ialah dengan meminta kebaikan atau hasanah dalam urusan kita di dunia ini. Jangan kita sangka semua yang kita mahukan secara spesifik itu kebaikan buat kita tetapi apabila kita memohon kebaikan dari Allah dan dikabulkan sudah pasti ianya adalah kebaikan. Ulama menafsirkan beberapa maksud hasanah dan yang pertamanya adalah ilmu kefahaman Al-Quran dan hadits. Pastinya sekiranya kita faham keduanya merupakan kebaikan paling utama.

  3. Maksud kedua hasanah ialah pahala yang berpanjangan iaitu berpanjangan walaupun setelah kematian kita, dari hadith sumbernya ada 3 iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang soleh. Kemudian, setelah meminta kebaikan dari urusan dunia, kita minta pula kebaikan dari urusan akhirat. Kebaikan akhirat yang utama adalah syurga Allah. Kebaikan ini boleh diluaskan lagi kepada kebaikan ketika di dalam kubur, ketika dibangkitkan di mahsyar dan ketika hisab.

  4. Dalam masyarakat selalu terdengar ungkapan seperti 'kerja-kerja juga solat jangan lupa', bunyinya seperti baik, tetapi sebenarnya tidak benar. Sebenarnya kita perlu utamakan akhirat dalam seluruh kehidupan kita. Solat bukan perkara sampingan. Ada juga ungkapan 'dunia dan akhirat perlu seimbang'. Ini juga tidak benar kerana Allah mengabarkan sendiri bahawa akhirat itulah yang lebih utama dan kekal berbanding dunia dalam Surah Al-'Ala ayat 17.

  5. Setelah meminta kebaikan dalam urusan akhirat, kita minta pula diselamatkan dari azab api neraka. Walaupun kita telah berdoa untuk mendapat balasan syurga, kita juga perlu berdoa agar selamat dari bakaran api neraka. Bukan semua orang beriman yang masuk syurga akan masuk secara terus; ada juga yang kesalahannya perlu dibalas dahulu dengan api neraka sekiranya tidak bertaubat di dunia. Kita tak mahu langsung masuk neraka walau pun 1/1000 saat.

Ayat 202

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِّمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.

  1. Orang yang berdoa kepada Allah dengan memohon hanya kebaikan dari dunia dan hanya kebaikan dari akhirat serta berdoa supaya dijauhkan dari api neraka adalah termasuk dalam golongan yang betul cara berdoanya. Allah telah sebutkan ada yang tidak betul cara berdoanya dengan hanya meminta kebaikan dunia sahaja. Golongan ini sentiasa benar dalam cara ibadahnya apabila mencontohi apa yang Allah ajarkan. Doa ini adalah doa yang Nabi ﷺ sentiasa panjatkan kepada Allah.

  2. Hasanah dalam doa ini di antara maksudnya ialah Al-Quran dan hadith. Hendaklah kita sentiasa berdoa supaya kita faham al-Quran dan hadis, namun sebelum ini kita perlulah berusaha untuk memahaminya. Ilmu al-Quran dan hadis ini tiada penghujungnya sekiranya dipelajari, perlu sentiasa berdamping dengannya ada belajar tentangnya, fahaminya, tadabburinya dan beramal dengan segala isi kandungannya. Tidak cukup kita berdoa tanpa ada usaha yang gigih.

  3. Syarat diterima satu amalan itu mestilah seperti apa yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ. Tidak cukup kita khusyuk dalam beramal, namun ia bukanlah amalan yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ. Begitu juga, tidak cukup kita ikhlas dalam beramal; ia bukanlah amalan yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ. Perlu kita sentiasa belajar dahulu tentang suatu amalan supaya ia tepat seperti yang dianjurkan Nabi ﷺ. Boleh jadi amalan yang dilakukan tanpa ilmu adalah amalan bid'ah yang tercela.

Ayat 203

۞ وَاذكُرُوا اللَّهَ في أَيّامٍ مَّعدُودٰتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ في يَومَينِ فَلا إِثمَ عَلَيهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلا إِثمَ عَلَيهِ ۚ لِمَنِ اتَّقىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم إِلَيهِ تُحشَرونَ

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka dia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka dia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

  1. Hari yang telah ditentukan bilangan ini adalah hari-hari tasyrik, iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Pada 3 hari ini, orang yang berhaji sedang berada di Mina untuk ibadah melontar 3 jamrat. Allah mengingatkan supaya sentiasa mengingati Allah seperti membaca al-Quran pada masa itu kerana ketika itu ujiannya berat, orang terlalu ramai, pergerakan adalah terhad dan banyak sekali perkara yang boleh memesongkan fokus seseorang itu dalam beribadah.

  2. Hari tasyrik dinamakan tasyrik kerana pada tasyrik bermaksud hari menjemur daging korban. Setelah menyembelih, orang Arab akan menjemur daging pada 3 hari ini supaya daging dapat disimpan lama. Dari segi syariat pula, ia adalah hari yang dibolehkan untuk melakukan ibadah korban. Hari ini juga adalah hari makan dan minum kerana ia termasuk hari yang diharamkan berpuasa. Kaum muslimin dianjurkan memperbanyakkan bertakbir dan bertahmid memuji Allah.

  3. Nabi ﷺ bersabda: "Hari-hari tasyriq ialah hari makan dan juga minum serta berzikir kepada Allah." (Sahih Muslim No. 1141). "Jangan kalian melaksanakan ibadah puasa pada hari-hari ini (iaitu hari-hari Tasyriq) kerana ia hari makan dan minum." (Musnad Ahmad No. 821). Amalan melontar jamrat juga telah menjadi amalan sebelum kerasulan Nabi ﷺ. Orang Arab jahiliah saling menyalahkan orang yang pulang awal pada 12 dan yang pulang akhir iaitu pada 13 Zulhijjah.

  4. Kedua-duanya dibenarkan sama ada ingin pulang pada 12 Zulhijjah atau pada 13 Zulhijjah. Arab Jahiliah sesuka hati menetapkan yang itu berdosa atau yang ini berdosa tanpa adanya petunjuk yang benar. Yang pulang awal dinamakan dengan nafar awwal dan yang pulang pada 13 dinamakan dengan nafar thani. Keduanya dibenarkan kepada orang yang bertaqwa kepada Allah. Allah juga mengingatkan nanti kita akan dihimpunkan lagi di padang mahsyar untuk mengadap Allah.

Ayat 204

وَمِنَ النّاسِ مَن يُعجِبُكَ قَولُهُ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيُشهِدُ اللَّهَ عَلىٰ ما في قَلبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الخِصامِ

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

  1. Ada satu golongan yang Allah sebutkan dalam ayat ini, iaitu golongan yang suka menceritakan hal dunia. Golongan ini menceritakan semua yang indah-indah tentang dunia seolah-olah semua itu di dalam genggaman mereka. Seolah-olah mereka menguasainya atas kudrat mereka sendiri. Tutur kata mereka indah belaka tentang dunia dan mereka tidak menyebutkan tentang akhirat. Tutur kata mereka menjadi hiduran dan mempersonakan orang-orang yang mendengar.

  2. Dalam ayat sebelum ini ada golongan yang hanya berdoa untuk dunia dan sekarang disebutkan pula golongan yang hanya bercerita tentang dunia. Dalam berdoa kepada Allah, kita disuruh berdoakan untuk perkara akhirat lebih daripada kita berdoa untuk perkara dunia. Dalam bercakap dengan manusia, kita perlu juga bercakap tentang perkara akhirat. Ia lebih memberi manfaat kepada manusia. Golongan ini bijak berkata-kata sehingga ramai menjadi pendengarnya.

  3. Dalam kata-katanya tentang kehidupan dunia, golongan ini juga menyebut nama Allah dalam kata-kata mereka, malah mereka bersumpah dengan nama Allah. Sesuatu yang bunyinya baik belum tentu baik jika seseorang itu bertutur hanya hal-hal dunia. Jadi, hendaklah kita berhati-hati dengan golongan sebegini agar kita tidak terpaut dengan dunia. Golongan ini bercakap perkara baik tetapi hatinya ada muslihat lain. Golongan ini termasuk dalam kalangan golongan munafik.

Ayat 205

وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها وَيُهلِكَ الحَرثَ وَالنَّسلَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الفَسادَ

Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

  1. Ayat ini adalah sambungan kepada perihal orang yang pandai bercakap tentang hal dunia, hinggakan orang kebanyakan mudah terpengaruh dengannya. Setelah mempengaruhi manusia, orang berkenaan akan berusaha bersungguh-sungguh mencapai hajatnya yang menuruti hawa nafsu. Usahanya bukanlah usaha yang biasa-biasa, tetapi adalah usaha yang bersungguh-sungguh. Tujuannya hanyalah untuk keuntungan diri dan hasilnya hanya merosakkan kehidupan manusia.

  2. Kerosakan yang dilakukan terbahagi kepada kerosakan dari sudut aqidah di mana manusia hilang kebergantungan kepada Allah dan mencari penolong lain dalam setiap perkara. Urusan agama hanya dipakai apabila ia mendatangkan keuntungan kepada mereka dan mereka meninggalkan hukum agama jika ia merugikan mereka. Kerosakan kedua ialah kerosakan kepada alam ini. Usaha-usaha mereka banyak merosakkan ekosistem. Haiwan dan tumbuhan banyak yang mati kerananya.

  3. Kawasan hutan digondolkan sewenangnya, kawasan bukit ditarah sewenangnya dan kawasan laut ditambak untuk keuntungan. Perbuatan ini menyebabkan hilangnya keberkahan dalam kehidupan manusia. Ekosistem yang rosak menyebabkan bencana jerebu, banjir, kemarau berpanjangan, kurangnya hujan, serta banyak berlaku gempa bumi dan tanah runtuh. Larangan berbuat kerosakan ini adalah kerana ia merupakan perkara yang Allah tidak suka dan ada balasan untuk pelakunya nanti.

Ayat 206

وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتْهُ ٱلْعِزَّةُ بِٱلْإِثْمِ ۚ فَحَسْبُهُۥ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah dia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

  1. Dalam pada melakukan kerosakan ada yang berani menegur supaya takutlah kepada Allah. Menegur adalah satu perbuatan amal makruf dan nahi mungkar yang dituntut dalam Islam. Melakukannya perlu dengan hikmah dan pelakunya perlu melakukannya dengan berlandaskan agama. Tidak ramai yang berani menegur perbuatan jahat. Setelah ditegur, orang itu tetap dengan kerja jahatnya kerana kesombongan yang ada dalam dirinya. Terus-menerus dosa diraihnya dari perbuatannya itu.

  2. Apabila ada yang menegur perbuatan buruk kita, sebenarnya itu ada rahmat. Banyangkan jika kita terus-menerus melakukan kesalahan dan tiada yang menegur, pasti kita rasa kita melakukan perkara yang benar. Perangai tidak boleh menerima nasihat adalah perangai orang munafik. Ambillah sedikit masa untuk menilai perbuatan kita sama ada ia sesuai dengan tuntutan agama atau tidak. Golongan yang degil ini tempatnya telah ditentukan iaitu dalam neraka jahannam.

  3. Allah menekankan bahawa neraka adalah seburuk-buruk tempat kerana tiada lagi tempat yang lebih buruk daripada neraka. Kita perlu menghindari diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan yang buruk sehingga kita dibalas dengan neraka. Sesaat pun kita tak mahu berada di neraka. Hendaklah kita selalu bertaubat dari melakukan kesalahan-kesalahan, usahakan untuk keluar dari situasi yang memerangkap kita agar terus-menerus melakukan kesalahan, dan banyak belajar.

Ayat 207

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشري نَفسَهُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.

  1. Dalam ayat 204–206, disebutkan tentang golongan munafik, iaitu antaranya orang yang bicaranya hanyalah hal dunia sahaja, golongan yang mudah mempengaruhi manusia untuk tertipu dengan kata-katanya, golongan yang apabila ingin mendapatkan habuan dunia, maka dia akan bersungguh-sungguh melakukan kerosakan, dan golongan ini apabila dinasihati untuk bertaqwa kepada Allah, mereka akan bersikap sombong. Dalam ayat ini pula disebutkan golongan yang benar imannya.

  2. Golongan yang beriman ini ialah golongan yang sanggup menjual dirinya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tidak sama nilainya di sisi Allah antara orang yang bersusah payah berkorban untuk agama dan orang yang selalu memilih jalan senang dalam beragama. Golongan ini sanggup berperang di jalan Allah, malah sanggup membunuh atau terbunuh seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Taubah ayat 111. Inilah juga seperti yang disebutkan dalam kitab-kitab terdahulu.

  3. Golongan ini berkorban semata-mata untuk meraih keredhaan Allah kerana mereka tahu balasan bagi keredhaan Allah adalah syurga. Golongan ini takut kepada Allah melebihi takut mereka kepada perkara dunia, kepatuhan mereka kepada syariat Allah melebihi kepatuhan mereka kepada hal-hal dunia. Golongan ini bukan sekadar melakukan amal maaruf tetapi juga melakukan nahi mungkar. Golongan ini berani menyatakan kebenaran walaupun kepada orang-orang zalim.

Ayat 208

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ‌ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

  1. Ayat ini ditujukan kepada orang beriman sama ada yang telah lama beriman atau yang baru beriman. Hendaklah kita menerima semua suruhan dan larangan dalam agama dengan sempurna. Apa-apa yang mahu dikaitkan dengan agama perlu ada dalilnya dari Al-Quran dan Sunnah. Ada juga pendapat yang mengatakan sebenarnya orang kafir pun telah ada lintasan di fikiran mereka tentang agama yang benar, iaitu Islam. Bila-bila masa, mungkin mereka akan jadi orang beriman juga.

  2. Pengamalan Islam dengan sempurna mencakup menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Kita perlu beriman bahawa agama Islam ini telah lengkap, kerana itulah antaranya mengapa kita menyambut Eid Al-Adha pada setiap tahun. Sebarang tokok tambah dalam perkara agama perlu dihindari, malah ada ancaman nabi ﷺ tentangnya. Nabi ﷺ selalu mengingatkan pada permulaan ucapan supaya menolak perkara baharu dalam agama, kerana ia adalah tertolak dan sesat.

  3. Ayat ini juga mengancam kita daripada menuruti jelak syaitan di mana syaitan sentiasa menghasut dengan 7 strategi iaitu: 1. Mengajak melakukan kesyirkan, 2. Mengajak kepada perkara bid'ah, 3. Mengajak melakukan dosa besar dan maksiat, 4. Mengajak melakukan dosa kecil, 5. Menyibukkan manusia dengan perkara yang tidak mendatangkan pahala atau dosa, 6. Menyibukkan manusia dengan amalan kurang afdal berbanding yang utama dan 7. Memasukkan rasa was-was dan riyak.

  4. Allah menyebutkan bahawa syaitan adalah musuh yang nyata kerana nyata mereka hanya mahu menyesatkan manusia. Walaupun kita tak nampak mereka, tujuan mereka nyata. Dari sebaik-baik manusia hingga seburuk-buruk manusia, ada sahaja strategi syaitan untuk menyesatkan manusia dan mereka juga mahu manusia ini dimasukkan ke dalam api neraka. Bagi yang mempelajari al-Quran dan sunnah, kita dapat mengesan hasutan mereka kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.

Ayat 209

فَإِن زَلَلتُم مِّن بَعدِ ما جاءَتكُمُ ٱلبَيِّنَـٰتُ فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Kaum Muslimin tidak terlepas dari kesalahan. Kadang kesalahan disebabkan oleh kejahilan ilmu, namun ada juga kesalahan yang berlaku ketika mengetahuinya. Kesalahan boleh terjadi kerana hasutan syaitan atau kerana mengikut hawa nafsu. Kaum Muslimin perlu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk mereka supaya tidak tergolong dalam golongan yang tergelincir dari landasan yang benar. Tergelincir di dunia daripada pedoman bermaksud tergelincir di atas titian sirat.

  2. Dalam ayat ini disebutkan bahawa tergelincir di sini bukanlah disebabkan tidak tahu, tetapi tergelincir setelah mengetahui kebenaran. Kebenaran daripada al-Quran dan Sunnah disifatkan dengan bayyinat iaitu bukti yang nyata. Orang yang tergelincir dari landasan kebenaran di sini sebenarnya telah menolak al-Quran dan Sunnah dalam keadaan menyedarinya. Apa yang sepatutnya dilakukan setelah sedar kesilapan ialah kita segera memohon ampunan atas kesilapan itu.

  3. Allah tutup ayat ini dengan sifat-Nya yang maha gagah sebagai ancaman kepada manusia supaya berhati-hati daripada tergelincir. Di hari akhirat tiada siapa yang dapat menandingi kegagahan Allah dalam mengazab manusia. Allah juga maha bijaksana dalam menentukan siapa yang akan diazab serta menentukan azab yang sesuai dengan kesalahan seseorang. Tidak akan sama balasannya bagi orang yang mengetahui kebenaran dan orang yang tidak mengetahui kebenaran.

Ayat 210

هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن يَأتِيَهُمُ اللَّهُ في ظُلَلٍ مِّنَ الغَمامِ وَالمَلائِكَةُ وَقُضِيَ الأَمرُ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرجَعُ الأُمورُ

(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telah pun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.

  1. Ayat ini adalah ancaman kepada golongan yang tidak mahu menerima Islam dan juga kepada golongan yang tidak mahu menerima Islam sepenuhnya. Ada penafsir yang mengatakan ancaman ini adalah ancaman di dunia dan ada yang mengatakan ini adalah ancaman di akhirat. Apa pun sebagai manusia, berhati-harilah untuk bertangguh menerima kebenaran kerana sebenarnya mungkin masa untuk berubah itu tidak akan sampai, tetapi azab Allah pula yang akan sampai dahulu.

  2. Disebutkan Allah datang kepada golongan yang tidak menerima kebenaran ini dalam naungan-naungan awan. Ayat ini tidak ditakwilkan bagaimana kejadiannya. Kita perlu memahami situasi ini tanpa menafsirkannya dengan perumpamaan lain. Para malaikat juga akan turut serta dalam situasi ini. Apapun situasinya, ini adalah sesuatu yang besar dan akan diputuskan azab untuk golongan ini. Ada yang mengatakan bahwa ini adalah salah satu peristiwa di hari akhirat.

  3. Allah lah yang berhak menentukan keputusannya bagaimana untuk mengazab golongan yang tidak mahu menerima kebenaran serta golongan yang tidak menerima Islam secara sepenuhnya. Apabila masanya telah sampai, tiada gunanya lagi kerana masa untuk berubah telah diberikan. Banyak kebenaran tentang Islam telah ditunjukkan dengan jelas. Ini bukanlah ancaman kepada orang kafir sahaja kerana kita pun belum tentu lagi telah mengaplikasi Islam secara menyeluruh.

Tamat ruku' 25 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan