Rabu, Disember 22, 2010

Kakitangan USM perlu kental hadapi cabaran

PULAU PINANG, 15 Dis. – Kakitangan di Universiti Sains Malaysia (USM) diseru agar sentiasa kental dan tabah mengharungi cabaran demi mempertahankan tradisi kecemerlangan USM yang telah digapai sehingga kini.

Seruan berkenaan disuarakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Asma Ismail bagi memotivasikan seluruh warga kerja USM agar sentiasa berdaya saing dan maju dalam semua aspek jika mahu dihormati di persada dunia.

Menurut Prof. Asma, peranan warga kerja universiti sedia ada mahupun yang telah bersara memainkan peranan penting dalam perjuangan membangunkan universiti.

Katanya, sumbangan warga USM banyak menukar wajah dan lanskap universiti melalui pelbagai langkah pembaharuan halatuju seterusnya membawa USM ke persada kecemerlangan.

“Tugas kita kini kian mencabar dalam memastikan USM kekal sebagai universiti terbaik di Malaysia. Namun begitu, kita telah membuktikan kita mempunyai keupayaan dan kesanggupan untuk bersaing di peringkat dunia seperti mana yang diiktiraf oleh pelbagai pihak di dalam dan luar negara,” kata beliau sempena majlis Jasamu Dikenang di Hotel Gurney baru-baru ini.

Tambahnya lagi, universiti amat menghargai segala usaha dan kerja keras warga USM yang telah bersara sepanjang perkhidmatan mereka di sini.

“Tanpa usaha dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh anda semua di dalam memastikan USM berada di menara gading, mustahil kita dapat mencapai kejayaan seperti yang dikecapi sekarang. Syabas juga diucapkan kepada semua yang telah berjaya melaksanakan tugas ini dengan cekap dan berkesan hingga universiti diangkat dan diiktiraf bagi memacu universiti berstatuts Apex,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, Pengerusi Kelab Jasa Budi USM, Prof. Emeritus Dr. Amir Awang berkata, kelab menghargai sumbangan Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak kerana sudi menyumbangkan peruntukan RM10,000 setiap tahun bagi menjalankan aktiviti-aktiviti buat warga staf yang bersara.

“Sebagai salah seorang yang pernah berkhidmat untuk USM, saya amat berbangga kerana USM satu-satunya IPTA yang mempunyai kelab buat staf-staf bersara. Melalui kelab inilah, kami dapat berjumpa, mengeratkan silaturrahim dan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah dengan masa yang terluang, seterusnya hubungan antara staf tidak akan terputus,” ucap beliau.

Tambah beliau lagi, yuran keahlian bulanan untuk setiap warga pesara yang mendaftar ahli kini telah dikurangkan sebanyak 50% kepada RM25 sebulan bagi menggalakkan pesara-pesara yang belum mendaftar sebagai ahli mendaftar ke dalam kelab tersebut.

Tahun 2010 seramai 110 orang warga kerja kampus telah dan akan bersara daripada perkhidmatan universiti. 77 orang darinya adalah dari Kampus Induk, 10 orang dari Kampus Kejuruteraan dan 23 orang dari Kampus Kesihatan. Manakala 10 orang staf telah meninggal dunia dalam perkhidmatan.

Pada majlis tersebut, kesemua warga pesara turut dianugerahkan loket dan sijil penghargaan sempena mengingati sumbangan perkhidmatan mereka sepanjang berada di universiti.

Turut hadir bersama adalah Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Prof. Lim Koon Ong, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat.


Via: KAKITANGAN USM PERLU KENTAL HADAPI CABARAN.

Wah banyaklah peluang pekerjaan nanti di USM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan