Selasa, November 19, 2024

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 4 (Ayat 30-39)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 4 (Ayat 30-39)

Ayat 30-39 menceritakan tentang peranan khalifah di muka bumi iaitu merangkumi; 1. Asal usul manusia, 2. Kedudukan tinggi manusia, 3. Keperluan manusia mengikut perintah Allah, 4. Peringatan tentang syaitan yang akan datang menghasut manusia.

Ayat 30

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلٰٓئِكَةِ إِنّي جاعِلٌ فِي الأَرضِ خَليفَةً ۖ قالوٓا أَتَجعَلُ فيها مَن يُفسِدُ فيها وَيَسفِكُ الدِّمآءَ وَنَحنُ نُسَبِّحُ بِحَمدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قالَ إِنّيٓ أَعلَمُ ما لا تَعلَمونَ

  1. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

  2. Di antara salah faham di dalam masyarakat berhubung ayat ini ialah dengan menyatakan Allah berbincang dengan Malaikat sebelum mengutuskan manusia sebagai khalifah di bumi, Allah tidak memerlukan pendapat dalam menentukan sesuatu perkara.

  3. Ayat ini memperkenalkan kita kepada satu makhluk yang perlu diimani iaitu malaikat, jumlah mereka sangat ramai, sentiasa patuh kepada Allah, dijadikan dari cahaya, tiada yang mampu melihatnya secara benar kecuali Rasulullah saw. Malaikat bukan untuk disembah atau diminta pertolongan darinya.

  4. Maksud khalifah; 1. Pengganti (manusia mengganti makhluk jin yang telah gagal mengurus bumi), 2. Menentukan keputusannya sendiri dari akal yang beri, 3. Dipertanggung jawabkan atas dirinya untuk mengurus bumi.

  5. Nabi Adam diturunkan ke bumi dari Syurga bukan sebagai hukuman. Sebelum penciptaan Adam, Allah telah menetapkan manusia sebagai khalifah di bumi. Orang Kristian percaya Nabi Adam dikeluarkan dari Syurga sebagai hukuman, sedangkan bumi ini dicipta untuk kegunaan manusia.

  6. Malaikat bukan mempersoalkan keputusan Allah untuk menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi kerana keputusan Allah tidak boleh dipersoalkan sesiapa pun. Malaikat khuatir manusia akan melakukan kerosakan di atas muka bumi iaitu dengan melakukan kesyirikan dalam hubungannya dengan Allah dan melakukan pertumpahan darah dalam hubungannya sesama manusia.

  7. Malaikat memuji golongannya tidak sama dengan kata-kata manusia apabila memuji golongannya kerana malaikat tidak mempunyai nafsu, tiada kesombongan dan tiada keegoan. Pujiannya kepada golongan mereka yang sentiasa bertasbih berpandukan kepada akal semata. Malaikat telah menyaksikan kerosakan sebelum ini di dunia oleh golongan jin.

Ayat 31

وَعَلَّمَ ءآدَمَ الأَسمآءَ كُلَّها ثُمَّ عَرَضَهُم عَلَى المَلٰٓئِكَةِ فَقالَ أَنبِئوني بِأَسماءِ هٰٓؤُلاءِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

  1. Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

  2. Allah sendiri mengajar Nabi Adam nama bagi setiap sesuatu dan kita mewarisi ilmu dunia ini. Ini membuktikan bukan hanya ilmu agama sahaja darang dari Allah walhal ilmu dunia pun semuanya datang dari Allah. Selain dari mengajarkan nama sesuatu Allah juga telah memberikan kepada manusia potensi untuk mengetahui sesuatu.

  3. Dalam kehidupan yang serba canggih dalam perlbagai bidang ini perlu kita tahu bahawa semuanya berpunca dari ilmu yang Allah ajarkan kepada Nabi Adam. Seseorang mungkin hebat dalam suatu perkara tetapi sebenarnya ia adalah anugerah ilmu yang Allah berikan dari generasi ke generasi bermula dari Nabi Adam.

  4. Setelah beberapa waktu Allah membentangkan ilmu Nabi Adam dan menanyakan kepada malaikat, sudah pasti malaikat tidak tahu apa yang telah Allah ajarkan kepada Nabi Adam, itulah kelebihan manusia berbanding malaikat dan tidak semestinya kesilapan bangsa jin dijadikan ukuran. Manusia sentiada ada potensi untuk menjadi lebih baik.

Ayat 32

قالوا سُبحٰنَكَ لا عِلمَ لَنآ إِلّا ما عَلَّمتَنآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَليمُ الحَكيمُ

  1. Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

  2. Sebelum Malaikat menjawab, mereka memuji Allah terlebih dahulu, sememangnya Allah bebas dari kejahilan. Sedangkan Malaikat pun mengakui kejahilan mereka, maka manusia pun perlu selalu mengakui kejahilan kita. Makhluk apa pun tidak akan tahu suatu ilmu jika Allah tidak mengajarkannya. Pengajaran yang boleh diambil ialah apabila kita dilantik menjadi khalifah atau pemimpin hendaklah kita berilmu, barulah pengurusan menjadi baik.

  3. Walaupun Malaikat sentiasa dekat dengan Allah, mereka tidak mengetahui perkara yang Allah tidak ajarkan kepada mereka, bila tidak tahu Malaikat terus mengatakan yang mereka tidak tahu dan tidak meneka-neka. Amat pelik apabila ada manusia yang meninggikan taraf malaikat hingga menganggapnya sebagai tuhan (holy spirit), menyembahnya dan berdoa kepadanya.

  4. Allah ﷻ dinamai الْعَلِيمُ kerana pengetahuan-Nya yang amat jelas sehingga terungkap baginya hal-hal yang sekecil-kecilnya apa pun. Kalimah الْحَكِيمُ maksudnya Maha Bijaksana atau yang Memiliki hikmah, dan hikmah antara lain bererti mengetahui yang paling utama untuk segala-galanya, dalam kisah ini Allah menentukan Manusialah yang layak menjadi khalifah dengan diajarkan ilmu-ilmunya.

  5. Ayat ini hendak mengatakan; 1. Kalau tidak kerana kurnia Allah ﷻ untuk memberikan ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa ilmu tentang agama atau ilmu dunia, 2. Jangan kita membuat telahan terlalu awal dan, 3 tingginya nilaian ilmu di sisi Allah, semakin seorang itu berilmu seseorang itu sepatutnya semakin tunduk dan patuh kepada Allah.

Ayat 33

قالَ يٰٓئادَمُ أَنبِئهُم بِأَسمآئِهِم ۖ فَلَمّآ أَنبَأَهُم بِأَسمآئِهِم قالَ أَلَم أَقُل لَّكُم إِنّيٓ أَعلَمُ غَيبَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَأَعلَمُ ما تُبدونَ وَما كُنتُم تَكتُمونَ

  1. Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

  2. Setelah Malaikat tidak tahu nama-nama sesuatu yang telah Allah ajar kepada Nabi Adam sekarang Allah minta Nabi Adam mengajarkannya nama-nama sesuatu itu kepada Malaikat pula. Nabi Adam terus menyampaikan berita penting ini kepad Malaikat.

  3. Malaikat diajar supaya boleh menjalankan tugas yang berkaitan dengan manusia, ini isyarat manusia lebih tinggi kedudukannya untuk layak sebagai khalifah di bumi kerana ilmu yang telah Allah ajarkan.

  4. Allah maha mengetahui apa yang tersembunyi di langit dan yang tersembunyi di bumi. Jika yang tersembunyi pun Allah tahu apakan pula yang nyata. Allah mengetahui juga tentang manusia yang akan melakukan kerosakan walaupun jika malaikat tidak menyebutnya.

  5. Allah mengetahui juga apa yang malaikat sembunyikan, ada penafsir menafsirkan ini adalah berkaitan ada di antara malaikat yang masih ragu tentang keupayaan manusia iaitu iblis yang ketika itu masih dalam kalangan malaikat. Ini menunjukkan Allah mengetahui lintasan hati dan perkara yang belum pun berlaku.

Ayat 34

وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّآ إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ

  1. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

  2. Walaupun ada larangan untuk sujud kepada selain Allah, apabila ia perintah Allah maka ia wajib dilakukan. Ada juga pendapat mengatakan ini sujud tanda hormat dan bukan sujud ibadah. Ada yang mengatakan ketika ini belum ada larangan sujud seperti syariat nabi Muhammad saw.

  3. Walaupun sebelumnya malaikat ada persoalan tentang Adam tetapi setelah Allah jawab dan nabi Adam telah mengajar mereka maka apabila Allah perintahkan sujud maka malaikat sujud serta merta tanpa ada bolak balik lagi.

  4. Iblis yang berasal dari kalangan jin (alKahfi50) telah ditinggikan pangkatnya untuk tinggal bersama para malaikat telah enggan dan bersikap sombong dengan tidak mahu sujud. Iblis rasa dia lebih mulia kerana dijadikan dari api (alA'raf12), dia juga baru naik pangkat dan banyak beribadah sedangkan Adam belum beribadah.

  5. Iblis menjadi kafir kerana: 1. Enggan sujud, 2. Bersikap sombong iaitu menolak kebenaran dan meremehkan orang lain. Dalam kisah ini Iblis meremehkan Allah dan juga Nabi Adam.

  6. Iblis merasakan lebih mulia dari Adam kerana dia dijadikan dari api sedangkan nabi Adam dari tanah. Dengan hujah ini Iblis menggunakan akalnya dan menolak wahyu. Menggunakan akal untuk menolak wahyu boleh membawa kepada kekafiran.

Ayat 35

وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّٰلِمينَ

  1. Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

  2. Kisah penciptaan hawa dari tulang rusuk nabi Adam diambil dari sumber Yahudi (Israiliyyat). Walaupun ada hadith wanita diciptakan dari tulang rusuk, ada hadith lain yang menyebut bukan diciptakan tapi seperti tulang rusuk. Hadith-hadith ini tiada kaitan dengan penciptaan Hawa.

  3. Daripada Abu Hurairah (ra) beliau berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk; Jika kamu ingin meluruskannya maka kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya maka kamu boleh bersenang-senang dengannya, namun ia masih dalam keadaan bengkok.” (Sahih Bukhari (1109))

  4. Terdapat perbahasan berkenaan peristiwa arahan kepada malaikat untuk bersujud dan kejadian tinggalnya Adam dan Hawa seketika di dalam syurga sama ada sama syurganya dengan syurga balasan buat orang beriman di akhirat nanti, kerana adanya pengingkaran dan hasutan iblis serta ada larangan. Apapun Allah maha berkuasa atas tiap sesuatu.

  5. Adam dan Hawa dibenarkan untuk makan apa sahaja di dalam syurga, makan tak perlu tunggu lapar, berusaha untuk mendapatkannya, terdapat banyak buah-buahan, makanannya tidak habis-habis, tidak akan jemu memakannya, dan tidak pula menghasilkan najis. Mereka dibenarkan pergi kemana sahaja kecuali mendekati sepohon pokok ini.

  6. Iblis telah mengajarkan kepada Adam pokok itu adalah pokok keabadian (khuldi) (Taha120). Jadi nama pokok atau buah khuldi itu ada tipu daya Iblis. Sampai sekarang pun orang menyebut-nyebut dengan pokok atau buah khuldi walhal itu perkataan bohong untuk menipu Adam. Orang Kristian percaya buah itu adalah buah epal.

  7. Berkenaan persoalan bagaimana seorang nabi boleh melakukan kesalahan, perkara ini diperbahaskan dalam kalangan penafsir kerana ada terma "nabi mesti bebas dari dosa" sedangkan dalam AlQuran ada juga kisah nabi yang seperti melakukan dosa sebenarnya tidak.

  8. Ada pendapat mengatakan semua kesalahan yang nabi-nabi buat bukanlah pelanggaran arahan, tetapi tersilap, terkeliru atau tertipu dengan bisikan syaitan. Berkenaan kisah nabi Adam, ada yang mengatakan beliau belum dilantik sebagai nabi/ rasul ketika itu.

Ayat 36

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطٰنُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

  1. Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

  2. Allah mempertanggung jawabkan ke atas Adam dan Hawa sama rata atas kesilapan mereka. Ini berbeza dengan kisah dari versi Kristian di mana dikatakan Hawa (Eve) menggoda Adam untuk menghampiri pokok larangan. Kisah versi Kristian menyalahkan Hawa, bahkan perkataan evil diambil sempena memburukkan Hawa (Eve) dalam peristiwa ini.

  3. Allah memperkenal sifat kesyaitanan dalam ayat ini merujuk kepada Iblis yang berasal dari golongan jin yang bersikap kesyaitanan. Sifat kesyaitanan boleh berada pada bangsa jin dan juga manusia (AlNas6). Sifat kesyaitanan inilah yang akan menyesatkan manusia sampai ke hari Akhirat.

  4. Hasutan Iblis: 1. Boleh membuka aurat, 2. Boleh mendekat pokok larangan supaya kekal dalam syurga, 3. Iblis tidak memaksa hanya menasihatkan, 4. Mengatakan hanya tidak boleh dekati tetapi tidak tiada larangan memakannya, 5. Menjenamakan pokok larangan menjadi pokok keabadian (khuldi), 6. Bersumpah atas nama Allah. AlAraf 20-21 dan Taha 120.

  5. Arahan untuk keluar dari syurga menunjukkan bukan berdua tetapi jamak, ulama berpandangan termasuk Iblislah yang dikeluarkan. Adam dan Hawa akan bermusuh dengan dengan Iblis begitu juga kepada keturunannya mereka hingga ke hari Akhirat.

  6. Allah menyatakan bumi ini adalah tempat tinggal sementara sehingga sampai satu masa iaitu mati. Segala kelengkapan dan kesenangan telah disediakan supaya manusia boleh hidup di bumi namun bagi nabi Adam dan Hawa ia ada satu yang derita kerana keduanya pernah merasai nikmat tinggal di syurga.

  7. Pengajaran buat kita supaya sentiasa ada berusaha untuk masuk semula ke dalam syurga dan berhati-hati dengan sifat kesyaitanan yang ada pada bangsa jin dan manusia yang menghasut manusia beriman supaya melakukan dosa. Dunia adalah landasan untuk digunakan dan bukan sampai perlu meninggalkan kenikmatan dunia seluruhnya untuk akhirat.

Ayat 37

فَتَلَقّىٰ ءآدَمُ مِن رَّبِّهِ كَلِمٰتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

  1. Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

  2. Setelah Nabi Adam sedar mereka melakukan kesalahan dengan terlucutnya pakaian mereka setelah memakan buah larangan lalu mereka di keluarkan dari syurga menuju ke dunia, nabi Adam tidak putus-putus memohon ampun dari Allah, ada yang mengatakan sehingga 80 tahun menangis dan dan berdoa dengan ilham akal yang diberikan kepada manusia.

  3. Kisah-kisah turunnya nabi Adam ada banyak versi dan kebanyakannya yang tidak ada dalil yang jelas atau statusnya dha'if. Turun di India, berjumpa Hawa di Arafah, memohon ampun 80 tahun adalah antara yang dikaitkan dengan kisah turunnya nabi Adam dan Hawa.

  4. Allah menyampaikan atau mengajarkan Adam kalimah khusus untuk taubatnya seperti dalam surah Al-A'raf 23: "Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi”.

  5. Akal manusia tidak dapat menandingi wahyu, apa yang Allah ajarkan pastinya lebih baik dari akal manusia walaupun akal rasa telah pun bersungguh-sungguh dalam ibadah doa itu. Selain dari memohon ampun di antara syarat taubat diterima ialah kita perlu menyatakan kesalahan tanda kita menyesali perbuatan itu.

  6. Ada satu kisah yang agak popular juga tentang yang dikatakan sebagai doa nabi Adam meminta keampunan dengan menyebut dengan haq Muhammad tetapi sebenarnya hadith palsu. Hadits palsu ini digunakan oleh kelompok yang ingin membenarkan berdoa dengan perantaraan orang mati. Dikatakan dalam hadith palsu itu Adam melihat nama nabi Muhammad di tiang Arash.

  7. Setelah berdoa dengan doa yang diajar lalu Allah ampunkan Nabi Adam. Berbeza dengan versi Yahudi dan Nasrani, dalam kisah mereka dosa nabi Adam masih ditanggung oleh keturunannya, kononnya sehinggalah Nabi Isa menebus dosa Nabi Adam dengan disalibkan. Dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (Al-An'am 164). Orang yang segera bertaubat akan mendapat rahmat Allah dengan cepat.

Ayat 38

قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِّنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

  1. Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

  2. Walaupun kesilapan Adam dan Hawa telah diampunkan, Allah tetap memerintahkan semuanya (Adam, Hawa dan golongan manusia keseluruhannya) untuk keluar dari syurga dan menjadi khalifah di muka bumi. Memang tujuan manusia diciptakan adalah untuk menjadi khalifah di bumi buat sementara waktu. Setelah diuji sedikit sebanyak sepanjang hidup barulah manusia akan kembali kedalam syurga jika mengikuti petunjuk Alllah.

  3. Manusia jika dibiarkan tanpa petunjuk dari Allah mereka akan saling bermusuhan dan menumpahkan darah di antaranya. Dari awal penciptaan manusia lagi Allah telah ingatkan tentang petunjuk atau panduan hidup yang kan diberikan kepada manusia untuk diikuti. Petunjuk itu disampaikan melalui rasul-rasul dan kitab-kitab. Bagi umat akhir zaman ini petunjuk kita ialah Al-Quran dan Sunnah.

  4. Petunjuk atau hidayah ini hendaklah sentiasa dicari. Ada ungkapan yang tidak boleh dipakai iaitu 'belum dapat hidayah', sedangkan kalau tidak dicari macam mana hidayah akan muncul secara tiba-tiba tanpa kita berusaha. Selain dari petunjuk Allah, ada juga petunjuk lain yang bathil contohnya kepercayaan turun temurun terutamanya dalah urusan amalan dan ibadah.

  5. Orang yang mengikuti petunjuk tidak takut dan bimbang dengan masa depannya sama ada di dunia atau pun di akhirat. Orang yang mengikuti petunjuk juga tidak bersedih dengan masa lampaunya. Semua perkara buruk yang telah ditinggalkan tidak lagi dikenang-kenang. Orang yang mengikuti petunjuk faham dunia adalah tempat ujian, sama ada ujian kesusahan atau ujian kesenangan. Musibah bukan sahaja boleh menghapuskan dosa bahkan boleh meninggikan darjat seseorang.

Ayat 39

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِئآيٰتِنآ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

  1. Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

  2. Lawan kepada orang yang mengikuti petunjuk ialah orang yang mendustakan Al-Quran, golongan ini adalah orang kafir yang sebenarnya tahu tentang kebenaran, mereka juga faham namun mereka menolak dan mengingkarinya. Mereka ini adalah ahli tetap neraka kerana akan ada juga ahli sementara neraka iaitu orang Islam yang melakukan dosa dan tidak bertaubat.

  3. Ada juga orang Islam yang akan kekal dalam neraka iaitu orang Islam yang melakukan syirik. Selain dari menghindarkan diri dari melakukan dosa, kita perlu juga berhati-hati supaya tidak melakukan syirik. Di antara kesyirikan yang sering berlaku ialah meminta kepada selain Allah, ada yang meminta kepada nabi, malaikat, orang soleh yang telah mati, meminta kepada kubur, jin, tangkal, azimat dan sebagainya.

12 ulasan:

  1. pernah juga terfikir mustahil nabi adam dihantar ke bumi tu adalah satu bentuk hukuman sedangkan nabi Adam adalah makhluk yang baru dicipta...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Iya memang diciptakan manusia untuk tinggal di bumi. Kisah ini motivasi untuk kembali ke syurga.

      Padam
  2. Allah maha pengampun, karena itu saya pun yakin nabi Adam diampuni oleh Allah saat memohon ketika diturunkan ke bumi. Serasa tak logic jika dosa orang lain ditanggung oleh orang lain. Dalam Islam pun tak ada yg seperti itu.

    Dosa syirik ini memang takut sangat . Tapi makin kesini makin banyak manusia yg tak peduli. Memohon pada kuburan alim ulama, percaya zodiak, atau meminta sesuatu dari pohon2 yang dianggab angker, percaya dengan pawang hujan, percaya dukun.. nauzubillah min Zalik. Yg seperti itu pun dah termasuk menyekutukan Allah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Iya, dosa-dosa syirik itu perlu diperhatikan betul2, kadang dalam berbahasa pun boleh jadi syirik juga contohnya bila anak demam dikatanya kerana musim demam. Cuma yang ini mungkin jadi syirik kecil kerana ada pembahagiannya pula.

      Padam
  3. terima kasih utk tadabbur surah ni.
    benarlah dosa syirik ni paling susah nak diampunkan Allah. semoga kita tidak melakukan dosa2 besar sampai menyekutukan Allah. semoga Allah pelihara iman kita

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semoga Allah mengampunkan kita semua dan memberikan kefahaman agama kepada kita.

      Padam
  4. tadi opismet tanya...
    ms dibangkitkan di akhirat nanti, macam mana keadaan fizikal kita? kita diabngkitkan dlm keadaan muda, tua atau masih bayi?
    sy x ada jawapan tepat. sy kata, apa yg sy faham kita dibangkitkan kelak berdasarkan amal ibadah yg kita lakukan di dunia. tentang keadaan fizikal tu, sy tak tahu....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul dah tu, masa fasa hari kebangkitan, jasad disempurnakan macam waktu kita mati dan dimasukkan roh. Orang yang mati ketika mengerjakan haji dibangkit dalam keadaan bertalbiah (HR Bukhari dan Muslim), orang makan riba dibangkitkan dalam keadaan kerasukkan syaitan (Al-Baqarah 275). Hari ketika manusia seperti laron (kelkatu) yang bertaburan; Al-Qari'ah 4. Ibu yang menyusui akan tinggalkan anaknya kerana takut. Ibu yang hamil akan melahirkan anaknya, anak kecil akan menjadi tua kerana sangat takut; Al-Hajj 1-2 dan Al-Muzammil 17. Manusia akan lari dari orang yang dicintainya; Abasa 34-37. Apabila diseru, manusia akan bersegera ke arah penyeru, hari yang amat sukar bagi orang kafir; Al-Qamar 6-8. Orang beriman akan diberikan rasa aman, hari yang dijanjikan buat kalian; Al-Anbia' 103. Kemudian masuk fasa pengumpulan lain pula kejadiaannya.

      Padam