Rabu, Disember 07, 2005

Wawancara bersama Saleem Iklim

"ALHAMDULILLAH, saya sihat," Saleem membuka bicara, di sisinya segelas teh panas berasap tidak berusik. Lenyap segala resah kerana akhirnya Saleem menunaikan janji.

Awalnya, ramai sangsi kerana sesi temubual yang sepatutnya bermula jam 11 pagi, terlewat hampir satu jam. Ketika itu sudah terdetik di hati, tidak mungkin Saleem akan menunaikan janjinya.

Namun kaki masih belum bersedia untuk melangkah daripada pejabat Warner Music, syarikat rakaman yang dinaunginya sejak 1993. Kagum melihat staf yang setia mereka menatang penyanyi itu walaupun acap kali timbul pelbagai permasalahan.

"Bakatnya terlalu istimewa, sukar untuk dicari diganti," itu kata Pengurus Artis & Repertoire (A&R) Warner Music, Syed Azlan Syed Abu Bakar atau Arab.

Hampir lapan bulan terkurung di penjara, lebih tiga bulan direman di Penjara Sungai Buloh, sebelum menjalani hukuman selama lebih lima bulan di Penjara Kajang, Saleem tidak gementar untuk berdepan dengan wartawan.
Saleem akan kembali, itu janji Warner yang terdahulu menghadiahkan sebuah kompilasi istimewa, Saleem - Raja Balada memuatkan 24 lagu terbaik solo dan bersama Iklim yang menemui peminat 6 Disember ini.

Hip: Saleem bagaimana sekarang?
Saleem:
Alhamdulillah, saya sihat. Sebenarnya saya mahu berterima kasih dengan Warner yang sedia mengatur pertemuan ini. Terima kasih kerana masih sudi memberi saya peluang membuat rakaman dan hasilkan album. Ini adalah bonus kerana saya baru saja empat bulan dibebaskan.

Hip: Tidak gementar untuk berdepan semula dengan masyarakat?
Saleem:
Saya tidak gementar. Sebaliknya yakin untuk bertemu semula kerana sudah lama tidak begini. Kompilasi ini sebagai hadiah untuk saya. Biarlah apa juga tanggapan negatif masyarakat terhadap saya. Saya tidak boleh berkata apa kerana masalah itu timbul kerana kesilapan saya sendiri. Saya kena terima....

Hip: Apa janji Saleem sebaik dibebaskan?
Saleem:
Saya berjanji kepada diri untuk tidak ulangi lagi. Manusia ni tidak sempurna, hati bila-bila masa boleh berubah. Cuma saya memohon diberi kekuatan untuk berdepan cabaran dan dugaan. Alhamdulillah, sekarang saya boleh hidup bebas daripada dadah. Saya sendiri macam tidak percaya, selama di Penjara Kajang saya dapat menyiapkan dua lagu tanpa dadah. Sebuah lagu saya tujukan kepada isteri iaitu Julia - Insan Tersayang manakala satu lagi berjudul Pelangi.

Hip: Saleem kata sudah bebas daripada dadah, tetapi kenapa masih ada yang memberitahu mereka nampak Saleem merayau-rayau di Chow Kit?
Saleem:
Saya senang ke mana-mana sendiri, tidak suka dikawal. Biarlah apa orang nak cakap. Mereka boleh kata apa saja. Lenguh bercakap nanti mereka akan berhenti sendiri. Memang dulu silap saya, maafkan saya!

Hip: Bagaimana pengalaman Saleem di penjara?
Saleem:
Awal lagi saya ingin berpesan, janganlah bercita-cita hendak ke sana (penjara). Alhamdulillah... selama di penjara, saya sempat membuat jasa. Saya ditempatkan di Blok Gemilang dan kumpulan kami muncul juara dalam pertandingan nasyid sempena Maulidur Rasul tahun ini. Saya hanya memberi tunjuk ajar, tidak menyanyi pun. Dapat hadiah mi segera dan biskut. Syukur... walaupun singkat saya dapat buat sesuatu yang berguna untuk dikenang.

Hip: Berapa kali Saleem pernah dipenjarakan?
Saleem:
Dua kali. Kali pertama pada 1996, saya dipenjara empat bulan kerana kes langgar askar. Kali kedua tahun lalu, saya dipenjara selama lapan bulan.

Hip: Bila mula terbabit dengan dadah?
Saleem:
Sejak 1993. Ketika merakam album pertama, Suci Dalam Debu saya mula dekati dadah. Semua ini kerana pengaruh kawan-kawan. Mungkin juga sebab nak mencuba, ikut kawan tetapi akhirnya terjebak. Sekarang saya sudah bersih, alhamdulillah.

Hip: Apa Saleem yakin?
Saleem:
Kunci kebebasan adalah diri kita sendiri. Kalau kata tidak mahu, tak nak benda itu takkan jadi. Sendiri kena ingatlah.

Hip: Apa usaha Saleem sendiri?
Saleem:
Masa di Penjara Kajang, saya rasa seronok sangat sebab dapat hidup bebas tanpa dadah. Saya boleh hidup aktif, rasa okay jadi kenapa tidak teruskan saja? Dulu saya selalu fikir, kalau tidak kena benda itu saya tidak boleh buat kerja. Semua ini terpulang pada diri sendiri. Hati kita kena kuat.

Hip: Bagaimana Saleem melihat kehidupan hari ini?
Saleem:
Sekarang saya lebih banyak luangkan masa di rumah. Memang sesekali saya ke Chow Kit. Saya suka ke sana kerana suasananya sudah sebati. Bukan untuk mencari dadah, saya ada ramai kawan di sana, mereka adalah peniaga di kawasan itu. Tidak salah kalau saya ke sana mengisi masa lapang. Tak semua ke Chow Kit itu jahat. Untuk berhenti saya tidak perlu pergi jauh. Buat apa larikan diri tetapi apabila balik saya akan buat semula. Biar dekat kerana itu memberikan lebih cabaran.

Hip: Bagaimana dengan mutu suara?
Saleem:
Insya-Allah, semakin baik. Kalau kerja dengan ikhlas, saya percaya Tuhan akan memberi yang baik untuk kita. Alhamdulillah. Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Adil... masih meminjamkan saya bakat untuk mencari ruang di dunia seni.

1 ulasan:

  1. sila lihat pautan dan jalinan ke laman web saleem- iklim dalam wikipedia

    http://ms.wikipedia.org/wiki/Saleem

    BalasPadam