Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 27/40 (Ayat 217-221)
Ruku' 27 dari 40 ruku' dalam surah Al-Baqarah berkisar tentang bulan-bulan haram, hukuman bagi pemurtad, hukum arak dan judi, perintah melayani anak yatim dengan adil dan larangan berkahwin dengan lelaki atau perempuan musyrik.
Ayat 217
يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
Ayat ini berkaitan dengan satu peristiwa yang melibatkan sahabat Nabi ﷺ, iaitu Abdullah bin Jahsy r.a. Beliau telah diarahkan ke suatu tempat di Nakhlah (antara Mekah dan Taif) bersama 8 orang pemuda lagi untuk memerhati pergerakan Quraisy. Mereka terserempak dengan kafilah Quraisy dan terjadi pembunuhan terhadap seorang Quraisy bernama Amr bin al-Hadrami. Apabila orang Quraisy tahu, Islam dituduh mencabul kesucian bulan haram kerana ketika itu bulan Rejab.
Abdullah bin Jahsy r.a. terpaksa membuat keputusan membunuh Amr bin al-Hadrami kerana sekiranya mereka dilepaskan, kemungkinan mereka akan memberitahu kehadiran mereka kepada pembesar Quraisy dan mereka semua akan dibunuh. Perkara ini diketahui oleh Nabi ﷺ dan mereka ditegur. Lalu bersedihlah mereka kerana tidak mengikut apa yang diperintahkan sehingga turun ayat ini (Al-Baqarah 217). Allah tetap melarang membunuh di bulan haram, kemudian membuat perbandingan.
Perbandingan perbuatan membunuh di bulan haram dengan perbuatan musyrikin Mekah: 1. Mereka menghalang orang menerima Islam dan melarang dakwah Nabi, ﷺ, 2. Perbuatan mereka menolak kebenaran Islam adalah kekufuran, 3. Mereka menghalang orang Islam beribadah di Masjidil Haram, 4. Mereka mengusir Nabi dan orang Islam dari Mekah, dan 5. Mereka kekal mahu melakukan kesyirikan dalam kehidupan. Semua ini lebih besar daripada dosa membunuh seorang kafir di bulan haram.
Selain daripada lima perkara itu, Allah menyebutkan isi hati sebenar musyrikin Mekah. Walaupun Nabi ﷺ dan sahabat telah berhijrah ke Madinah, mereka masih tidak puas hati. Sebolehnya mereka mahu umat Islam kembali kepada kekufuran dan melakukan kesyirikan bersama mereka. Allah mengingatkan sekiranya ada yang berpaling murtad, kemudian seseorang itu mati, maka dia mati sebagai seorang kafir. Semua amalan baiknya sebelum ini tidak dikira dan nerakalah tempatnya.
Ayat 218
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah
serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka
itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sambungan kepada kisah Abdullah bin Jahsy r.a. yang membunuh musyrikin Mekah bernama Amr bin al-Hadrami pada bulan haram, lalu Allah membandingkan kesilapannya itu dengan 5 perbuatan buruk musyrikin Mekah. Allah menyebut mereka sebagai orang yang beriman. Tidaklah sama kesilapan yang dilakukan orang beriman dengan kesilapan orang yang mensyirikkan Allah. Maka hendaklah kita memastikan perkataan dan perbuatan kita tidak mensyirikkan Allah sedikit pun.
Allah juga menyebutkan mereka sebagai golongan yang berhijrah. Hijrah mereka bukan sahaja hijrah lokasi dari Mekah ke Madinah, malah lebih daripada itu, hijrah juga merangkumi perbuatan dan amalan kita seharian yang hendaklah sentiasa berubah menjadi lebih baik. Selain itu, ada juga hijrah hati, iaitu daripada mencintai kenikmatan dunia kepada mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan lebih utama. Hijrah juga bermaksud menahan diri dari apa yang dilarang Allah.
Allah juga menyebutkan mereka sebagai golongan yang berjuang di jalan Allah. Kepatuhan mereka dalam melaksanakan perintah Nabi ﷺ untuk memantau di antara Madinah dan Mekah termasuk dalam ibadah berjuang di jalan Allah. Risiko yang mereka hadapi adalah bahawa mereka mungkin akan dibunuh jika pembesar Mekah mengetahuinya. Kerana itu juga mereka mengambil keputusan untuk membunuh seorang dan menawan dua orang lagi daripada kafilah musyrikin Mekah.
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.” (Hadith riwayat Muslim No. 5037). Orang yang berjuang di jalan Allah adalah golongan yang sentiasa inginkan rahmat daripada Allah. Allah Maha mengampuni dosa orang yang tersilap dan bertaubat dari kesilapan.
Ayat 219
۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.
Ayat ini mengisahkan para sahabat yang mula tertanya-tanya tentang arak dan judi. Kedua-dua perkara ini adalah perlakuan Arab jahiliah. Para sahabat tertanya-tanya hukumnya kerana mereka nampak keburukan pada keduanya. Arak menghilangkan kewarasan akal dan judi pula menghilangkan harta benda. Arak adalah apa-apa sahaja yang memabukkan, antara maksud khamar ialah apa sahaja yang memabukkan termasuklah arak. Judi pula adalah apa sahaja yang dipertaruhkan.
Hinggalah turun ayat ini yang menyatakan arak dan judi, padanya adalah dosa besar. Disebutkan "padanya adalah dosa besar" bermaksud ia merangkumi semua orang yang terlibat dalam penghasilan arak dan pertaruhan judi. Pun begitu, Allah tetap menyebutkan pada keduanya masih ada sedikit manfaat. Mungkin pada waktu-waktu tertentu atau dalam situasi kesihatan tertentu masih ada manfaatnya juga. Apapun keburukannya jauh lebih besar dari manfaatnya.
Setelah turun ayat ini ramai para sahabat meninggalkan arak namun masih ada yang belum meninggalkan sepenuhnya. Larangan ini belum lagi mengharamkan arak secara penuh kerana pengharaman arak dilakukan secara berperingkat. Ini baru amaran pertama dan ia mengajak manusia berfikir dan berkira-kira untuk melakukannya. Ada lagi dua peringkat sebelum pengharaman arak secara sepenuhnya. Dikatakan apabila turun ayat ini Madinah bergenang dengan arak yang dibuang.
Di antara hikmah pengharaman arak secara berperingkat ialah kerana arak telah menjadi budaya masyarakat ketika itu, jika diharamkan serta merta mungkin ramai yang keluar dari Islam. Kaum Muslimin sedang dalam proses memperkukuhkan iman setelah aqidah mereka kukuh. Tanpa iman yang kukuh, pengharaman secara total akan menyebabkan masyarakat memberontak. Allah Maha Mengetahui sifat manusia dari satu zaman ke zaman yang lain. Allah juga mahu manusia berfikir.
Soalan kedua yang ditanya oleh sahabat Nabi ﷺ ialah tentang infaq. Sebelum ini telah dinyatakan kepada siapa infaq perlu disalurkan, kini pertanyaannya adalah apa yang perlu diinfaqkan itu. Setelah soalan menghindar dosa, sahabat mahu tahu bagaimana mencari pahala pula. Allah menyebutkan yang diinfaqkan ialah apa yang lebih ada pada seseorang setelah cukup keperluannya. Allah tutup ayat ini dengan peringatan supaya manusia sentiasa berfikir tentang sesuatu.
Ayat 220
فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Dalam ayat sebelum ini, telah diterangkan tentang arak, judi dan infak. Kesemuanya, Allah minta kita berfikir tentang baik buruknya. Dalam ayat ini pula, Allah menyambung bahawa baik dan buruk itu perlu pertimbangan dunia dan akhirat sekali. Jangan hanya pertimbangkan dunia sahaja. Ayat ini pula berkisar tentang anak yatim. Para sahabat bukan sahaja bertanyakan tentang perkara buruk tetapi juga perkara baik seperti infak dan penjagaan anak yatim.
Perkara yang baik perlu pertimbangan akal dan bagi perkara ibadah, ia perlu ada anjurannya di dalam al-Quran ataupun sunnah Nabi ﷺ. Kita tidak boleh menganggap sesuatu yang baik itu ibadah juga jika tiada suruhannya dalam agama. Allah menyebutkan bahawa membaiki kehidupan anak yatim adalah sesuatu yang amat baik. Anak yatim ialah kanak-kanak yang belum baligh dan telah kematian bapanya. Jika hanya kematian ibu, ia tidak dikira sebagai anak yatim.
Nabi ﷺ bersabda: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”. (Riwayat Muslim No. 2983). Dua jari yang rapat itu menunjukkan rapatnya Nabi ﷺ dengan orang yang menjaga kebajikan anak yatim di syurga nanti. Para sahabat juga ingin tahu kerana risau akan ancaman terhadap orang yang memakan harta anak yatim seperti dalam Surah Al-Nisa ayat 6.
Sebenarnya jika anak yatim itu mempunyai harta, bukanlah tidak boleh langsung guna hartanya. Dalam masyarakat, ada yang terlalu takut termakan harta anak yatim sehingga tidak berani nak berkongsi makan dengannya. Mereka perlu dianggap seperti sebahagian daripada kita juga. Allah maha mengetahui kadar yang sesuai, yang boleh digunakan sekiranya anak yatim itu berharta. Allah juga maha berkuasa untuk membalas perbuatan buruk sama ada di dunia atau di akhirat.
Ayat 221
وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم ۗ وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا ۚ وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم ۗ أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
Persoalan seterusnya dari siri persoalan para sahabat kepada Nabi ﷺ ialah tentang siapa yang boleh dikahwini. Asbabun nuzul ayat ini adalah tentang seorang sahabat yang telah masuk Islam dan berjumpa kekasih lamanya yang masih musyrik. Jumhur ulama menetapkan ahli kitab tidak termasuk dalam larangan ini kerana firman Allah: (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu.
Walaupun perkahwinan dengan ahli kitab dihalalkan, bukan bermaksud ia digalakkan. Kita dilarang berkahwin dengan orang musyrik kerana bimbang terjerumus dalam kesyirikan dan ahli kitab juga melakukan kesyirikan dan mengubah agama asal mereka, cuma asal mereka bertauhid kepada Allah yang satu, sebahagian mereka juga beriman kepada nabi yang diutuskan. Sekiranya mereka masuk Islam untuk berkahwin, itu lain ceritanya. Perkahwinan dengan mereka menjadi halal.
Mungkin ada yang mempertikaikan orang yang masuk Islam kerana perkahwinan ini. Sebenarnya, ini tidak wajar. Nabi ﷺ sendiri berkahwin dengan Safiyyah yang asalnya Yahudi. Ada juga kisah Usamah bin Zaid r.a. yang membunuh musuh yang mengucapkan syahadah ketika perang. Apabila Rasulullah ﷺ mengetahuinya, Usamah dimarahi. Cara apa pun seseorang itu masuk Islam, jangan kita persoalkan. Boleh jadi mereka lebih tinggi kedudukannya dari kita di akhirat nanti.
Allah juga menyebutkan bahawa hamba yang beriman lebih baik kedudukannya daripada seseorang musyrik walaupun kita menyukainya. Tidak sama kedudukan orang beriman dengan yang kafir. Ada kisah seorang sahabat yang berlebihan memarahi hamba berkulit hitam yang beriman dan bertanya kepada Nabi ﷺ. Atas rasa bersalah beliau memerdekakan hamba itu dan kemudian mengahwininya. Walaupun bekas hamba, tetapi keimanannya talah mengangkat darjatnya semasa di dunia lagi.
Selain itu, bagi para wali pula, tidak dibenarkan menikahkan wanita Islam dengan orang kafir dan juga ahli kitab. Dalam keluarga tetap suami adalah ketua, jadi mahu tak mahu seorang orang perempuan itu terpaksa mengikut kehendak suaminya. Seorang wanita Islam hanya berkahwin dengan lelaki Islam juga. Lebih mulia seorang hamba lelaki yang beriman daripada seorang yang merdeka tetapi kafir. Perkahwinan yang tidak menepati syariat hanya membawa ke neraka.
Tamat ruku' 27 dari 40 ruku' dalam Surah Al-Baqarah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan