Assalamualaikum dan selamat pagi Sabtu. Selamat berhujung minggu bersama keluarga. Kita sambung sedikit catatan Travelog Haji. Dalam catatan sebelum ini ada aku catatkan yang ada dua orang bapa saudara turut dijemput Allah untuk menunaikan haji pada tahun ini. Dalam group besar mereka, mereka berdua agak lambat sampai kerana mereka ubah suai pakej yang ditawarkan. Mereka terlepas slot ziarah masyair kumpulan mereka. Aku pun offer untuk bawa mereka kerana aku telah ikuti ziarah masyair sebelum ini, jadi insyaAllah bolehlah terangkan sedikit sebanyak aturan haji tamattuk khususnya pelaksanaan ibadah melontar. Dalam Islam yang dikatakan ibadah ialah apa yang dicintai dan diredhai Allah sama ada ianya perbuatan atau percakapan, sama ada ianya zahir dan batin. Haji termasuk dalam ibadah yang boleh dikatakan berbentuk perbuatan. Selain berniat, selebihnya ibadah haji kebanyakannya adalah perbuatan fizikal. Semua perbuatan ini hanya boleh diserahkan kepada Allah semata. Penyerahan ibadah kepada selain Allah adalah kesyirikan dan syirik adalah larangan pertama dan larangan paling utama di dalam Islam.
Pagi hari Sabtu tu aku dan isteri bergerak menuju ke hotel penginapan dua bapa saudara iaitu yang aku panggil Acu dan Pak Uda untuk mula bergerak menuju ke Dataran Mina. Hari Sabtu itu bersamaan 6 Zulhijjah, dah agak suntuk dan esoknya iaitu 7 Zulhijjah kami dah diminta bersedia untuk bergerak ke Mina dan memulakan haji dari Mina. Di antara sunnah Nabi ﷺ dalam manasik haji Nabi ﷺ ialah dengan memulakan haji dari Mina sebelum ke Arafah. Untuk masuk ke Dataran Mina kami terpaksa melintas halangan, nasib baik Acu dan Pak Uda tiada masalah untuk lompat halangan. Umur Acu dan 65 dan Pau Uda 59 kalau tak silap. Kemudian sambil berjalan tu sempat lagi ulangkaji flow perjalanan haji yang bakal ditempuhi. Dah beberapa kali ikuti kursus, belajar sendiri dan dengar kuliah-kuliah dapatlah faham, apa pun praktikal adalah penting dan lawatan sangat membantu untuk kita matchkan apa yang dipelajari dengan situasi sebenar. Selain itu penting juga untuk kita fahami tentang perbuatan melontar itu sendiri, ada yang faham melontar itu adalah melontar syaitan ini adalah kefahaman yang tidak betul. Kemudian ada yang mengatakan kita melontar ini adalah kerana melontar sifat-sifat buruk diri, ini juga pandangan yang kurang tepat kerana tiada dalil yang mengatakannya sebegitu. Sebetulnya kita melontar kerana mengikuti petunjuk Nabi ﷺ. Apa yang nabi tunjukkan itu adalah wahyu dari Allah. Sebagaimana Jibril mengajarkan Nabi Ibrahim A.S. tentang tatacara haji, Nabi Ibrahim terima sahaja tanpa bertanya kenapa begitu dan begini. Kita turuti apa yang dicontohkan.
Sampai di Jamrah Aqabah kami pun terangkan tatacaranya untuk melontar tanggal 10, 11, 12 dan 13. Kemudian kami lanjutkan perjalanan sampai ke Jamrah Ula. Selesai ziarah masyair kami pun balik ke hotel dan semasa dalam perjalanan bapa saudara nak beli tongkat yang boleh jadi kerusi. Isteri sebelum tu ada beli di farmasi cuma kena berjalan jauh sedikitlah. Bila dipelawa mereka pun setuju untuk ke farmasi untuk membeli tongkat. Selesai membeli tongkat kerusi kami lanjutkan perjalanan ke Al Baik untuk membeli sandwich. Kemudian kami balik ke hotel masing-masing.
Keesokan harinya iaitu 7 Zulhijjah adalah hari yang ditunggu, kami diminta bersedia untuk bergerak ke Mina. Hati semakin berdebar. Untuk ke Mina kami diminta travel light, seringkas yang mungkin supaya senang bergerak. Apa yang dibawa ke Mina ini adalah apa yang akan bawa juga ke Arafah dan Muzdalifah. Bagi aku sendiri walaupun dan bawa ringkas tetapi ada juga barang yang dibawa tetapi tak guna, rasa rugi bawa tapi kalau tiba-tiba perlu dan tak ada rasa menyesal pula. Itulah dilema semasa nak packing ke Mina. Kalau perempuan lagilah macam-macam pertimbangannya.
Untuk ke Mina kami dah diminta untuk berihram dan niat Ihram terus. Kadang tu dalam pemikiran kita akan jadi serba salah untuk ikut aturan pengurusan atau ikut ilmu kita. Yang aku belajar Nabi berniat ketika di Mina, mungkin untuk memudahkan pengurusan jemaah yang ramai jadi kita ikut sahaja. Sampai di Mina kita berniat sekali lagi. Sampai di Mina kami terus masuk ke khemah dan dapatkan tempat masing-masing. Untuk haji kali ini ada penambahbaikan di khemah Mina, sebelum itu dah disebarkan tilam yang boleh jadi tempat duduk kemudian ada charging port dan mesin massage belakang. Betullah apa yang viral tu. Kerana itu jemaah jadi teruja dan lupa situasi berhimpit-himpit dalam khemah.
Kami tiba 1 hari awal dari hari tarwiah dan ketika itu jemaah haji tidak kesemuanya ke Mina dahulu jadi situasi di Mina masih lengang. Di Mina kami dan mula solat seperti mana Nabi solat ketika dalam haji iaitu dengan solat setiap waktu pada waktunya, bagi solat 4 rakaat ia diqasarkan menjadi 2 rakaat.
| Solat Jumaat Di Aziziyah, nasib baik dapat masuk. Ketika ini, solat diringkaskan, khutbah juga ringkas sahaja kerana cuaca terlalu panas. |
| Menceritakan tatacara perjalanan haji. |
| Ziarah sekali lagi ke jamarat. |
| Rezeki betul dapat dengar kuliah Dr Syafiq Basalamah. Antara nasihat beliau supaya tidak menunjukkan kemewahan ketika haji. |
| Dalam bas menuju ke Mina. |
| Terserempak dengan En Mahruz (pakar falak), bekas rakan sekerja semasa di INSTUN. |
| Berjumpa Acu dan Pak Uda semasa di Mina (hari tarwiyah). |
| Mina ni tak ada tempat makan sangat, semua orang berpeleseran dan makan di tepi-tepi khemah. Pagi yang sungguh indah. |
| Sempat lagi Uztaz Syazni memberikan perkongsian yang menusuk kalbu. Beliau antara mutawif yang sangat suka dengar dan suka juga caranya. |
| Ntah macam mana boleh geng pula dengan Azman ni. Terjumpa semasa ronda-ronda di waktu malam. |
Bersambung lagi ke hari kemuncak haji dalam catatan berikutnya, InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan