Jumaat, November 29, 2024

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 5 (Ayat 40-46)

Tadabbur Surah Al-Baqarah Ruku' 5 (Ayat 40-46)

Ayat 40 – 46 adalah Seruan Tauhid dan syariat Nabi terakhir kepada Bani Israil Mereka dijemput untuk beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dan masuk ke dalam agama Islam yang murni.

Ayat 40

يٰبنيٓ إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَوفوا بِعَهديٓ أوفِ بِعَهدِكُم وَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

  1. Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain). (Al-Baqarah 40)

  2. Isra-il bermaksud hamba Allah, Israil juga adalah gelaran kepada Nabi Yaakub as. Allah memanggil mereka dengan panggilan yang memujuk untuk kembali kepada agama yang benar. Walaupun mereka menyembah Allah namun mereka telah ubah agama yang asal menjadi agama rekaan baru.

  3. Banyak nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil yang utama ialah nikmat agama, dalam kalangan mereka diutuskan rasul dan kitab dari Allah. Mereka diselamatkan dari Firaun, mereka juga diberikan makanan al-manna dan al-salwa. Dalam ayat ini Allah merujuk kepada Bani Israil yang hidup di zaman Rasulullah saw setelah baginda berhijrah ke Madinah.

  4. Perjanjian yang dimaksudkan ialah untuk taat kepada rasul akhir iaitu Nabi Muhammad saw, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, mentaati hukum dan mentauhidkan Allah. Sekiranya mereka mengikuti perjanjian, semua kesalahan mereka diampunkan dan mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. (Al-Maidah 12).

  5. Perjanjian ini telah tertulis dalam Taurat jadi Bani Israil mengetahuinya justeru mereka sentiasa menunggu rasul terakhir bahkan di kalangan mereka ada yang berhijrah ke Yatsrib (Madinah) kerana mereka tahu nabi saw akan datang ke Madinah. Allah mengingatkan untuk berubah dari perlakuan salah (syirik dan bid'ah) kepada jalan benar yang perlu ditakuti ialah Allah sahaja.

Ayat 41

وَءآمِنوا بِمآ أَنزَلتُ مُصَدِّقًا لِّمّا مَعَكُم وَلا تَكونوٓا أَوَّلَ كافِرٍ بِهِ ۖ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا وَإِيّايَ فَاتَّقونِ

  1. Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Qur’an) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

  2. Allah tidak menyuruh Bani Israil beriman kepada Al-Quran secara terus tetapi menyuruh mereka beriman kepada apa yang Allah turunkan, dulu mereka menerima apa yang Allah turunkan iaitu Taurat maka mereka juga perlu terima apa yang baru diturunkan ini (Al-Quran). Allah juga tidak menyuruh mereka beriman kepada Nabi Muhammad saw secara terus kerana Nabi Muhammad bukan dari kalangan bangsa mereka.

  3. Allah tidak memburukkan kitab yang mereka pegang walaupun kitab asli telah disorokkan dan diubah mengikut hawa nafsu dan habuan dunia. Bahkan kitab baru ini membenarkan Taurat sebagai salah satu dari kitab telah diutuskan. Terdapat persamaan di antara Taurat dan Al-Quran iaitu ajakan mentauhidkan Allah semata-mata.

  4. Allah mengingatkan mereka supaya tidak menjadi yang mula-mula mengingkari Al-Quran kerana walaupun yang pertama sekali mengingkari ialah musyrikin Mekah tetapi musyrikin Mekah tidak diberikan kitab, Bani Israil diberikan kitab bahkan mereka telah tahu akan kedatangan nabi akhir zaman.

  5. Ahli kitab dalam kalangan Bani Israil telah menggunakan Taurat untuk habuan dunia, mereka tidak mengajarkan Taurat melainkan mereka mendapat keuntungan, dimuliakan dan diikuti. Bahkan mereka menyimpan ayat-ayat yang tidak menguntungkan dan digantikan dengan ayat lain.

  6. Untuk berubah dari satu amalan yang salah kepada amalan yang benar hanya kepada Allah sahaja yang perlu ditakuti, kecaman keluarga, saudara-mara, kawan-kawan, kerugian harta, hilangnya pangkat dan hilangnya kedudukan tidak perlu difikirkan demi menyelamatkan diri, dengan berubah kita juga mungkin menyelamatkan keturunan.

Ayat 42

وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ

  1. Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Al-Baqarah 42)

  2. Allah melarang mencampur adukkan yang salah dengan yang benar. Yahudi mengamalkan apa yang mudah di dalam Taurat, yang lain ditukar dengan amalan lain dan banyak pula ditambah amalan-amalan baru. Mereka tidaklah sampai menolak keseluruhan Taurat. Jangan kita ikut pula perangai Yahudi ini.

  3. Perbuatan orang alim Yahudi ini mengelirukan orang awam kerana mereka menerima sahaja apa yang disampaikan, yang disampaikan bukan semuanya salah, tapi yang salah diselit-selitkan di antara amalan yang benar. Dalam Islam juga ada orang alim yang melakukan perkara yang sama.

  4. Amalan doa supaya jelas kebenaran dan kebathilan dan juga doa supaya orang yang memimpin kita adalah orang yang bertaqwa: اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا.

  5. “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang daripada kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

  6. Selain dari itu orang alim Yahudi juga menyembunyikan kebenaran dari diketahui pengikut mereka, mereka tahu akan ada nabi akhir, bahkan mereka tahu ciri-cirinya. Mereka mengubah tafsiran ayat-ayat dalam Taurat dan mengajarkan tafsiran yang salah. Kejahatan mereka menjadikan keturunan mereka jauh lebih jahat lagi.

Ayat 43

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

  1. Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

  2. Setelah bani Israil disuruh beriman, Allah perintahkan pula untuk bersolat kerana beriman sahaja tidak mencukupi. Ibadah menunjukkan sifat kita sebagai hamba dan Allah sebagai rabb. Falsafah bagi solat ialah meninggikan Allah dan meletakkan diri kita serendah-rendahnya.

  3. Solat adalah pembeza antara keimanan dan kekufuran, dengan solat yang baik dan khusyuk akan menjadi penghalang kepada perkara keji dan mungkar seperti kesyirikan. Solat adalah amalan pertama yang akan disoal di hari akhirat.

  4. Setelah solat Allah perintahkan pula untuk menunaikan zakat, jika solat menjaga hubungan dengan Allah, zakat pula menjaga hubungan dengan manusia. Rezeki yang kita perolehi bukanlah semuanya milik kita, di dalamnya ada juga hak orang lain yang perlu ditunaikan.

  5. Bagi bani Israil, solat dan zakat bukanlah perkara baru (Al-Maidah 12), berkemungkinan mereka telah meninggalkan dua amalan ini atau mereka telah ubah dan tambah dengan perkara baru. Syariat lama telah terbatal setelah turunnya wahyu Al-Quran.

  6. Allah memerintahkan bani Israil untuk rukuk bersama orang yang rukuk bermaksud; 1. Solat berjemaah berimamkan Nabi saw, 2. Solat bersama pelbagai golongan yang telah nabi Muhammad satukan di Madinah, 3. Bangsa mereka tidak mulia berbanding bangsa lain, 4. Solat mereka sebelum ini tiada rukuk.

Ayat 44

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

  1. Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

  2. Allah memperkenalkan satu sifat ahli kitab dalam kalangan Yahudi, mereka mengetahui Nabi Muhammad rasul akhir zaman bahkan mengakui ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah ajaran yang benar tetapi tetap mereka tetap menolaknya bukan kerana kekeliruan.

  3. Ahli kitab dalam kalangan Yahudi sentiasa menyeru kepada kebaikan dan menghalang orang dari melakukan kejahatan tetapi dalam masa yang sama mereka meninggalkan kebaikan dan melakukan kejahatan. Ada yang merasakan tidak layak untuk menerima agama benar iaitu Islam.

  4. Para pengikut ahli kitab telah rosak kerena mengikut orang alim di kalangan mereka yang tidak menggunakan akal dengan menolak kebenaran. Mereka tidak berjaya mengekang nafsu mereka untuk keluar dari kesilapan-kesilapan. Agamanya telah dirosakkan oleh orang agama sendiri.

Ayat 45

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

  1. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

  2. Allah mengajarkan kepada ahli kitab Yahudi yang mana ingin terima Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw; 1. Sabar dan 2. Solat. Antara halangan mereka untuk menerima Islam, mereka pasti akan dipulaukan, dimaki, dan dikeji keluarga dan pengikut, oleh itu Allah mengajarkan sabar dan solat.

  3. Sabar di sini terbahagi kepada 3; 1. Bersabar dalam mentaati Allah dan rasul, 2. Bersabar dalam menjauhi larangan Allah dan rasul, 3. Bersabar dalam menempuhi musibah dan kesusahan.

  4. Mereka yang asalnya menjadi rujukan kepada pengikutnya perlu menjadi pengikut pula iaitu menjadi pengikut Nabi Muhammad saw. Kedudukan mereka yang tinggi perlu direndahkan dengan solat kerana solat itu falsafahnya adalah meninggikan Allah dan merendahkan diri serendah-rendahnya.

  5. Bukan sahaja Allah mengajarkan untuk meminta pertolongan dengan sabar dan bersolat malah Allah memberatkan nilai amalan solat itu, mungkin ramai yang boleh solat dengan lengkap tetapi untuk mencapai tahap khusyuk itu bukan perkara mudah. Khusyuk memerlukan penghayatan dan penginsafan.

Ayat 46

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ

  1. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

  2. 'Dzan' dari segi bahasa maksudnya sangkaan iaitu belum mencapai tahap yakin. Bagaimana pun ulama tafsir menafsirkan يَظُنّونَ sebagai betul-betul yakin, bukan mengikut tafsiran bahasa. Dalam menafsir ulama akan melihat kepada konteks ayat secara keseluruhan.

  3. Dalam ayat ini Allah menerangkan maksud khusyuk yang pertama iaitu betul-betul yakin akan bertemu dengan Allah di hari akhirat nanti. Kehidupan dunia ini adalah amanah dan tanggung jawab yang perlu dipikul, kesemuanya perlu dijawab di hadapan Allah.

  4. Khusyuk bukanlah bermaksud fokus hingga tak sedar langsung apa yang berlaku di sekeliling, Rasulullah ketika solat pernah membukakan pintu, pernah bergerak kerana ada sesuatu perkara, pernah melajukan solat kerana ada bayi menangis. Sekiranya ada kecemasan kita boleh sahaja berhenti dari solat.

  5. Daripada Anas bin Malik ra: “Aku tidak pernah solat dibelakang imam yang lebih ringan dan lebih sempurna daripada solat di belakang Nabi SAW. Apabila Baginda mendengar suara bayi menangis, maka Baginda akan meringankan solat tersebut kerana dibimbangi akan menyusahkan ibunya.” HR Bukhari dan Muslim.

Sekian Ruku’ 5 daripada 40 ruku’ surah Al-Baqarah.

Follow Nota Tadabbur di laman TikTok juga.  

 

2 ulasan:

  1. jika solat untuk Allah, maka zakat adalah daripada manusia utk manusia...

    BalasPadam
  2. Berani sungguh Orang2 itu mengubah ayat taurat mereka menjadi ayat yg lebih menguntungkan mereka ya... Padahal mereka tahu kedatangan nabi akhir, tapi mencoba mengingkari.

    Jadi tahu juga saya kalo sholat bangsa bani Israil ini tiada ruku sebelumnya.

    BalasPadam